Jom Jadi Geng

20 April 2012

Bukan Sekadar Cantik Pada Wajah

Memiliki kecantikan fizikal bukanlah kayu ukur yang membolehkan seseorang dinobatkan sebagai Ratu Festival Menuai Sedunia (WHF). Lebih penting, ia perlu diseimbangkan dengan kecantikan peribadi dan sikap.

Justeru, tidak hairanlah juara Miss WHF 2012 yang dinobatkan baru-baru ini, Magrina Awing George, 19, menolak andaian bahawa seseorang ratu cantik itu perlu memiliki kecantikan fizikal semata-mata untuk memenangi pertandingan seumpama itu.

“Kemenangan seseorang tidak hanya bergantung kepada kecantikan fizikal kerana sikap dan komitmen untuk bersaing dalam pertandingan Miss WHF 2012 itu juga penting,’’ katanya kepada Stailo! ketika ditemui baru-baru ini.

Gadis kacukan Iban dan Kayan itu merupakan antara 14 orang peserta akhir yang bersaing dalam sembilan kategori termasuk kategori Miss WHF 2012. Acara tersebut berlangsung penuh meriah di Kampung Budaya Sarawak pada 26 Mei lalu.

Ketika pengacara majlis mengumumkan namanya sebagai juara Miss WHF 2012, Magrina mengakui dia benar-benar terkejut dan tergamam.

“Memang saya sangat terkejut dan langsung tidak menjangkakan kemenangan tersebut kerana sebelum itu saya hanya menyasarkan untuk meraih kemenangan bagi kategori Miss Fitness,’’ ujarnya terharu.

Magrina yang berasal dari Long Laput, Ulu Baram di Miri pada sebelah ibu dan Kanowit di Sibu bagi sebelah bapa berkata, faktor kemenangannya mungkin kerana komitmen yang tinggi sepanjang menyertai pertandingan itu.

Selama dua bulan menjalani latihan untuk pertandingan tersebut, dia sentiasa menjaga disiplin, penampilan diri, sentiasa bersikap baik, tidak mementingkan diri sendiri dan mengambil berat terhadap peserta-peserta lain meskipun mereka bersaing sesama sendiri.

Anak kedua daripada lima beradik ini juga menyifatkan dirinya seorang yang ringan tulang dan gemar membantu mereka yang dalam kesusahan.

Pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ini gembira menyertai Miss WHF 2012 kerana berpeluang menimba banyak pengalaman baharu.

Magrina juga melahirkan rasa teruja dengan kehadiran Miss Malaysia 2010/2011, Nadia Heng Mind Dern pada malam kemuncak Miss WHF 2012. Beliau menyifatkan kehadiran Nadia telah membakar semangat semua para peserta untuk melakukan yang terbaik.

“Nadia sangat cantik dan saya begitu teruja apabila mengetahui beliau hadir pada malam tersebut. Malah, kehadirannya itu telah menjadikan Miss WHF 2012 ini semakin berprestij,’’ katanya yang fasih bertutur dalam lima bahasa iaitu bahasa Iban, Kayan, Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Lanjut pengajian

Menyentuh mengenai perancangan masa depan, Magrina mahu melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang komunikasi massa atau sumber manusia di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“Saya masih menunggu tawaran untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan berharap dapat memasuki Unimas,’’ ujar Magrina yang berhasrat untuk menyertai pertandingan Miss Borneo pada bulan Oktober ini.

Pencarian Miss WHF 2012 yang berlangsung sejak bulan Mac lalu menerima 120 penyertaan. Bagaimanapun, penganjur acara tersebut, Kampung Budaya Sarawak (SCV) menyaring hanya 60 peserta terbaik.

Pada 24 Mac lalu, seramai 15 daripada 60 peserta berkenaan telah dipilih untuk bersaing ke peringkat akhir. Bagaimanapun, salah seorang peserta terpaksa menarik diri lalu menjadikan peserta akhir Miss WHF 2012 hanya seramai 14 orang.

Penaja utama Miss WHF 2012 ialah jenama haruman One Drop Perfumes manakala akhbar Kosmo! menjadi rakan media rasmi. WHF 2012 dianjurkan sempena sambutan Hari Gawai pada setiap 1 dan 2 Jun oleh masyarakat Dayak di Sarawak.

Hampir kecewa

Sementara itu, peserta termuda dan pemenang tempat kedua Miss WHF 2012, Gracia Vicky Chua, 18, mengakui agak kecewa pada peringkat awal kerana namanya langsung tidak menjuarai mana-mana kategori yang dipertandingkan.

Menurut gadis kacukan Iban dan Cina ini, pada masa itu dia hanya memikirkan mungkin akan pulang dengan tangan kosong. Apatah lagi, kategori yang menjadi sasarannya iaitu Miss Talent dimenangi orang lain.

Bagaimanapun, apabila pengacara majlis iaitu Iwan Dasri mengumum namanya sebagai pemenang tempat kedua, gadis yang berasal dari Kampung Entingan, Kota Samarahan itu nyata terkejut.

“Saya tidak percaya pada mulanya kerana saya tidak meletakkan sebarang harapan bagi kategori utama,” katanya yang menyambut Hari Gawai di Rumah Panjang Gran A di Sri Aman.

Anak ketiga daripada empat beradik itu memberitahu, dia tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik sebelum ini. Bagaimanapun, Gracia tidak menafikan telah belajar banyak perkara baharu sepanjang menyertai pertandingan tersebut.

Buat masa ini, Gracia sedang menunggu keputusan temu duga Suruhanjaya Perhidmatan Awam (SPA) bagi jawatan inspektor kesihatan. Pada masa yang sama, dia memasang impian menjadi penghibur dan berkecimpung dalam industri penyiaran.

Berulang-alik

Sementara itu, pelajar Farmasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kara Karissa Simon, 23, yang diumumkan sebagai pemenang ketiga Miss WHF 2012 pula tidak menyangka dengan kemenangan yang diraihnya.

Jelas Kara, dia kurang bersungguh-sungguh jika dibandingkan dengan peserta lain. Sehinggakan, sehari sebelum pertandingan akhir dia merasakan masih belum bersedia sepenuhnya.

Menurut Kara, pada peringkat awal, ibunya tidak begitu gembira dengan penyertaannya dalam Miss WHF kerana ia banyak melibatkan kos untuk berulang-alik ke tempat latihan setiap hari.

“Bagaimanapun apabila diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga Miss WHF, keluarga saya pula melahirkan rasa gembira dengan kejayaan itu,’’ kata anak sulung daripada tiga beradik ini yang baru selesai menjalani latihan praktikal di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Kara yang berasal dari Kampung Seratau, Kuching memberitahu, Miss WHF merupakan platform yang baik untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat anak-anak tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

Dia juga menyifatkan pertandingan tersebut banyak memberi pendedahan kepada para peserta mengenali kebudayaan masyarakat di Sarawak.

“Saya sendiri misalnya, tidak banyak yang saya ketahui mengenai adat budaya etnik-etnik di Sarawak termasuklah kaum saya sendiri. Kini, saya mula mempelajari mengenainya termasuklah pakaian tradisional,’’ kata gadis berketurunan Bidayuh itu.


Dipetik dari : www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment