Jom Jadi Geng

30 May 2012

Mandi Bunga Untuk Nor Syafiqah


Kurang lagi 32 jam, status Nor Syafiqah Mohamed, juara Peraduan Gerbang Cinta Musim Ke-3 akan bertukar daripada 'cik' kepada 'puan'.

Siapa yang tidak gembira dapat hidup bersama insan tersayang tapi dalam kegembiraan tersebut ada juga rakan-rakan yang berat hati melepaskan dalam rela.

Maklumlah jika sebelum ini cakap saja bila mahu bertemu pasti boleh saja, tapi selepas bergelar isteri tentulah tumpuan seharusnya diberi kepada suami dan rumah tangga.

Prihatin dengan keadaan tersebut, Zamzana Mohd Arifin selaku pemilik Suri Permai Spa mencetuskan satu 'acara' istimewa untuk bakal pengantin perempuan.

Acara yang dinamakan Bridal Shower Party ini adalah satu cetusan yang timbul selepas beliau melakukan sedikit 'penyelidikan' menerusi Internet.

"Kalau di Barat bakal pengantin lelaki memang akan mengadakan Bachelor's Party sekurang-kurang sehari sebelum mereka berkahwin. Untuk bakal pengantin perempuan pula memang ada Bridal Shower Party.

"Pada ketika itu , bakal pengantin perempuan akan menghabiskan masa bersama teman-teman akrab mereka melakukan aktiviti bersama sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.

"Dalam acara tersebut juga biasa sahabat terdekat bakal pengantin akan menyerahkan hadiah istimewa buat sahabat mereka.

"Saya pula mengubahsuai idea tersebut yang diterjemahkan dalam bentuk spa bersama teman-teman rapat.

"Jadi dari situlah idea untuk memberikan pemenang Peraduan Gerbang Cinta ini satu pengalaman di mana dalam Bridal Shower Party di Suri Permai Spa ini, bakal pengantin bukan sahaja dapat melepak bersama rakan karib mereka malah mereka juga mendapat layanan di spa mengikut pakej apa yang mereka mahukan," jelas Zamzana yang ditemui di spanya yang terletak di Platinum Walk, Danau Kota, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Melalui majlis ini bakal pengantin bersama empat lagi tetamunya boleh memilih salah satu dari empat pakej yang ditawarkan.

Antara rawatan yang termasuk dalam pakej ini ialah manikur, pedikur, rawatan muka, urutan aromaterapi, solekan dan banyak lagi mengikut pakej yang ditawarkan.

Bukan itu sahaja, pada hari yang telah ditetapkan, spa ini akan ditutup untuk orang ramai dan bakal pengantin bersama tetamu-tetamunya akan dapat bersembang sambil menikmati hi-tea ringan yang turut disediakan.

"Selepas berkahwin wanita mempunyai komitmen yang begitu tinggi untuk rumah tangga apatah lagi selepas mendapat cahaya mata. Mereka akan meletakkan urusan seperti memanjakan diri, bersama kawan-kawan sebagai agenda kedua.

"Untuk rawatan di spa juga, bukan semua rawatan boleh dinikmati oleh wanita selepas berkahwin kerana kesuntukan masa, jadi inilah masanya untuk mereka menikmati rawatan di spa bersama teman-teman rapat sebelum melangkah ke alam baru," ujar Zamzana lagi.

Tambahnya, bakal pengantin memang berhadapan dengan pelbagai urusan sehingga menyebabkan mereka menjadi cepat risau.

"Di Suri Permai Spa, biarkan kami memulihkan kembali emosi mereka supaya apabila tiba hari perkahwinan mereka akan lebih yakin, ceria, aura pengantin juga pasti terserlah," katanya.

Sementara itu bagi Nor Syafiqah, minggu ini merupakan sesi kedua dirinya menjalani rawatan di sini.

"Minggu lepas saya buat skrub badan, rawatan rambut dan juga mandi bunga. Untuk minggu ini buat body bleaching, rawatan kuku tangan dan kaki. Memang segar dan seronok dapat merasa pengalaman ini tambahan lagi ini merupakan pengalaman pertama saya memanjakan diri di spa.

"Siapa tak seronok apabila tubuhnya dimanjakan, saya juga berasa lebih yakin untuk tampil pada majlis perkahwinan selepas rawatan ini," katanya yang secara peribadi menyukai rawatan facial.


Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment