Jom Jadi Geng

20 December 2011

Anak, Cucu Peneman di Usia Tua

Memang tidak dinafikan menguruskan warga emas adalah suatu cabaran, apatah lagi kalau kesihatan dan keadaan fizikal mereka tidak sekuat seperti ketika muda.

"Keadaan tersebut membuatkan golongan ini mudah menjadi sensitif dan lebih beremosi,'' ujar Pakar Kaunseling Keluarga, Profesor Madya Dr. Saedah A. Ghani.

Bagaimanapun tegas beliau, proses penuaan adalah proses normal yang berlaku kepada setiap individu.
Malah setiap hari kita pasti melalui proses penuaan bermula dari saat dilahirkan lagi.

Menurut pakar psikologi Barat, Erik Erikson (1963), kitaran hidup manusia merangkumi beberapa tahap dalam kehidupan serta mempunyai tugas dan tanggungjawab perkembangan yang perlu dilakukan.

Beliau yang merupakan pensyarah kaunseling keluarga dan perkahwinan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memberitahu, tahap itu bermula dari peringkat bayi hingga tua dan saat kematian.

"Oleh yang demikian menjadi tua adalah suatu yang pasti dan kita tidak dapat mengelak daripada melalui proses tersebut.

"Dalam situasi sedemikian, golongan warga emas ini mahukan anak-anak menjadi peneman. Ketika itu mungkin mereka mahu bercerita tentang kisah-kisah lampau yang boleh memberikan keseronokan pada diri mereka," ujarnya lagi.

Kata Dr. Saedah, keadaan tersebut boleh memberikan seseorang warga emas kembali 'segar' apabila boleh berkongsi cerita dengan orang-orang sekeliling termasuklah anak cucu.

Katanya lagi, dalam situasi tersebut, warga emas bukan lagi memerlukan wang ringgit mahupun sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi mereka perlukan belaian kasih sayang daripada anak cucu.

"Jadi sebagai anak, tidak perlu merungut sekiranya ibu bapa mereka suka mengulang-ulang cerita yang sama kepada anak-anak,'' ujar beliau yang memberitahu itu adalah sikap normal bagi golongan warga emas.

Ditanya mengenai sikap warga emas, Dr. Saedah memberitahu, golongan itu biasanya mudah sensitif dan ada ketika sikap mereka seperti kembali ke alam kanak-kanak.

Tegas beliau lagi, dalam menjaga warga emas, anak-anak perlu bertolak ansur dan banyak mengalah kerana keadaan itu penting dalam menenangkan keadaan.

Malah, apabila seseorang meningkat umur, perangai dan juga tingkah-laku seseorang itu juga turut berubah, malah kadang-kala mereka kembali bersifat keanak-anakan.

"Oleh itu, anak-anak yang menjaganya perlu memainkan peranan dan banyak bersabar," terangnya serius.
Menurut Dr. Saedah, bagi mereka yang pernah berkerja, mereka akan merasa sunyi selepas bersara, keadaan itu akan menyebabkan emosi juga turut berubah dan terganggu.

Kesunyian itu akhirnya akan membelenggu kehidupan seharian mereka jika tidak diuruskan sebaik mungkin.
Katanya lagi, biarpun sudah tidak mampu menyumbang dari segi produktiviti, golongan warga emas merupakan aset kepada negara kerana mereka ada ilmu, sabar dan mempunyai pengalaman yang luas
''Mereka boleh melakukan kerja-kerja mendidik secara tidak formal kepada anak-anak remaja atau cucu-cucu kerana mereka berkeupayaan menjadi penghubung antara generasi yang boleh menegur salah dan silap pembawaan generasi muda,'' katanya.

Tegas beliau, kelebihan warga tua dianggap sebagai penjaga nilai kebangsaan (custodian of national values) dan pengikat kasih sayang keluarga dalam pengukuhan komuniti.

''Untuk itu warga emas itu sendiri perlu berusaha ke arah menjadi warga tua yang lebih baik dengan mengekalkan nilai-nilai murni yang ada dalam peradaban mereka.

''Sebolehnya biarlah minda mereka selari dengan keadaan semasa dan sentiasa peka dengan perkembangan dan mahu pula mengadaptasi perkara-perkara terkini,'' ujar Dr. Saedah.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment