Jom Jadi Geng

31 March 2011

Adakah Penawar Untuk Isteri Pemalas?

Rumah tangga dan persekitaran yang bersih bagaikan taman bunga yang segar dan menjanjikan ketenangan kepada penghuninya.

Pun begitu tanpa kerajinan segala yang diingini tidak akan berlaku. Tambahan pula bagi mereka yang bekerja dan tidak punya waktu untuk membersih dan menghias rumah agar sentiasa sedap dipandang mata.

Saiz rumah juga bukan ukuran tetapi kebersihan akan membezakan segalanya. Ramai yang impikan ketenangan di dalam rumah setelah penat berada di luar tetapi tidak semua kita yang berpeluang untuk mengecapinya.

Tugas menguruskan rumah tangga adalah amanah yang dianugerahkan kepada suri rumah atau pembantu ramah. Tetapi adakah semua isteri sanggup berbuat demikian?

Jawapannya ada pada kisah yang ingin diceritakan Zaidi (bukan nama sebenar) yang kini makan hati dengan sikap isteri yang tidak pandai mengurus rumah tangga.

Kata Zaidi, isteri orang lain juga bekerja dan penat tetapi mereka ada masa untuk mengurus rumah dan menjaganya supaya bersih sentiasa.

Sayang sekali isterinya seorang yang pemalas dan ini menjadi masalah besar kepada Zaidi sehingga dia melabelkan isterinya Aida (bukan nama sebenar) sebagai seorang yang pemalas.

"Saya telah mendirikan rumah tangga dengan Aida sejak 10 tahun lalu. Kami mempunyai tiga orang anak berusia 7, 8 dan 9 tahun.

"Rumah kami sederhana sahaja luasnya. Kami tidak mempunyai pembantu rumah kerana anak-anak dihantar ke rumah ibu mentua saya selepas mereka balik sekolah.

"Isteri pula bekerja dan balik ketika hari menjelang senja. Saya mengharapkan isteri mempunyai masa untuk mengemas rumah atau memasak setiap kali balik kerja.

"Bukan masakan yang hebat-hebat yang saya perlukan, cukup sekadar mengalas perut kami anak beranak. Sayangnya apa yang saya harapkan tidak berlaku.

"Setiap hari keadaan rumah tidak berkemas, pakaian yang dibasuh bersepah-sepah tidak berlipat. Pinggan mangkuk penuh sinki. Pendek kata kesemuanya menunggu hujung minggu untuk dibersihkan.

"Bayangkan dalam tempoh itu bagaimana keadaan rumah dan baunya yang busuk setiap kali saya balik kerja. Hendak melangkah rasanya berat kaki. Hendak minum air juga tidak tertelan.

"Hendak mengharapkan anak-anak mereka masih kecil. Isteri pula asyik mengadu penat dan mahu berehat. Makanan setiap malam dibeli dari restoran berhampiran.

"Saya mampu mengambil pembantu rumah tetapi dihalang oleh isteri dengan alasan tidak perlu sebab dia boleh lakukan.

"Sayangnya dia hanya berkata tetapi tidak disertakan dengan tindakan. Sudahnya keadaan rumah tetap begitu juga. Apabila ditegur, dia melenting dan merajuk.

"Saya sudah puas menasihatinya tetapi dia tetap macam itu, tidak ada perubahan. Sikap malasnya semakin menjadi-jadi. Rumah kami sudah seperti sebuah setor barangan terpakai.

"Masa yang berkualiti di rumah tidak dimanfaatkan untuk membereskan kerja-kerja rumah yang sepatutnya tetapi lebih banyak meluangkan masa di rumah ibunya dan anak-anak juga dibawa ke sana.

"Saya tidak menghalang mereka ke sana tetapi saya berharap dia akan tolong kemas rumah dan sempurnakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu terlebih dahulu.

"Saya amat malu dengan sikap malas isteri saya itu sehinggakan kami menjadi bahan ejekan jiran-jiran dan saudara mara yang datang. Keadaan itu menjadikan saya malu untuk menjemput saudara mara atau kawan-kawan ke rumah.

"Saya seorang yang pembersih dan suka rumah yang cantik dan bersih. Saya telah dididik menjaga kebersihan rumah sejak kecil. Ibu seorang yang rajin mengemas rumah.

"Rumah kami sentiasa bersih. Ibu seorang yang sangat mementingkan kebersihan dan saya bangga mempunyai ibu yang rajin dan pembersih.

"Namun semua itu tinggal kenangan kerana saya telah berkeluarga dan sayangnya suasana sebegitu tidak lagi dapat saya kecapi.

"Saya kesal kerana isteri tidak mengambil berat teguran saya malah sepatah saya kata sepuluh yang dia jawab sehinggakan saya ada kala hilang sabar.

"Paling saya malu kerana kami tinggal di kawasan perumahan mewah yang sepatutnya menjadi teladan kepada orang lain. Ini tidak, dibandingkan dengan rumah orang lain, rumah saya paling buruk dan tidak terurus.

"Bukan saya tidak berusaha ke arah itu tetapi jika saya seorang yang beria-ia, isteri buat tidak kisah, buat apa?

"Sekarang keadaan semakin runcing. Isteri asyik berjalan makan angin, sekejap dalam negeri sekejap luar negara. Dia lebih suka melayan kawan-kawan kerjanya daripada saya dan anak-anak.

"Tidak salah pergi berjalan tetapi mesti ada tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak. Uruskan rumah tangga dulu, susun atur perabot yang lintang pukang dalam rumah agar saya yang ada dalam rumah boleh bernafas!

"Sesekali fikir saya merasa pelik kenapa isteri saya berperangai macam itu. Rupanya dalam dunia ini ada juga perempuan yang pemalas dan tidak suka mengemas.

"Sekarang saya lebih banyak pulang ke rumah ibu daripada di rumah. Saya penat dan mahu ketenangan. Di rumah ibu, saya merasa tenang dan aman. Pernah juga ibu menegur isteri saya tetapi dia langsung tidak peduli.
"Jangan kata mengemas, memasak juga jarang dia buat. Yang dia tahu makan, tidur dan berjalan.

"Kasihan anak-anak kami yang terpaksa makan makanan di luar atau di rumah ibu. Entah di mana silapnya sehinggakan Aida jadi pemalas begitu sekali.

"Ramai yang hairan bagaimana saya masih boleh bersabar dengan perangai isteri macam itu. Jika diturutkan naluri seorang lelaki, saya layak untuk mencari pengganti dan telah lama berbuat demikian.

"Tetapi saya sayangkan anak-anak yang tidak berdosa, malang bagi mereka kerana mempunyai ibu yang malas.

"Anak sulung saya seorang perempuan dan masih di bangku sekolah rendah sering bertanya kepada ibunya, kenapa rumah kita tidak secantik rumah jiran.

"Anda tahu apa jawapan ibunya, Mama penat!.. Sepatutnya jawapan yang paling tepat adalah mama malas!.

"Saya mahu dia faham falsafah kehidupan dalam suasana persekitaran yang bersih dan sihat. Semoga Allah akan membuka pintu hati Aida untuk berubah.

"Saya juga mengharapkan saya boleh bersabar dengan kerenah Aida. Jika tidak saya pasrah kepada ketentuan Allah SWT," keluh Zaidi menamatkan ceritanya.

Saya mengucapkan syabas kepada Zaidi kerana berani meluahkan perasaannya ke ruangan ini. Saya percaya ramai lagi suami yang menghadapi masalah seperti Zaidi tetapi enggan berkongsi masalah mereka.

Saya berharap Zaidi akan terus bersabar dan membimbing isterinya untuk kembali kepada tanggungjawabnya. Anggaplah ini juga sebagai ujian dalam rumah tangga.

Masih belum terlambat untuk anda membetulkan keadaan. Berterus terang dan membimbing adalah cara terbaik menangani masalah ini.

Anda harus menerima diri Aida seadanya, ertinya segala kelemahan dan kekurangan dirinya hendaklah diterima dengan reda. Itu sudah ketentuan jodoh anda.

Pada masa yang sama, sebagai suami anda perlu bertindak lebih tegas. Cadangan saya ambil cuti panjang dan bergotong royong mengemas dan membersihkan rumah bersama anak-anak.

Menamatkan catatan, pesanan saya seorang suami akan merasa tenang andai isterinya menjadi seorang yang penurut dan boleh menyejukkan hatinya di kala dia gundah. Realitinya, kehadiran wanita di dalam hidup seorang lelaki, ibarat matahari yang tidak pernah terbenam.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

29 March 2011

Fesyen Inspirasi Percutian

Adakah anda sudah bersedia dengan musim percutian kali ini? Gaya bercuti yang dibatasi warna-warna tanah menimbulkan rasa kesesuaian yang diadaptasi daripada inspirasi gaya keghairahan.

Koleksi Charles & Keith Spring Summer 2011 menyuntik semangat dan ideologi dalam inspirasi yang ringkas, fokus kepada alam kehidupan yang bebas dengan pengembaraan yang tiada batasan mencuri gaya masa.

Diilhamkan daripada tiga keadaan iaitu untuk percutian yang menonjolkan gaya dan bersih, nautika dengan tinta biru, merah dan putih, pastinya menyerapkan semangat seorang pengembara.

Penggunaan motif-motif marin seperti tali dan kanvas merupakan merupakan satu perkara yang seharusnya dijadikan pujian.

Koleksi kali ini menawarkan motif yang perlu untuk dijadikan sesuatu yang berbentuk untuk keseronokan.

Di sepanjang pantai, sekiranya ilham ada seiring dengan mod pada hari itu dilengkapi dengan visual warna biru jingga, pic dan biru marin yang memainkan keadaan warna untuk menjadikan anda begitu gembira dan penuh dengan kebebasan.

Jangan lepaskan peluang menikmati warna koleksi asli dan segar yang dipilih mempunyai status.

Di samping memberikan material seperti kanvas dari utiliti kehijauan, yang menampilkan rasa sempurna, selesa dan tenang.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

27 March 2011

Perkim Bantu Ibu Tunggal

Perjalanan hidup ini sememangnya penuh dengan ujian dan rintangan. Ada kalanya kita di atas dan ada kalanya di bawa. Dengan berkat kesabaran menempuh segala ranjau itu, nescaya Allah akan membantu dalam segala perkara.

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan pada 16 Februari lalu mengadakan program ziarah ke atas tiga ibu tunggal di sekitar ibu negara.

Ziarah itu diketuai oleh Pegawai Dakwah dan Kebajikan, Amran Abdullah. Turut serta, Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad.

Lokasi pertama adalah Triseela Dass Abdullah di Rumah Angkatan Persatuan Pengguna Islam Malaysia, di Keramat, Kuala Lumpur.

Triseella adalah bekas pelajar yang aktif di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA). Bagaimanapun beliau tidak dapat menamatkan pengajiannya kerana beberapa masalah yang menimpa dirinya.

Beliau yang dahulunya menetap di Sarawak dikurniakan dua cahaya mata iaitu Indyrakurnia Muiz Abdullah, 8, dan Wiraputra Muiz Abdullah, 5.

Triseella dan anak-anak memeluk Islam pada 19 Oktober 2007 di Sarawak.

Beliau kembali ke ibu negara untuk mencari pekerjaan bagi menyara kedua anaknya yang masih bersekolah.

Dalam kunjungan itu Amran dan Suariza menyampaikan hamper makanan dan bantuan persekolahan sebanyak RM200 kepada Triseella.

Destinasi kedua dalam ziarah itu ialah di pangsapuri di Taman Melati, Kuala Lumpur untuk melawat ibu tunggal berketurunan Cina, Nurul Huda Phuan Abdullah.

Nurul Huda menyara keluarganya dengan hasil perniagaan menjual pisang goreng dan kuih muih berhampiran rumahnya.

Pihak Perkim kemudiannya menyampaikan sumbangan hamper dan wang tunai RM100 kepada beliau.
Ziarah terakhir pada hari itu adalah di rumah warga emas, Rogayah Abdul Rahman di Program Pembangunan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Taman Melati, Kuala Lumpur.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Mek menghidap penyakit angin ahmar akibat terjatuh.

Amran dan Suariza menyampaikan hamper makanan dan wang tunai RM50 kepada beliau.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

25 March 2011

Berkorban Demi Suami Lumpuh

Selama ini memang dia menyara keluarga. Tetapi sejak kemalangan dan tidak dapat berbuat apa-apa, kami perlu menguruskannya.

“Susu khas untuk dia sahaja sekitar RM1,000 sebulan, lampin pakai buang RM100 sebulan, belum ditambah perbelanjaan susu dan lampin pakai buang anak-anak kami sendiri,” luah Syafawati Nadia Abdul Ghani, 26.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah beban yang terpaksa ditanggung ibu muda yang tidak mampu menyembunyikan air matanya sebaik ditanya keadaan suaminya.

Suaminya, Mohd. Idham Yahya, 25 kini hanya terlantar selepas terlibat dalam nahas ngeri di gaung dekat Gua Tempurung, Perak, lapan bulan lalu.

Akibat kemalangan dia separuh koma. Sudah tentu episod luka itu menyebabkan sumber pendapatan keluarganya terjejas.

Si isteri bukannya tidak mahu bekerja tetapi dia perlu menemani ibu mertua yang mengalami masalah kesihatan menjaga suami tercinta.

Tambahan pula, dia perlu menguruskan keperluan dua orang anaknya, Puteri Nur Syahirah Mohd Idham, 6 yang belajar di tadika dan Muhammad Izz Ilham Mohd Idham, 2.

“Jika hendak harapkan ibu mertua menjaga suami juga tidak boleh kerana dia bukannya kuat untuk mengangkat dan menjaga suami seorang diri. Adik-adik masih bersekolah dan anak saya pula masih kecil,” ujarnya yang ditemui di kediamannya di Taman Wilayah Selayang, Kuala Lumpur.

Sawan

Ada masanya Mohd. Idham diserang sawan, sering tergigit bahagian dalam mulut sehingga berdarah dan perlu diberikan perhatian sepanjang masa.

Melihat bapanya terbaring dan diberi ‘makan’ hanya susu melalui saluran tiub, anak perempuan pasangan itu, Puteri Nur yang sudah mengerti sentiasa bersedih.

“Kenapa Tuhan jadikan papa macam ini. Papa bangunlah, bila nak hantar kakak pergi sekolah,” luahnya.
Rintihan tersebut pasti meluluhkan hati sesiapa yang mendengarnya. Bukan mahu menagih simpati tetapi penderitaan si bapa turut dirasai anak kecil itu membuatkan Syafawati risau memikirkan masa depan mereka sekeluarga.

Bagi anak bongsu, Muhammad Izz, dia masih mahu bermanja dengan bapanya. Kadang-kadang dia mahu mencium pipi bapanya seperti dahulu.

“Itulah sifat suami saya. dia sayang dan manjakan anak-anak. Sebab itu apabila dia berkeadaan begini, anak-anak memang terasa. Walau sibuk macam mana pun, suami pasti balik waktu tengah hari mengambil anak-anaknya dari sekolah. Petang, dia dan anak-anak akan ke taman permainan. Mengimbas kenangan itu, hati saya memang sedih.

‘‘Doktor kata, suami masih ada harapan untuk sembuh tetapi makan masa yang lama. Menunggu tempoh itu, mungkin saya perlu lakukan sesuatu untuk membantu ekonomi keluarga ini ,” ujarnya dengan iringan air mata.
Bagi ibu yang membesarkan Mohd. Idham, Jamaliah Mohd. Saidin tidak sanggup melihat keadaan anaknya yang terlantar kesakitan.

“Beberapa hari sebelum kemalangan, sebaik sahaja pulang dari kerja Idham hanya mahu berbaring dengan saya. Masa itu saya tidak terfikir apa-apa. Namun keadaannya sekarang mengubah segala-galanya. Melihat dia merintih sakit, saya seolah-olah merasa sakitnya,” katanya.

Menurut Jamaliah, doktor memaklumkan keadaan anaknya itu berikutan pendarahan otak yang memberi kesan kepada urat saraf.

Kedua-dua tangan Mohd. Idham patah patah akibat kemalangan itu dan sebelum ini dia terlantar selama empat bulan di hospital sebelum dibawa pulang ke rumah.

Bantuan

Selepas kisah penderitaan keluarga ini tersiar di sebuah akhbar tempatan dua bulan lalu, mereka menerima banyak bantuan orang ramai berbentuk barangan dan makanan. Selain itu, bantuan Baitulmal sedikit sebanyak meringankan beban Syafawati sekeluarga.

Namun dia masih berharap pihak-pihak tertentu yang belum memberi reaksi terhadap permohonan bantuannya memberi jawapan segera.

Mujurlah Persatuan Penduduk Taman Wilayah Fasa 4 (Tawis F4), Taman Wilayah Selayang, Kuala Lumpur yang dipengerusikan Mohamed Noor Sain membantu dengan memanggil pihak media membuat liputan kisah keluarga ini.

Bukan menagih belah kasihan orang ramai tetapi paparan cerita mereka sekeluarga memberikan sedikit harapan untuk mereka meneruskan kehidupan.

“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai atas bantuan yang kami terima sekarang. Namun, perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat menggusarkan hati saya.

Justeru, saya mahu pihak-pihak berkenaan yang masih belum memberi jawapan kepada permohonan bantuan kepada keluarga saya agar bertindak segera. Sampai bila kami mengharapkan belas ehsan orang,” ujarnya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Syafawati (012-6220229) atau Mohamed 013-3909944.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

23 March 2011

Kulit Wanita Asia Sensitif

Kajian terbaru Akademi Amerika Dermatologi menunjukkan bahawa lebih daripada 50 peratus penduduk Amerika Syarikat mempunyai kulit sensitif.

Dalam pada itu, berjuta-juta orang di seluruh dunia berkata bahawa mereka mempunyai kulit sensitif dan jumlah mereka semakin meningkat.

Ini bukanlah perkara baru di Asia. Ini kerana kulit wanita Asia lebih sensitif kerana ia nipis dan lembut secara genetik.

Menurut Naib Presiden bahagian Perkembangan Teknikal Dermalogica, Dr. Diana Howard, kajian terkini menunjukkan terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kulit alah dan sensitif seperti faktor genetik, gaya hidup seperti tekanan, tabiat pemakanan, prosedur perubatan, kesan alam sekitar dan cuaca panas.
"Bagi mengenal pasti sama anda mempunyai kulit sensitif atau tidak, saya mencadangkan supaya anda perhatikan ciri-ciri fizikalnya seperti kulit yang nipis, tegang akibat kekeringan, bertompok kemerah-merahan, mengelupas dan mudah merah," jelasnya pada majlis pelancaran UltraCalming baru-baru ini.

Dr. Horward menerangkan bahawa secara biologi, kulit akan menjadi alah atau terasa rengsa bersama dengan lapisan epidermis atau lapisan pelindung kulit yang terjejas.

Dr. Howard mengingatkan bahwa kulit yang mudah sensitif, selnya akan rosak secara kekal sekiranya tidak dirawat dan seterusnya akan mengakibatkan masalah kulit yang serius dan penuaan pra matang.

Bagi merawat dan menjaga kulit sensitif, seseorang itu perlulah mengelakkan perkara-perkara yang boleh mengakibatkan alahan seperti membersih dengan terlalu kuat, memicit kulit muka, pengelupasan berlebihan atau terdedah kepada cuaca yang melampau.

Mereka hendaklah menggantikan fungsi perlindungan permukaan kulit dan melindunginya dengan menggunakan produk penjagaan kulit yang lembap dan menggantikan lipid semula jadi serta mengelakkan kehilangan kelembapan dan menghalang agen alahan tanpa mengakibatkan ketidakselesaan.

Dalam pada itu, produk-produk UltraCalming mengandungi kompleks UltraCalming yang sangat berkesan.
Dengan mengekalkan standard formula Dermalogica, semua produk ini bebas daripada bahan yang boleh menyebabkan alahan seperti pewangi dan pewarna dan merawat kulit yang rengsa, kulit yang sangat reaktif dan kulit yang baru selepas pengelupasan.

Setiap produk dalam rangkaian ini mempunyai bahan utama yang membantu melegakan kulit dan mengurangkan ketidakselesaan seperti ekstrak akar Red Hogweed, ekstrak kernel oat, halia dan bisabolol (bahan yang diperoleh daripada Chamomile).

Dipetik dari : www.utusan.com.my

21 March 2011

Wanita Sihat Aset Negara

Tidak mudah menjadi wanita milenium baru. Selain menggalas tanggungjawab sebagai pekerja, wanita juga adalah isteri dan ibu yang menjadi pendidik pertama anak-anak dalam usaha melahirkan insan berguna. Justeru, melengkapkan diri dengan ilmu termasuklah penjagaan kesihatan amat penting kerana wanita yang sihat aset negara.

Untuk itu, apa kata berkunjung ke pameran Kesihatanku, Kekayaanku anjuran majalah iSIHAT terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. sempena program Tribute To Women Malaysia Trade Expo. Pameran yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Persidangan Mid Valley pada 18-20 Februari ini bertujuan menerapkan dan menimbulkan kesedaran penjagaan kesihatan di kalangan wanita.

Bertemakan penyakit-penyakit khusus kaum wanita seperti kanser servik, kanser payu dara serta promosi gaya hidup sihat, aktiviti itu turut diselang seli dengan ceramah kanser serviks dan pemakanan pintar yang disampaikan oleh Dr. Aishah Tul Radziah.

Sebagai isteri dan ibu, langkah ini penting kerana kebanyakan penyakit berpunca daripada amalan gaya hidup yang berkait dengan pengambilan makanan tidak seimbang.

Sepanjang program ini juga, anda berpeluang menjalani ujian gula dalam darah, ujian kolestrol, darah tinggi dan analisis lemak tubuh.

Sekiranya terdapat tanda-tanda awal berhubung penyakit tertentu, ia dapat dikesan lebih awal dan rawatan lanjut akan diberikan di samping mendapatkan suntikan imunisasi kanser serviks.

Selain pameran, pelbagai aktiviti lain turut diadakan. Ia termasuklah Kuiz iSIHAT, pertandingan makan epal, pertandingan push up', teka peralatan sukan dan senamrobik iSIHAT.

Pameran Kesihatanku, Kekayaanku ini mendapat kerjasama daripada Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (LPKM), Idaman Pharma dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tribute To Women Trade Expo dianjurkan oleh MSP Communications Sdn. Bhd. Diadakan buat kali kedua, ekspo ini akan disertai lebih 50 peserta pameran yang menawarkan produk dan perkhidmatan daripada pelbagai bidang termasuk fesyen, kesihatan, kecantikan, pendidikan, kewangan dan peluang perniagaan yang berkait dengan kaum wanita. Dijangka lebih 35,000 pelawat akan mengunjungi ekspo yang akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

19 March 2011

Mistik Taruhan Khoon Hooi

Pereka fesyen terkenal Khoon Hooi kembali mengorak langkah dengan pelancaran koleksi pakaian untuk wanita bersempena sambutan musim bunga dan panas 2011.

Koleksi yang bertemakan gabungan tradisional dan moden ini diinspirasikan oleh elemen-elemen mistik.
Koleksi ini menggunakan warna-warna semula jadi seperti warna tanah dan akar untuk corak kelihatan lebih liar dan nampak unik.

Sihir ataupun mistik adalah satu kuasa yang boleh menterjemahkan apa yang telah terjadi pada masa lampau, masa akan datang dan masa depan yang tidak dapat digambar dan dilukis.

Fabrik ini menggabungkan warna dan cetakan pada kain kemudian diubah seperti gambaran mistik supaya fabrik kelihatan lebih menarik dan bergaya.

Koleksi ini adalah kombinasi material daripada kaleidoskope ‘ikat’. ‘Ikat’ yang bermaksud mengikat digunakan oleh orang-orang Iban Malaysia untuk membuat ikatan pada anyaman tradisi yang menggunakan proses pewarnaan sebagaimana teknik celup ikat pada salah satu serat lengkungan atau benang.

Dengan pengaruh gaya idiosinkratik tersendiri, koleksi ini menggunakan hasil kerja tangan untuk menampakkan pengertian warna yang berbeza dengan butiran fabrik pembuatan tangan yang baru dan lebih sofistikated.

Koleksi Khoon Hooi musim bunga dan panas 2011 membawa koleksi khayalan dan jumlah yang dramatik dengan memaparkan pembuatan tangan fabrik ‘ikat’ yang dikombinasikan dengan tekstur material yang lembut secara semula jadi untuk menterjemahkan kecantikan yang mistik.

Koleksi Khoon Hooi musim bunga dan panas 2011 boleh diperolehi di Star Hill Gallery, Maizen dan Parkson, Pavillion.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

17 March 2011

Rekaan Nurhafiza Kaya Elemen Tradisi

Penglibatan Nurhafiza Mohd. Nafi dalam dunia fesyen mungkin masih baru kerana dia baru sahaja menamatkan pengajiannya di bidang rekaan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Begitu pun, apa yang membanggakan anak kelahiran Besut, Terengganu itu, rekaan pertamanya berjaya 'memukau' penonton pada Minggu Fesyen Graduan London pertengahan Disember tahun lalu.

Ternyata, fesyen yang mengetengahkan elemen seni mempertahankan diri Melayu - silat - merupakan satu elemen tradisional yang berjaya dimartabatkan di mata dunia.

Nurhafiza sendiri tidak menyangka akan terpilih untuk memperagakan fesyennya di kota London.

Namun, dia bersyukur dan berbangga kerana hasil rekaannya mampu mengharumkan nama Malaysia sekali gus UiTM.

Berbicara lebih lanjut mengenai rekaannya, walaupun sudah dikontemporarikan ia masih mengekalkan elemen-elemen tradisional.

Antaranya penggunaan warna-warna gelap yang merupakan warna-warna Melayu.

''Kesemua rekaan yang saya hasilkan merupakan rekaan yang longgar dan boleh di suai laras. Konsep ini saya ambil daripada pakaian para pesilat yang kita sedia maklum sememangnya ia merupakan satu pakaian yang longgar.

''Yang penting dalam setiap rekaan yang dihasilkan, saya masukkan teknik-teknik lipatan dan ikatan dalam usaha mengekalkan ciri-ciri tradisionalnya,'' ujarnya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Jelas anak ketujuh daripada lapan beradik itu lagi, rekaan yang dihasilkan memerlukan dia membuat kajian selama 14 minggu.

Selain itu, Nurhafiza turut mengunjungi gelanggang-gelanggang silat untuk mendalami lagi mengenai seni mempertahankan diri untuk digarap bersama dalam rekaannya.

Katanya, ia bukanlah satu tugas yang mudah kerana karakter seni tersebut perlu difahami betul-betul sebelum 'diterjemahkan' ke dalam fesyen.

Jika diikutkan, menurut Nurhafiza lagi, ia merupakan satu tugasan yang 'renyah' tetapi perlu difahami dengan betul agar setiap rekaan masih dapat mengekalkan ciri-cirinya.

Sesuai dengan konsep yang dibawa, corak hiasan pada setiap busana tidak keterlaluan dan memberi keselesaan kepada si pemakai.

Nurhafiza menggabungkan fabrik moden seperti broked foil dan satin yang mendapat sentuhan tradisional tetapi masih menyerlahkan gaya elegan pemakai.

Secara keseluruhannya, rekaan kontemporari ini menampilkan gaya menawan dan anggun sesuai untuk sesiapa sahaja yang meminati ciri sopan tetapi moden.

Yang jelas, kehadiran Nurhafiza bukan sahaja memeriahkan lagi dunia fesyen tanah air malah ia juga dilihat berpengaruh dan keindahan seni reka mereka semakin meninggalkan kesan.

Pada masa sama, trend dan gaya masa kini turut memberikan 'wajah' dan 'warna-warna kehidupan' kepada masyarakat sekeliling malah kreativiti dan kemahiran juga 'diluahkan' melalui rekaan masing-masing.

Sudah pasti hasil serta ilham daripada Nurhafiza ini dilihat satu rekaan yang kreatif dan futuristik.

Yang penting, fesyen yang diketengahkan mempunyai elemen-elemen warisan budaya dan pengayaan kontemporari untuk ditunjukkan kepada seluruh dunia.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

15 March 2011

Batik Malaysia Indah & Versatil

Busana fabrik batik dan tenun berpotongan moden serta tradisional yang diberi nafas baru tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan kerancakan fesyen global.

Lahirnya pereka-pereka fesyen batik tempatan yang menghasilkan rekaan menggunakan elemen moden dan tradisional memeriahkan lagi perkembangan fesyen batik.

Namun bagi setiap pereka fesyen bermotifkan batik, perkara pertama sering ditanya kepada mereka ialah apakah kelainan yang diketengahkan.

Ini kerana peminat batik mahu mencari kelainan, elemen kreatif, segar dan unik serta nilai estetika yang ditampilkan dalam setiap rekaan mereka.

Batik juga mendapat permintaan tinggi dan menyaksikan saingan sengit di kalangan pengeluar batik dalam usaha menghasilkan corak yang menampilkan kelainan bagi menarik perhatian pengguna terutama yang mahukan rekaan lebih eksklusif.

Perkembangan ini membantu pembukaan butik batik yang melahirkan pelbagai rekaan mengikut peredaran masa dan cita rasa pengguna.

Kini tidak sukar memilih pakaian bersesuaian kerana banyak butik menawarkan rekaan batik menawan.
Namun, bagi butik yang mementingkan kehendak pelanggan, pastinya aspek fesyen terkini diambil kira.

Di butik Seri Jemari Songket (SJS) misalnya, pereka mengilham kreatif batik khusus untuk melengkapi gaya moden kontemporari masa kini.

Menterjemah gaya batik untuk disesuaikan dengan kehidupan moden, SJS mengetengahkan identiti batik asli menerusi potongan kurung moden, jubah seluar serta blaus.

Bersesuaian dengan permintaan pelanggan yang gemarkan rekaan moden, himpunan koleksi SJS banyak menterjemahkan gaya pakaian untuk remaja yang inginkan gaya eksklusif untuk ke majlis-majlis.

Tidak ketinggalan, butik ini memberi ilham kepada golongan wanita untuk bergaya ke tempat kerja. Gaya kurung dan kebaya batik dengan padanan kontemporari untuk gaya ke pejabat. Bukan saja sesuai untuk gaya sederhana ke pejabat, busana butik ini nampak berseri jika disesuaikan untuk ke acara luar pejabat dan bertemu pelanggan.

SJS mengetengahkan keindahan serta keunikan menjadi seorang wanita melalui kecantikan yang terserlah dengan penggunaan warna corak rekaannya.

Rata-rata rekaan SKS menonjolkan corak flora dan fauna di Malaysia yang amat indah.

Sementara itu, rekaan kemeja batik untuk golongan muda menggunakan motif abstrak dan ringkas sesuai digayakan untuk majlis siang dan malam.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

13 March 2011

Busana Kontemporari dan Sofistikated

Bertemakan Black Swan, Faizal Hamid buat julung kalinya menghasilkan koleksi musim panas dan bunga bagi tahun ini. Rekaan tersebut secara eksklusif akan dipasarkan ke New York, Amerika Syarikat berinspirasikan filem Black Swan lakonan Natalie Portman.

Filem tersebut mendapat sambutan di kalangan peminat dan pengkritik filem antarabangsa. Mungkin tarikan watak Natalie cukup berkesan, penuh mainan emosi serta keanggunan yang amat memukau.

Justeru itu, Faizal tidak teragak-agak berkarya untuk menghasilkan koleksi daripada perspektifnya sendiri terhadap minat dan pemahaman dalam bidang seni.

Atas permintaan rakan-rakan yang menetap di New York, dia yang sekian lama mencurah bakti sebagai perunding imej, kolumnis dan pensyarah di Jabatan Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor mengorak langkah sebagai pereka fesyen.

Koleksi itu paling dekat di hatinya kerana ia merupakan luahan rasanya sebagai seorang pencinta fesyen selama hampir dua dekad.

Black Swan menampilkan rekaan gaun koktel dan malam daripada fabrik sutera sifon, shantung, organza, tafeta dan tulle. Koleksi tersebut menggabungkan kombinasi elemen garisan, tekstur, draping, ilusi dan busana anggun.

Tidak takut bermain warna hitam, Faizal seakan-akan mengimbau penglibatannya sebagai pereka fesyen 15 tahun lalu.

Secara keseluruhannya, sentuhan Faizal merupakan interpretasi segar rekaan kontemporari yang anggun, sofistikated yang digilap halus.

Faizal terkenal sebagai perunding imej untuk majlis fesyen, golongan ternama dan syarikat korporat di dalam dan luar negara.

Berpengalaman bekerja di Paris dan New York di bawah penyeliaan pereka antarabangsa, Faizal berkelulusan Ijazah dalam bidang Seni Persekitaran (Environmental Arts) khusus dalam bidang fesyen di Universiti Syracuse, New York, Amerika.

Peluang berada di negara tersebut tidak dipersia-siakan kerana dia meluaskan pengalaman bekerja di Paris dan New York di bawah penyeliaan pereka antarabangsa.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai koleksi menawan ini, boleh emelkan soalan ke faizalhamid1971@yahoo.com atau layari faizalhamid.blogspot.com.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

11 March 2011

Shafa Reka Stail Hijab

Berhijab, kata Shafa, fesyennya tidak perlu rigid. Asalkan ada kreativiti, tudung yang lama juga bisa kelihatan menawan jika tahu menggayakan.

Minat terhadap dunia fesyen menjadikan gadis kacukan Pakistan-Melayu ini sentiasa kreatif dalam menampilkan busana muslimah yang menawan.

“Berhijab tidak bermaksud kita ketinggalan dari segi fesyen. Ada pelbagai teknik dan cara yang boleh digunakan untuk menampakkan si pemakai kelihatan sangat bergaya,” kata pemilik nama penuh, Nur Shafawati Abdul Manaff ini.

Mesra disapa sebagai Shafa, pelajar tahun akhir jurusan Komunikasi Massa Kolej Universiti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIUC) mendapat idea dengan cara mencuba dan juga mendapatkan pandangan rakan-rakan dari negara Asia Barat.

Kata Shafa, kebanyakan mereka terlibat dalam bidang peragaan di sana tetapi masih tetap memakai hijab dan mematuhi syariat Islam dalam berpakaian.

Berbekalkan raut wajah menawan, tidak hairanlah gadis berusia 25 tahun itu juga melibatkan diri dalam bidang peragaan.

Shafa juga menanam cita-cita untuk menjadi Perunding Imej Muslimah terkenal, tambahan lagi kini dirinya sering dijemput pihak yang berminat untuk bercakap mengenai fesyen hijab.

“Shafa suka mencuba pemakaian hijab terkini. Nampak rumit, tapi sebenarnya tidak sukar kalau kita tahu caranya. Tidak salah untuk kelihatan cantik dan bergaya walaupun berhijab bukan? “Dengan gaya terkini juga membuatkan seseorang yang berhijab itu lebih berkeyakinan,” katanya sambil mengukir senyuman.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

09 March 2011

Pencarian Ratu Kebaya 2011 bermula

Akhir-akhir ini banyak pertandingan berkaitan dengan dunia kecantikan dianjurkan oleh pelbagai pihak. Bagaimanapun modus operandi penganjur pertandingan biasanya hanya mencari wanita yang langsing, bertubuh kecil molek dan semestinya yang cantik jelita.

Lalu, apa aktiviti yang boleh dilakukan oleh wanita yang mempunyai tubuh badan agak besar atau gemuk? Apakah mereka tidak boleh meraih peluang yang sama dengan wanita yang kekal langsing?

Justeru, akhbar Mingguan Malaysia melalui sisipan Pancaindera bersama dengan produk jamu nombor satu, Jamu Mak Dara akan menganjurkan Pencarian Ratu Kebaya 2011.

Pertandingan yang akan berlangsung di pusat membeli-belah Carrefour di seluruh negara ini akan membuka ruang kepada wanita yang mempunyai berat badan lebih 60 ke atas untuk menyertainya.

Menurut Pengarah Urusan Jamu Mak Dara, Syed Gaddaffi Syed Ali Al-Habsyee, penganjur menyediakan dua kategori dalam pertandingan berkenaan iaitu untuk wanita dengan berat 59 kilogram ke bawah dan 60 kilogram ke atas.

"Tujuan kita membuka satu lagi kategori ialah untuk memberi peluang kepada wanita bertubuh besar untuk turut rasa dihargai. Oleh kerana pengguna produk kami terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat, wanita bertubuh badan besar melebihi 60 kilogram juga dialu-alukan untuk bersama-sama dalam pencarian ini.

Pemenang pertandingan akan berpeluang untuk muncul di dalam iklan promosi Jamu Mak Dara, selain hadiah wang tunai RM5,000 menanti pemenang utama.

Untuk permulaan, pertandingan Ratu Kebaya 2011 akan berlangsung di Carrefour Seksyen 23, Shah Alam, Selangor, pada 6 Mac ini.

Bermula jam 10 pagi untuk urusan pendaftaran, juara kedua-dua kategori akan diumumkan sebagai Ratu Kebaya Shah Alam dan berpeluang untuk mara ke peringkat akhir yang akan diadakan pada 4 Disember di Kuala Lumpur secara gilang-gemilang.

Di Carrefour Seksyen 23, Shah Alam, penyanyi Heliza Helmi akan menyerikan pertandingan sebagai juri bersama pengasas Jamu Mak Dara, ibu Halimah Shuib dan Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin. Pertandingan terbuka kepada semua wanita warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

Untuk menyertai, peserta perlu mendaftar sebanyak RM50 dan setiap penyertaan akan diberikan produk jamu Mak Dara dan hadiah iringan.

Pertandingan akan membuka laluan kepada peserta yang hadir lengkap berpakaian kebaya dan berhias menarik. Tak cukup dengan itu, bagi peserta yang mempunyai bakat dalam bidang nyanyian, lakonan atau peragaan, ini merupakan satu tiket emas buat mereka untuk mara ke peringkat akhir.

Ia sekali gus memberi ruang untuk peserta mencuba nasib dalam mana-mana bidang yang diminati sekiranya berjaya meraih gelaran Ratu Kebaya Pancaindera Mak Dara 2011.

Johan pertandingan Ratu Kebaya peringkat saringan pertama ini akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM500 dan hamper Carrefour bernilai RM100, selain cenderahati eksklusif Mingguan Malaysia. 

Naib johan akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300 manakala tempat ketiga berjumlah RM150 termasuk hamper. Hadiah grand final yang bakal menjadi rebutan peserta di peringkat akhir berupa wang tunai berjumlah RM5,000, hamper tajaan Carrefour serta pakej pelancongan ke Bali, Indonesia selama tiga hari dua malam.

Selepas Shah Alam, pencarian finalis akan diteruskan pula di Kuala Terengganu, Terengganu (2 April), Pulau Pinang (30 April), Port Dickson (28 Mei), Johor Bharu (25 Jun), Kuantan (1 Oktober) serta Melaka (19 November).

Hubungi talian 019-2247191 untuk urusan pendaftaran awal.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

07 March 2011

Stevia 300 Kali Ganda Manis Daripada Tebu

Pada pada masa rakyat di seluruh dunia sedang dibelenggu dengan diabetes iaitu penyakit yang berpunca daripada gula, satu penemuan baru mungkin memberi harapan baru dalam menjauhkan penyakit itu daripada manusia.

Di Malaysia menurut statistik Kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan dianggarkan kira-kira 3.4 juta rakyat negara ini menghidap diabetes pada 2010.

Ia satu petunjuk membimbangkan kerana ini bermakna lebih 12 peratus rakyat negara ini menghidap diabetes.
Jika sebelum ini tebu menjadi sumber utama gula, bagaimanapun penemuan baru pokok stevia yang mampu menggantikan fungsi pemanis semakin mendapat tempat di hati ramai orang.

Stevia atau nama saintifiknya Stevia Rebaudianna adalah tumbuhan herba dari keluarga Chrysanthemum yang mengandungi glikosida pada daunnya termasuk lebih 10 peratus steviosida.

Bertemu dengan Presiden Megaherbs Bioextreme, Dr. Zubir Yahya mendedahkan stevia mengandungi rasa manis 200 hingga 300 ganda lebih tinggi daripada gula tebu. Ini bermakna seseorang itu tidak perlu mengambil gula dalam kuantiti yang banyak untuk memaniskan secawan kopi atau membuat kek.

Tiada kalori dan toksik

Katanya, stevia boleh dianggap sebagai gula alternatif dalam nutrisi pemakanan yang mengandungi hampir tiada kalori, bebas karbohidrat dan tidak bertoksik.


“Ia baik untuk digunakan oleh pesakit diabetes selain boleh digunakan dalam industri pemakanan.

“Stevia boleh dijadikan sebagai salah satu ramuan dalam proses pembuatan kek, biskut dan sebagai bahan penambah perisa dalam makanan,” katanya ketika ditemui Pesona di pejabatnya di Platinum Walk, Danau Kota, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, stevia mengandungi vitamin A, B, C dan mineral penting untuk pertumbuhan kanak-kanak.
“Khasiat stevia sukar untuk diragui kerana ia 100 peratus semula jadi,” ujarnya.

Jelasnya lagi, stevia juga secara umum dikenali sebagai daun ajaib yang mengeluarkan manisan.

Lantaran itulah, jelas Zubir pada penghujung tahun 2008, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) telah memberi kelulusan kepada stevia digunakan sebagai makanan tambahan.

“Stevia pada masa kini turut mendapat perhatian daripada pengeluar minuman termasuk syarikat minuman bikarbonat,” beritahunya.

Kata Zubir, hasil kajian yang dijalankan mendapati stevia mempunyai kesan terabai pada kadar glukosa gula.
“Ia terjadi akibat daripada steviosida, oleh sebab itu stevia hanya memberikan rasa manis tetapi tidak mempunyai glukos.

“Herba tumbuhan itu juga boleh jadi bahan pemanis asli tanpa bahan kimia aditif,” jelasnya.

Penanaman komersial

Permintaan yang tinggi ke atas stevia menyebabkan pokok yang berasal dari Amerika Selatan turut ditanam di negara ini.
Pengeluaran tanaman itu kini sudah melebihi 2,000 tan setahun dengan negara utama pengguna stevia termasuk Jepun, Australia dan Kanada.

Bercerita mengenai penanaman stevia, kongsi Zubir beberapa langkah perlu dititik beratkan sebelum memulakan penanaman stevia. Ini termasuklah penyediaan tanah, jenis tanah, penyediaan batas, pengairan, pembajaan, aplikasi organik dan penjagaan pokok, pembersihan dan penuaian.

Tanah merah berpasir (kering) adalah jenis tanah yang sesuai, manakala tanah gambut merupakan tanah yang tidak sesuai bagi penanaman stevia.

Batas adalah cara terbaik dan paling ekonomik untuk menanam stevia. Semburan mikro merupakan kaeadah yang sesuai untuk mengairi penanaman stevia.

Pembersihan boleh dilakukan secara manual menggunakan tenaga buruh untuk memastikan kesihatan pokok stevia.

Penuaian boleh dilakukan dengan hanya memetik daun, sekiranya diperlukan pada kuantiti yang kecil. Bagi penuaian secara besar besaran keseluruhan pokok boleh dipotong dan meninggalkan 10 hingga 15 sentimeter dari tanah.

Selaku syarikat yang memasarkan stevia dalam bentuk uncang bagi menggantikan gula dalam minuman, Megaherbs Bioextreme turut menawarkan perladangan kontrak kepada syarikat dan individu yang berminat.

Belajar kerja orang Jepun

Mengenali lanjut individu di belakang Megaherbs Bioextreme itu, Zubir memberitahu bekerja dengan sebuah syarikat Jepun beberapa belas tahun lalu banyak memberi pengajaran berguna dalam diri dan kerjayanya.
Katanya yang kini berusia 44 tahun, sepanjang bekerja dengan syarikat milik warga Jepun itu, cara pemikiran dia yang merupakan anak tempatan juga berubah.

“Cara kerja yang diamalkan oleh pekerja Jepun yang sentiasa komited, menepati masa dan rajin banyak memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menguruskan perniagaan Megaherbs Bioextreme.

“Dasar pandang ke timur juga mengajar saya untuk berfikir perkara yang lebih penting dan tidak membesarkan masalah yang remeh-temeh,” katanya.

Dipetik dari : www.kosmo.com.my

05 March 2011

Gaya Retrospektif Makin Popular

Gaya lama diberi nafas baru. Konsep retro mewarnai koleksi Upfront yang baru menembusi pasaran tempatan. Bermula daripada potongan, warna, perincian hingga ke motif, koleksi terbaru itu berusaha mendekati nuansa retro.

Lebih menarik, pemilihan warna berunsurkan alam semula jadi menjadi elemen yang diberi keutamaan kali ini. Meskipun busana wanita gaya retrospektif itu masih mendapat sentuhan klasik, namun ia disesuaikan dengan trend pengguna masa kini.

Mungkin ramai yang meminati warna-warna gelap seperti coklat atau hitam yang dikatakan sesuai dipadankan dengan pelbagai aksesori.

Benar atau tidak, Upfront tetap dianggap perubahan fesyen di bandar sesuai untuk mereka yang inginkan gaya fleksibel dan sesuai untuk apa jua situasi.

Berteraskan nuansa tersebut, koleksi untuk pakaian wanita Upfront dipamerkan dengan penuh kesederhanaan, ringkas namun tetap menawan.

Dalam pada itu, Upfront merupakan koleksi terbaru fesyen kontemporari yang mengutamakan fesyen penduduk bandar.

Jenama ini menawarkan rekaan terkini dengan harga berpatutan dan mensasarkan mereka yang berumur 20-an hingga 40-an.

Koleksi yang terdiri daripada blaus, seluar, skirt, jaket, kot dan beg tangan diinspirasi daripada Jewel Box dan Womanopoly.

Jewel Box merupakan montaj mewah untuk wanita yang menyintai fesyen dan permata. Manakala Womanopoly sesuai untuk wanita bekerja dan mereka yang menguasai dunia perniagaan hari ini. Kedua-dua situasi ini mencetuskan fesyen berbeza yang mengembali kegemilangan fesyen tahun 1950, awal 60-an dan 1970-an. Kebanyakan warna pakaian pada tiga era retrospektif ini mempaparkan warna suram, gelap, ungu dan tidak menonjol.

Label rekaan Quince dari Singapura ini boleh didapati secara eksklusif di gedung beli-belah, Parkson.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

03 March 2011

Penjagaan Kulit Wajah

Wajah saya semakin berkedut dan ada tompok hitam. Saya malu kerana kelihatan tua walaupun baru berusia 30-an." Ini antara keluhan wanita apabila berhadapan dengan masalah kulit wajah. Kebiasaannya, wanita kurang menitikberatkan penjagaan kulit wajah pada usia remaja.

Mereka menganggap rutin ini hanya perlu apabila usia menjelang 30-an. Penjagaan kulit wajah bermula pada usia muda dapat mengurangkan simptom-simptom peningkatan umur seperti kedutan, garisan halus dan bintik-bintik hitam berlalu dengan cepat.

Wanita juga tidak perlu melakukan rawatan wajah yang mungkin memudaratkan kesihatan sehingga mengeluarkan belanja yang tinggi.

Namun pemilihan produk kecantikan perlu bijak dan bersesuaian dengan kulit untuk mengelakkan kesan sampingan. Justeru itu, sebelum membeli dapatkan panduan dan uji pada kulit tangan anda.

Krim kolagen
GoodSkin Labs memperkenalkan inovasi penjagaan kulit, pelembap wajah yang mengandungi kolagen. Rawatan semula jadi memperbaiki kulit wajah yang semakin kusam dan kendur. Boleh didapati di butik Sasa terpilih.

Kulit lebih lembut
Ramai mengidamkan kulit bebas minyak dan licin. Walaupun selepas memakai krim wajah, kita sukar mendapatkan kulit yang sekata. Dengan POREfessional terbaru daripada Benefit, wajah lebih halus dan mudah disolek. Mengandungi vitamin E, ia membantu kulit anda bertindak balas terhadap anti oksida untuk melindungi kulit.

Hilangkan garisan halus
Pada usia 20-an, lelaki dan wanita akan mengalami garisan halus pada wajah. Menurut kajian Persatuan Pembedahan Plastik Amerika, seramai lima juta rakyatnya menggunakan botox pada 2008. Angka itu menunjukkan orang ramai tertekan untuk memiliki wajah yang cantik dan sentiasa muda. Justeru itu, Origins memperkenalkan New Starting Over Age-erasing bagi membantu mengurangkan garisan awal pada usia muda.

Krim siang dan malam
Selain memutihkan kulit wajah, krim terbaru daripada L'Oreal Paris ini mengurangkan kesan bintik hitam pada wajah. Lazimnya, kesan bintik atau jeragat terhasil daripada kesan jerawat pada wajah. Selain itu, cuaca panas memungkinkan penghasilan bintik hitam. Ia juga mengakibatkan kesan sensitif pada kedua-dua pipi wajah kelihatan jelas seperti kemerah-merahan. Bagi mendapatkan ton kulit yang lebih sekata dan cerah, cubalah L'Oreal Paris White Perfect Day & Night.

Anti-penuaan
Anda belum bersedia melakukan rawatan kecantikan seperti pembedahan plastik, botox atau laser. Keadaan ini mendesak anda untuk mendapatkan rawatan kosmetik atau spa yang terbaik. Terbaru Doctor Babor menawarkan produk anti-penuaan yang berasal daripada Jerman. Dihasilkan daripada tumbuhan dan ekstrak herba, produk ini telah menjalani proses teknologi biotek yang tinggi. Selain membantu wajah kekal muda, ia turut mengurangkan stres kulit.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

01 March 2011

Di Pejabat Bos, Di Rumah Isteri

Memang jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Perkahwinan adalah penting. Ia adalah permulaan kepada pembentukan sebuah masyarakat kecil yang akan berlanjutan ke anak cucu dan turun temurun.
Oleh itu, merancangkan satu perkahwinan yang tepat dan baik adalah ikhtiar yang tidak boleh dipandang kecil.

Malah, Rasulullah SAW sudah berpesan tentang empat syarat yang perlu dilihat ketika memilih isteri iaitu harta, rupa, keturunan dan agamanya.

Namun, sanggupkah seorang suami menerima hakikat isterinya lebih berpangkat daripadanya?
Senario ini mungkin satu perkara biasa kerana lebih ramai wanita yang bergelar isteri berjaya menjawat jawatan tinggi.

Keadaan ini tentulah sesuatu yang membanggakan suami tetapi pada masa yang sama mereka bimbang jika isteri akan lupa daratan kerana terbawa-bawa dengan sikapnya sebagai bos di pejabat.

Namun, bagi isteri yang solehah, bagaimana tinggi pangkatnya tetapi apabila di rumah tugasnya tetap seorang isteri.

Bahkan, kehidupan harmoni yang berlandaskan kasih sayang akan terpancar jika wujud perasaan sayang-menyayangi dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Manakala di pihak suami pula patut menyuarakan apa yang dirasakan tidak kena kepada isterinya bagi mengelakkan sebarang kepincangan dalam rumah tangga.

Perunding Psikologi Keluarga, Suzana Ghazali menjelaskan, biarpun ada perbezaan darjat tidak bermakna mereka tidak boleh mencipta kebahagiaan.

Ia adalah acuan kehidupan yang dipilih oleh pasangan tersebut. Oleh itu kebahagiaan dan kedurjanaan dalam rumah tangga kita sebenarnya terletak di bahu kita sendiri.

“Inilah hasil daripada acuan yang kita pilih, maka sudah menjadi tanggungjawab masing-masing dalam menjalankan peranan,’’ ujarnya tegas.

Akui Suzana lagi, perkara pertama ialah sedar dan tahu kedudukan dan peranan sebagai isteri ataupun suami.
“Walaupun isteri lebih bijak dan berpendidikan, bukan bererti si isteri boleh memperbodohkan suami anda sesuka hati. Andai ditakdirkan kita sebagai ketua kepada suami di tempat kerja, tetapi di rumah pula suami tetap ketua rumah tangga.

‘‘Di pejabat kita boleh memberi arahan dan marahkan suami jika ada urusan pejabat yang tidak diurus dengan sewajarnya, tetapi harus diingatkan urusan pejabat hanyalah boleh diselesaikan di pejabat sahaja.

“Keadaan ini berbeza apabila pulang ke rumah, wanita harus berperanan sebagai isteri atau ibu.

‘‘Harus diingatkan bahawa segala yang berlaku di pejabat tidak boleh dibawa balik ke rumah.

“Kepada suami, jangan ada rasa rendah diri. Biar siapa pun anda, anda adalah suami dan ketua rumah tangga, biarpun lebih rendah tahap pendidikan dan berpendapatan lebih rendah berbanding isteri tetapi itu bukan bermakna anda boleh menjadi hamba isteri,” katanya.

Terang Suzana lagi, biarpun pendapatan si suami kurang sedikit namun ia tidak menafikan tanggungjawab si suami dan bapa.

‘‘Suami tetap wajib mengeluarkan perbelanjaan untuk menanggung segala keperluan isteri dan anak-anak. Jika isteri menghulur bantuan, ia adalah bonus tetapi sekiranya isteri anggap ia sebagai hutang maka perlu suami melangsaikan segala hutang tersebut walaupun tidak dituntut,’’ tegasnya.

Terang Suzana lagi, dalam hubungan suami isteri memerlukan keserasian begitu jua dengan kehidupan harian biarpun isteri lebih berpangkat tetapi suami tetap berperanan dalam urusan rumah tangga.

‘‘Untuk mengekalkan kerukunan rumah tangga, perkara yang penting adalah jangan mengungkit latar belakang masing-masing.

‘‘Isteri jangan sesekali menjadikan latar belakang suami sebagai senjata untuk menjatuhkan air muka dan harga diri suami,” katanya lagi.

Dalam situasi sedemikian, terimalah pasangan kita seadanya, malah jangan bandingkan pasangan kita dengan orang lain

‘‘Jangan pertikaikan ketidakupayaan suami dalam memberikan kehidupan yang lebih sempurna, inilah rentak acuan kehidupan rumah tangga yang dipilih oleh kita sendiri, oleh itu terimalah dengan hati terbuka,’’ ujarnya.
Terang beliau lagi, sebuah perkahwinan adalah satu amanah yang amat berat untuk dipikul tetapi sesuatu yang sangat mulia.

‘‘Dalam menjalinkan hubungan kita perlu ada tiga ciri utama, cinta dan kasih sayang serta komunikasi yang baik. Cinta atau kasih sayang perlu dipupuk agar terus berputik dan disuburkan,” katanya.

Dipetik dari : www.utusan.com.my