Jom Jadi Geng

30 November 2011

Pelajari Seni Solekan

Setiap wanita berhak untuk kelihatan cantik dan berasa dirinya cantik. Ada wanita yang bertuah kerana memang dilahirkan cantik, namun tidak semua yang dianugerahkan kecantikan semulajadi.

Untuk nampak cantik, seseorang itu perlu tahu cara solekan yang betul. Kebanyakan daripada kita hanya bersolek mengikut suka dan bukan dengan cara yang betul.

Bagi mengajar orang ramai mengenai cara solekan yang betul, jenama alat solek, Make Up For Ever telah memperkenalkan konsep baru sekolah solekan di The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur.

Sekolah solekan yang julung kali dan pertama diwujudkan oleh jenama alat solek ini bertujuan untuk memberi peluang kepada semua orang bagi mempelajari seni solekan yang betul.

''Kebanyakan sekolah solekan hanya mengajar mereka yang hendak menjadi jurusolek profesional tetapi sekolah Make Up For Ever ini diadakan khusus untuk sesiapa sahaja yang ingin mempelajari cara solekan untuk diri sendiri bagi setiap hari,'' kata Pengarah Make Up For Ever bagi Singapura, Alicia Chong semasa ditemui di The Gardens baru-baru ini.

Menurutnya, sekolah yang dibuat dalam bentuk booth ini akan berada di pusat membeli-belah itu pada tempoh yang tetap.

Ia mempelawa sesiapa sahaja bagi mempelajari seni solekan daripada jurusolek berpengalaman.
''Wajah anda bukan sahaja akan disolek sambil diterangkan cara solekan yang betul tetapi akan diajar bersolek mengikut cara jurusolek profesional tersebut.

''Jurusolek akan menyolek sebelah wajah anda dan anda akan menyiapkan sebelah lagi mengikut arahan dan cara yang telah ditunjukkan. Dengan cara tersebut, anda akan cepat mempelajari kaedah solekan. Apabila balik ke rumah, anda akan ingat semula cara solekan yang telah diajar,'' ujarnya.

Alicia menambah, selain solekan ke tempat kerja, kebanyakan wanita ingin mengetahui gaya solekan yang pelbagai tetapi tidak tahu caranya.

Contohnya bagaimana hendak melekatkan bulu mata atau memilih bulu mata yang betul.

"Namun apa yang penting, kami ingin memberitahu orang ramai bahawa bersolek adalah sesuatu yang mudah," katanya.

Setiap kursus yang diajar katanya, mengambil masa antara satu hingga tiga jam. Bagi kursus selama satu jam, bayaran sebanyak RM300 dikenakan.

Mereka yang berminat boleh datang berseorangan, bersama kawan-kawan dalam jumlah dua, tiga atau empat orang.

''Pelanggan akan diberikan kad yang menerangkan cara solekan dan alat solek yang sesuai bagi mereka. Di rumah, mereka boleh melihat semula kad tersebut dan mengikuti satu persatu cara bersolek yang telah diajar oleh jurusolek di booth tersebut,'' katanya.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

20 November 2011

Beg Tangan Pelengkap Penampilan

Bagi sebahagian besar wanita, beg tangan umpama teman rapat yang perlu dibawa ke mana-mana sahaja sehingga keluar rumah terasa tidak lengkap tanpanya.

Selain menjadi lambang eksklusif diri, beg tangan juga dilihat satu aksesori yang mampu menyerlahkan imej seseorang wanita itu.

Sesuai dengan kedatangan Syawal, Carlo Rino telah memperkenalkan koleksi rekaan baru dengan gaya segar dan memenuhi selera serta cita rasa peminatnya.

Yang pasti, koleksi kali ini amat sesuai untuk digayakan ke rumah terbuka ataupun ke rumah sanak saudara.
Selain menampilkan rekaan terbaru untuk beg tangan, sudah pasti ia dilengkapkan lagi dengan rekaan kasut terkini.

Terdapat pelbagai jenis koleksi yang ditampilkan kali ini dalam usaha memadankan dengan pakaian sempena musim perayaan.

Bukan itu sahaja, tahun ini Carlo Rino turut menampilkan koleksi beg bercuti untuk kemudahan meletakkan segala keperluan ketika pulang ke kampung.

Beg bercuti dengan rekaan yang moden serta warna-warna tanah pastinya menjadikan percutian begitu hebat.
Ditambah pula dengan penggunaan motif monogram, koleksi ini tidak memerlukan perhiasan atau corak yang berlebihan.

Cukup sekadar huruf-huruf Carlo Rino yang menghiasi setiap koleksinya yang menampilkan kelainan dan keunikan jenama tersebut.

Mempunyai roda dan pemegang, koleksi beg bercuti ini dilihat memudahkan lagi penggunaannya.
Turut ditampilkan bersama sebuah beg kecil untuk menempatkan segala kelengkapan diri, ia dilihat lebih praktikal.

Carlo Rino sememangnya terkenal dengan kualiti pembuatannya bagi beg kulit, kasut, dompet dan aksesori lain.

Dalam masa yang sama, jenama ini sentiasa mengutamakan rekaan yang inovatif, eksklusif, penggunaan warna ceria dan mempesona.

Setiap rekaan yang dihasilkan pastinya akan ditambah dengan beberapa elemen untuk melengkapkan lagi musim perayaan anda.

Yang pasti pilihan setiap motif menyerlahkan lagi sifat kewanitaan empunya diri yang menggayakan produk terbaru daripada Carlo Rino ini.

Masih mengekalkan ciri-ciri moden, elegan dan beridentiti, keseluruhannya koleksi terbaru Carlo Rino mempunyai kelebihan tersendiri dengan warna-warna ceria dan rekaan eksklusif khas buat semua wanita.
Tentu sekali koleksi ini mampu menyerikan lagi musim perayaan anda.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

10 November 2011

Chow Gek, Virmalah Terus Bantu Wanita

Nama mereka satu ketika dahulu mungkin begitu asing di kalangan masyarakat setempat apatah lagi mereka bukannya selebriti yang sering mendapat liputan berita setiap masa.

Tetapi setelah memenangi Anugerah Wanita Tun Dr. Siti Hasmah WIM pada tahun 2005 dan 2008, mereka semakin dikenali malah nasihat dan bantuan mereka sering 'ditagih' golongan yang begitu memerlukan.

Begitupun, bagi kedua-dua personaliti ini, anugerah yang diterima sedikit sebanyak mampu menjadikan mereka insan yang bertanggungjawab selain dapat menghulurkan bantuan yang termampu.

Bagi kontraktor, Chow Gek Chow Giat, 49, dan pesara guru, Virmalah Nair, 59, mereka amat berterima kasih kepada individu yang bertanggungjawab mencalonkan mereka untuk menerima Anugerah Wanita Tun Dr. Siti Hasmah WIM kerana sekurang-kurangnya hari ini mereka dapat berkongsi pengalaman serta kejayaan yang diraih bersama.

Menurut Chow Gek yang berketurunan Orang Asli, dia tidak pernah menyangka akan dipilih menerima anugerah tersebut apatah lagi sebelum ini dia bukanlah seorang individu yang dikenali.

Ternyata apa yang difikirkan meleset sama sekali kerana anugerah tersebut bukanlah anugerah bagi menobatkan individu yang dikenali mahupun yang banyak berjasa. Ia merupakan anugerah kepada mereka yang telah berjaya mencapai kejayaan dalam kerjaya masing-masing dan bermula dari bawah.
"Sudah pasti penganugerahan anugerah tersebut telah mengubah hidup saya.

"Ini kerana sebelum ini saya hanya memikirkan soal diri serta keluarga sahaja. Tetapi hari ini saya bukan sahaja perlu membantu masyarakat setempat yang memerlukan bantuan malah kadang kala turut 'turun padang' bagi menjayakan sesuatu tugasan.

"Bagaimanapun, semua ini bukanlah satu beban. Saya amat gembira kerana sekurang-kurangnya saya dapat membantu golongan susah terutama sekali ibu-ibu tunggal," ujarnya ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan barisan penaja untuk Anugerah Tun Dr. Siti Hasmah WIM Wanita Berinspirasi 2011 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anugerah yang diperkenalkan oleh Institut Pengurusan Wanita (WIM) itu adalah bagi mengiktiraf wanita yang meraih kejayaan gemilang hasil daripada ketabahannya menempuh halangan dan cabaran.

Ternyata anugerah yang diterima Chow Gek pada tahun 2005 bukanlah merupakan anugerah yang pertama dan terakhir diterimanya.

Pada 2006 dia sekali lagi dipilih untuk menerima anugerah Ibu Kerjaya oleh Avon.

Katanya, segala anugerah yang diterima adalah atas kejayaannya selama ini yang bekerja keras dalam usaha memajukan diri serta memberikan kehidupan yang lebih baik untuk keluarganya.

Menurut ibu tunggal itu lagi, sehingga hari ini dia masih lagi berganding bahu bersama (WIM) membantu golongan yang memerlukan bantuan serta nasihat untuk berjaya di dalam kehidupan masing-masing.

Begitu juga dengan Virmalah seorang bekas guru yang tidak dikenali ramai walaupun pernah aktif dalam politik.

Beliau hanya dikenali di kalangan kelompok teman-teman seperjuangannya, tetapi ceritanya amat menarik untuk dikongsi bersama.

Boleh dikatakan, anak kelahiran Gemas, Negeri Sembilan itu begitu tabah menghadapi segala dugaan dan cabaran yang diberikan kepadanya dalam menjalani kehidupan hariannya.

Berkahwin dan menjadi ibu tunggal pada usia yang begitu muda, Virmalah tidak pernah menjadikannya batu penghalang untuk meneruskan kehidupannya.

Bangkit daripada kekecewaan dengan harapan untuk melihat kejayaan anak tunggalnya, Virmalah akhirnya mampu mengukir senyuman.

Hari ini, dengan kerjaya sebagai seorang pensyarah di salah sebuah kolej swasta di ibu kota, Virmalah juga aktif membantu golongan yang memerlukan.

Selain menganjurkan bengkel dan seminar, Virmalah juga sering menjadi tempat untuk golongan wanita meluahkan nasib mereka.

Membantu mana yang terdaya, Virmalah kini juga aktif berkerja sama dengan WIM dalam usaha menaikkan martabat golongan wanita.

Seperti Chow Gek, Anugerah Tun Dr. Siti Hasmah WIM bukanlah anugerah yang pertama dan terakhir diterimanya.

Ini kerana selang setahun selepas itu, Virmalah telah dipilih oleh Garshom Int. Ltd. melalui Internet sebagai wanita India yang paling berpengaruh di luar India.

Anugerah Parvasi Vanitha itu telah menaikkan lagi semangat Virmalah untuk terus aktif membantu wanita yang dalam kesusahan.

Bagi Chow Gek dan juga Virmalah, wang tunai yang dimenangi melalui anugerah tersebut telah digunakan untuk melatih wanita-wanita atau ibu-ibu tunggal dalam bidang perniagaan.

Jelas kedua-dua wanita ini akan membantu selagi terdaya serta bantuan mereka diperlukan dan tiada sebab untuk mereka mendabik dada dengan kejayaan yang dikecapi hari ini.

Dipetik dari : www.utusan.com.my