Jom Jadi Geng

10 May 2012

Baju Raya Batik Sarung

Biarpun kedatangan Syawal masih agak jauh, sebilangan pereka fesyen masing-masing sudah mula menampilkan koleksi rekaan untuk hari raya.

Antara yang paling awal berbuat demikian pereka yang kerap dikaitkan dengan motif-motif batik iaitu Michael Shu.

Pereka ini tampil dengan koleksi terbaru di bawah label ‘Purnama by Michael Shu’ yang tertumpu kepada pakaian muslimah seperti tudung, skarf, baju kurung, jubah dan batik.

Bagi mencetus kelainan, Michael telah memperkenalkan satu konsep baju kurung berkain sarung dengan corak batik Malaysia.

Corak yang diterapkan dalam rekaan ini menggunakan teknik blok batik dan kain sarung Baba dan Nyonya.

“Ilham koleksi ini terhasil apabila melihat gambar-gambar lama seperti gambar seorang perempuan berkebaya Nyonya dan perempuan berbaju kurung tradisional.

“Gambar klasik itu mendatangkan idea kepada saya untuk menggabungkan dua budaya melalui fesyen. Oleh itu terhasilah gabungan ini dengan ciri-ciri yang klasik.

“Disebabkan mengandungi unsur-unsur batik, ia menjadi gabungan yang paling ideal," katanya pada majlis pelancaran label Purnama by Michael Shu dan peragaan koleksi terbaru Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.

Menurut Michael lagi, rekaan kali ini lebih segar, unik dan kemas dengan sebahagian tumpuan diberi pada pemilihan fabrik.

Malah, kelainan yang ditonjolkan dengan menampakkan ciri-ciri tradisional bersama kain sarung stail Nyonya, bersesuaian juga dengan konsep 1 Malaysia.

Pilihan warna pula agak kontras untuk menaikkan seri batik seperti kuning, kelabu, hitam, ungu dan sebagainya.

Padanan antara tradisional dan moden seperti blaus labuh dengan batik sarung menjadikan penampilan lebih unik.

Ditambah pula dengan penggunaan fabrik mewah seperti syifon dan renda Perancis yang diserlahkan lagi dengan perhiasan seperti manik, bunga ros, dan batu-batu permata.

Sementara itu, dalam majlis tersebut dua selebriti dan model-model telah memperagakan koleksi tersebut dengan versi yang berbeza.

Pelakon terkenal Rozita Che Wan tampil menggayakan kurung moden berwarna merah jambu yang direka menggunakan kain sulaman di atas kain syifon nampak ringkas dan selesa bila dipakai.

Manakala, model terkenal Amber Chia, juga mengenakan rekaan baju kurung moden berwarna kelabu yang kelihatan mewah dan elegan, dihiasi dengan batu-batu permata di pergelangan tangan dan leher baju menyerlahkan keayuan si pemakai.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment