Jom Jadi Geng

10 October 2011

MASiF Pentas Tiga Genre Seni

Muzik, seni dan fesyen sememangnya saling melengkapi. Apatah lagi apabila ia melangkah seiring di atas pentas yang sama sebagaimana yang cuba dihasilkan oleh penganjur Festival Muzik, Seni dan Gaya Antarabangsa (MASiF ) 2011 .

Festival yang masuk tahun kedua penganjurannya itu mengenepikan segala kritikan dan salah tafsir berkaitan dengan aktiviti seni golongan remaja.

Sebaliknya ia terus berusaha mengukuhkan kedudukan sebagai platform untuk golongan muda mengetengahkan bakat-bakat yang dimiliki.

Malah MASiF 2011 dilihat mampu membuka pintu terutama dalam menghimpunkan bukan penggiat muzik tetapi juga pereka fesyen dan pelukis dalam satu 'gelanggang'.

Festival unik tersebut yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad lalu di pusat beli-belah Suria KLCC , adalah berteraskan tiga genre seni iaitu muzik, lukisan dan fesyen.

Semarak festival pastinya di pentas peragaan fesyen dengan gandingan pereka-pereka baru dan lama.
Sepanjang tiga hari itu MASiF 2011 telah menghimpunkan lebih 24 pereka fesyen lama dan baru termasuk Datuk Radzwan Radziwill, Sharifah Kirana, Calvin Thoo, Iszal Ismail, Wan Pa, Von Jolly, Nazreen Idris Ezuwan Ismail, Joanne Chan dan Merlee Shariff serta ramai lagi.

Tidak ketinggalan kehadiran jenama-jenama fesyen terkenal seperti Cosry, Hajaba, Ang Eng, Ghetto by G Aleander dan sekolah fesyen terkenal, IFTC.

Pentas peragaan dihangatkan lagi dengan koleksi pereka jemputan dari luar negara iaitu Veejay Floresca dari Filipina dan Ivan Gunawan dari Indonesia.

Gandingan lama dan baru itu menjadikan MASiF 2011 sebagai medan untuk golongan muda membuktikan bakat mereka selain menimba pengalaman pereka yang jauh berpengalaman.

Istimewanya, pada peragaan tersebut, fesyen yang diperagakan meliputi semua acara daripada pakaian majlis rasmi, keraian sehinggalah pakaian harian serta santai yang mampu dan mesti dimiliki.

Dalam pada itu pereka tersohor Radzwan, tampil dengan koleksi moden dengan potongan dres labuh yang boleh digayakan di mana-mana sahaja.

Menggunakan warna-warna mewah seperti merah , oren dan kuning menjadikan si pemakai lebih bergaya serta kelihatan anggun.

Apatah lagi, fesyen adalah bahasa universal yang mampu menterjemahkan pelbagai perasaan dan apresiasi daripada ragam budaya dan bangsa dunia.

Malah lebih menarik, peragaan kali ini menampilkan idea kreatif dan semakin moden tanpa meninggalkan unsur sopan dalam rekaan.

Selain itu, penataan rekaan Sharifah Kirana yang gemar mengguna songket dalam setiap perincian, mampu memberikan 'kredit' kepada negara sendiri serta sekali gus menaikkan nama negara apabila menggunakan songket ke peringkat antarabangsa.

Malah melalui penggunaan fabrik songket juga dilihat sentiasa diberi perhatian sehinggakan memberi inspirasi kepada beliau untuk mencipta rekaan yang sopan dan anggun, namun kelihatan bergaya.

Rekaan Sharifah Kirana adalah untuk keperluan wanita moden yang hanya memerlukan usaha minimum untuk mendapat gaya yang maksimum.

Penggunaan warna-warna lembut pula menggambarkan jiwa yang bebas dan keseronokan yang sepatutnya dinikmati wanita dalam menjalani kehidupan.

Apa pun bagi golongan muda, MASiF merupakan gelanggang terbaik untuk meraih pendedahan dan manfaat bagi mengembangkan bakat sama ada dalam fesyen, muzik dan seni halus.

Lebih bertuah lagi, penganjuran festival ini bersamaan dengan sambutan Hari Malaysia yang di sambut pada 16 September setiap tahun.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment