Jom Jadi Geng

20 September 2011

Hetty kini usahawan perabot

Kecerian Hetty Koes Endang masih tidak berubah seperti mana di awal perkenalan dengannya lebih sedekad lalu.

Keramahannya akan mudah membuatkan sesiapa sahaja tidak segan dan kekok untuk bercerita dan berbual panjang lebar.

Inilah yang terjadi saat Hits diundang ke kediamannya di Bandar Serpong Damai (BSD), Jakarta baru-baru ini.

"Sudah lama kita tidak ketemu ya. Tahu-tahu saja kamu sudah berpindah ke sini (Jakarta)," katanya menyapa penulis.

Sementara menanti waktu berbuka puasa, kesempatan diambil untuk menemuramah beliau.

Selepas sekian lama menyepi, Hetty bersama suaminya, Dr. Yusuf Erwin Faisal sebetulnya sudah meneroka bidang baru.

Pasangan suami isteri itu kini mengusahakan perniagaan perabot sejak setahun lalu.

"Inilah dunia baru saya. Jika tiada sebarang undangan mengadakan persembahan saya akan memberi tumpuan pada perniagaan ini.

"Bisnes yang saya jalankan ini memberikan saya pengalaman baru. Kalau dulu saya hanya tahu menyanyi tetapi sekarang saya harus bijak menjual produk pula," katanya sambil ketawa.

Kebetulan berada di kediamannya, Hetty membawa Hits meninjau bengkel tempat perabot-perabot yang beliau dan suami usahakan.

Bengkel Perabot TBL diusahakan di kediaman pasangan itu sendiri di BSD Tangerang Selatan.
Pelbagai perabot daripada jenis dijual Hetty dengan ukuran yang pelbagai saiz turut ditawarkan kepada mereka yang berminat.

Kepada Hetty, perniagaan itu diasaskan oleh beliau dan suaminya sebagai jaminan masa depan untuk anak-anak mereka, Ameer Mahmed dan Afifah Qamariah.

"Saya tidak berniat untuk memaksa anak-anak aktif dalam bidang perniagaan. Sebaliknya, bisnes ini merupakan satu jaminan untuk mereka dalam menghadapi masa depan.

"Bahkan, bisnes yang kami jalankan ini juga merupakan ruang untuk saya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan kerana kami sama-sama memberi fokus dan tumpuan pada perkembangan bisnes ini," jelasnya sambil memberitahu kedua-dua anaknya turut serta membangunkan perniagaan perabot itu.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan perabot-perabot yang ditawarkan di TBL Furniture, anda boleh mengirimkan e-mel ke asaatari@yahoo.com.

Pengurusan Hetty bersedia melayani sebarang pertanyaan daripada mereka yang mahu mendapatkan bekalan dalam kuantiti yang banyak.

"Kami juga mahu meneroka pasaran Malaysia kerana saya difahamkan ramai orang di Malaysia yang gemarkan perabot seperti ini.

"Mudah-mudahan selepas ini perniagaan boleh diadakan di sana pula, Insya-Allah," katanya sambil mempelawa mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi ejen di Malaysia boleh menghubunginya menerusi alamat e-mel berkenaan.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment