Jom Jadi Geng

13 February 2014

Shenzhen 'Syurga' Beli-Belah

Berpeluang melancong ke Shenzhen sebuah daerah yang terletak di bawah pemerintahan Republik Rakyat China, menggamit keriangan kepada mereka yang gemar membeli-belah.

Shenzhen sebuah bandar yang dibangunkan dalam tempoh lima tahun dahulunya hanya kota yang dikelilingi dengan hutan. Shenzhen kini semakin membangun memasuki usia 30 tahun sejak penubuhannya.

Kini daerah kecil itu telah menjadi antara kawasan tarikan utama pelancong yang melawat ke China. Shenzhen juga digelar sebagai Big Four iaitu kota ke empat yang tersenarai sebagai paling popular di China selepas Shanghai, Beijing dan Guangzhou.

Melangkah ke kota yang mempunyai populasi penduduk seramai sembilan juta, Shenzhen memang sebuah daerah yang indah untuk dikunjungi kerana keadaan muka buminya yang menghijau, sehingga digelar sebagai Kota Taman (Garden City) oleh penduduknya.

Menggunakan mata wang Yuan, Renminbi dan Dollar Amerika Syarikat dalam urusan jual belinya, Shenzhen mempunyai keunikan tersendiri dengan beberapa tempat tumpuan beli-belah pada harga yang murah dan destinasi tarikan pelancong yang harus dikunjungi.

Penulis telah berkesempatan mengalami pengalaman menarik ketika mengikuti program melancong Jom Santai@Hong Kong, Shenzhen POTO Travel & Tours Sdn. Bhd. (POTO Travel) dengan kerjasama akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini.

Percutian selama lima hari empat malam itu turut disertai bersama 178 pelancong lain yang merupakan sebahagian daripada pakej pelancongan Muslim ditawarkan agensi pelancongan milik bumiputera itu.

Sebelum ke Shenzhen, penulis dan rombongan terdahulu melawat tempat pelancongan menarik di Hong Kong. Pada hari ketiga, perjalanan kami menuju ke Shenzhen dengan menaiki bas mengambil masa lebih kurang tiga jam.

Terdapat dua jalan utama untuk ke Shenzhen dari Hong Kong iaitu sama ada menggunakan pengangkutan darat atau laut. Ternyata memasuki daerah ini sedikit berbeza dari segi persekitaran dan sistem pengangkutannya berbanding Hong Kong.

Semasa dalam bas menuju tempat penginapan kami di Century Kingdom Hotel, pemandu pelancong yang mesra disapa Josh telah mengingatkan para ibu bapa yang menyertai rombongan agar tidak membiarkan anak-anak berdiri semasa bas sedang bergerak kerana pemanduan di sini sedikit berbahaya.

Malah di China terdapat peraturan mewajibkan kanak-kanak duduk dan dilarang berdiri ketika bas bergerak bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

Malam itu, bagi melengkapkan perjalanan kami, tempat pertama yang dikunjungi adalah Dong Man Market atau lebih dikenali sebagai pasar malam oleh kebanyakan penduduk di sini.

Pasar Dong Man yang beroperasi dari pagi sehingga lewat malam, begitu meriah dengan deretan gerai kecil yang menawarkan pelbagai jenis barangan yang murah.

Selain itu, terdapat juga deretan kedai yang menjual barangan mewah di kawasan tumpuan pelancong tersebut. Antara barangan yang dijual di sini adalah perhiasan rumah dan pakaian.

Masih terngiang-ngiang dalam ingatan penulis perkataan seperti ‘dosochen’, ‘quey’, ‘baha’ dan diskaun, yang diajar oleh pemandu pelancong kami Josh jika ingin membeli barangan di sini dengan harga yang murah.

Ini kerana hampir 90 peratus penduduk di sini tidak tahu berbahasa Inggeris dan hanya menggunakan bahasa Mandarin untuk berinteraksi.

Walaupun beberapa perkataan ini ringkas dan pendek sahaja tetapi ia menjadi bahan jenaka kepada kami sepanjang berada dalam bas.

Rasa teruja berterusan hingga keesokan harinya dengan mengunjungi Muzium Mineral.

Difahamkan setiap pelancong yang berkunjung ke sini, wajib melawat tempat ini sebagai satu usaha memperkenalkan produk ekonomi utama yang dijalankan di Shenzhen.

Di Muzium Mineral ini terdapat tiga bahagian yang harus dilawati iaitu bahagian jualan dan pameran batu jed, sutera dan ginseng.

Selepas itu, rombongan kami dibawa ke Masjid Shang Mei Lin untuk menunaikan solat jamak Zohor dan Asar.

Masjid ini merupakan satu-satunya masjid yang terdapat di Shenzhen yang terletak di kawasan Futian.

Masjid ini menjadi pusat melakukan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan bagi penduduk Islam di sini yang keseluruhan berjumlah 15,000 orang.

Walaupun saiz masjid agak kecil dan terletak di tengah-tengah bandar tetapi ia menjadi nadi kepada Islam berkembang di kawasan ini.

Seterusnya, selepas selesai menjamu selera di Restoran Muslim Guang Zhou Yue, perjalanan kami diteruskan lagi dengan berkunjung ke Window of the World.

Tempat ini antara pusat pelancongan yang wajib dikunjungi ketika melancong ke Shenzhen. Pada keluasan 278 meter persegi, kawasan ini mempunyai lima pusat utama yang menempatkan pelbagai jenis replika bangunan dan keajaiban dunia.

Kawasan ini dibahagikan kepada lima benua iaitu, Eropah, Asia, Australia, Afrika dan Amerika.

Pelancong tidak melepaskan peluang merakam memori indah dengan replika-replika popular di dunia seperti Piramid Giza, The Temple Of Zeus, Air Terjun Victoria dan Menara Eiffel.

Destinasi terakhir kami untuk dikunjungi adalah Pasar Louho yang menjadi tumpuan pelancong untuk membeli belah dengan harga murah.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

06 February 2014

Kelainan Su Warong Nasi Kerabu

Bagi sesetengah pengunjung, tidak lengkap sekiranya kunjungan ke Kelantan tanpa mencuba keenakan nasi kerabu yang merupakan makanan tradisi negeri Cik Siti Wan Kembang.

Malah bagi mereka yang tidak pernah berkunjung ke negeri ini mungkin agak janggal dengan tradisi masyarakat Kelantan yang lebih mengutamakan menu 'berat' seperti nasi kerabu mahupun nasi berlauk untuk sarapan.

Justeru, merasai nikmat sarapan di Kelantan adalah satu perkara yang wajib dilakukan jika bercuti ke negeri itu.

Su Warong Nasi Kerabu yang terletak di Batu 11 Ketereh dan berada di tepi jalan utama antara Machang ke Kota Bharu adalah destinasi paling tepat untuk disinggahi.

Hidangan nasi kerabu di warung ini pasti tidak mengecewakan.

Warung ini telah menyediakan resipi nasi kerabu sejak turun temurun yang dimiliki oleh Wan Rahmah Wan Daud, 54. Beliau telah memulakan perniagaan sejak 15 tahun lalu.

Menurut Wan Rahmah, selain popular dengan hidangan nasi kerabu daging serta ayam bakar, warungnya turut menyediakan nasi berlauk ikan dan ayam gulai yang mendapat permintaan pelanggan.

Malah ujarnya, pilihan sarapan di Su Warong Nasi Kerabu sangat berpatutan dengan pelbagai jenis lauk seperti daging bakar, ayam bakar, ikan goreng, jeruk bawang, telur masin, solok lada dan sebagainya untuk memenuhi selera setiap pelanggan.

"Di sini, kami menyediakan pelbagai jenis pilihan dengan harga serendah RM3 sepinggan untuk hidangan biasa sehingga RM6 bagi campuran pelbagai lauk," katanya ketika ditemui S2.

Jelas Wan Rahmah, menjaga hati pelanggan adalah perkara yang amat dititikberatkan olehnya kerana ia cukup penting bagi menarik lebih ramai pengunjung ke warungnya.

Selain itu, dia turut mementingkan kebersihan bahan mentah serta bekalan halal agar makanan yang dihasilkan lebih berkat serta tidak memudaratkan pelanggan.

"Biasanya, pelanggan yang berkunjung ke sini terdiri daripada penduduk setempat serta pengunjung luar dari Kelantan yang ingin merasai hidangan nasi kerabu.

"Oleh sebab itu, setiap hari saya akan mendapatkan bekalan bahan mentah yang segar bagi menjamin kualiti hidangan serta menghargai pelanggan yang datang dari jauh semata-mata untuk menjamu selera di sini," katanya.

Warong yang dibuka setiap hari bermula seawal pukul 6 pagi hingga 2 petang itu juga menerima tempahan untuk majlis keramaian.

Bagi mereka yang ingin membuat tempahan dan mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Wan Rahmah di talian 017-7489717.

Sementara itu, seorang pelanggan, Khairi Mat Yusof,30, berkata, dia telah menjadi pelanggan tetap dan akan berkunjung ke Su Warong Nasi Kerabu sekurang-kurangnya sekali setiap minggu.

"Hidangan nasi kerabu di sini sangat sedap dan tiada mana-mana kedai yang mampu menandingi keenakannya.

"Selain itu, harga yang ditawarkan juga amat berpatutan menyebabkan saya sentiasa berkunjung ke sini," katanya.

Rosmawati Zawawi, 24, pula berkata, dia selalu berkunjung ke warung tersebut bagi menikmati hidangan sarapan di situ.

"Nasi kerabu di sini memang sangat sedap. Sebab itulah, ramai orang datang...sampai ada yang sanggup beratur," katanya.

Dipetik dari : www.utusan.com.my