Jom Jadi Geng

07 June 2011

Kek Pop Amezah

Berbanding dengan kek cawan, populariti 'kek pop' dianggap masih baru di kalangan penggemar kek di negara ini. Ia juga dikenali sebagai 'Kek Pop Pahar' kerana dicucuk dengan batang lolipop supaya lebih mudah dipegang ketika makan.

Kek ini bukan sahaja comel malah boleh didapati dalam pelbagai bentuk, warna dan hiasan. Malah ia boleh disesuaikan dengan apa juga tema majlis.

Amezah Kassim, 29, merupakan salah seorang pembuat Kek Pop Pahar di Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun cuma sejak setahun yang lalu sahaja dia mempromosi kek ciptaannya menerusi Internet cakepopkl.blogspot.com.

Jelas Amezah, dia mula jatuh cinta dengan kek pop ketika melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat.
Ketika di sana beliau mengambil peluang membeli beberapa buah buku cara membuat kek pop yang sememangnya sudah popular di sana.

Sekembalinya ke tanah air, Amezah mencuba menghasilkan kek pop sendiri sehingga berjaya.

''Selama dua bulan juga saya mempelajarinya. Daripada membuat kek sehingga kerja-kerja membalutnya dengan coklat dan kemudiannya menghiasnya,'' katanya ketika ditemui di Andalucia Pantai Hill Park, Jalan Pantai Permai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Amezah pada peringkat awal, dia cuma membuat kek pop untuk tempahan di kalangan saudara-mara dan rakan-rakan.

Katanya, ketika itu masih di peringkat percubaan di mana dia masih memerlukan masa untuk betul-betul mahir dalam menghasilkannya.

Disebabkan kek itu kecil maka cara membuatnya memang rumit dan memerlukan kesabaran dan ketelitian.
Katanya, kek pop pahar itu sesuai untuk semua majlis termasuk pertunangan, perkahwinan, hari lahir, baby shower, bachelor party dan sebagainya.

Berikutan itu, katanya, kek itu antaranya boleh didapati dalam bentuk buah strawberi, kartun, ladybird, ikan, bola ragbi, bibir dan haiwan.

''Biasanya kek pop pahar ini akan dihasilkan mengikut tema majlis yang mahu diadakan oleh pelanggan.
"Saya akan memberikan cadangan hiasan kek yang sesuai,'' katanya.

Kata Amezah, ramai yang tertarik untuk menempah kek pop kerana ia bukan sahaja cantik tetapi mudah disediakan kepada tetamu.

Bagaimanapun kata Amezah setakat ini beliau hanya menerima tempahan di sekitar Lembah Klang kerana penghantaran jauh akan menyebabkan kek itu rosak.

"Biasanya kek pop yang ditempah ini akan lengkap dengan bekas yang disesuaikan dengan tema majlis yang bakal diadakan,'' ujar Amezah.

Katanya, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menempah kek dalam tiga perisa iaitu vanilla, coklat dan merah baldu .

Harga kek pop pahar serendah RM2.50 dan setiap tempahan juga harus diberitahu dua minggu lebih awal.
''Saya juga memberikan pilihan kepada pelanggan yang tidak suka manis untuk menempah kek tanpa gula,'' katanya.

Katanya, kek ciptaannya dapat bertahan selama seminggu jika diletakkan di luar peti sejuk.

Jelas Amezah, sesiapa yang berminat untuk menempah boleh menghubunginya di talian 019 2131105 atau menghantar emel cakepopkl@yahoo.com.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment