Jom Jadi Geng

30 September 2011

Nadia Nadia Peminat Sejarah

Jarang sekali kita mendengar anak muda hari ini meminati subjek sejarah. Namun berbeza dengan Nurul Aimi Nadia Ahmad, dia lebih sanggup bersengkang mata membaca bahan bacaan berkaitan subjek itu berbanding novel-novel cinta.

Baginya, selain menambah ilmu, melalui sejarah kita dapat memahami dengan lebih terperinci asal-usul sesuatu perkara. Kita juga katanya boleh melihat kaitan antara kejayaan yang dikecapi hari ini melalui fakta lalu yang sememangnya tidak boleh diubah atau ditokok tambah lagi.

“Saya memang suka membaca buku-buku berkaitan sejarah. Misalnya mengenai pembukaan atau penubuhan sesebuah negeri,” katanya yang mesra disapa sebagai Nadia.

Berusia 25 tahun, wanita kelahiran Taiping, Perak dan dibesarkan di Petaling Jaya kini berkerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat elektronik terkemuka di ibu kota.

Menurutnya, tugasnya di situ memerlukan dia sentiasa peka supaya operasi syarikat berjalan dengan lancar. Pengalaman berkerja dengan beberapa buah syarikat lain turut membantu Nadia dalam memenuhi tuntutan hariannya.

Tambahan lagi mempunyai rakan-rakan yang sering membantu.

Walaupun membesar di ibu kota, wanita ini sebenarnya gemar turun ke dapur dan jangan terperanjat andai diberitahu dia mahir menghasilkan kuih tradisional seperti bahulu.

“Selain masak untuk diri sendiri, Nadia juga menerima tempahan rakan-rakan ketika Aidilfitri lalu. Bukan sahaja bahulu, Nadia juga menghasilkan kuih semperit, popia simpul dan biskut almond London,” katanya yang menyambut Hari Raya bersama teman-teman di Kuala Lumpur sahaja.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

20 September 2011

Hetty kini usahawan perabot

Kecerian Hetty Koes Endang masih tidak berubah seperti mana di awal perkenalan dengannya lebih sedekad lalu.

Keramahannya akan mudah membuatkan sesiapa sahaja tidak segan dan kekok untuk bercerita dan berbual panjang lebar.

Inilah yang terjadi saat Hits diundang ke kediamannya di Bandar Serpong Damai (BSD), Jakarta baru-baru ini.

"Sudah lama kita tidak ketemu ya. Tahu-tahu saja kamu sudah berpindah ke sini (Jakarta)," katanya menyapa penulis.

Sementara menanti waktu berbuka puasa, kesempatan diambil untuk menemuramah beliau.

Selepas sekian lama menyepi, Hetty bersama suaminya, Dr. Yusuf Erwin Faisal sebetulnya sudah meneroka bidang baru.

Pasangan suami isteri itu kini mengusahakan perniagaan perabot sejak setahun lalu.

"Inilah dunia baru saya. Jika tiada sebarang undangan mengadakan persembahan saya akan memberi tumpuan pada perniagaan ini.

"Bisnes yang saya jalankan ini memberikan saya pengalaman baru. Kalau dulu saya hanya tahu menyanyi tetapi sekarang saya harus bijak menjual produk pula," katanya sambil ketawa.

Kebetulan berada di kediamannya, Hetty membawa Hits meninjau bengkel tempat perabot-perabot yang beliau dan suami usahakan.

Bengkel Perabot TBL diusahakan di kediaman pasangan itu sendiri di BSD Tangerang Selatan.
Pelbagai perabot daripada jenis dijual Hetty dengan ukuran yang pelbagai saiz turut ditawarkan kepada mereka yang berminat.

Kepada Hetty, perniagaan itu diasaskan oleh beliau dan suaminya sebagai jaminan masa depan untuk anak-anak mereka, Ameer Mahmed dan Afifah Qamariah.

"Saya tidak berniat untuk memaksa anak-anak aktif dalam bidang perniagaan. Sebaliknya, bisnes ini merupakan satu jaminan untuk mereka dalam menghadapi masa depan.

"Bahkan, bisnes yang kami jalankan ini juga merupakan ruang untuk saya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan kerana kami sama-sama memberi fokus dan tumpuan pada perkembangan bisnes ini," jelasnya sambil memberitahu kedua-dua anaknya turut serta membangunkan perniagaan perabot itu.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan perabot-perabot yang ditawarkan di TBL Furniture, anda boleh mengirimkan e-mel ke asaatari@yahoo.com.

Pengurusan Hetty bersedia melayani sebarang pertanyaan daripada mereka yang mahu mendapatkan bekalan dalam kuantiti yang banyak.

"Kami juga mahu meneroka pasaran Malaysia kerana saya difahamkan ramai orang di Malaysia yang gemarkan perabot seperti ini.

"Mudah-mudahan selepas ini perniagaan boleh diadakan di sana pula, Insya-Allah," katanya sambil mempelawa mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi ejen di Malaysia boleh menghubunginya menerusi alamat e-mel berkenaan.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

10 September 2011

Solekan Mata Kreatif

Syawal hampir seminggu berlalu namun kehangatannya masih terasa terutama di kalangan penghuni kota yang baru pulang beraya bersama keluarga di kampung, kini giliran bersama teman-teman pula.

Tahun ini jenama solekan artistik terkemuka Jepun, Shu Uemura berkongsi idea dengan pembaca Mingguan Malaysia beberapa tip kelihatan anggun dan menyerlah ke majlis sempena Aidilfitri ini.

Sementara model sambilan, Diana diberi gaya elegan dengan solekan mata lebih glamor - pembayang mata violet gelap dan kehijauan untuk menyerlahkan garisan dan bentuk mata.

Jurusolek, Lisa Yap turut menggunakan koleksi bulu mata baru untuk menghasilkan pandangan mata yang menawan.

Sekilas pandang , pasti kita takut untuk mencuba transformasi solekan ini.

Gaya semula jadi dan mistik ini menampilkan inspirasi fesyen moden.

Bulu mata bukan sekadar ukiran, bahkan solekan pada wajah menggambarkan transformasi fesyen yang sebenar.

Misalnya, bulu mata menjadi medan menyerlahkan inspirasi fesyen yang kreatif. Tanpa membelakang elemen semula jadi, idea ini mencetuskan elemen yang indah.

Bagi anda yang menggemari seni kecantikan, serlahkan ciri feminin anda melalui ukiran yang indah ini di hari raya.

Solekan yang sempurna perlu dipadankan konsep fesyen yang tepat.
Pemilihan serta gabungan warna yang bijak menghasilkan sesuatu yang tampak sempurna.

Kriteria

Selesai disolek, Nadia diberi peluang menggayakan koleksi pereka muda tempatan, Gilbert dan Julia Leong. Walaupun kriteria moden seperti ini kurang sesuai di hari raya, anda boleh memadankan solekan ini dengan baju kurung atau kebaya.

Dua pereka Persatuan Pereka-pereka Rasmi Malaysia atau Moda ini mempamerkan trend semasa dan sebagai satu langkah kerjasama antara pereka fesyen dan solekan seperti yang ditampilkan ketika pelancaran koleksi Tokyo Lash Bar 2011 yang mendapat sentuhan busana pereka Moda.

Ia pastinya memberi kesan dramatik dan menggoda pada penampilan. Untuk tahun ini antara himpunan terbaru bulu mata palsu yang ditampilkan ialah mini fancy bonbon, mini voilet, vibrant partial, mimi fringe, green folklore, ethnic charm dan tribal patch.

Dipetik dari : www.utusan.com.my