Jom Jadi Geng

07 June 2011

Kek Pop Amezah

Berbanding dengan kek cawan, populariti 'kek pop' dianggap masih baru di kalangan penggemar kek di negara ini. Ia juga dikenali sebagai 'Kek Pop Pahar' kerana dicucuk dengan batang lolipop supaya lebih mudah dipegang ketika makan.

Kek ini bukan sahaja comel malah boleh didapati dalam pelbagai bentuk, warna dan hiasan. Malah ia boleh disesuaikan dengan apa juga tema majlis.

Amezah Kassim, 29, merupakan salah seorang pembuat Kek Pop Pahar di Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun cuma sejak setahun yang lalu sahaja dia mempromosi kek ciptaannya menerusi Internet cakepopkl.blogspot.com.

Jelas Amezah, dia mula jatuh cinta dengan kek pop ketika melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat.
Ketika di sana beliau mengambil peluang membeli beberapa buah buku cara membuat kek pop yang sememangnya sudah popular di sana.

Sekembalinya ke tanah air, Amezah mencuba menghasilkan kek pop sendiri sehingga berjaya.

''Selama dua bulan juga saya mempelajarinya. Daripada membuat kek sehingga kerja-kerja membalutnya dengan coklat dan kemudiannya menghiasnya,'' katanya ketika ditemui di Andalucia Pantai Hill Park, Jalan Pantai Permai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Amezah pada peringkat awal, dia cuma membuat kek pop untuk tempahan di kalangan saudara-mara dan rakan-rakan.

Katanya, ketika itu masih di peringkat percubaan di mana dia masih memerlukan masa untuk betul-betul mahir dalam menghasilkannya.

Disebabkan kek itu kecil maka cara membuatnya memang rumit dan memerlukan kesabaran dan ketelitian.
Katanya, kek pop pahar itu sesuai untuk semua majlis termasuk pertunangan, perkahwinan, hari lahir, baby shower, bachelor party dan sebagainya.

Berikutan itu, katanya, kek itu antaranya boleh didapati dalam bentuk buah strawberi, kartun, ladybird, ikan, bola ragbi, bibir dan haiwan.

''Biasanya kek pop pahar ini akan dihasilkan mengikut tema majlis yang mahu diadakan oleh pelanggan.
"Saya akan memberikan cadangan hiasan kek yang sesuai,'' katanya.

Kata Amezah, ramai yang tertarik untuk menempah kek pop kerana ia bukan sahaja cantik tetapi mudah disediakan kepada tetamu.

Bagaimanapun kata Amezah setakat ini beliau hanya menerima tempahan di sekitar Lembah Klang kerana penghantaran jauh akan menyebabkan kek itu rosak.

"Biasanya kek pop yang ditempah ini akan lengkap dengan bekas yang disesuaikan dengan tema majlis yang bakal diadakan,'' ujar Amezah.

Katanya, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menempah kek dalam tiga perisa iaitu vanilla, coklat dan merah baldu .

Harga kek pop pahar serendah RM2.50 dan setiap tempahan juga harus diberitahu dua minggu lebih awal.
''Saya juga memberikan pilihan kepada pelanggan yang tidak suka manis untuk menempah kek tanpa gula,'' katanya.

Katanya, kek ciptaannya dapat bertahan selama seminggu jika diletakkan di luar peti sejuk.

Jelas Amezah, sesiapa yang berminat untuk menempah boleh menghubunginya di talian 019 2131105 atau menghantar emel cakepopkl@yahoo.com.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

05 June 2011

Keceriaan Musim Bunga Jaspal

Jaspal meraikan musim bunga baru-baru ini dengan penuh ceria. Manakan tidak, koleksi kali ini berkonsepkan suai padan untuk lelaki dan wanita, sekali gus menyerlahkan keterampilan diri mereka dalam sekelip mata.

Koleksi kali ini menampilkan elemen seksi dan feminin bagi wanita era 70-an. Penggunaan jean ketat dan skirt serta kemeja menambahkan lagi gaya terutama apabila anda berada di tempat kerja.

Tidak terhad di situ, Jaspal juga menampilkan beberapa pilihan untuk bersantai dengan rekaan yang lebih ceria, bercorak, berbunga dengan gaya menawan ala desa, menggunakan fabrik denim dan sebagainya.

Untuk lelaki juga, Jaspal memperkenalkan jaket, baju panas yang boleh dipadankan dengan kemeja lurus dan baju-T untuk penampilan yang kemas dan bergaya sepanjang minggu. Mungkin ada yang berkata jaket tidak sesuai untuk musim ini tetapi kenapa tidak apabila ia sebenarnya boleh dipakai pada waktu malam.

Pengurus Pemasaran Jaspal Malaysia, Annie Wong berkata, Jaspal direka khusus untuk lelaki serta wanita untuk tampil lebih yakin dan moden.

"Koleksi kali ini amat mudah untuk dipadankan dengan pakaian setiap orang. Penampilan segak dan profesional untuk ke pejabat dan penampilan santai dan selesa pada hujung minggu. Pendek kata, ia satu koleksi yang sempurna untuk lelaki dan wanita yang aktif," ujarnya.

Koleksi musim bunga dan panas 2011 Jaspal menampilkan tiga ciri utama iaitu Gaya Tahun 70-an, Bunga Segar dan Terang & Segar.

Pakaian musim ini dijual pada harga RM75 hingga RM199 untuk pakaian atas, RM129 hingga RM209 untuk seluar dan skirt.

Bagi yang berminat, boleh dapatkannya di butik Jaspal di Pavilion, One Utama, Mid Valley dan Sunway Pyramid.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

03 June 2011

Fashion Valet ilham Vivy

Sejak pulang dari United Kingdom (UK) dua sahabat ini sering membantu antara satu sama lain termasuk ketika membeli-belah.

Biasanya Vivy Sofinas Yusof, 25, akan meminta bantuan sahabat baiknya itu, Fadzarudin Anuar, 25, untuk menghantarnya ke pusat membeli-belah - situasi yang sama seperti ketika mereka melanjutkan pelajaran di negara empat musim itu.

Vivy yang menggemari jenama Top Shop ini, memang tidak berpuas hati kerana terpaksa menempuhi kesesakan trafik di Kuala Lumpur, hinggalah dalam kepala masing-masing memikirkan betapa mereka patut melakukan sesuatu untuk memudahkan pembelian barangan dengan cara lebih cepat dan menyenangkan.

Terkenang ketika belajar di UK kebanyakan barangan seperti pakaian, kasut dan beg, semuanya diperoleh menerusi Internet.

Malah menurut Vivy, rakyat di negara itu ada juga yang membeli barangan runcit terus dari Internet.
"Bukankah ia satu perkara yang memudahkan serta menjimatkan masa?," getus dua sahabat ini ketika mengimbau kembali saat 'membina' gedung pakaian dan aksesori dalam talian mereka.

Memilih nama Fashion Valet (FV), Vivy dan Fadzarudin tidak berlengah lagi lalu terus membuat kajian, menambah ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat serta mengumpul data-data jenama yang boleh diletakkan dalam gedung dalam talian mereka.

Menurut Vivy, yang berdarah campuran Cina dan Melayu, hasil rekaan tempatan memang tidak kurang hebatnya.

"Selepas menamatkan pengajian dan pulang ke Malaysia, saya membantu bapa yang menjalankan perniagaan hartanah. Tetapi, saya tidak menemui kepuasan sebenar kerana minat yang mendalam terhadap fesyen.

"Empat bulan lalu, saya mewujudkan FashionValet.net yang menjadi hab rekaan fesyen tempatan.

"Saya mewujudkan perniagaan ini bersama rakan pengasas yang juga rakan saya, Asma' Nasaruddin dan Fadzarudin," katanya pada majlis pelancaran Fashion Valet di Bangsar Village 2, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengaku sibuk menjalankan perniagaan pada usia yang muda dan masih lagi membantu menjalankan bisnes keluarga, Vivy mahu terus memburu pereka-pereka tempatan untuk menyertai laman web FV.

"Ketika mula-mula mewujudkan bisnes ini, saya bergerak bersama kumpulan bagi menemui pereka-pereka fesyen tempatan.

"Pada bulan pertama kami berjaya mengumpulkan seramai 15 pereka tempatan tetapi, waktu itu belum ada pejabat untuk beroperasi. Dalam masa dua bulan menjalankan bisnes ini, saya mengupah empat pekerja tetap termasuk seorang pengurus dan eksekutif operasi untuk melancarkan perjalanan bisnes in," kata Vivy yang bertindak sebagai pengarah urusan.

Dengan memiliki FV, Vivy mempunyai peluang berfesyen tanpa had dan mengakui berhabis ribuan ringgit setiap bulan bagi memenuhi obsesinya terhadap fesyen.

Keseronokan Vivy berganda apabila dapat berkongsi minatnya dengan ramai pengikut blognya.
Vivy menggunakan platform tersebut bagi menggayakan jenama kegemarannya.

Antaranya termasuk Jas.C, Mimpikita, Sister Margaritta, Minz dan PU3.

"Walaupun menggemari fesyen dan suka berfesyen, saya masih mengekalkan penampilan sederhana dan feminin.

"Imej sopan sudah sebati dengan diri saya," katanya yang menggemari kaftan.

Dalam pada itu katanya, melalui FV dia mahu memperkenalkan pereka tempatan ke mata dunia dan mahu pengguna Malaysia membuka mata kepada hasil rekaan tempatan.

"Hingga kini, hasil rekaan tempatan di FV telah menembusi Brunei, Singapura, UK, Jerman, Indonesia dan Bangladesh selain Malaysia," katanya.

Ini membuktikan masyarakat luar juga menghargai rekaan fesyen tempatan.

Sehingga kini terdapat lebih 40 buah jenama di bawah FV dan menyasarkan lebih banyak penyertaan jenama pada masa akan datang.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

01 June 2011

Koleksi terakhir Scarlet Johannsen

Setelah empat musim berturut-turut pelakon Hollywood, Scarlet Johannsen menawarkan khidmat sebagai model jenama terkenal dari Amerika Syarikat, Mango, beliau baru-baru ini mengakhiri khidmatnya.

Kata aktres tersebut, dia begitu berbangga dapat bekerjasama dengan Mario Sorrenti yang menjadi jurugambar rasmi Mango sepanjang menjadi wajah rasmi jenama tersebut.

Koleksi terakhir yang diperagakan Johannsen diberi nama Modernist Resort. Ia bercirikan penampilan moden dan ringkas yang ditambah dengan elemen warna terang, selain kontras dalam kombinasi menarik.
Koleksi tersebut dipertontonkan kepada media Malaysia dalam satu sesi peragaan bertempat di Hotel Sunway Resort and Spa, Bandar Sunway, Selangor, baru-baru ini. Majlis turut diserikan dengan kehadiran selebriti tempatan seperti Elaine Daly, Carmen Soo, Yasmin Yusoff dan Genevie Sambhi.

Terdapat pelbagai pilihan daripada seluar hingga skirt labuh yang memfokuskan kepada penampilan wanita sejati. Paduan rona terang seperti warna lemon, merah buah tembikai dan hijau daun pudina menambah elemen mewah pada koleksi kali ini.

Bersesuaian dengan iklim Malaysia yang panas, koleksi Mango musim panas ini dibuat khas menggunakan fabrik yang telap peluh dan selesa untuk kulit. Fabriknya juga lebih ringan dan sesuai digunakan untuk majlis formal atau pun santai.

Untuk musim ini, fesyen lelaki juga diberi perhatian dan mempertaruhkan konsep retro-sukan. Ia dijangka memberi satu tarikan istimewa buat golongan lelaki metroseksual di negara ini. Menggunakan label H.E. by Mango, koleksi ini juga lebih natural dan menggunakan fabrik yang sama dengan koleksi wanita. Malah penggunaan warna yang terang dan ceria dijangka menarik perhatian dan memberi kelainan pada penampilan lelaki.

Dipetik dari : www.utusan.com.my