Jom Jadi Geng

02 May 2011

Setiausaha Tingkatkan Kualiti

Setiausaha bukan sahaja menjadi orang kanan bos, malah sebenarnya perlu sentiasa bersedia mental dan fizikal untuk menggalas tanggungjawab lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin kompetitif.

Pengalaman menghadiri seminar setiausaha mampu membantu golongan itu berinteraksi, berkomunikasi dan menunaikan peranan mereka dengan lebih berkesan dan proaktif.

Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat, seminar setiausaha penting untuk memberi penerangan, pengetahuan dan justifikasi bagaimana seseorang setiausaha berperanan.

Bagi meraikan golongan setiausaha, Majalah WANITA menerusi pendekatan lazimnya yang lebih kepada majlis ilmu berjaya menarik penyertaan hampir 200 setiausaha sekitar Lembah Klang untuk sama-sama meningkatkan keyakinan diri, latihan dan kemahiran ke arah menjadi setiausaha yang lebih berkualiti, berintegriti dan berakauntabiliti.

Bertemakan Cabaran & Profesionalisme Setiausaha, seminar satu hari itu sememangnya memberikan banyak input bermanfaat.

Ia memberi penekanan dari aspek kepimpinan, keterampilan diri, pengisian kerohanian, kesihatan dan integriti kerja supaya para setiausaha dapat memberikan perkhidmatan terbaik mengikut cabaran semasa.

Ini bertepatan dengan objektif utama penganjurannya iaitu menanam integriti dan budaya kerja yang lebih berhemah di kalangan setiausaha. Seterusnya, melahirkan kelompok setiausaha yang dikagumi kerana komitmen kerja yang bagus ditambah dengan penampilan dan ketertiban yang disenangi ramai.

Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Maznah turut melancarkan wajah baru majalah WANITA edisi ke-500. Hadir sama ialah Pengurus Besar Operasi Utusan Karya Sdn. Bhd., Zurzaliza Bajuri dan Pengarang Kanan Unit Majalah Keluarga, selaku Pengarang WANITA, Normala Hamzah.

Para penceramah yang terlibat dalam seminar pada kali ini ialah Ahmad Husni Abdul Rahman dari Pusat Pungutan Zakat (PPZ), penceramah bebas, Datuk Dr. Fadzilah Mohd. Ali dengan topik Budaya Kerja, Integriti & Ketertiban dan ceramah tentang imej dan penampilan yang disampaikan perunding imej, Datin Norma Norell.

Sesi seminar diteruskan dengan topik Etika dan Protokol oleh pemilik butik W2W, Yasmin Siddik dan disusuli ceramah kesihatan oleh Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar dari Pusat Perubatan PrimaNora.

Dalam pada itu, para peserta bengkel turut diajar tentang teknik solekan dan dandanan yang dikendalikan pihak produk kecantikan Alazo.

Bagi menceriakan lagi seminar tersebut, turut diselitkan ialah acara pertunjukan fesyen pereka terkenal, Faizal Hamid serta persembahan istimewa penyanyi kecil molek, Amy Mastura dengan pilihan lagu popularnya yang berjaya menggamatkan seisi dewan.

Sesuai dengan tajuknya, seminar itu dilihat berjaya membawa pendekatan terkini dalam memartabatkan kerjaya setiausaha seterusnya membawa kepada kejayaan diri dan seluruh organisasi yang diwakili setiap setiausaha.

Acara eksklusif tahunan itu mendapat kerjasama Kementerian Sumber Manusia dan tajaan rakan-rakan strategik iaitu PPZ, Empire Classic Furniture, Alazo, Jamu Mak Dara, Adabi, Habib Jewels dan Hotel Legend sebagai penaja lokasi.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment