Jom Jadi Geng

30 January 2012

Tengku Rozidar Tidak Takut Gagal

Sepanjang 14 tahun menerajui sistem franchis makanan segera hot dog yang satu-satunya milik bumiputera, pada dasarnya tidak berlalu dengan sebegitu mudah.

Tetapi bagi pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nineteen One atau lebih dikenali Hotdog 1901, Tengku Rozidar Tengku Zainal Abidin, 43, dengan berbekalkan prinsip tidak takut gagal dan semangat yang cekal sahaja mampu membuatkan syarikat itu berdiri teguh sehingga ke hari ini.

''Langit tidak selalu cerah dan begitu juga dengan 1901 di mana turut berhadapan dengan risiko naik turun di dalam perniagaan,'' katanya ketika ditemui di kiosk 1901 di Sunway Giza, Kota Damansara baru-baru ini.
Tengku Rozidar juga memberitahu dia tidak malu untuk menceritakan bahawa pernah melalui pengalaman menggadaikan barang kemas dan kereta mewah hanya untuk melangsaikan segala hutang demi perniagaan.
Tetapi itu semua bukan pematah semangat sebaliknya menjadi pendorong untuk meletakkan 1901 pada kedudukan yang sepatutnya seperti hari ini.

''Pelanggan hanya tahu 1901 terus ada supaya mereka dapat terus menikmati hot dog yang disediakan dalam pelbagai resipi enak, berkhasiat, bersih dan dengan harga yang berpatutan,'' katanya.

Jelas Tengku Rozidar, semangatnya memang tidak boleh pudar semata-mata kerana tidak sanggup berhadapan dengan masalah yang melanda.

''Situasi itu berulang lagi pada tahun lalu sehingga menyebabkan cawangan 1901 di Singapura dan Indonesia terpaksa ditutup,'' katanya.

Katanya, membuka cawangan di luar negara memang berisiko tinggi tetapi masalah yang dihadapi masih terkawal.

''Sukar sebenarnya untuk mengendalikan cawangan di luar negara kerana dalam masa yang saya harus memantau semua cawangan di sini,'' katanya.

Lebih memeritkan lagi kata Tengku Rozidar, dia juga terpaksa memberhentikan sejumlah pekerja supaya dapat menguncupkan perbelanjaan kewangan.

Antara puncanya kerana pada ketika itu dia berdepan dengan masalah pekerja yang tidak jujur terutamanya yang melibatkan hal kewangan.

Tetapi Tengku Rozidar tetap percaya bahawa setiap masalah itu tetap ada jalan keluarnya.
''Saya juga tidak suka mengaku kalah, apa yang penting memberikan sepenuh perhatian untuk menyelesaikannya secara tenang,'' katanya.

Katanya, setelah semua cawangan luar negara ditutup maka dia mula menumpukan sepenuh pemerhatian ke atas semua cawangan di dalam negara supaya berjalan dengan lancar dan sempurna.

Tengku Rozidar mengakui ketika bekerja dia memang seorang yang amat tegas.

''Saya akui ada kalanya garang tetapi sikap itu memang bertempat supaya segala arahan yang diberikan kepada kakitangan berjalan dengan baik.

''Sebarang keputusan biasanya dikaji secara terperinci dan kerana itu biasanya tidak akan ditarik balik,'' tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, ketegasan ini membuatkan dirinya akhirnya telah berjaya memulihkan semula kedudukan 1901 yang hampir goyah dalam jangka masa hampir setahun.

Memang perit katanya, tetapi demi memikirkan nasib franchisor terletak di tangannya, maka Tengku Rozidar meletakkan kepentingan syarikat di tempat teratas berbanding dengan soal peribadi.

''Apa yang penting saya mahukan 1901 terus memberikan perkhidmatan makanan segera yang berkhasiat lagi halal untuk rakyat di negara ini,'' katanya.

Menurut beliau, perniagaan dalam bidang makanan ini sebenarnya rumit bukan sahaja perlu menitikberatkan dari segi kebersihan malah sehingga kepada layanan kepada pelanggan.

Atas sebab itu, dia sentiasa menasihatkan franchisornya supaya jangan membiarkan 1901 hanya diuruskan oleh pekerja sahaja.

Tengku Rozidar memberitahu, franchisor tidak boleh lepas tangan sebaliknya perlu berkerja kuat setelah sanggup melabur wang dalam jumlah yang besar.

''Sepatutnya franchisor itu yang perlu berada di kiosknya sendiri sepanjang masa dan cuba untuk memasarkan sendiri demi untuk memastikan produk yang dijual itu mampu mengaut keuntungan,'' katanya.

Namun kata Tengku Rozidar, bagi memastikan semua franchisor di bawahnya berjaya maka dia dari semasa ke semasa akan bertemu dengan mereka.

Bagaimanapun katanya, dia tidak boleh menumpukan perhatian kepada semua frachisor 1901 ini dalam satu-satu masa.

Beliau akui agak sedih apabila ada franchisor yang terpaksa menutup perniagaan begitu sahaja sehingga menyebabkan semua duit yang dilaburkan dari hasil titik peluh semasa bekerja hilang begitu sahaja.

Sehubungan itu, katanya kejayaan 1901 memerlukan sokongan semua pihak bagi memastikan franchise milik anak Melayu ini mampu bersaing pada bila-bila masa pun.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

20 January 2012

Bebas Kotoran Wajah

Tiga langkah - membersih , menyegar, melembap - merupakan langkah penjagaan asas untuk memastikan kulit terjaga.

Dua kali sehari, amalan tiga langkah penjagaan ini dapat memastikan kulit bersih dan segar serta diberikan kelembapan yang diperlukan.

Bagi mendapatkan keindahan dan seri wajah yang optimum, ritual rawatan muka mampu menjanjikan hasil yang memberansangkan.

Pun begitu, mendapatkan produk yang bersesuaian kulit juga menjadi kriteria penting untuk memenuhi kehendak kulit.

Ini kerana menggunakan rangkaian produk penjagaan yang tidak bersesuaian boleh memberikan kesan kepada kulit.

Justeru untuk mendapatkan impak kesempurnaan wajah, bahan daripada sumber alam dikatakan yang terbaik untuk memenuhi keperluan kulit.

Pembersih wajah berasaskan minyak misalnya dipercayai membersihkan kulit wajah hingga jauh ke dalam.
Shu Uemura percaya dengan keberkesanan molekul minyak yang merupakan sains unik untuk membersih permukaan wajah.

Bagi 'sifu' dunia kecantikan dan fesyen yang terkenal dengan penghasilan barangan yang menggabungkan seni dan kecantikan ini, Shu Uemura , membersih wajah merupakan langkah awal dan akhir untuk solekan. Berpaut pada falsafah seninya itu, dan meraikan bakat-bakat baru dalam dunia seni maka sifu kecantikan kontemporari Jepun ini memperkenalkan fresh pore calrifying gentle cleansing oil.

Shu Uemura percaya cairan minyak adalah paling sesuai untuk kerja-kerja membersih berbanding susu mahupun krim yang likat memandangkan ia mudah disebarkan dan lembut menyentuh kapilari di permukaan kulit wajah.

Sifat minyak yang lebih ringan serta molekul yang kecil mampu membuatnya sampai ke lapisan dalam kulit dengan lebih mudah apalagi pembersih Shu Uemura mempunyai komposisi tinggi untuk menarik kekotoran yang melekat di pori secara lembut tanpa mengganggu keseimbangan semula jadi kulit.

Ia menggunakan formula unik sistem HPO (High Performance Oil System), kombinasi kompleks daripada tiga minyak terpilih bagi pembersihan menyeluruh.

Baru-baru ini, pembersih wajah yang berusia 40 tahun ini memenangi anugerah utama pada tahun 2010 oleh Yahoo! Beauty Jepun dalam kategori pembersih wajah. Selain itu, ia turut diiktiraf oleh Marie Claire Taiwan dan Allure Korea sebagai pembersih wajah terbaik.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

10 January 2012

Busana tradisional menyerlah

Konsep busana tradisional semakin diminati. Keunikan rekaan terserlah dengan kombinasi corak yang unik dan menarik. Kini, pelbagai rekaan klasik atau tradisional boleh didapati daripada pelbagai fabrik, corak dan warna yang menarik.

Perincian yang indah dengan rekaan unggul menampilkan gaya kontemporari dan eksklusif kepada si pemakai.

Walaupun masih mengekalkan konsep baju kurung dan kebaya, hiasan manik-manik menyerlahkan keterampilan lebih-lebih lagi mereka yang mengekalkan konsep Muslimah.

Bagi anda yang berminat untuk tampil ayu dan menarik, koleksi busana Mutiara Fesyen yang boleh dibeli melalui bisnes online, http://mutiarafesyen.blogspot.com mungkin memenuhi cita rasa anda.

Konsep suai padan

Mutiara Fesyen menjual pelbagai jenis pakaian siap yang ditempah dan dijahit sendiri seperti baju kurung, baju kebaya, kurung moden, dress, dan lain-lain.

Namun yang menarik perhatian koleksi baju kurung dan kebaya yang masih mengekalkan elemen tradisional dan masih menjadi pilihan anak muda yang bertudung. Koleksi tersebut mendapat sentuhan sutera Korea, sutera India, sifon cetak, organza. Tidak ketinggalan, busana songket yang menggunakan kain organza dengan konsep suai padan.

Baju kurung tradisional yang bercorak yang dihiasi manik kelihatan sederhana. Ia sesuai digayakan ketika menghadiri rumah-rumah terbuka di samping majlis makan malam atau perkahwinan. Konsep yang sama turut diilhamkan untuk sentuhan baju kebaya moden berwarna polos.

Bagi yang inginkan kelainan, kebaya moden ini sesuai untuk wanita yang inginkan gaya elegan dan sopan.
Wanita yang inginkan gaya sederhana tetapi masih menitik beratkan kualiti kain, kebaya potongan asli dan pendek boleh dijadikan pilihan. Hanya menggunakan perincian sulaman yang ringkas, gaya wanita masih terserlah dengan padanan kain batik.

Bagi mereka yang berminat dengan koleksi ini, boleh menghubungi Fadziani di talian 017-2044313 atau e-mel mutiarafesyen@yahoo.com.

Dipetik dari : www.utusan.com.my