Jom Jadi Geng

10 October 2011

Umur Sekadar Angka - Zaleha

Tua tidak semestinya sakit, yang menentukan kesihatan diri kita adalah diri kita sendiri,'' ujar matan Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Zaleha Ismail.
 
Baginya, umur adalah sekadar angka sedangkan amalan kesihatan seseorang penggerak utama yang menjadikan diri seseorang sentiasa sihat dan cergas.

Bersua muka dengan Zaleha, langsung tidak menyangka bahawa usianya melangkaui 75, tetapi kelihatan masih sihat dan anggun.

Malah pada usia tersebut, beliau dianugerahkan tubuh yang sihat tanpa sebarang penyakit kronik yang lazim dihidapi oleh individu seusia beliau.

Beliau juga jarang diserang demam mahupun sakit-sakit lain, sebaliknya masih mampu membuat tugasan lain yang kadang kala tidak mampu dilakukan oleh mereka yang jauh lebih muda.

"Alhamdulillah, setakat ini memang tidak ada penyakit yang kronik yang lain walaupun ada menghidap kencing manis tetapi terkawal,'' ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Taman Perwira, Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Katanya lagi, soal pemakanan juga penting dalam menentukan kesihatan diri.

Tegas beliau lagi, dalam usianya sekarang penjagaan makan amat dititikberatkan bagi mengelak daripada terkena penyakit-penyakit yang berbahaya.

Malah beliau turut menjadikan buku sebagai 'teman karibnya' yang boleh memberi panduan untuk mengelak terkena penyakit-penyakit lain.

"Memang setiap hari buku adalah perkara wajib yang saya sentuh, jika tidak saya akan gusar malah ia seperti ada yang tidak kena dalam kehidupan saya,'' ujarnya memperihalkan tentang 'sahabat karibnya' itu.

Jelasnya, dengan membaca buku, ia bukan sekadar memberikan pengetahuan tetapi turut memberi panduan terutama dalam kesihatan diri.

Tegas beliau lagi, untuk mengekalkan kesihatan seseorang perlulah bergerak aktif dan juga mengamalkan kehidupan yang sihat dan berfikiran positif.

Presiden Yayasan Suara Wanita ini mengakui, ramai di kalangan warga emas mengambil pendekatan yang mudah dan tidak mengamalkan kesihatan yang tidak terurus.

Keadaan ini menyebabkan mereka mudah terjebak dengan penyakit-penyakit yang berbahaya dan sekali gus boleh menjejaskan kesihatan sendiri.

Beliau sendiri mengakui, menghidap kencing manis tetapi hasil amalan gaya hidup yang sihat termasuk bersenam setiap hari berjaya mengawal penyakit tersebut.

"Walaupun jadual harian saya padat, tetapi saya tidak pernah tinggalkan senaman memandangkan ia adalah salah satu cara untuk mengelak penyakit.

"Bukan sekadar membuatkan badan saya rasa ringan, lebih penting menghilangkan rasa malas untuk bergerak ke sana-sini ,'' ujarnya yang turut memegang lima jawatan penting dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Zaleha menambah, dengan bersenam seseorang itu akan berpeluh dan ini akan menurunkan tahap gula dalam darah.

"Ini menunjukkan senaman ringkas sangat penting walaupun hanya 30 minit," katanya yang tidak mengambil makanan manis dalam menu hariannya.

Beliau yang ketika ini turut menyandang jawatan Pengerusi Majlis Kebangsaan Kanak-kanak Malaysia, menasihatkan orang ramai supaya menjadikan amalan pemeriksaan kesihatan secara berkala sebagai satu rutin bagi memastikan kesihatan tubuh badan sentiasa baik.

"Pemeriksaan ini penting supaya kita tahu tentang keadaan badan kita dan dapat mengawal tahap kesihatan kita lebih awal.

"Sama ada sakit atau tidak, kita kena periksa badan kita, tengok ada penyakit atau tidak, dan sekiranya ada penyakit tindakan seterusnya perlu diambil," katanya.

Ditanya mengenai jadual harian, beliau memberitahu, jadual tetap padat walaupun hampir 20 tahun bersara sebagai kakitangan awam.

"Biasanya seawal 5.30 pagi saya sudah bangun dari tidur dan mengamalkan senaman ringkas sebelum solat subuh.

"Selepas bersenam ringkas saya akan akan memeriksa diari temu janji saya sepanjang hari tersebut dan aktiviti-aktiviti lain.

"Dengan rutin harian yang sibuk membuatkan saya lebih aktif dan tidak ada masa untuk saya termenung memikirkan perkara yang bukan-bukan ,'' ujarnya tenang.

Baginya, setiap warga emas harus mengisi waktu mereka dengan sebaiknya supaya tidak berasa bosan sehingga membawa kepada kemurungan.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment