Jom Jadi Geng

10 August 2011

Inai Hias Jari-Jemari

Sudah menjadi adat dalam perkahwinan Melayu sejak turun-temurun pengantin perempuannya memakai inai di jari tangan dan kaki.

Lazimnya pemakaian inai dibuat seperti membungkus hujung jari dengan daun inai yang telah ditumbuk halus.

Bagi mendapatkan warna inai yang merah jingga pekat, semasa menumbuk, daun inai dicampurkan dengan gambir. Nasi turut dicampur supaya campuran inai melekit dan mudah melekat pada jari.

Bagaimanapun pada masa sekarang banyak kemudahan dalam pemakaian inai.

Kini serbuk inai banyak dijual. Hanya perlu mencampurkan serbuk inai dengan air dan sudah boleh digunakan. Jika hendak lebih merah, campurkan dengan air pati teh.

Pengantin sekarang juga lebih suka menggunakan serbuk inai kerana menjimatkan masa dan tenaga.
Selain boleh dipakai sendiri, bakal pengantin boleh mendapatkan khidmat pelukis inai.

Bakal pengantin boleh berbincang dengan pelukis inai corak yang dikehendaki dan sesuai.

Salah seorang pelukis inai, Siti Athlia A. Kadir berkata, terdapat banyak corak. Namun kebanyakan yang dilukis pada tangan pelanggannya adalah ilham sendiri.

Sambil menunjukkan gambar koleksi lukisan inai yang pernah dihasilkan, Siti Athlia menambah, ada pengantin yang ingin melihat dahulu contoh lukisan inai.

''Untuk itu, saya akan melukis dahulu di atas kertas. Jika pelanggan bersetuju, saya akan lukis. Namun demikian ada juga pelanggan yang menyerahkan pada saya untuk memilih corak yang sesuai.

''Terdapat juga pengantin yang mahu saya melukis inai mengikut corak inai yang dipakai oleh artis semasa berkahwin.

''Pelbagai corak disediakan tetapi biasanya pelanggan lebih gemar corak bunga-bungaan, tumbuhan menjalar mahupun motif abstrak.

"Jika di Johor, mereka tidak menggemari corak yang terlalu berserabut. Mereka sukakan yang ringkas dan nampak manis.

"Berbeza dengan di Singapura, mereka lebih mahu nampak glamor dan meminta saya menghias lukisan inai dengan kristal swarovski,'' kata Siti Athlia yang datang dari Johor Bahru ke pejabat Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, lukisan inai yang ringkas dapat disiapkan dalam masa 15 hingga 30 minit.

Bagaimanapun lukisan inai pengantin India mengambil masa lebih 30 minit kerana lebih halus dan rumit.

Tambahnya, inai tidak mengambil masa yang lama kerana dalam tempoh satu jam, ia sudah merah. Tetapi jika dibiarkan lebih lama, inai akan semakin merah dan semakin tahan lama.

Jelas beliau, serbuk inai yang digunakan bagi melukis pada tangan akan dicampurkan dengan gula supaya lembap. Air limau nipis dan minyak pula khusus untuk tahan lebih lama.

Bertugas sebagai setiausaha di sebuah hotel di Johor Bahru, Siti Athlia berkata, pada awalnya beliau melukis inai sekadar suka-suka.

Namun setelah empat tahun, beliau semakin menyukai hobi ini dan mula serius dengan hobinya itu.

''Selain untuk pengantin, kini orang bertunang pun mahu memakai inai,'' ujar ibu kepada dua orang anak itu.

Katanya, bayaran yang dikenakan mengikut corak lukisan. Harga pakej untuk inai termasuk depan belakang tangan serta keliling jari tangan dan kaki adalah RM150.

Corak yang lebih rumit akan dikenakan bayaran yang lebih sedikit.

Kepada yang ingin melihat corak-corak inai Siti Athlia boleh membuka Facebook Siti Athlia A. Kadir My Beautiful Henna atau hubunginya di 019-7746160.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment