Jom Jadi Geng

05 July 2012

Rawatan Pemulihan di Rumah

Selalunya selepas menjalani rawatan akibat sesuatu penyakit dan dibenarkan keluar dari hospital pesakit dikehendaki datang semula ke hospital selepas tempoh tertentu untuk pemeriksaan susulan.

Ia merupakan prosedur kerana doktor mahu melihat progres yang dilalui oleh pesakit yang telah dirawatnya.

Dalam sesetengah jenis kes, terutama yang melibatkan saraf, otot, koordinasi badan atau kemalangan, rawatan susulan pastinya berkaitan dengan fisioterapi dan senaman yang memerlukan mereka hadir untuk satu tempoh tertentu.

Malangnya tidak semua yang berhadapan dengan masalah tersebut mampu untuk menjalani rutin ke hospital mengikut disiplin yang telah disarankan oleh pihak doktor.

Antara faktor yang menyebabkan proses pemulihan tersebut tidak berjalan dengan lancar ialah aspek pengangkutan termasuk tiada siapa yang mahu menghantar dan kesuntukan masa.

Atas dasar tersebut maka sebuah syarikat penjagaan kesihatan berdaftar, Love On Wheels menyediakan perkhidmatan sehenti bagi bekas pesakit menjalani pemulihan dengan cara optimum.

Pengarah dan juga Penasihat Klinikalnya, Dr. Premala Thambirajah berkata, Love On Wheels menyediakan ahli terapi yang secara khusus memberikan saranan, cara senaman, latihan mengikut keperluan tubuh pesakit.

"Antara yang kami berikan ialah latihan fisioterapi, occupational therapy (perkhidmatan terapi untuk pekerjaan).

"Kami juga mempunyai kes rawatan pesakit selepas kemalangan yang berhadapan dengan kesukaran menggerakkan anggota. Ahli sukan yang terseliuh malah sesiapapun.

"Pesakit kami terdiri dari yang berumur dua tahun hinggalah ke 90 tahun. Jika kanak-kanak pula kebanyakannya adalah dari pesakit autisme dan kurang akal," ujar Dr. Premala yang ditemui di pejabat Love On Wheels yang terletak di Plaza Klana Jaya, Kelana Jaya, Kuala Lumpur.

Dr. Premala menjelaskan bahawa apa yang ditawarkan oleh Love On Wheels bukanlah perkhidmatan doktor tapi melibatkan proses pemulihan.

Malah mereka mempunyai kakitangan terlatih, berpengalaman, profesional dan mampu disesuaikan dengan kehendak pelanggan.

"Apa yang boleh dibanggakan dengan perkhidmatan ini ialah kami mempunyai jururawat ahli terapi yang profesional dan terlatih. Perkhidmatan yang sudah memasuki tahun ke tiga ini turut menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan bekas pesakit malah untuk semua golongan termasuklah yang mahu mengekalkan tubuh yang sihat.

"Kebanyakan wanita misalnya menganggap sakit-sakit bahu lenguh, kepenatan melampau sebagai salah satu dari tanda penuaan dan membiarkannya tanpa mendapat perhatian sewajarnya. Padahal setiap dari kita berhak untuk berasa sihat dan hebat.

"Sebab itu Love On Wheels juga menyediakan perkhidmatan untuk ibu bekerja, malah kami juga boleh datang ke pejabat mereka untuk mengadakan sesi fisioterapi di ruang yang tertentu di pejabat mereka.

"Wanita bekerja yang mengandung contohnya kami akan tumpukan kepada asas sains dan kesihatan. Mula buat senaman dari awal kandungan, memang masa menjadi alasan namun dengan adanya perkhidmatan kami menyesuaikan dengan masa yang anda ada di mana saja," ujarnya.

Menurut Dr. Premala, apabila bersenam dan mengamalkan teknik yang diajarkan oleh ahli terapi Love On Wheels, perjalanan darah seseorang menjadi lancar dan optimum.

Bagi Dr. Premala juga seorang wanita itu tidak perlu berada dalam kesakitan selalu dan pasti ada cara untuk melegakan kesakitan tersebut supaya ia tidak menjadi kronik.

"Akan datang musim perayaan bulan puasa pasti ramai wanita akan bekerja keras menyiapkan pelbagai keperluan seperti pasang langsir baru buat kuih raya dan sebagainya jadi persediaan fizikal amat penting untuk mengelakkan kecederaan otot dan menambah kekuatan stamina.

"Sesi yang dijalankan adalah selama 45 minit, tiga kali seminggu dan sebaiknya selama 12 kali.

"Apa yang kami mahukan ialah kesedaran bahawa betapa kesihatan itu penting dan bagaimana ia boleh didapati dengan memperuntukkan masa untuk senaman yang betul.

"Apabila tubuh sihat minda juga menjadi cerdas dan semua perkara boleh dilakukan dengan sebaiknya," ujarnya.

Love On Wheels turut mengadakan promosi program yang dinamakan Sculptured Mom. Program ini menumpukan kepada ibu selepas bersalin yang bermatlamat untuk mengembalikan kesihatan mereka secara total.

Pakej ini ditawarkan dengan harga RM1,800 ditambah 12 kali kunjungan. Namun khas untuk pembaca Utusan Malaysia, pakej ini diberi diskaun dan diberi pada harga RM1,500 ditambah dengan 12 kunjungan. Tarikh promosi adalah dari 4 Jun hingga 31 Julai 2012.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi 03-78730900 atau layari laman web www.loveonwheelshealthcare.com

Dipetik dari : www.utusan.com.my