Jom Jadi Geng

16 January 2014

Rekaan Untuk Ibu Muda

Tidak mahu tertumpu kepada satu golongan sahaja yang boleh memakai koleksi rekaan pakaiannya, Nur Salffa Diyana Jamaludin menerusi butik Heaxa Bell menghasilkan rekaan yang boleh dipakai, baik oleh golongan muda, pertengahan atau ibu muda yang masih menyusukan bayi.

Nur Salffa atau ringkas dengan panggilan Amoi yang berniaga dalam talian sejak tiga tahun lalu ini memilih rekaan seperti maksi atau jubah yang pada pendapatnya ramai menyukai rekaan sebegini.

Namun terdapat juga pilihan lain seperti palazzo, skirt labuh dan blaus yang boleh dipadankan antara satu sama lain. Rekaan sebegini merupakan rekaan yang dipakai sepanjang masa dan di mana sahaja.

Amoi juga peka dengan masalah ibu muda yang menyusukan bayi, yang juga mahu nampak bergaya dan dalam masa sama berkesempatan menyusukan bayi mereka.

Kata Amoi, beliau mendapat banyak permintaan bagi membuat baju menyusu kerana semakin ramai ibu muda kini mahu menyusukan sendiri bayi mereka.

Bagaimanapun terlalu kurang baju menyusu di pasaran yang cantik dan fashionable sehinggakan ibu muda tidak mempunyai pilihan dan terpaksa memakai baju yang dilihat tidak menarik.

Untuk itu, beliau menghasilkan maksi yang boleh dibuka pada bahagian depan bagi memudahkan proses penyusuan tanpa perlu mengangkat baju dari bawah.

Baju menyusu ini dibuat berzip dan si ibu hanya perlu membuka zip apabila menyusukan bayi dan apabila zip ditutup, baju ini nampak seperti baju biasa.

Menurut Amoi lagi, 90 peratus daripada koleksi yang terdapat di

butik beliau adalah rekaan sendiri dan 10 peratus lagi diimport dari China dan Vietnam.

Pelanggan juga boleh menempah baju menyusu bayi mengikut rekaan mereka atau baju yang lebih eksklusif untuk ke majlis malam. Namun skirt dan maksi merupakan pilihan ramai pelanggan dan sememangnya butik Heaxa Bell dikenali kerana koleksi demikian.

Memilih fabrik lycra, syifon dan denim bagi koleksi beliau, Amoi turut memberi penambahan labuci atau songket pada bahagian lengan dan hujung tangan.

Setiap satu atau dua bulan, pasti terdapat koleksi terbaru bagi pelanggan tetap mahupun yang masih baharu. Selain pelanggan datang ke kedai, ramai juga yang membeli secara dalam talian dan pelanggan termasuklah dari Brunei, Singapura, Thailand dan Filipina.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment