Jom Jadi Geng

30 April 2011

Linda Jasmin Mangsa Cemburu

Linda tepis gosip dirinya muflis, rumah tangga dilanda konflik

Insan mana yang tidak terkesan apabila cerita tidak benar menimpa diri? Apatah lagi jika cerita itu bersifat negatif. Tanyalah kepada sesiapa pun, pasti mereka juga seboleh-bolehnya enggan berdepan situasi tidak menyenangkan seperti ini.

Pereka tari terkenal, Linda Jasmine tidak terkecuali daripada terkena tempias gosip liar apabila bergelar selebriti. Wanita yang sinonim dengan program Akademi Fantasia ini turut berdepan dengan cerita yang mengganggu emosi, apabila namanya juga tergolong dalam kelompok yang dikenali.

Baru-baru ini, tersebar cerita kononnya wanita anggun ini berdepan masalah kewangan sehingga dikatakan jatuh bankrap. Akibatnya, dia terpaksa menutup studionya di Ampang, malah rumah tangga yang dibina bersama pelakon Que Haidar juga bergolak dek masalah dihadapi.

Tentunya bukan gosip yang kecil, yang boleh dilupakan begitu saja. Linda sendiri mengaku agak tertekan dengan khabar angin yang bertiup itu. Begitupun, dia nyata tidak mudah patah semangat dengan cerita liar begitu, sebaliknya semua itu tidak menghalang wanita ini untuk terus bergerak aktif dalam bidang yang cukup sebati dengan dirinya.

Lebih daripada itu, dia melihat semua khabar angin itu tidak lebih daripada secubit cabaran hidup yang perlu ditempuh. Bahkan, gosip yang dikaitkan dengan dirinya itu dianggap sebagai propaganda pihak tertentu yang kurang senang dengan kehidupannya kini serta cemburu dengan perniagaan yang diuruskan.
Pokok pangkalnya, segala tohmahan itu tidak berasas sama sekali.
"Gosip mengatakan studio saya ditutup kerana muflis itu hanyalah tindakan jahat pihak tertentu yang tidak senang dengan kami," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi Linda, apa saja gosip yang dikaitkan dengan dirinya hanyalah usaha pihak tertentu untuk meraih perhatian media, malah dakwaan yang dilemparkan pihak terbabit bermotifkan cemburu. Mereka ingin melihat perniagaannya jatuh.

Linda turut bersyukur apabila sikap saling memahami antaranya dan suami, mengeratkan lagi hubungan mereka tatkala gosip terbabit dikatakan turut menjejaskan mahligai bahagia dua selebriti ini. Kehadiran dua cahaya mata, Qalif Khan, 10, dan Tengku Ratu Haidar, setahun setengah, menidakkan lagi dakwaan hubungan mereka keruh dek gosip itu.

“Alhamdulillah, hubungan kami baik dan bertambah mesra. Walaupun berdepan gosip seperti ini, ia sedikit pun tidak menjejaskan rumah tangga kami, malah dengan adanya anak-anak di sisi menguatkan lagi perhubungan kami.

“Gosip mengenai studio saya bankrap sudah lama tersebar. Padahal sampai sekarang saya masih menguruskan studio itu. Perniagaan kami semakin baik, walaupun memang ada pasang surut. Itu kan adat dalam berniaga,” katanya.

Kegetiran berdepan cerita liar begitu enggan dijadikan alasan olehnya untuk mengabaikan perkara lebih penting dalam hidup, iaitu keluarga dan kerjanya.

Katanya, fokus kepada suami, anak-anak dan pengurusan perniagaan Linda Jasmine Performing Arts Studio miliknya itu tidak pernah dipinggirkan ke tepi.

Apapun cabaran yang datang, Linda tidak pernah mengalah atau berputus asa, baginya setiap masalah yang berlaku adalah norma kehidupan yang perlu ditempuhi setiap insan. Dia juga tidak pernah menjadikan masalah sebagai bebanan dalam rumah tangga.

Mengambil sikap berbincang dan berkongsi pandangan dengan suami bukan saja dapat menyelesaikan masalah, malah dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

Meskipun Linda sendiri kurang terbabit dalam program TV, namun dia sebenarnya masih aktif dalam bidang tarian, termasuk mengajar di kelas kendaliannya di studio, di samping masih terikat dengan Astro.

Tidak lagi terbabit dengan program Akademi Fantasia bukan bermaksud dia tidak diperlukan lagi, bahkan pandangan dan pendapat Linda masih diterima dalam membentuk barisan pelapis muda tanah air.

Cari pelajar sekolah pandai menari

TERBARU, Linda terus diberi kepercayaan sebagai juri pertandingan My School Rocks bergandingan dengan juri baru, Stacy, yang menggantikan Sazzy Falak pada kali ini. Uji bakat tarian membabitkan pelajar sekolah akan bermula pada Jun ini.

“Sudah empat tahun saya dilantik sebagai juri program ini dan kali ini saya akan bergandingan dengan Stacy yang mempunyai bakat tariannya tersendiri.

“Tahun ini berbeza daripada sebelumnya kerana peserta boleh memilih daripada 100 lagu yang disediakan. Mereka juga dibahagikan kepada dua kategori iaitu sekolah menengah dan rendah. Jadi ramai yang akan mencuba nasib tahun ini,” katanya.

Selain itu, 120 sekolah pertama yang mengesahkan penyertaan untuk sesi uji bakat yang akan bermula 25 Jun hingga 23 Julai depan berpeluang mempunyai bengkel tarian peribadi di sekolah untuk membantu memperbaiki koreografi mereka.

Bagi Linda, cabarannya kali ini tentunya semakin sukar kerana pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, apatah lagi ia membabitkan penyertaan peserta yang ramai.

Stacy pula menganggap tugas diberikan itu satu cabaran baru bagi dirinya.
Meskipun masih mentah dalam mengadili bakat tarian memandangkan dirinya sendiri kurang berpengalaman, dia bagaimanapun cukup teruja untuk menunaikan tanggungjawab terbabit.

“Sebelum ini saya tak fikir nak jadi juri kerana masih baru, tetapi apabila dapat tawaran daripada Cikgu Linda, saya terima kerana sedikit sebanyak kita dapat membantu peserta dalam tarian mereka.

“Ini peluang keemasan mereka dalam mengembangkan bakat tarian kerana suatu ketika dulu, pertandingan seperti ini belum wujud,” katanya.

Bagi pelajar sekolah menengah dan rendah yang ingin mengikuti uji bakat terbabit boleh melayari laman web www.disneychannel-asia.com atau menghubungi 03-2785 2177 untuk maklumat lanjut.


Dipetik dari : www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment