Jom Jadi Geng

30 December 2011

Kehidupan Unik George dan Lori

Ketika dilahirkan, pakar-pakar perubatan meramalkan pasangan kembar Siam George dan Lori Schappell tidak akan mampu hidup hingga usia 30 tahun.

Tetapi pada Ahad lalu, pasangan yang bercantum di kepala itu meraikan ulang tahun ke-50 yang menjadikan mereka sebagai kembar bercantum paling tua di dunia.

Mereka berkongsi 30 peratus tisu depan otak dan beberapa saraf penting yang bermakna tidak boleh dipisahkan melalui pembedahan.

Sempena sambutan ulang tahun kelahiran itu, mereka yang berasal dari Pennsylvania, Amerika Syarikat telah dibawa melancong ke London.

Apa yang menakjubkan, biarpun dilahirkan sebagai kembar Siam yang bercantum di kepala, kedua-duanya tetap menjalani kehidupan berbeza.

Lori misalnya pernah menjalin hubungan dengan lelaki dan George yang pada awalnya dinamakan Dori - memilih untuk hidup sebagai lelaki.

Lori juga merupakan juara dalam sukan boling dan George sering melakukan persembahan muzik country.
"Ketika kami dilahirkan, para doktor meramalkan hayat kami tidak mampu menjangkau 30 tahun. Kami buktikan mereka salah," kata Lori.

Katanya, pada usia 50 tahun, banyak yang mereka belajar dan akan terus menikmati hidup sepenuhnya.
Lori yang memiliki ketinggian lima kaki satu inci dilahirkan dengan tubuh badan yang sempurna. Sementara George yang hanya empat kaki empat inci menderita masalah belakang yang dikenali sebagai spina bofida yang menjejaskan pergerakannya.

George tidak boleh berjalan. Dia hanya duduk di atas kerusi roda khas yang akan ditolak oleh Lori. Dengan itu, kedua-duanya boleh bergerak bersama-sama.

"Kebanyakan orang tidak percaya kami mempunyai kehidupan yang normal. Kami melancong, mengemaskan kediaman kami malah Lori ada mempunyai teman lelaki. Tidak ada apa yang boleh menghalang kami melakukan apa yang kami mahu," kata George.

Mahkamah ketika itu memutuskan ibu bapa pasangan kembar itu tidak akan mampu memelihara kedua-duanya dengan sempurna lalu mereka diletakkan di bawah jagaan institusi yang majoriti pesakitnya menderita masalah mental. Sedangkan kembar berkenaan tidak berhadapan dengan masalah tersebut.

"Tidak ada apa yang tidak kena dengan kami selain daripada fizikal. Tetapi orang tidak tahu yang sebenarnya, kami lebih baik.

"Kami belajar menjadi diri sendiri sejak dari usia muda dan mendapat keputusan cemerlang ketika di sekolah," ujar Lori.

Apabila berusia 21 tahun, kembar itu telah mengambil tindakan undang-undang terhadap institusi terbabit supaya Lori boleh belajar di sebuah kolej kesetiausahaan - dan mereka menang.

"Kami kena buktikan yang kami boleh hidup sendiri dan akhirnya kami dibenarkan hidup bebas. Sekarang kami memiliki sebuah flat dua bilik dan setiap malam kami bergilir-gilir tidur di bilik masing-masing.

"Bilik saya lebih lebih kewanitaan dan mencerminkan personaliti saya. Sementara bilik George penuh dengan poster muziknya," jelas Lori.

Kembar tersebut bukan sahaja perlu berhadapan dengan kekurangan sejak lahir tetapi George turut merahsiakan penderitaannya yang tersendiri daripada kembarnya itu.

Kata George: "Sejak kecil saya tahu saya sepatutnya menjadi lelaki. Saya suka bermain dengan kereta api mainan dan benci pakaian perempuan yang dikenakan pada saya. Saya menyimpan keinginan untuk seks yang berbeza ini termasuk dari Lori selama bertahun-tahun."

Bagaimanapun kira-kira empat tahun lalu George menjelaskan apa yang diinginkan dan namanya ditukar dari Dori kepada nama sekarang dan hidup sebagai lelaki.

"Ia sangat sukar. Tetapi saya semakin tua dan saya tidak mahu hidup dalam penafian. Saya perlu menjalani hidup seperti mana yang saya inginkan," ujar George.

Dia bagaimanapun tidak menjalani pertukaran jantina, tetapi berpakaian dan memperkenalkan dirinya sebagai lelaki.

Bagi Lori, perubahan yang berlaku memang sesuatu yang mengejutkan.

"Tetapi saya bangga dengannya. Ia merupakan satu keputusan yang besar tetapi banyak yang telah dilalui dan diatasi dalam hidup kami. Kami kuat sebagai satu pasukan," kata Lori.

Selepas tamat pelajaran di kolej, Lori bekerja di bilik cucian sebuah hospital. Ketika dia bekerja, George akan membaca atau mendengar muzik.

Pada tahun-tahun 90-an George turut berjaya dalam kerjaya sebagai pemuzik dan pernah memenangi Anugerah Muzik LA untuk artis country terbaik.

Kata Lori: "Hidup saya ia bekerja dalam bilik cucian, sementara kerjaya George membawa kami mengembara ke serata dunia termasuk melakukan persembahan di Jepun dan Eropah.

"Ia satu perbezaan yang ekstrem. Tetapi kami saling menyokong satu sama lain sepanjang masa."

Bagi orang yang tidak biasa, mereka terpesona dengan kehidupan pasangan kembar bercantum yang paling tua di dunia itu. Mereka sering di sapa dan ditanya tentang bagaimana menjalani kehidupan seharian.

Pasangan kembar itu cukup terkenal. Mereka sering muncul di televisyen dan kerap terbabit dalam program-program dokumentari termasuk rancangan Nip/Tuck.
Dipetik dari : www.utusan.com.my

20 December 2011

Anak, Cucu Peneman di Usia Tua

Memang tidak dinafikan menguruskan warga emas adalah suatu cabaran, apatah lagi kalau kesihatan dan keadaan fizikal mereka tidak sekuat seperti ketika muda.

"Keadaan tersebut membuatkan golongan ini mudah menjadi sensitif dan lebih beremosi,'' ujar Pakar Kaunseling Keluarga, Profesor Madya Dr. Saedah A. Ghani.

Bagaimanapun tegas beliau, proses penuaan adalah proses normal yang berlaku kepada setiap individu.
Malah setiap hari kita pasti melalui proses penuaan bermula dari saat dilahirkan lagi.

Menurut pakar psikologi Barat, Erik Erikson (1963), kitaran hidup manusia merangkumi beberapa tahap dalam kehidupan serta mempunyai tugas dan tanggungjawab perkembangan yang perlu dilakukan.

Beliau yang merupakan pensyarah kaunseling keluarga dan perkahwinan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memberitahu, tahap itu bermula dari peringkat bayi hingga tua dan saat kematian.

"Oleh yang demikian menjadi tua adalah suatu yang pasti dan kita tidak dapat mengelak daripada melalui proses tersebut.

"Dalam situasi sedemikian, golongan warga emas ini mahukan anak-anak menjadi peneman. Ketika itu mungkin mereka mahu bercerita tentang kisah-kisah lampau yang boleh memberikan keseronokan pada diri mereka," ujarnya lagi.

Kata Dr. Saedah, keadaan tersebut boleh memberikan seseorang warga emas kembali 'segar' apabila boleh berkongsi cerita dengan orang-orang sekeliling termasuklah anak cucu.

Katanya lagi, dalam situasi tersebut, warga emas bukan lagi memerlukan wang ringgit mahupun sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi mereka perlukan belaian kasih sayang daripada anak cucu.

"Jadi sebagai anak, tidak perlu merungut sekiranya ibu bapa mereka suka mengulang-ulang cerita yang sama kepada anak-anak,'' ujar beliau yang memberitahu itu adalah sikap normal bagi golongan warga emas.

Ditanya mengenai sikap warga emas, Dr. Saedah memberitahu, golongan itu biasanya mudah sensitif dan ada ketika sikap mereka seperti kembali ke alam kanak-kanak.

Tegas beliau lagi, dalam menjaga warga emas, anak-anak perlu bertolak ansur dan banyak mengalah kerana keadaan itu penting dalam menenangkan keadaan.

Malah, apabila seseorang meningkat umur, perangai dan juga tingkah-laku seseorang itu juga turut berubah, malah kadang-kala mereka kembali bersifat keanak-anakan.

"Oleh itu, anak-anak yang menjaganya perlu memainkan peranan dan banyak bersabar," terangnya serius.
Menurut Dr. Saedah, bagi mereka yang pernah berkerja, mereka akan merasa sunyi selepas bersara, keadaan itu akan menyebabkan emosi juga turut berubah dan terganggu.

Kesunyian itu akhirnya akan membelenggu kehidupan seharian mereka jika tidak diuruskan sebaik mungkin.
Katanya lagi, biarpun sudah tidak mampu menyumbang dari segi produktiviti, golongan warga emas merupakan aset kepada negara kerana mereka ada ilmu, sabar dan mempunyai pengalaman yang luas
''Mereka boleh melakukan kerja-kerja mendidik secara tidak formal kepada anak-anak remaja atau cucu-cucu kerana mereka berkeupayaan menjadi penghubung antara generasi yang boleh menegur salah dan silap pembawaan generasi muda,'' katanya.

Tegas beliau, kelebihan warga tua dianggap sebagai penjaga nilai kebangsaan (custodian of national values) dan pengikat kasih sayang keluarga dalam pengukuhan komuniti.

''Untuk itu warga emas itu sendiri perlu berusaha ke arah menjadi warga tua yang lebih baik dengan mengekalkan nilai-nilai murni yang ada dalam peradaban mereka.

''Sebolehnya biarlah minda mereka selari dengan keadaan semasa dan sentiasa peka dengan perkembangan dan mahu pula mengadaptasi perkara-perkara terkini,'' ujar Dr. Saedah.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

10 December 2011

Anggun Dengan Bersanggul

Sanggul digayakan oleh wanita dahulu. Pada masa itu golongan wanitanya menyimpan rambut panjang dan cara yang kemas untuk mendandan rambut ialah dengan menyanggul.

Mudah sahaja jika melihat nenek-nenek kita membuat sanggul yang ringkas. Cuma dibelit-belitkan rambut dan dimasukkan ke dalam rambut bergulung berbentuk roti canai yang belum dileperkan.

Zaman berubah dan sanggul semakin dilupakan. Mungkin kerana wanita lebih selesa berambut pendek juga semakin ramai wanita yang memakai tudung.

Pun begitu, jika diperhatikan sanggul kini kembali dan diamalkan pula oleh wanita yang bertudung. Mereka sanggup membeli sanggul palsu berbentuk bulat yang dibuat daripada benang atau kain yang diikat pada rambut kerana ingin nampak cantik apabila bertudung.

Bagaimanapun sanggul yang lebih besar, cantik dengan gaya yang lebih moden hanya digayakan pada majlis tertentu seperti majlis makan malam, perkahwinan dan majlis rasmi.

Wanita yang inginkan kelainan terutama di hari persandingan biasanya memilih sanggul kerana nampak lebih anggun apatah lagi jika digayakan dengan busana tradisional.

Jurusolek artis Zulfazli Suhadi yang juga penulis buku Sanggul berkongsi pengalamannya mendandan rambut artis dan wanita ternama dengan pelbagai gaya sanggul.

Menurut Zulfazli, dia mula tertarik dengan sanggul apabila selalu melihat arwah neneknya tidak lekang daripada sanggul palsu.

"Nenek berketurunan Jawa dan bersanggul merupakan satu kemestian bagi wanita Jawa sejak dahulu lagi," katanya.

Kemudian apabila tiba hari raya, jurusolek artis terkenal itu akan mendandan rambut ibunya dan meminjam sanggul palsu neneknya.

Ibunya yang sporting membiarkan sahaja rambutnya didandan.

Kata Zulfazli, sanggul boleh dibuat dengan pelbagai bentuk dan gaya sama ada bulat di atas kepala, sisi kepala, tengkuk dan leher.

Sanggul juga boleh dibuat dalam bentuk kelopak bunga.

''Dahulu sanggul hanya boleh dibuat pada mereka yang berambut panjang sahaja. Tetapi sekarang, mereka yang berambut pendek juga boleh menggayakan sanggul.

''Bagi yang berambut pendek, banyak bahan lain yang boleh membantu bagi membuat sanggul contohnya korsaj bulu atau reben.

"Korsaj akan kelihatan seperti sanggul jika disepitkan di bahagian belakang rambut.

"Rambut yang pendek disikat ke belakang dan disapu gel supaya kemas. Rambut diperkemaskan dengan sepit rambut dan disepitkan dengan korsaj.

''Sanggul akan lebih kukuh dan kemas dengan bantuan sepit rambut, semburan rambut dan jaring rambut.
"Ia juga nampak lebih cantik dengan aksesori rambut seperti sepit rambut berhias permata, bunga, cucuk sanggul malah kerongsang baju juga boleh dijadikan hiasan pada sanggul,'' kata Zulfazli lagi.

Dia menambah, sanggul tinggi dicipta untuk kesesuaian bagi wanita yang mempunyai ketinggian sederhana dan ingin nampak tinggi.

Sanggul tinggi sesuai digayakan untuk majlis makan malam dan menghadiri majlis perkahwinan berprestij.
Wanita yang berambut kerinting kekal juga jelasnya, boleh bersanggul tanpa perlu meluruskan rambut terlebih dahulu.

Begitu juga dengan remaja yang ingin nampak anggun ke majlis tari-menari boleh menggayakan sanggul berkelopak besar dan tampak mewah.

Zulfazli berkata, mereka yang mempunyai wajah bulat dan lebar biasanya bimbang untuk bersanggul kerana khuatir wajah akan nampak lebih tembam atau lebih berusia.

Dipetik dari : www.utusan.com.my