Jom Jadi Geng

30 January 2014

Sunshine Promosi Kebaya

Baju  kebaya merupakan antara pakaian tradisi yang selalunya dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Realitinya, pakaian yang diiktiraf sebagai antara warisan sejarah, turut diminati oleh kaum lain kerana keunikannya.

Itu yang diakui Sunshine Aileen Devi Eric, 25, juara Ratu Kebaya Malaysia 2014 yang mahu mengangkat dan mempromosikan kebaya peringkat lebih tinggi.

Mahu dipanggil Sunshine, dia berkata, kebaya adalah berkenaan budaya tradisi rakyat negara ini yang telah wujud sejak sekian lama.

“Baju kebaya telah wujud sekian lama dan menjadi sebahagian daripada bahan sejarah di negara ini. Ia dipakai oleh wanita sejak dari zaman P. Ramlee dan Saloma di mana wanita dengan pelbagai saiz badan dan ketinggian memakainya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Malangnya kata gadis berambut lepas bahu ini, generasi sekarang sudah mula lupa akan pakaian tradisi tersebut.

“Jadi, sebagai Ratu Kebaya Malaysia, saya boleh mewakili generasi muda khusus wanita untuk memulihara dan mengelakkan budaya kebaya daripada dilupakan.

“Wanita yang memakai kebaya akan kelihatan lebih jelita, seksi dan elegan. Kebaya adalah fesyen yang sangat klasik dan moden,” jelas Sunshine.

Berketinggian 172 sentimeter, model dan pelakon komersial ini dinobatkan sebagai juara Ratu Kebaya 2014 setelah berjaya mengetepikan 18 peserta lain.

Dia yang berasal dari Ipoh, Perak, berdarah kacukan India dan Punjabi sebelah bapanya, manakala ibunya berketurunan British dan China-Mongolia.

Pemegang sijil Media Komunikasi dan Perhubungan Awam dari TARC, Wangsa Maju, Sunshine bukan sahaja seorang pelakon yang berbakat tetapi juga seorang penyanyi.

Dalam bidang lakonan dia pernah berlakon dalam beberapa drama dan telemovie antaranya Akademi Polis, Demi Tuhanku Izinkan, Muat Tak Muat, Ukiran Hati, dan Rania Tip Tip.

Dia turut berlakon dalam filem Tamil, The Secret of Thadavapuram arahan Prakash dan Sir Maraz Ravi, serta filem Kaatu Rani arahan Sugumaran.

Menyentuh nama Sunshine pula, Ratu Cantik Kebaya itu berkata: “Wajah ibu saya sering bercahaya dan suka tersenyum ketika mengandungkan saya, maka itu rakan-rakannya memanggil 'Sunshine' dan apabila melahirkan saya dia memberi saya nama itu.”

Mengenai penyertaan pada pertandingan Ratu Kebaya Malaysia, dia berkata, ia menjadi platform dan pengalaman untuk gadis-gadis yang ingin membina diri mereka supaya lebih yakin.

Sebagai Ratu Kebaya katanya, dia merancang untuk mempromosi pakaian kebaya sambil membantu industri pelancongan.

Sunshine memberitahu, memandangkan ia berkaitan dengan tradisi dan kebudayaan negara, ia mendapat sokongan daripada Tourisme Malaysia dan pertubuhan Ratu Kebaya dan setakat ini promosi telah dilakukan di Filipina.

“Adalah sesuatu yang baik sekiranya dapat diadakan lebih banyak pertunjukan fesyen dan acara-acara berkaitan pakaian di Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Dengan cara itu kita boleh mendedahkan identiti kita menerusi pemakaian seperti baju kebaya.

“Kita mempunyai banyak pereka fesyen daripada Persatuan Pereka Fesyen Bumiputera. Rekaan mereka adalah hebat dan mampu didedahkan ke peringkat dunia,” ujarnya.

“Daripada pertandingan Ratu Kebaya itu juga, dia mempelajari banyak perkara baharu seperti catwalk dan bagaimana memakai kebaya dengan cara betul.

“Kebaya direka sehingga membuat kita berjalan dan bergaya dengan cara yang sopan dan menarik. Bukan senang untuk berjalan dengan berpakaian kebaya. Jadi kena belajar dan saya gembira kerana berpeluang melakukannya.

“Kami juga mempelajari bahasa Inggeris daripada pensyarah dan mereka mengajar kami cara bercakap di hadapan khalayak dan ilmu itu adalah terbaik untuk kami,” katanya

Ratu Kebaya Malaysia adalah pertandingan yang diasaskan oleh Jason Hee Jee Pin sejak tahun 2011. Tujuan utama pertandingan itu adalah untuk mengekalkan warisan dan budaya Malaysia dan yang paling penting dari aspek pelancongan di samping menggalakkan perhubungan harmoni dan silaturahim, menyemarakkan rasa kecintaan dan kegembiraan melalui aktiviti mengutip derma di Malaysia.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment