Jom Jadi Geng

10 November 2011

Chow Gek, Virmalah Terus Bantu Wanita

Nama mereka satu ketika dahulu mungkin begitu asing di kalangan masyarakat setempat apatah lagi mereka bukannya selebriti yang sering mendapat liputan berita setiap masa.

Tetapi setelah memenangi Anugerah Wanita Tun Dr. Siti Hasmah WIM pada tahun 2005 dan 2008, mereka semakin dikenali malah nasihat dan bantuan mereka sering 'ditagih' golongan yang begitu memerlukan.

Begitupun, bagi kedua-dua personaliti ini, anugerah yang diterima sedikit sebanyak mampu menjadikan mereka insan yang bertanggungjawab selain dapat menghulurkan bantuan yang termampu.

Bagi kontraktor, Chow Gek Chow Giat, 49, dan pesara guru, Virmalah Nair, 59, mereka amat berterima kasih kepada individu yang bertanggungjawab mencalonkan mereka untuk menerima Anugerah Wanita Tun Dr. Siti Hasmah WIM kerana sekurang-kurangnya hari ini mereka dapat berkongsi pengalaman serta kejayaan yang diraih bersama.

Menurut Chow Gek yang berketurunan Orang Asli, dia tidak pernah menyangka akan dipilih menerima anugerah tersebut apatah lagi sebelum ini dia bukanlah seorang individu yang dikenali.

Ternyata apa yang difikirkan meleset sama sekali kerana anugerah tersebut bukanlah anugerah bagi menobatkan individu yang dikenali mahupun yang banyak berjasa. Ia merupakan anugerah kepada mereka yang telah berjaya mencapai kejayaan dalam kerjaya masing-masing dan bermula dari bawah.
"Sudah pasti penganugerahan anugerah tersebut telah mengubah hidup saya.

"Ini kerana sebelum ini saya hanya memikirkan soal diri serta keluarga sahaja. Tetapi hari ini saya bukan sahaja perlu membantu masyarakat setempat yang memerlukan bantuan malah kadang kala turut 'turun padang' bagi menjayakan sesuatu tugasan.

"Bagaimanapun, semua ini bukanlah satu beban. Saya amat gembira kerana sekurang-kurangnya saya dapat membantu golongan susah terutama sekali ibu-ibu tunggal," ujarnya ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan barisan penaja untuk Anugerah Tun Dr. Siti Hasmah WIM Wanita Berinspirasi 2011 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anugerah yang diperkenalkan oleh Institut Pengurusan Wanita (WIM) itu adalah bagi mengiktiraf wanita yang meraih kejayaan gemilang hasil daripada ketabahannya menempuh halangan dan cabaran.

Ternyata anugerah yang diterima Chow Gek pada tahun 2005 bukanlah merupakan anugerah yang pertama dan terakhir diterimanya.

Pada 2006 dia sekali lagi dipilih untuk menerima anugerah Ibu Kerjaya oleh Avon.

Katanya, segala anugerah yang diterima adalah atas kejayaannya selama ini yang bekerja keras dalam usaha memajukan diri serta memberikan kehidupan yang lebih baik untuk keluarganya.

Menurut ibu tunggal itu lagi, sehingga hari ini dia masih lagi berganding bahu bersama (WIM) membantu golongan yang memerlukan bantuan serta nasihat untuk berjaya di dalam kehidupan masing-masing.

Begitu juga dengan Virmalah seorang bekas guru yang tidak dikenali ramai walaupun pernah aktif dalam politik.

Beliau hanya dikenali di kalangan kelompok teman-teman seperjuangannya, tetapi ceritanya amat menarik untuk dikongsi bersama.

Boleh dikatakan, anak kelahiran Gemas, Negeri Sembilan itu begitu tabah menghadapi segala dugaan dan cabaran yang diberikan kepadanya dalam menjalani kehidupan hariannya.

Berkahwin dan menjadi ibu tunggal pada usia yang begitu muda, Virmalah tidak pernah menjadikannya batu penghalang untuk meneruskan kehidupannya.

Bangkit daripada kekecewaan dengan harapan untuk melihat kejayaan anak tunggalnya, Virmalah akhirnya mampu mengukir senyuman.

Hari ini, dengan kerjaya sebagai seorang pensyarah di salah sebuah kolej swasta di ibu kota, Virmalah juga aktif membantu golongan yang memerlukan.

Selain menganjurkan bengkel dan seminar, Virmalah juga sering menjadi tempat untuk golongan wanita meluahkan nasib mereka.

Membantu mana yang terdaya, Virmalah kini juga aktif berkerja sama dengan WIM dalam usaha menaikkan martabat golongan wanita.

Seperti Chow Gek, Anugerah Tun Dr. Siti Hasmah WIM bukanlah anugerah yang pertama dan terakhir diterimanya.

Ini kerana selang setahun selepas itu, Virmalah telah dipilih oleh Garshom Int. Ltd. melalui Internet sebagai wanita India yang paling berpengaruh di luar India.

Anugerah Parvasi Vanitha itu telah menaikkan lagi semangat Virmalah untuk terus aktif membantu wanita yang dalam kesusahan.

Bagi Chow Gek dan juga Virmalah, wang tunai yang dimenangi melalui anugerah tersebut telah digunakan untuk melatih wanita-wanita atau ibu-ibu tunggal dalam bidang perniagaan.

Jelas kedua-dua wanita ini akan membantu selagi terdaya serta bantuan mereka diperlukan dan tiada sebab untuk mereka mendabik dada dengan kejayaan yang dikecapi hari ini.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment