Jom Jadi Geng

09 March 2011

Pencarian Ratu Kebaya 2011 bermula

Akhir-akhir ini banyak pertandingan berkaitan dengan dunia kecantikan dianjurkan oleh pelbagai pihak. Bagaimanapun modus operandi penganjur pertandingan biasanya hanya mencari wanita yang langsing, bertubuh kecil molek dan semestinya yang cantik jelita.

Lalu, apa aktiviti yang boleh dilakukan oleh wanita yang mempunyai tubuh badan agak besar atau gemuk? Apakah mereka tidak boleh meraih peluang yang sama dengan wanita yang kekal langsing?

Justeru, akhbar Mingguan Malaysia melalui sisipan Pancaindera bersama dengan produk jamu nombor satu, Jamu Mak Dara akan menganjurkan Pencarian Ratu Kebaya 2011.

Pertandingan yang akan berlangsung di pusat membeli-belah Carrefour di seluruh negara ini akan membuka ruang kepada wanita yang mempunyai berat badan lebih 60 ke atas untuk menyertainya.

Menurut Pengarah Urusan Jamu Mak Dara, Syed Gaddaffi Syed Ali Al-Habsyee, penganjur menyediakan dua kategori dalam pertandingan berkenaan iaitu untuk wanita dengan berat 59 kilogram ke bawah dan 60 kilogram ke atas.

"Tujuan kita membuka satu lagi kategori ialah untuk memberi peluang kepada wanita bertubuh besar untuk turut rasa dihargai. Oleh kerana pengguna produk kami terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat, wanita bertubuh badan besar melebihi 60 kilogram juga dialu-alukan untuk bersama-sama dalam pencarian ini.

Pemenang pertandingan akan berpeluang untuk muncul di dalam iklan promosi Jamu Mak Dara, selain hadiah wang tunai RM5,000 menanti pemenang utama.

Untuk permulaan, pertandingan Ratu Kebaya 2011 akan berlangsung di Carrefour Seksyen 23, Shah Alam, Selangor, pada 6 Mac ini.

Bermula jam 10 pagi untuk urusan pendaftaran, juara kedua-dua kategori akan diumumkan sebagai Ratu Kebaya Shah Alam dan berpeluang untuk mara ke peringkat akhir yang akan diadakan pada 4 Disember di Kuala Lumpur secara gilang-gemilang.

Di Carrefour Seksyen 23, Shah Alam, penyanyi Heliza Helmi akan menyerikan pertandingan sebagai juri bersama pengasas Jamu Mak Dara, ibu Halimah Shuib dan Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin. Pertandingan terbuka kepada semua wanita warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

Untuk menyertai, peserta perlu mendaftar sebanyak RM50 dan setiap penyertaan akan diberikan produk jamu Mak Dara dan hadiah iringan.

Pertandingan akan membuka laluan kepada peserta yang hadir lengkap berpakaian kebaya dan berhias menarik. Tak cukup dengan itu, bagi peserta yang mempunyai bakat dalam bidang nyanyian, lakonan atau peragaan, ini merupakan satu tiket emas buat mereka untuk mara ke peringkat akhir.

Ia sekali gus memberi ruang untuk peserta mencuba nasib dalam mana-mana bidang yang diminati sekiranya berjaya meraih gelaran Ratu Kebaya Pancaindera Mak Dara 2011.

Johan pertandingan Ratu Kebaya peringkat saringan pertama ini akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM500 dan hamper Carrefour bernilai RM100, selain cenderahati eksklusif Mingguan Malaysia. 

Naib johan akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300 manakala tempat ketiga berjumlah RM150 termasuk hamper. Hadiah grand final yang bakal menjadi rebutan peserta di peringkat akhir berupa wang tunai berjumlah RM5,000, hamper tajaan Carrefour serta pakej pelancongan ke Bali, Indonesia selama tiga hari dua malam.

Selepas Shah Alam, pencarian finalis akan diteruskan pula di Kuala Terengganu, Terengganu (2 April), Pulau Pinang (30 April), Port Dickson (28 Mei), Johor Bharu (25 Jun), Kuantan (1 Oktober) serta Melaka (19 November).

Hubungi talian 019-2247191 untuk urusan pendaftaran awal.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment