Jom Jadi Geng

14 April 2011

RM5,000 Menanti Ratu Kebaya

Mingguan Malaysia melalui sisipan Pancaindera membuka peluang kepada semua wanita untuk merebut hadiah bernilai RM5,000 melalui pertandingan Ratu Kebaya yang diadakan sempena program Bengkel Cantik Sihat Pancaindera 2011 di seluruh negara.

Acara yang dianjur bersama produk jamu terkenal, Jamu Mak Dara ini dibuka kepada semua wanita berusia 18 tahun ke atas.

“Kita memberi peluang kepada semua wanita yang suka kepada motivasi ke arah hidup sihat dan bahagia menyertai program ini.

“Sebagai penganjur acara, sudah tentunya kami amat terharu dan berbangga kerana semenjak diadakan lebih empat tahun lalu, Bengkel Cantik Sihat Pancaindera terus mendapat sambutan yang memberangsangkan,” kata Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Bengkel Cantik Sihat Pancaindera telah dimulakan semenjak tahun 2007 dan ia telah disertai oleh lebih 10,000 wanita di seluruh negara semenjak diadakan.

Acara akan diisi dengan sesi motivasi kecantikan yang akan dikelolakan oleh pengasas Jamu Mak Dara, ibu Halimah Shuib sendiri.

Dalam sesi ini, peserta juga berpeluang menggali petua kebahagiaan rumah tangga bersama ibu Halimah termasuk langkah-langkah senaman yang betul khusus buat golongan wanita yang prihatin dengan penjagaan bentuk tubuh.

Tidak cuma Jamu Mak Dara, peserta juga akan didedahkan dengan tips kecantikan dan teknik solekan daripada produk kosmetik terkenal Forest’s Secret.

Antara pengisian di dalam slot bersama Forest’s Secret ialah teknik solekan ke pejabat dan majlis makan malam yang dikendali Ketua Pegawai Eksekutif jenama berkenaan, Intan Hyriatee Mohd Zawai.

Bagi memberi kelainan kepada acara, penganjur juga mempelawa peserta untuk menyertai pertandingan Ratu Kebaya yang turut diadakan bersempena bengkel tersebut.

Pertandingan yang julung-julung kali diadakan ini terbuka kepada seluruh wanita yang berminat tanpa mengira saiz badan.

Bukan hanya dibuka kepada wanita yang berbadan langsing, wanita yang bersaiz L atau XL dipelawa tanpa sebarang prejudis.

“Pemenang utama menerima wang tunai RM5,000, diberi peluang muncul dalam iklan Jamu Mak Dara, selain insentif melancong secara percuma dan layanan spa kelas pertama di salon kecantikan kami,” kata Pengarah Urusan Jamu Mak Dara, Syed Gaddaffi Syed Ali.

Bakal diadakan di Hotel Hard Rock, Pulau Pinang pada 30 April 2011, juara peringkat saringan kedua ini berpeluang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM500 serta hamper bernilai RM100 termasuk cenderahati eksklusif Mingguan Malaysia.

Naib johan pula akan menerima hadiah wang tunai RM300 manakala tempat ketiga berjumlah RM150 dan hamper.

Juara dari setiap negeri secara automatik layak ke peringkat akhir di Kuala Lumpur pada 3 Disember depan.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai bengkel dengan yuran penyertaan RM80 ini boleh menghubungi talian 019-2247191 (Kelly) dan 017-3448624 (Athirah) untuk pertanyaan lanjut.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment