Jom Jadi Geng

09 January 2014

Turki Bumi Kaya Sejarah

Sekiranya anda bercadang melancong ke Turki, rancanglah untuk mengunjung seberapa banyak tempat menarik. Kerana walaupun kota Istanbul itu besar dan indah tetapi masih tidak dapat bercerita tentang keindahan alam semulajadi dan sejarah kegemilangan Turki sebenarnya.

Sejarah kegemilangan Turki tidak cukup dengan keindahan Masjid Biru, Istana Topkapi, Haegia Sofia, Masjid Sultan Suleyman, Masjid Sultan Ahmed serta dua buah bazar yang besar di dunia itu kerana lebih banyak keindahan alam semula jadi kurniaan Allah apabila anda berkunjung ke beberapa tempat seperti Pamukkale, Cappadocia, Konya, Bolu dan Bursa.

Istanbul atau Constantinople namanya satu ketika dahulu terbahagi kepada dua bahagian, satu sebelah Eropah sementara satu lagi sebelah Asia yang dahulunya dikenali sebagai Anatolia ataupun Asia Minar.

Kota ini terletak antara dua laut iaitu laut Hitam dan laut Marmara di samping selat Bosphorus.

Kira-kira 20 juta penduduk mendiami kota Istanbul, tiga peratus tinggal di bahagian sebelah Eropah atau barat sementara bakinya 97 peratus mendiami sebelah Asia.

Setiap hari bekerja lebih enam juta rakyatnya dari Asia akan menyeberangi selat Bosphorus untuk ke sebelah barat.

Kebanyakan rakyat Turki tidak mampu tinggal di bahagian barat kerana taraf hidup yang terlalu tinggi termasuk harga rumah yang terlalu mahal.

Selain dua bazar yang terkenal iaitu Spice Bazar yang dibina kurun ketujuh Masihi yang di dalamnya terdapat lebih 3,000 kedai, Grand Bazar yang dibina oleh Sultan Ahmed II pada 1481 pula terdapat lebih 4,000 kedai.

Walaupun di kedua-dua bazar ini menjual pelbagai jenis barang yang lebih kurang sama seperti makanan, pakaian lelaki dan perempuan, permaidani, rempah-ratus, halwa, perhiasan rumah, hiasan lampu hinggalah kepada pakaian kanak-kanak dan perhiasan batu permata dan emas berlian.

Namun setiap hari bazar ini sentiasa penuh dengan ribuan manusia yang datang membeli-belah. Tak kira sama ada pelancong atau rakyat tempatan.

Ketika rombongan kami tiba di Istanbul, kami terus dibawa melihat sekitar kota di sebelah barat. Bas kami berhenti di jambatan Galata yang popular dalam kalangan kaki pancing. Kami merakamkan kenangan dan pemandangan sebelum ke taman yang cukup indah di Camlica Hill.

Turki bukan sahaja luas, mempunyai sejarah yang menarik bahkan mukabuminya dilengkapi keindahan alam semula jadi yang istimewa dengan tanah yang subur. Tidak hairanlah Turki menjadi idaman untuk dijajah pada zaman empayar Greek dan Rom. Tambahan pula, Turki termasuk dalam laluan Sutera yang popular ke negara rantau Asia.

Di kota Istanbul, terdapat lebih 2,000 masjid lama tinggalan pemerintahan Ottoman. Reka bentuknya cukup menarik. Di samping itu terdapat 600 masjid baru dibina kerana bilangan penduduknya yang ramai. Terdapat juga istana dan gereja lama.

Istanbul di sebelah Eropah masih terdapat tembok tinggi mengelilinginya sepanjang lebih 25 km. Walaupun banyak yang telah runtuh tetapi saki-baki runtuhannya masih boleh dilihat hingga kini.

Bergerak ke kota Bursa dengan menaiki feri menyeberangi laut Marmara, di kiri kanannya anda akan dapat melihat banyak kota, istana lama dan bangunan besar yang memukau pemandangan.

TINGGALAN

Di Bursa juga terdapat banyak tinggalan sejarah termasuklah Masjid Besar, Masjid Hijau dan makam pemerintah Islam zaman dahulu selain Pasar Sutera. Tetapi jangan terkejut tiada sehelaipun kain sutera yang cantik dapat anda lihat di sini jika anda bayangkan seperti yang anda pernah saksikan ketika melancong ke Beijing, China.

Dari Bursa, rombongan kami ke Pamukkale. Pamukkale terkenal kerana Cotton Castle atau Istana Kapas tetapi ia bukan sebuah istana raja, sebaliknya kolam air panas yang terbentuk daripada letupan gunung berapi. Airnya didakwa boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Kerana itu ramai penduduk membina penempatan di sekelilingi kawasan ini untuk merawat pelbagai jenis penyakit yang dihidapi.

Jadi tidak hairanlah di kawasan ini terdapat banyak kubur-kubur lama, apabila penyakit yang dihidapi tidak dapat dirawat. Antaranya kubur Ammianos Marcus Aurelius, seorang pemerintah zaman dahulu.

Cotton Castle terletak di atas bukit setinggi 100 meter dengan di atasnya mengalir air panas yang membentuk teres-teres. Istimewanya air gunung berapi ini adalah campuran mineral berkarbonat, kalsium dan sebagainya yang menyebabkan teres-teresnya berwarna putih dan airnya sudah pasti panas.

Pemerintah empayar Rom dan Byzantine dulukala berusaha menawan Pamukkale dan membina kotanya di kawasan berhampiran yang dinamakan kota Roman Hierapolis.

Di kaki Cotton Castle juga terbentuk beberapa buah kolam air panas kecil dan besar.

Kawasan sekitar kota Hierapolis ini termasuk Cotton Castle diisytihar sebagai tapak warisan UNESCO.

Meneruskan perjalanan ke Cappadocia, anda pasti terpukau dengan lembah Pasabeg. Terdapat juga kota bawah tanah Kaymakli yang satu ketika dijadikan tempat berlindung daripada perompak dan lanun yang sering menyerang para pedagang.

Lembah ini juga popular sebagai laluan para pedagang Arab dan Eropah ke Timur.

Keindahan kawasan lembah yang berbukit batu dengan pelbagai bentuk ini menjadi tarikan pembikin filem Hollywood sehingga menjadikannya lokasi penggambaran filem Ghost Rider : Spirit of Vengeance.

Bagi yang sukakan aktiviti lasak, anda boleh mencuba Belon Panas. Setiap pagi berpuluh-puluh belon panas dilepaskan yang menjadi kegemaran pelancong dari Eropah khususnya Jerman untuk melihat keindahan alam semulajadi di lembah ini dari udara.

Istana Topkapi yang dibina pada 1470 oleh Sultan Ahmed II, pula popular sebagai pusat pentadbiran pemerintahan Empayar Uthmaniyah. Kini ia menjadi muzium yang menyimpan pedang didakwa milik Rasulullah, berlian terbesar didunia dan pelbagai khazanah tinggalan sejarah.

Masjid Biru atau Masjid Sultan Ahmed II yang dibina menggantikan gereja lama Haegia Sofia, Canakkale, Iznik, Izmir, Kusadasi dan Antalya, juga antara lokasi menarik yang akan terus menjadi kenangan manis penulis sepanjang melawati Turki.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment