Jom Jadi Geng

27 February 2011

Elfira Cari Lelaki Cergas

Tidak seperti kebanyakan gadis yang meminati dunia peragaan, Elfira Rozilan 22 tidak gemar mengenakan solekan. Dia lebih suka wajah semula jadi tanpa solekan sesuai dengan usianya yang masih muda.

Memiliki kulit licin dan halus, tidak hairanlah ramai mata tertumpu kepadanya ketika sesi fotografi di studio Utusan baru-baru ini. Tambahan pula, Elfira memang tidak lokek dengan senyuman dan mudah mesra.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini bercita-cita menjadi seorang pensyarah.

Mengakui minat dalam bidang peragaan, Elfira bagaimanapun mahu memberi tumpuan kepada pelajaran.

Persaingan merebut kerjaya yang baik mendorong Elfira berusaha untuk berjaya dalam akademik.

Sekadar berjinak-jinak sebagai model, Elfira menganggapnya sebagai bonus untuk mendapatkan wang tambahan.

Ditanya perihal teman lelaki, sebagai remaja yang semakin dewasa dia mahu mencari teman hidup yang memahami dirinya.

“Saya ingin cari lelaki yang minat bersukan, aktif, cergas dan lasak sebagai pasangan hidup kelak. Saya gemarkan sesuatu yang pelik dan aktiviti lasak. Sekiranya kami mempunyai hobi yang sama, dapatlah kami meluangkan lebih masa apabila mendirikan rumah tangga nanti,” ujarnya yang gemarkan minyak wangi yang mempunyai bau buah-buahan.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

25 February 2011

Kerjaya Mahu Pun Akademik, Wanita Terbukti Lebih Menyerlah

Dalam era yang serba moden ini, wanita tidak lagi menjadi suri rumah sepunuh masa. Majoriti wanita mempunyai kerjaya dan sangat cemerlang dalam pencapaian akademik berbanding lelaki.

Perkara ini tidak dapat disangkal kerana sudah terbukti ramai wanita kini menjawat jawatan tinggi baik dalam sektor swasta mahupun kerajaan. Tidak kurang juga kecemerlangan wanita dalam perniagaan. Selain itu, semakin ramai golongan Hawa berjaya menempatkan diri di pusat pengajian tinggi dan tamat belajar dengan keputusan yang membanggakan.

Senario ini secara terangterangan menunjukkan wanita semakin menyerlah dalam segala bidang berbanding lelaki. Namun dalam kecemerlangan tersebut, wanita harus sedar fitrah mereka sebagai orang kedua dalam keluarga selepas suami. MW menemu bual Pakar Motivasi dan Kaunseling dari Klinik Hushim Motivation and Counselling Consultantsy, Tuan Haji Hushim Salleh bagi mendengar pandangan beliau mengenai perkembangan tersebut.

MW juga mendapatkan komen penceramah terkenal, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid mengenai kedudukan wanita di sisi agama. MW turut menyiarkan tip bagaimana wanita berjaya dalam kerjaya dapat menyesuaikan diri sebagai isteri dan ibu di rumah. Ikuti komen mereka.

Lelaki lemah buat keputusan terbaik

Tuan Haji Hushim Salleh tidak menolak andaian wanita kini lebih dominan daripada lelaki. Ini bertepatan dengan situasi masa kini yang wanita kebanyakannya menguasai segala bidang termasuklah pendidikan, pekerjaan, rumah tangga dan sebagainya lagi.

“Saya memang setuju dengan pendapat ini kerana banyak kes yang di lihat ini menjurus ke arah wanita lebih dominan. Ini disebabkan sesetengah lelaki atau suami tidak boleh menjadi ketua keluarga sekali gus menjadi model dalam sesebuah rumah tangga.

“Ini berlaku kepada lelaki yang lemah dan tidak boleh membuat keputusan terbaik. Malah, kalau kita lihat sejak dulu lagi, trend wanita menguasai sistem pendidikan sudah berlaku sejak dahulu lagi jika dibandingkan dengan kaum lelaki.

“Begitu juga dengan jawatan-jawatan tinggi kini sudah nampak ramai wanita yang memangkunya. Sekali gus menyebabkan wanita turut menguasai hal rumah tangga terutama dalam membuat keputusan.

“Pun begitu, dominan amat subjektif dan lebih luas skopnya. Oleh itu, kita tidak boleh memandang dari satu sudut sahaja. Kita perlu lihat cara pembawaan dan bagaimana wanita itu sendiri membina personaliti dirinya sendiri. “Kita tidak boleh mengatakan berlaku ‘Queen Control’ dalam rumah tangga apabila wanita membuat keputusan. Ini kerana

suami atau lelaki itu sendiri tidak boleh atau lemah dalam membuat keputusan, jadi dia menyerahkan kepada isteri untuk melakukannya.

“Apa lagi jika ini berlaku kepada wanita yang sejak awal melatih diri untuk tampil lebih yakin, tegas, kuat dan bijak dalam segala hal. Apabila bertemu jodoh dengan lelaki yang agak lemah, jadi secara tidak langsung, lelaki itu akan menyerahkan kepada si isteri untuk membuat keputusan kerana dia merasakan itu yang terbaik,”ulas Tuan Haji Hushim ketika di minta memberi pendapat mengenai isu berkenaan.

Komunikasi dua hala

Tambah Tuan Haji Hushim lagi, wanita kini banyak memen tingkan keteram pil an diri, ber karisma serta berke yakinan. Perum pamaan menyata kan, tangan yang mengayun buaian bisa menggoncang dunia. Tidak hairanlah jika dikata kan wanita kini lebih mendominasi dalam sesuatu hal.

“Wanita yang dilihat lebih dominan ini dise bab kan mereka mempunyai visi serta hala tuju dalam sesuatu perkara. Dalam rumah tangga misalnya, dia akan merancang terlebih dahulu sebelum melaksanakan atau membuat keputusan.

“Tidak terkecuali ada yang membimbing suami yang tidak dapat menjalankan tanggung jawab sebagai ketua keluarga. Ini bagus kerana dalam rumah tangga kena ada memberi dan menerima. Cuma, pendekatan yang di ambil harus bijak dan tidak menyebabkan timbul ketidakpuasan hati pada mana-mana pihak.

“Tidak dinafi kan ada sesetengah suami atau lelaki tidak boleh menerima keadaan di mana isteri atau wanita yang membuat keputusan, tetapi ada juga senang dengan keadaan tersebut. Ada yang melihat isteri lebih bijak dalam mengatur hala tuju rumah tangga, jadi suami mengikut sahaja.

“Ini bukan bermakna isteri mahu mengambil alih tanggung jawab suami sebagai ketua keluarga. Setinggi mana sekalipun pangkat mahupun jawatan isteri dalam sesebuah syarikat tidak boleh menandingi jawatan suami sebagai ketua keluarga.

“Ini kerana, suami tonggak keluarga manakala isteri adalah pembantu. Oleh itu, saya menekankan soal komunikasi dua hala antara suami isteri amat penting dalam keharmonian rumah tangga mereka.

“Dalam apa jua situasi sekali pun, dominan berbeza dengan ‘Queen Control’ kerana wanita yang dominan masih menghormati suami dan tahu batas-batasnya sebagai isteri. Dominan memang wujud dalam masyarakat serta rumah tangga, tetapi ia tidak boleh dikategorikan sebagai ‘Queen Control’.

“Malah, isteri atau wanita dominan berlaku bila mana suami atau seseorang lelaki tidak mampu untuk membuat keputusan sehingga menampakkan penguasaan lebih wanita itu. Kita juga perlu lihat pro dan kontra apabila wujudnya situasi wanita lebih dominan supaya tidak timbul masalah di kemudian hari.

“Bagi wanita sendiri, mereka kena tahu sejauh mana peranan mereka sebagai isteri, ibu dan juga ketua sekiranya memegang jawatan tinggi di dalam syarikat. Itu tidak bermakna mereka boleh mengarah suami seperti mana mereka melakukannya di pejabat, sebaliknya mereka kena hormat dan patuh pada suami.

“Dalam segala hal, kena sentiasa berbincang jadi dari situ akan membina hubungan erat selain memacu rumah tangga lebih harmoni,” ujar Tuan Haji Hushim dengan panjang lebar sebelum mengakhiri perbualan.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

23 February 2011

Halia Hutan Cegah Sel Kanser Pangkal Rahim

Bahan ekstrak halia hutan atau lempoyang boleh digunakan sebagai penawar kanser pangkal rahim iaitu penyakit kedua paling ditakuti wanita selepas barah payu dara.


Penemuan itu adalah hasil penyelidikan selama 10 tahun Makmal Penyelidikan Kanser Makna, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapati tumbuhan herba liar tersebut terbukti mampu melawan sel kanser pangkal rahim pada peringkat awal.

Penyelidiknya, Dr. Ahmad Bustamam Abdul berkata, kajian makmal menunjukkan penggunaan spesies halia itu dalam dos yang betul boleh menyembuhkan penyakit dalam tempoh tidak sampai 72 jam.

Katanya, kajian praklinikal membuktikan sebatian semula jadi herba tempatan itu mampu menghalang perkembangan kanser sehingga fasa tiga.

Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my

21 February 2011

Pejabat Lambang Profesional

Dekorasi pejabat yang betul mencerminkan tahap profesionalisme majikan dan pekerja. Suasana yang selesa dan menyamankan mempengaruhi mood pekerja serta orang yang datang ke pejabat untuk berurusan.Pejabat Jiwa Realiti Sdn. Bhd yang terletak di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, Petaling Jaya, Selangor misalnya, mempunyai hiasan ringkas tetapi menenangkan.

Hiasan dalamannya tampak moden dan mesra alam melahirkan suasana santai dalam pejabat.

Selain mengetengahkan warna-warna semula jadi seperti coklat muda dan tua, koleksi perabot moden turut menjadi pilihan utama.

Pilihan hiasan ini menjadikan ruang pejabat yang bersaiz sederhana ini kelihatan selesa.

Ruang untuk beristirehat dan tempat pelanggan menunggu disusun ringkas dengan sofa dan kerusi moden.
Sebagai syarikat yang banyak berurusan dengan orang ramai, Jiwa Realiti telah memilih untuk mengaplikasikan konsep ringkas dan moden sebagai dekorasi pejabat.

Mungkin kebanyakan pejabat hari ini memilih nuansa warna cerah tetapi pejabat ini lebih selesa dengan warna yang tidak terlalu terang atau gelap.

Bagi membangkitkan suasana semula jadi, terdapat sedikit latar dan elemen warna coklat gelap pada latar dinding dan lantai. Sementara di beberapa ruang, syarikat ini menggunakan elemen oren atau jingga.

Ruang santai

Pandangan pertama tetamu yang melangkah ialah dekorasi di bahagian penyambut tetamu.

Justeru itu, syarikat ini memastikan ada tempat duduk untuk mereka menunggu sebelum berurusan dengan mereka. Susunan kerusi moden berwarna oren di ruangan ini ternyata menarik perhatian.

Melangkah ke bilik pejabat utama , sofa yang ringkas, empuk dan menarik dipilih untuk memberi keselesaan. Dalam pada itu, hiasan bingkai pada dinding pejabat memberi suasana yang berbeza dengan paparan sijil dan kejayaan semasa syarikat ini.

Tidak ketinggalan, pejabat ini turut menyediakan ruangan santai untuk pekerja berehat sambil makan atau minum. Ruang ini menggalakkan pekerja sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain ketika waktu rehat. Ia sekali gus membolehkan mereka bertukar-tukar fikiran dan berkongsi pendapat dalam apa jua topik.

Cahaya

Penataan cahaya sebuah pejabat tidak kurang penting untuk memberikan cahaya kepada kerja.
Selain pemilihan lampu siling yang cerah tetapi tidak menyakitkan mata, terdapat juga lampu meja atau lampu sudut di ruang pejabat Realiti Jiwa.

Ia membantu merehatkan mata anda setelah seharian melihat dokumen yang boleh menyebabkan tekanan pada bahagian mata.

Model lampu stail moden menjadi pilihan agar nampak serasi dengan hiasan ruang yang ada.
Sebuah bilik mesyuarat dan dewan disediakan untuk urusan bersama pelanggan dan pekerja seperti mesyuarat dan taklimat.

Berbeza dengan ruang lain, mereka memilih warna terang pada perabot agar ruang ini tidak bosan.
Dalam pada itu, Jiwa Realiti menerusi Koperasi Jiwa Malaysia Bhd. (Kojiwa) memperkenalkan gedung maya Vpaycash.


Gedung maya Vpaycash merupakan enjin inovatif bersepadu nilai pertukaran pemasaran yang dapat memberi platform kepada usahawan terutamannya mereka berkecimpung dalam IKS dan perusahaan kecil sederhana (PKS).

Menggunakan strategi serampang tiga mata, ia memberi peluang kepada usahawan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara global.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

19 February 2011

Disayangi, Menyayangi Fitrah Manusia

Tidak salah untuk bercinta dan berkahwin kerana itu fitrah manusia untuk menyayangi dan disayangi. Walaupun usia sudah meningkat namun keperluan untuk disayangi dan perasaan ingin dibelai oleh pasangan adalah sesuatu perkara yang biasa.

Pendapat tersebut diakui sendiri oleh Pensyarah Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Meriam Omar Din.

Tegas beliau, biarpun usia sudah peringkat tua namun keinginan untuk berkahwin adalah sesuatu yang normal bagi manusia yang hidup berpasangan.

“Ini adalah sesuatu yang normal namun keadaan seperti ini kadang kala sukar diterima oleh masyarakat kita,’’ ujarnya ketika diminta pandangan mengenai keperluan cinta di kalangan warga emas.

Terang Dr. Meriam, sudah menjadi lumrah kehidupan manusia untuk hidup berpasang-pasangan.

Namun bagi pasangan warga emas, sebenarnya keinginan mereka bukan sekadar kepada hubungan intim semata-mata tetapi lebih kepada konsep untuk berteman.

Tetapi pada peringkat usia tua, sudah lumrah untuk mengimbau kebaikan yang telah dilakukan dan juga penyesalan terhadap kesilapan kepada kehidupan lampau.

Dalam usia kategori tua iaitu 60 tahun ke atas, kehidupan mereka lebih kepada untuk mengimbau kenangan-kenangan lama tidak kira yang baik mahupun tidak baik.

Malah pada usia ini, sudah menjadi kebiasaan pada dirinya mengulang-ulang cerita kepada sesiapa sahaja.

Tetapi dengan perkahwinan, mereka boleh berkongsi cerita dan mengimbau kenangan yang pernah dilakukan sepanjang hidup mereka.

Situasi ini jika diceritakan kepada anak-anak mungkin menimbulkan kebosanan kerana cerita tersebut telah diulang beberapa kali.

“Apabila anak-anak mendengar cerita yang sama berulang kali, mereka akan bosan untuk mendengar dan tidak memberikan perhatian secara jujur dan ini akan menyebabkan orang tua rasa tidak dihargai lagi,’’ ujarnya lagi.

Katanya Dr. Meriam lagi, kebiasaan kaum lelaki akan berkongsi cerita tentang peribadi kepada isteri sahaja dan keadaan itu mendorong kepada kaum Adam tersebut untuk berkahwin semula.

“Oleh itu adalah satu keperluan bagi mereka untuk berkongsi cerita tersebut kepada isteri sebab itu kaum lelaki biasanya inginkan berkahwin lagi walaupun di usia lanjut untuk dijadikan rakan untuk bercerita.

“Mereka biasanya amat jarang untuk berkongsi cerita terutama berkaitan kehidupan peribadi dengan rakan -rakan lelaki tetapi lebih suka berkongsi cerita tersebut dengan isteri.

“Oleh itu adalah satu keadaan normal untuk mereka mencari teman baru bagi berkongsi cerita-cerita tersebut,’’ ujarnya serius.

Melalui penceritaan itu, terangnya mampu memberikan keseronokan kepada dirinya sendiri.

Bagaimanapun keadaan ini berbeza dengan kaum wanita yang sukakan berkongsi cerita kepada rakan-rakan.
“Sebab itu kalau kita tengok kaum wanita tidak kisah hidup lama menjanda tanpa suami kerana mereka boleh bercerita dengan sesiapa sahaja,’’ ujarnya lagi.

Tambah Dr. Meriam lagi, bagi kaum wanita yang kematian suami dorongan untuk berkahwin semula mungkin juga kerana inginkan teman hidup tetapi ada juga didorong oleh yang lain misalnya ada sesuatu yang belum selesai.

“Keadaan ini biasanya didorong oleh sesuatu keadaan yang yang dipanggil unfinished business tentang hubungan dengan suaminya,” katanya.

Katanya lagi, mungkin kekurangan dengan perkahwinan lampau membuatkan ia mahu menggantikan kekurangan tersebut melalui perkahwinan baru.

“Oleh itu, melalui perkahwinan baru mereka ingin menggantikan semula apa yang tidak selesaikan dengan suaminya dulu kepada pasangan baru,’’ ujarnya lagi.

Sementara itu, Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh turut menjelaskan, perkahwinan di kalangan warga emas biasanya lebih berkonsepkan kepada teman dan bukan kepada seks sahaja.

“Keadaan ini menyebabkan mereka lebih teruja dan seronok kerana ada tempat untuk berkongsi cerita serta mengisi kesunyian dalam kehidupan sehariannya.

“Malah lebih seronok, apabila berkahwin, kehidupannya lebih terurus dengan adanya belaian isteri.
“Biarpun tidak berfokus kepada seks tetapi mereka mempunyai tempat untuk bermanja-manja dengan belaian yang tersendiri.

“Dari situ juga akan menerbitkan lagi kebahagiaan kepada kehidupan mereka berdua,” katanya.

Tegas Hashim lagi, kesunyian adalah penyakit dan jika tidak dirawat akan memberikan kesan yang bahaya kepada kesihatan, malah mampu menjadikan seseorang itu menjadi murung.

Tegasnya, kebiasaan warga emas yang kematian suami atau isteri akan tinggal sendirian atau tinggal bersama anak-anak.

Keadaan itu menyebabkan mereka menjadi sunyi walaupun ada anak-anak yang menemani.

“Biarpun ditemani anak-anak, namun menjadi lumrah seseorang untuk di sayangi atau di belai, sebab itu warga emas ini tetap inginkan seseorang untuk melayan dirinya selain daripada anak-anak dan juga cucu,’’katanya.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

17 February 2011

Hubungan Seks Secara Sihat

Sebagai pasangan suami isteri adakah anda menikmati kehidupan seks sepuasnya? Atau anda tidak pasti akan jawapannya sehingga kadang kala membuat perbandingan kehidupan seks anda dengan rakan anda.
Sebenarnya tindakan itu salah. Jangan sesekali membuat perbandingan tersebut kerana ia hanya mengundang padah dalam perhubungan suami isteri.

Hakikat sebenarnya, sesebuah perhubungan kelamin suami isteri itu unik. Setiap pasangan mempunyai cara yang berbeza mengemudikannya.

Apa yang baik untuk orang lain tidak semestinya baik untuk anda. Ada beberapa panduan yang boleh digunakan sebagai ukuran adakah anda menjalani kehidupan seks yang sihat atau sebaliknya.

Tanda pertama - Perhubungan anda sihat

Pasangan suami isteri yang sihat, akan sentiasa berbicara tentang apa yang berlangsung dalam kehidupan mereka.

Mereka tidak membataskan diri tentang isi perbualan termasuk dalam isu perhubungan seks. Jika terdapat sesuatu yang tidak kena ataupun kepuasan seks yang dihajati tidak tercapai, mereka akan menyuarakannya.
Pasangan yang sihat juga lebih realistik dan memahami kemampuan pasangan masing-masing.

Tanda 2 - Eksperimen dalam bilik tidur

Pasangan suami isteri yang suka melakukan eksperimen dalam hubungan kelamin adalah tanda mereka berpuas hati dengan kehidupan seks mereka.

Jangan salah faham, apa yang dimaksudkan di sini bukanlah seks melampau yang tidak dituntut syarak.

Eksperimen yang dicadangkan cukuplah dengan mengajak pasangan sesekali menukar posisi, mencuba beberapa gaya terbaru atau boleh juga menukar lokasi seperti di kerusi atau sofa.

Katil bukanlah tempat yang wajib untuk hubungan seks. Dengan mencuba idea terbaru ini bukan sahaja mudah malah membuktikan kebahagiaan anda berdua.

Tanda 3 - Ikhlaskan hati untuk hubungan seks 

Pernahkah anda terasa bahawa hubungan seks kini berbeza dengan ketika di awal perkahwinan?

Sudah bertahun kahwin, jadi seks itu umpama kewajipan asas suami isteri sahaja. Ia bukan lagi sesuatu yang dinikmati dengan penuh perasaan. Padahal seks adalah satu perkara yang anda dan pasangan lakukan dengan penuh keseronokan.

Pastikan anda menikmati puncak kenikmatan dan melakukannya kerana keikhlasan hati untuk pasangan anda.

Tanda 4 - Seks sebagai rutin dalam perhubungan

Bukanlah sesuatu yang pelik untuk meletakkan seks sebagai perkara terakhir dalam sesuatu perhubungan. Dalam situasi di mana anda mempunyai sebuah keluarga, anak-anak dan pekerjaan seks menjadi perkara yang sukar untuk dilakukan setiap hari.

Pasangan yang sentiasa cuba mewujudkan masa untuk hubungan seks sekerap mungkin adalah pasangan yang mempunyai perhubungan seks yang sihat. Jadilah lebih spontan.

Tanda 5 - Seks bukan sekadar hubungan, ia lebih dari itu

Seks lebih dari sekadar hubungan kelamin. Gurau senda dan sentuhan awal amat penting untuk hubungan seks yang sihat dan ceria. Pastikan anda lebih kreatif setiap hari supaya ada kejutan untuk pasangan anda.

Sebagai contoh, tinggalkan nota-nota indah atau boleh juga menghantar hadiah secara mengejut ke pejabat.
Tindakan ini boleh membuatkan pasangan anda teruja. Walaupun lepas seks berakhir anda masih romantik, itulah tanda hubungan seks anda sesuatu yang sihat. Jika salah satu tanda di atas ada menerangkan tentang kehidupan seks anda, maka anda boleh menikmati kehidupan seks yang sihat dan gembira.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

15 February 2011

Soya Kurangkan Risiko Kanser

Apabila menyebut 'kanser', pesakit pasti hanya terbayang kematian terutama di kalangan mereka yang disahkan sudah ke tahap lanjutan rawatan seperti kemoterapi atau radioterapi.

Lebih-lebih lagi, penyakit itu membawa perubahan besar gaya hidup pesakit dan juga memberikan kesan lain termasuk perubahan penampilan, emosi yang tidak menentu dan bebanan kewangan.

Kini, dengan ledakan teknologi moden dan pengesan awal terhadap pembunuh nombor satu wanita itu mampu mengurangkan risiko berlakunya kanser.

Malah bukan lagi rahsia, melalui pemakanan yang berasaskan soya ia mampu mengurangkan risiko terjadinya kanser payu dara di kalangan wanita.

Perkara terbukti apabila satu kajian secara klinikal telah dilakukan oleh Yayasan Penyelidikan Kesihatan Awam Tokyo, di bawah Kumpulan Penyelidikan Bakteria Asid Laktik dan Kanser Payu Dara.

Penyelidikan dilakukan oleh pensyarah di Jabatan Pembedahan, Universiti Kyoto, Jepun, Dr. Masakazu Toi bersama seorang pensyarah dari Jabatan Biostatistik di universiti sama, Dr. Yasuo Ohashi. Mereka mendapati pengambilan soya dan juga pengambilan minuman yang mengandungi bakteria Strain Shirota iaitu minuman susu kultur, Yakult, secara tetap dan berterusan mampu mengurangkan risiko yang boleh membawa kepada kanser payu dara.

Malah, dalam kajian yang dilakukan oleh penyelidik ini mendapati wanita yang mengambil makanan berasaskan soya dan minuman susu kultur dilihat kurang berpotensi untuk di jangkiti dengan kanser payu dara.

Kajian itu mendapati pengambilan secara tetap setiap hari produk yang mengandungi bakteria Lactobacilus casei Shirota (LcS) semenjak usia remaja mampu mengurangkan risiko seseorang wanita itu terkena kanser payu dara.

''Ini terbukti kerana komponen di dalam makanan yang berasaskan soya dan LcS mempunyai fungsi yang boleh melindungi daripada kejadian kanser payu dara dan sekali gus mengatasi masalah kesihatan di kalangan mereka yang mengambilnya,'' ujar Dr. Toi semasa membentangkan kertas kerja di Simposium kanser payu dara di San Antonio, Amerika Syarikat Disember lalu.

Beliau berkata, kajian itu mengkaji hubungkait antara pengambilan minuman yang mengandungi LcS dan makanan yang berasaskan soya dengan penyebab kanser payu dara.

Bakteria yang dinamakan (LcS) itu dapat mengawal pertumbuhan bakteria perosak dalam usus dan sekali gus mengatasi masalah kesihatan di kalangan mereka yang mengambilnya.

Beliau menjelaskan, kesan perlindungan tersebut mungkin disebabkan oleh kesan bakteria Strain Shirota ke atas mikroflora usus yang telah membantu penghadaman isoflavon soya yang berkaitan rapat dengan pengurangan risiko kanser payu dara.

''Strain Shirota juga mampu meningkatkan sistem imunisasi semulajadi tubuh khususnya aktiviti NK yang boleh menjejaskan kesan perlindungan," katanya.

Tegasnya, dalam kajian itu seramai 355 pesakit berumur 40 hingga 55 tahun yang menjalani pembedahan kanser payu dara dari tempoh Oktober 2007 hingga Mac 2009 dan 710 orang yang sihat yang tinggal di kawasan yang sama dan berumur sebaya dijadikan objek dalam kajian tersebut.

''Mereka dikaji berdasarkan kepada diet dan gaya hidup sejak masih remaja lagi dan semasa dewasa.

''Hasilnya, didapati sebanyak 30 peratus risiko kanser payu dara dapat dikurangkan bagi mereka yang mengambil minuman yang mengandungi bakteria asid laktik iaitu susu berkultur Yakult sebanyak empat kali atau lebih seminggu, berbanding dengan mereka yang mengambil tiga kali atau kurang dalam seminggu," kata Dr. Toi.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

13 February 2011

Wangian Semulajadi

Rumah yang bersih, kemas dan teratur bukan sahaja menyenangkan pemilik malah tetamu yang bertandang juga berasa selesa. Namun itu sahaja belum mencukupi andai ada bau-bau yang kurang menyenangkan, terutama di bahagian dapur atau bilik air.

Tak perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk membeli pewangi sintetik, sebenarnya beberapa bahan yang terdapat di dapur atau di sekeliling rumah berupaya mengharumkan kediaman secara semula jadi.

Cuba tip ini:-
1. Daun pandan - selain dimasukkan dalam masakan untuk aroma wangi, pandan juga boleh dijadikan wangian semula jadi dalam rumah. Ibarat seperti bunga rampai, hirisan daun pandan mampu memberi aroma harum semerbak di bilik tidur, bilik air, almari pakaian dan laci untuk tempoh dua minggu.

2. Limau nipis dan kasturi - belah limau kepada dua bahagian dan simpan dalam peti sejuk untuk menyerap bau yang kurang menyenangkan. Hirisan limau nipis atau kasturi juga boleh dicampur bersama sabun pencuci pinggan untuk aroma yang lebih menyegarkan. Ia juga handal menghapuskan kotoran berminyak.

3. Bunga mawar - kelopak mawar diracik halus dan dicampur bersama daun pandan menjadi bunga rampai. Masukkan campuran bahan ini dalam bekas khas untuk dijadikan potpourri semula jadi.

4. Serai wangi - selain menghasilkan aroma yang menyegarkan, serai wangi juga berupaya menghalau nyamuk dan serangga.

5. Bunga-bungaan - beberapa jenis bunga mampu mengharumkan kawasan kediaman dan boleh bertahan hingga seminggu. Contohnya bunga melur, harum sundal malam, cempaka, kenanga, kemboja, kesidang dan lili putih.
Dipetik dari : www.utusan.com.my

11 February 2011

Trend Kasut Wanita 2011

Diramalkan tahun 2011 ini satu perubahan drastik akan berlaku dalam trend pemilihan kasut wanita. Fenomena fesyen dari tahun 2010 itu sendiri memberikan refleksi gaya kasut yang bakal menjadi pilihan di hati wanita untuk tahun 2011.

Antara reka bentuk yang diberi perhatian ialah kasut berbentuk platform. Kata peramal fesyen kasut, tahun 2011 memperlihatkan wanita mahu kelihatan bergaya dan tinggi lebih dari ketinggian asal mereka.

Pemilihan warna untuk tahun 2011 tidak terlalu jumud untuk warna hitam dan putih sahaja. Warna-warna terang, ceria dan segar dikatakan amat sesuai untuk 'mewarnai' tahun ini.

Memang isu alam sekitar seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan tidak akan lari dari perbincangan pihak berkuasa tahun ini, namun pereka fesyen kasut pasti tidak akan melepaskan peluang untuk meletakkan motif bunga, haiwan di atas rekaan kasut mereka.

Dari segi aksesorinya pula, sepasang kasut itu pasti tidak lengkap keadaannya jika tidak diindahkan dengan buckle, zip, labuci atau sebagainya.

Seperti yang boleh dilihat dengan jelas pada rekaan kasut terbaru Nine West dari koleksi musim panas/ luruh 2011 ini. Kesemuanya mencerminkan apa yang dikatakan seperti di awal rencana ini.

Pengenalan koleksi terbaru ini telah diadakan dalam suasana penuh santai di Delicious, Marc Residency, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Nine West mula bertapak di persada fesyen antarabangsa pada tahun 1978. Jenama ini diambil dari nama kedai pertamanya yang terletak di nombor 9, West 57th Street di New York. Kini ia menjadi pilihan wanita di seluruh dunia. Bukan sekadar kasut, malah beg tangan dan aksesori.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

09 February 2011

Solekan Natural 2011

Siapa Mickey Contractor? Dia adalah Pengarah Seni Solekan untuk jenama M.A.C. di India. Sebelum kehebatannya terserlah pada pelakon Glee, Mickey telah dulu mencipta nama di kalangan artis Bollywood.

Dia merealisasikan impian artis ternama Bollywood untuk tampil dengan sentuhan yang anggun lagi hebat.

Mickey bukan sekadar ikon solekan Timur, malah dia juga sudah mempelopori bidang seni tersebut sejak tiga dekad lalu.

Koleksi eksklusif Mickey M.A.C. ini hanya mengutamakan unsur solekan natural yang menjadi idaman wanita moden hari ini.

Manakala bagi sentuhan eksotik pula, Mickey memilih warna-warna yang terang lagi menawan.
Koleksi ini termasuk, bedak asas, krim asas, concealer, bedak pupur, pembayang mata, gincu, pengilat dan pembayang pipi.

Memasuki tahun 2011 ini juga M.A.C turut memperkenalkan koleksi Cham Pale, yang sesuai digunakan ketika sambutan majlis. Memang tidak dinafikan koleksi ini kelihatan lebih semula jadi dan tidak begitu menonjol.

Pemakaiannya membuatkan kulit kelihatan sekata, dan ton warnanya memang serasi dengan kulit wanita Asia.
Tersendiri dalam kelasnya, M.A.C menghasilkan maskara istimewa yang hebat diberi nama False Lashes.
Terdapat dalam hanya warna hitam dengan harga RM80 sebatang. Rumusan istimewa M.A.C ini membuatkan bulu mata anda lebat dan panjang.


Dipetik dari : www.utusan.com.my

07 February 2011

Bermadu Kena Bijak, Matang

Teringat pesanan ibu, kalau rasa diri tidak 'bijak dan matang' maka jangan sesekali cuba untuk hidup bermadu.

'Bijak dan matang' yang dikaitkan dengan bermadu itu membawa maksud cukup mendalam kerana bukan calang-calang wanita berjaya yang boleh menatang pesanan ini dengan sempurna.

Sekali gus pesanan ini sebenarnya amaran untuk mana-mana wanita muda, janda atau balu supaya tidak mudah terpana dengan rayuan cinta suami orang sehingga terjebak ke alam hidup bermadu.

Jika telah ditakdirkan masih juga gagal untuk menghalang jodoh yang terlalu kuat untuk bermadu maka persiapkan diri dengan sebaik mungkin.

Ini kerana sudah menjadi lumrah di dalam poligami, bukan sahaja antara isteri berlumba-lumba untuk menambat hati suami malah akan berdepan dengan tekanan berganda.

Kehidupan bermadu di zaman ini juga semakin kronik berbanding zaman dahulu memandangkan rata-rata wanita sebenarnya tidak bersedia.

Apatah lagi apabila 'bertemankan' suami yang dari perkahwinan pertamanya juga masih belum sempurna tetapi dengan tanpa rasa bersalah mahu membina perkahwinan yang seterusnya.

Dunia yang pada mulanya disangka indah akhirnya mula dipenuhi dengan cabaran yang mula membuatkan kehidupan semakin menjadi haru-biru.

Ada yang melakukan pelbagai usaha termasuk sanggup mendapatkan bantuan bomoh sehingga terjebak dengan perbuatan syirik.

Bagi yang tidak sabar pula, sanggup bertindak di luar batas kemanusiaan termasuk mencederakan madu dan anak-anaknya tanpa ada perasaan belas kasihan.

Ini termasuk kes terbaru yang mana hanya kerana perselisihan faham, seorang suri rumah sanggup menetak madunya dengan parang sehingga cedera di rumah mereka di Kampung Baru Sungai Korok, Kubang Pasu, Kedah pada 7 Januari lalu.

Dalam pergaduhan kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Siti Aminah Hanafi, 50, yang juga isteri pertama, cedera di dahi, pipi dan tangan setelah ditetak madunya berusia 26 tahun.

Anak mangsa, Nurul Shuhada Saad, 16, turut cedera di kaki akibat terkena libasan parang itu ketika cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

Peristiwa seperti ini sepatutnya membuka mata masyarakat Islam di negara ini supaya tidak memandang remeh isu ini walaupun hidup bermadu itu dihalalkan.

Suami sebagai ketua keluarga sepatutnya menjalankan amanah menguruskan kesemua ahli keluarganya dengan sempurna dan jangan sampai mengakibatkan berlakunya pertumpahan darah.

Islam sudah meletakkan panduan bermadu dengan cukup sempurna tetapi sayangnya bukan sahaja suami bersikap 'lepas tangan' sebagai ketua keluarga tetapi gagal mendidik isteri.

Pensyarah Kaunseling dan Naib Setiausaha Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama), Prof. Madya Datin Dr. Sapora Sipon berkata, hidup di alam poligami bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia menuntut kepada pengorbanan suami, isteri dan madu.

''Bukan itu sahaja, ia akan memberi kesan kepada struktur keluarga seperti anak, ibu bapa, mertua dan yang berkaitan,'' katanya.

Maka apabila aspek seperti emosi, kewangan, penjagaan anak, ahli keluarga dan kesihatan diri tidak dapat dikawal dengan baik, ia boleh mewujudkan konflik dan apabila tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan pergaduhan.

Hidup dalam tekanan memang sesuatu yang biasa bagi seorang isteri, apatah lagi bagi seorang madu. Ini kerana dalam bermadu lebih banyak hati yang perlu dijaga, termasuk hati sendiri.

Perjalanan hidup keluarga wanita bermadu juga lebih kompleks. Tekanan juga tidak sama bagi setiap wanita.
Sama ada bekerja atau seorang suri rumah, wanita bermadu mempunyai masalah tersendiri. Ada wanita yang lebih kuat dari wanita lain kerana setiap orang mempunyai personaliti yang berbeza.

Masalah timbul apabila emosi tidak dapat dikawal kerana tekanan yang tinggi. Kebiasaannya, tekanan yang dihadapi oleh wanita bermadu memang lebih. Apa yang lebih penting ialah mencari jalan untuk mengurus tekanan.

Sehubungan itu, kata Sapora, langkah yang perlu diambil oleh wanita yang hidup bermadu khususnya bagi menyesuaikan suasana kehidupan setelah sebahagian kebahagiannya selama ini dirampas oleh wanita lain.
"Ini bukan sesuatu yang mudah kerana ia bukan sahaja melibatkan soal hati, tetapi perkara-perkara lain seperti kewangan dan hak," jelasnya.

Antara langkah yang boleh diambil ialah menerima takdir dan menganggap bahawa ia sebahagian daripada kehidupan yang perlu dilalui. Perbaiki kerosakan yang dideritai hati akibat takdir ini.

''Fokuskan kerja-kerja memperbaiki kelemahan diri dan memahami suara hati antara sesama isteri,'' katanya.
Pegangan agama mesti menjadi kekuatan antara mereka. Peranan suami sebagai pemimpin diharapkan boleh menyelesaikan kemelut dan konflik dengan terapi al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Jika mana-mana ahli tidak dapat menyesuaikan diri dalam hidup bermadu, keadaan menjadi sukar.

Tujuan perkahwinan di antara seorang mukmin dan mukminah adalah untuk menguatkan iman, memudahkan kerja-kerja ibadah kepada Allah SWT dan menyucikan keperibadian, di samping menurunkan zuriat yang soleh.

Apabila suami turut mempunyai iman yang lemah, isteri mesti memiliki kemampuan sendiri untuk menciptakan suasana harmoni, meletakkan segala-galanya atas kuasa Allah SWT dan berusaha berdiri di atas kaki sendiri.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

05 February 2011

Baju Kurung Kain Kapas

Pakaian tradisional seperti baju kurung sentiasa menawan untuk digayakan pada bila-bila masa dan di mana jua. Tidak hanya digayakan tatkala menyambut kedatangan Syawal, hari ini baju kurung selesa digayakan ketika ke pejabat mahupun menghadiri majlis-majlis rasmi atau korporat.

Biarpun dengan kehadiran pelbagai pakaian lain yang lebih moden di pesada dunia fesyen hari ini, namun baju tradisional itu juga selalunya yang dicari.

Uniknya, hari ini dengan kehadiran banyak fabrik di pasaran tekstil, baju kurung turut dihasilkan daripada pelbagai jenis kain mengikut cita rasa serta perkembangan terkini fesyen tanah air.

Jadi hari ini terdapat baju kurung yang dijahit menggunakan pelbagai fabrik dan yang terbaru ialah penggunaan kain kapas jenis yang biasa digunakan bagi baju T yang berkualiti tinggi.

Menurut pemilik Ilham Muslimah, Sharifah Norita Syed Abdullah, dia memilih fabrik yang berkualiti tinggi dalam penghasilan baju kurung kali ini kerana bahan dari kapas semakin mendapat permintaan tinggi.
"Harganya juga tidak terlalu mahal selain selesa dipakai.

''Sebenarnya kain kapas ini amat berbeza dengan kain kapas lain terutama dari segi kualiti dan corak.
''Bila tengok sepintas lalu ia tidak nampak seperti kain kapas kerana ia jenis yang biasa digunakan bagi pembuatan baju T. Jadi kain jenis ini lebih selesa dipakai, tidak panas dan menyerap peluh.

''Jenis kain ini juga lembut dan sekali gus menjadikan si pemakainya tanpa cantik kerana sesiapa sahaja yang memakainya, ia akan terletak elok,'' katanya.

Diberi sentuhan warna-warna lembut dan terang seperti merah, biru, ungu dan putih secara tidak langsung ia menampilkan keceriaan.

Lebih istimewa, koleksi tersebut cukup bersopan dan menawan dan sudah pasti ia sesuai digayakan oleh mereka yang bertudung.

Koleksi ini juga turut menampilkan kolar teluk belanga dengan butang bungkus yang boleh dibuka.
Hujung lengan lazimya dibuat lepas biasa dan tidak ketinggalan koleksi kali ini turut mempunyai poket di sisi baju.

Seperti yang diperlihatkan, busana yang ditawarkan Ilham Muslimah nampak lebih cantik dengan corak-corak halus pada fabrik yang ditampilkan.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

03 February 2011

Ada Masa Lelaki Tolak Seks

Jangan sangka lelaki sentiasa berhasrat untuk melakukan hubungan seks, pantang ada peluang terus menyambar. Sebenarnya ada masa lelaki juga akan menolak melakukan hubungan intim. Berikut adalah masa-masanya :

Kurang Tidur
Ketika lelaki mencecah umur kematangan atau dua puluhan, keinginan melakukan seks kadang melebihi minat tidur, apatah lagi jika baru mendirikan rumah tangga. Pukul 3.00 pagi pun mereka sanggup mengejutkan pasangan untuk seks kerana apabila sedang membara. Tapi seiring pertambahan usia dan tempoh perhubungan itu sendiri, minat untuk berhubungan intim juga semakin surut. Apatah lagi kepenatan bekerja dan kurang tidur.

Kadar Hormon
Stimulasi fisiologis yang terpenting terhadap minat seksual adalah hormon testosteron. Terlalu banyak prolaktin dan Sex Hormone Binding Globulin (SHBG) dapat menghalang nafsu untuk hubungan intim. Jadi jika alasan hormon menjadi punca masalah, maka ujian darah untuk memeriksa tahap hormon testosteron, prolaktin, SHBG diperlukan.

Masalah Identiti
Apabila seseorang lelaki mengalami ketidakpastian mengenai fungsinya di dunia, dalam keluarga, lebih-lebih lagi pada pasangan maka minatnya pada seks juga ikut terhakis. Ia selalu dikaitkan sebagai masalah kemurungan atau depresi. Masalah identiti ini selalunya berlaku apabila seseorang lelaki kehilangan pekerjaan, salah satu anggota keluarga meninggal, serta pertanyaan demi pertanyaan mengenai orientasi seksualnya. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan nafsu seks semakin menurun
atau mungkin langsung hilang.

Hati Tersinggung
Seperti wanita, hati lelaki juga akan terasa bila menyentuh perkara-perkara tertentu yang tidak menyenangkan hatinya. Bila perasaan tersentuh atau tersinggung lelaki akan memilih tidak melakukan seks sebagai cara menunjukkan rasa tidak puas hatinya. Perkara yang mungkin membuatkan seorang lelaki tersinggung antara adalah sikap pasangan yang suka mencela ataupun menjatuhkan air mukanya.

Berbeza Pendapat
Lelaki juga akan memberontak dan ia akan melampiaskannya dalam bentuk mengelakkan seks berbeza pendapat ataupun bertengkar dengan pasangan. Sebahagian lelaki memilih ‘menghukum’ pasangan dengan tidak melakukan aktiviti di tempat tidur hingga konflik selesai.

Pengambilan Ubat Ubatan
Ubat anti kemurungan dan ubat penurun tekanan darah sering kali menjadi penyebab hilangnya nafsu seks bagi lelaki. Ia juga sering dikatakan menjadi penyebab berlakunya disfungsi seksual pada kaum Adam.

Masturbasi
Lelaki yang kerap melakukan masturbasi akan merasakan mereka tidak memerlukan pasangan untuk memuaskan nafsunya. Aktiviti ini semakin menjadi-jadi terutama sejak perkembangan teknologi informasi. Ia menjadi masalah jika terlalu asyik melakukannya sehingga melupakan pasangan sendiri.

Takutkan Keintiman
Mungkin kedengaran aneh tapi hakikatnya ada sebilangan lelaki yang takut dengan keintiman kerana pengalaman tak menyenangkan di masa lalu. Mungkin kerana diliwat atau sebagainya.

Fungsi Seksual Terganggu
Terdapat lelaki yang mengalami disfungsi ereksi, ejakulasi awal ataupun lambat akan menghindari seks dengan pasangan. Bagi lelaki ini daripada kecundang sebelum ‘berperang’ lebih baik tidak memulakannya langsung. Sekiranya ketika ini suami menghindari seks, cara berkesan untuk mengajaknya untuk kembali bersama adalah menjauhkan kritikan yang sifatnya menjatuhkan air muka atau ‘mencela’ kejantanannya. Dibantu dengan informasi jelas dan pakar seks, sebahagian besar kes sebegini boleh diselesaikan.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

01 February 2011

Sandal Trend Masa Kini

Siapa kata sandal tidak menepati cita rasa pemakai dan jika memakainya, individu itu kelihatan tidak bergaya.

Sandal menjadi pilihan utama bagi mereka yang mementingkan kebebasan, keselesaan dan gaya.
Wanita dan lelaki sekarang sentiasa bergerak cergas dan mahu tampil ringkas lebih selesa menggayakan sandal dalam aktiviti seharian.

Kebanyakan sandal direka khas untuk golongan muda yang mementingkan gaya dan keselesaan serta menambahkan kecergasan dalam langkah mereka.

Kebiasaannya, sandal menjadi pilihan untuk aktiviti yang menyeronokkan seperti bersantai, menonton wayang, bertemu buah hati, membeli-belah dan sebagainya.

Jenama sandal antarabangsa Sanuk telah memperkembangkan rekaan sandal kepada sepasang kasut yang ringkas dan selesa.

Masih mengekalkan koleksi sandal, Sanuk menghasilkan kasut yang mudah disarung dan ringan. Seakan-akan sandal, Sanuk memperkenalkan koleksi kasut dengan tema "Not-A-Shoe" yang membawa maksud bukan kasut.

Seperti rekaan sandal Sanuk yang lain, koleksi kali ini menampilkan kombinasi unik antara gaya dan perlindungan kaki yang memberi keselesaan kepada tapak kaki.

Bersesuaian dengan nama koleksi, Sidewalk Surfers ini memberi keseimbangan dan mengurangkan kesakitan kepada kaki.

Tapak yang diperbuat daripada bahan getah berkualiti dan tahan lama itu mengurangkan rasa sakit pada tapak kaki ketika berjalan.

Ciri-ciri sandal Sanuk inilah yang menarik perhatian peminat sandal termasuk bintang terkenal Hollywood, Brad Pitt dan Halle Berry.

Anda boleh merasai kehebatan produk yang dicipta oleh Jeff Kelly yang berasal dari Selatan California apabila melipat sandal Sanuk. Hasilnya, ia kembali kepada bentuk asal tanpa kesan rekahan.

Sandal Sanuk secara keseluruhannya memiliki motif ceria dan berwarna-warni yang diilhamkan berdasarkan prinsip 'keselesaan dan kebebasan'.

Dipetik dari : www.utusan.com.my