Jom Jadi Geng

24 April 2011

Amal Gaya Hidup Sihat

Bukan sekadar untuk menjaga kecantikan tetapi memastikan kesihatan kekal sihat. Bagi tiga personaliti ntv7, Fazilah Hani Harun, Azlinda Mohd Salim dan Syarifah Salwa Syed Abdul Rahman, falsafah itu menjadi pegangan mereka.

Ketiga-tiganya turut sependapat, kehidupan aktif amat penting tambahan dengan tekanan dan kesibukan tugasan harian sama ada di tempat kerja mahu pun di rumah. Justeru, kata mereka setiap individu perlu ada ruang masa untuk beriadah atau melakukan aktiviti yang memerlukan pergerakan fizikal. Ini penting kerana bagi mereka kehidupan berkualiti datangnya daripada cara hidup yang sihat.

Bagaimanapun, bagi ibu tiga anak, Syarifah Salwa Syed Abdul Rahman, 31, atau lebih senang dikenali Wawa Al Attas, rutin kehidupannya semakin sibuk, tambah pula sejak dianugerahkan tiga cahaya mata berusia dari lapan bulan hingga tujuh tahun.

Bertambah sibuk apabila waktu kerja panjang dan tiada pembantu rumah untuk membantunya menguruskan kerja di rumah.

Wawa jujur mengakui, tugasan sebagai penyampai berita dan wartawan penyiaran eksekutif bagi bilik berita dan hal ehwal semasa, di samping memikul tanggungjawab isteri dengan ibu kepada tiga anak masih kecil menyebabkannya tidak mempunyai banyak masa.

Dengan alasan itu, dia tidak mengamalkan joging atau pergi ke mana-mana gimnasium mahupun pusat kecergasan bagi melakukan senaman. Kerja rumah dilihat sebagai satu lagi kaedah untuk bersenam.

Kata Wawa, tahap kecergasan ketika remaja dan selepas berkahwin juga berbeza. Selepas berkahwin dan dikurniakan anak, kerja bertambah dan waktu tidur sentiasa tidak mencukupi.
Justeru, bagi mengekalkan stamina, pengambilan makanan turut diberi perhatian, yang juga penting untuk mengekalkan berat badan.

“Ketika bersekolah dulu, saya memang aktif bersukan terutama acara di padang seperti balapan, lompat jauh dan sebagainya. Apabila masuk universiti, pembabitan saya dalam sukan dikurangkan. Kemudian, apabila berkahwin dan sejak ahli keluarga bertambah, ‘senaman’ saya kebanyakannya dengan membuat kerja di rumah termasuklah menjaga pokok di halaman rumah.

“Semua kerja itu sudah cukup memenatkan dan jarang membuatkan saya dapat berehat sepenuhnya di rumah apabila tidak bekerja.” katanya tersenyum.

Namun, jika ada kelapangan dan ingin bersantai bersama keluarga, Wawa dan suami, Eddie Amat, akan membawa ketiga-tiga anak mereka, Muhammad Danish Daniel, 7, Nur Danisha Damiya, 4, dan Muhammad Dani Daniel, lapan bulan, ke pusat boling.

Katanya, melayan kerenah tiga buah hati seharian walaupun hanya bermain boling sudah cukup memenatkan. Namun, yang pasti, aktiviti seumpama itu bukan saja menyihatkan tubuh badan, malah mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Kerana itu juga, Wawa tidak keberatan membawa suami dan ketiga-tiga anak menyertai Larian Amal, Feel Good Run, anjuran ntv7 yang akan diadakan pada 3 Julai depan, di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya.

Acara kebajikan itu diadakan bersempena meraikan ulang tahun ntv7 yang ke-13 dan ia seiring dengan tema stesen televisyen berkenaan iaitu Saluran Ceria Anda. Acara julung kali diadakan itu bukan larian semata-mata, malah akan dimeriahkan dengan karnival mini dan acara pentas oleh selebriti.

Kata Wawa, sekalipun si kecil perlu ‘diangkut’ dengan kereta sorong, ia tidak menjadi halangan buatnya sekeluarga untuk menyertai aktiviti itu.

“Anak-anak mesti seronok hari itu dan saya harap, orang ramai juga dapat datang beramai-ramai untuk memeriahkan acara dan bersuka ria pada hari itu.
Kita bukan hendak berlumba tetapi suka-suka, jadi apalah salahnya bawa anak bersama. Ini juga satu cara saya meluangkan masa bersama anak-anak,” katanya.

Sama seperti rakannya Wawa, Linda, 35, juga berharap tidak bekerja pada hari itu dan dapat bersama-sama menyertai larian amal itu. Baginya, itulah masa dan peluang untuk menjalinkan hubungan lebih erat dengan rakan setugas serta berkenalan dengan lebih ramai orang, sesuatu yang jarang dapat dilakukan ketika sibuk bekerja.

Linda turut membayangkan, acara larian amal itu pasti meriah dan menyeronokkan, berjalan dan berlari beramai-ramai merangkumi pelbagai usia dan bangsa.

“Bagi menyertai larian amal itu, saya tidaklah buat latihan khusus, memadai dengan mengekalkan tahap kesihatan dan kecergasan diri. Kalau nak buat latihan khusus pun memang tiada masa. Balik kerja selalu lewat, sampai rumah sudah penat dan hendak layan anak pula,” katanya ketawa mengingatkan rutin harian yang sentiasa sibuk.

Bagaimanapun, bagi mengekalkan stamina dan menjaga berat badan, Linda cuba mencuri-curi masa melakukan lompatan skipping sebanyak 200 kali, sekurang-kurangnya selang sehari.

Katanya, aktiviti itu diamalkan selepas mendapat anak empat tahun lalu dan apabila mendapati selera makannya semakin bertambah. Selain itu, pada setiap hujung minggu, Linda dan suami, Mohd Faisal Ismail, akan membawa anak lelaki mereka, Ilham Maya melakukan aktiviti berenang selama sejam.

“Walaupun kerja tidak menentu, masa berehat juga perlu ada. Kerana itu, kami sekeluarga pergi berenang. Itu satu cara untuk merehatkan fikiran. Usia semakin meningkat, kita perlu bersenam supaya terus sihat.

“Dulu, masa umur 20-an, makan banyak pun tidak apa, sekarang, semuanya perlu berhati-hati,” katanya yang belum memutuskan sama ada menyertai larian itu sendiri atau bersama keluarga.

Sementara itu, Fazilah, 31, yang baru berkahwin setahun dan belum mempunyai cahaya mata memberitahu, akan menyertai larian amal itu bersama suaminya, juga seorang artis iaitu Azizan Nain.

Fazilah berkata, suami dan beberapa rakan artis lain sudah pun memberi persetujuan untuk menyertai acara berkenaan, sekali gus memeriahkan lagi suasana pada hari itu.

“Aktiviti bersukan dan beramal disatukan, ia pasti sesuatu yang menyeronokkan. Paling penting, kita dapat berhimpun bersama-sama dan berkenalan antara satu sama lain. Tidak kiralah siapa dan apa bidang yang diceburi, bersenam bersama-sama pasti menyeronokkan,” katanya.

Fazilah yang rajin pergi ke gimnasium bersama suami, berkata aktiviti itu sudah menjadi sebahagian daripada rutin mingguan sejak empat bulan lalu. Dengan sokongan dan ditemani suami, Fazilah akan menghabiskan masa di gimnasium sekurang-kurangnya satu jam untuk dua kali seminggu.

“Saya jarang dapat bersenam cara lain sebab habis kerja dan sampai ke rumah pun sudah malam. Untuk memudahkan keadaan dan memastikan saya dapat bersenam, saya menyertai kelab di gimnasium berdekatan tempat kerja. Habis kerja, terus saja ke sana,” katanya.

Fazilah yang juga suka aktiviti berenang berkata, setiap individu perlu prihatin terhadap kesihatan dan bersenam.

“Apabila bersenam, kita bukan hendak kurus dan nampak cantik saja tetapi inginkan keseimbangan hidup dan meningkatkan kesejahteraan diri. Selain itu, bersenam dapat menguatkan tulang. Ketika muda inilah, kita perlu jaga semua itu,” katanya mengakhiri perbualan.

INFO
* Larian amal ini terbahagi kepada empat kategori iaitu Feel Good Run - larian sejauh tujuh kilometer untuk usia 13 tahun dan ke atas; Celebrity Run - tiga kilometer untuk umur 13 tahun dan ke atas; Fun Costume Run - tiga kilometer untuk umur tiga tahun dan ke atas; dan Kids Run - 700 meter untuk umur 12 tahun dan ke bawah.


* Yuran penyertaan ialah RM25 seorang untuk setiap kategori dan RM10 untuk kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah.


* Hasil kutipan akan disalurkan kepada empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Kebangsaan Autism Malaysia (NASOM), Persatuan Kanser Kebangsaan (NCS), Yayasan Jantung Malaysia (YJM) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF).


* Pendaftaran dibuka dari 19 Mac sehingga 3 Jun. Pendaftaran boleh dilakukan di laman web www.ntv7.com.my/feelgoodrun dan di dua lokasi iaitu Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan (FTAAA) di Jalan Hang Jebat dan Twenty First Century Sports Sdn Bhd di Subang Jaya.


* Untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian 03-56373821 atau layari laman web ntv7.

Dipetik dari : www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment