Jom Jadi Geng

30 November 2011

Pelajari Seni Solekan

Setiap wanita berhak untuk kelihatan cantik dan berasa dirinya cantik. Ada wanita yang bertuah kerana memang dilahirkan cantik, namun tidak semua yang dianugerahkan kecantikan semulajadi.

Untuk nampak cantik, seseorang itu perlu tahu cara solekan yang betul. Kebanyakan daripada kita hanya bersolek mengikut suka dan bukan dengan cara yang betul.

Bagi mengajar orang ramai mengenai cara solekan yang betul, jenama alat solek, Make Up For Ever telah memperkenalkan konsep baru sekolah solekan di The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur.

Sekolah solekan yang julung kali dan pertama diwujudkan oleh jenama alat solek ini bertujuan untuk memberi peluang kepada semua orang bagi mempelajari seni solekan yang betul.

''Kebanyakan sekolah solekan hanya mengajar mereka yang hendak menjadi jurusolek profesional tetapi sekolah Make Up For Ever ini diadakan khusus untuk sesiapa sahaja yang ingin mempelajari cara solekan untuk diri sendiri bagi setiap hari,'' kata Pengarah Make Up For Ever bagi Singapura, Alicia Chong semasa ditemui di The Gardens baru-baru ini.

Menurutnya, sekolah yang dibuat dalam bentuk booth ini akan berada di pusat membeli-belah itu pada tempoh yang tetap.

Ia mempelawa sesiapa sahaja bagi mempelajari seni solekan daripada jurusolek berpengalaman.
''Wajah anda bukan sahaja akan disolek sambil diterangkan cara solekan yang betul tetapi akan diajar bersolek mengikut cara jurusolek profesional tersebut.

''Jurusolek akan menyolek sebelah wajah anda dan anda akan menyiapkan sebelah lagi mengikut arahan dan cara yang telah ditunjukkan. Dengan cara tersebut, anda akan cepat mempelajari kaedah solekan. Apabila balik ke rumah, anda akan ingat semula cara solekan yang telah diajar,'' ujarnya.

Alicia menambah, selain solekan ke tempat kerja, kebanyakan wanita ingin mengetahui gaya solekan yang pelbagai tetapi tidak tahu caranya.

Contohnya bagaimana hendak melekatkan bulu mata atau memilih bulu mata yang betul.

"Namun apa yang penting, kami ingin memberitahu orang ramai bahawa bersolek adalah sesuatu yang mudah," katanya.

Setiap kursus yang diajar katanya, mengambil masa antara satu hingga tiga jam. Bagi kursus selama satu jam, bayaran sebanyak RM300 dikenakan.

Mereka yang berminat boleh datang berseorangan, bersama kawan-kawan dalam jumlah dua, tiga atau empat orang.

''Pelanggan akan diberikan kad yang menerangkan cara solekan dan alat solek yang sesuai bagi mereka. Di rumah, mereka boleh melihat semula kad tersebut dan mengikuti satu persatu cara bersolek yang telah diajar oleh jurusolek di booth tersebut,'' katanya.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment