Jom Jadi Geng

30 August 2011

Fatin Suhana Gadis Berdikari

Cuti semester panjang selama empat bulan dimanfaatkan sewajarnya oleh gadis manis ini dengan berniaga secara kecil-kecilan.

“Fatin menjual tudung, selendang, alat solek dan pakaian wanita melalui blog saya, www.
fatinsuhana.blogspot.com,” kata pemilik nama penuh Che Wan Fatin Suhana Che Wan Khalid.

Menurut gadis berusia 22 tahun ini, sesekali dia juga dipanggil untuk menggayakan rekaan terkini butik-butik pakaian muslim. Biar pun secara sambilan, baginya peluang sebegitu tidak patut dilepaskan apatah lagi dia juga sangat meminati dunia peragaan.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri yang lalu, Fatin berkata, dia menyambutnya di rumah keluarganya di Kuantan, Pahang. Walaupun kedua ibu bapanya berasal dari Terengganu, namun kali ini mereka memilih untuk beraya di rumah sendiri sahaja.

Pelbagai hidangan tradisi disediakan seperti lontong, lemang dan rendang. Tidak dilupa juga kuih-muih moden. Paling istimewa, ia dihasilkan sendiri oleh Fatin yang sememangnya mahir ketika di dapur. Penuntut jurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Teknologi Mara ini membuktikan bahawa gadis moden hari ini tetap mahir memasak.

“Fatin sediakan dua jenis kek iaitu kek keju mousse dan kek keju Oreo. Selain itu, Fatin turut membuat apam polka dot, spaghetti dan puding oren koktel,” katanya lagi.

Melihat kepada gaya manja gadis ini, sukar mempercayai dia seorang yang sangat berdikari. Menurutnya, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia dihantar ke Jepun oleh bapanya untuk belajar budaya di sana.

Tempoh sebulan digunakan oleh Fatin untuk ke sekolah dan bergaul dengan penuntut di sana walaupun dia tidak mahir berbahasa negara itu.

Pengalaman itu menjadikan Fatin semakin matang biar pun di kelilingi orang asing. Malah dua tahun lalu, bersama rakan-rakan, dia mengembara ke Eropah selama sebulan.

“Mengembara membuka mata kita mengenai budaya dan cara hidup masyarakat luar. Ia juga menjadikan kita semakin berdikari dan percaya kepada kebolehan sendiri,” akhiri gadis comel itu lagi.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

20 August 2011

Kempen 1 karat berlian Tomei

Kecanggihan teknologi berasaskan Internet dimanfaatkan dengan pelancaran program kesetiaan barangan kemas pertama di Malaysia.

Tomei, jenama yang mempelopori program itu mengatur strategi bagi memastikan program keahlian tanpa kad tersebut memberi pulangan lumayan kepada ahlinya.

Justeru bersempena pelancaran program tersebut, Tomei turut melancarkan kempen RM100 untuk satu karat berlian yang memberikan peluang kepada ahli memperoleh enam butir berlian bernilai lebih RM200,000.

Dalam kempen itu Tomei turut membawa lima lagi jenama di bawahnya seperti Tomei Gold & Jewellery, My Diamond, T.H. Jewelry, Goldheart dan Le Lumiere.

Ia berlangsung dari 1 Ogos dan bakal berakhir pada 31 Januari 2012. Menerusi kempen berkenaan setiap baucar yang berharga RM100 hanya akan dijual pada harga RM80 untuk ahli program kesetiaan tersebut.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Tomei, Christine Lim, untuk menjadi ahli setia kepada produk Tomei tiada sebarang pembayaran perlu dibuat. Cara menyertainya juga mudah iaitu dengan mengisi borang secara dalam talian.

"Setelah menjadi ahli setia ini mereka boleh menyertai seberapa banyak kali pertandingan. Namun hanya boleh menang berlian sekali sahaja. Bermakna satu baucar untuk satu borang.

"Baucar ini juga sesuai dibeli sebagai hadiah untuk yang tersayang kerana jika tidak menyertai pertandingan mereka boleh membeli barang emas dengan baucar tersebut," jelasnya.

Sempena pelancaran kempen tersebut, Tomei turut memperagakan set barangan kemas yang direka khas sempena Hari Raya tahun ini. Pelbagai jenis koleksi itu boleh didapati di Tomei.

Bagi pelanggan emas Tomei yang berminat menyertai program keahlian tersebut boleh mendaftar melalui laman web www.myjewelclub.com

Dipetik dari : www.utusan.com.my

10 August 2011

Inai Hias Jari-Jemari

Sudah menjadi adat dalam perkahwinan Melayu sejak turun-temurun pengantin perempuannya memakai inai di jari tangan dan kaki.

Lazimnya pemakaian inai dibuat seperti membungkus hujung jari dengan daun inai yang telah ditumbuk halus.

Bagi mendapatkan warna inai yang merah jingga pekat, semasa menumbuk, daun inai dicampurkan dengan gambir. Nasi turut dicampur supaya campuran inai melekit dan mudah melekat pada jari.

Bagaimanapun pada masa sekarang banyak kemudahan dalam pemakaian inai.

Kini serbuk inai banyak dijual. Hanya perlu mencampurkan serbuk inai dengan air dan sudah boleh digunakan. Jika hendak lebih merah, campurkan dengan air pati teh.

Pengantin sekarang juga lebih suka menggunakan serbuk inai kerana menjimatkan masa dan tenaga.
Selain boleh dipakai sendiri, bakal pengantin boleh mendapatkan khidmat pelukis inai.

Bakal pengantin boleh berbincang dengan pelukis inai corak yang dikehendaki dan sesuai.

Salah seorang pelukis inai, Siti Athlia A. Kadir berkata, terdapat banyak corak. Namun kebanyakan yang dilukis pada tangan pelanggannya adalah ilham sendiri.

Sambil menunjukkan gambar koleksi lukisan inai yang pernah dihasilkan, Siti Athlia menambah, ada pengantin yang ingin melihat dahulu contoh lukisan inai.

''Untuk itu, saya akan melukis dahulu di atas kertas. Jika pelanggan bersetuju, saya akan lukis. Namun demikian ada juga pelanggan yang menyerahkan pada saya untuk memilih corak yang sesuai.

''Terdapat juga pengantin yang mahu saya melukis inai mengikut corak inai yang dipakai oleh artis semasa berkahwin.

''Pelbagai corak disediakan tetapi biasanya pelanggan lebih gemar corak bunga-bungaan, tumbuhan menjalar mahupun motif abstrak.

"Jika di Johor, mereka tidak menggemari corak yang terlalu berserabut. Mereka sukakan yang ringkas dan nampak manis.

"Berbeza dengan di Singapura, mereka lebih mahu nampak glamor dan meminta saya menghias lukisan inai dengan kristal swarovski,'' kata Siti Athlia yang datang dari Johor Bahru ke pejabat Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, lukisan inai yang ringkas dapat disiapkan dalam masa 15 hingga 30 minit.

Bagaimanapun lukisan inai pengantin India mengambil masa lebih 30 minit kerana lebih halus dan rumit.

Tambahnya, inai tidak mengambil masa yang lama kerana dalam tempoh satu jam, ia sudah merah. Tetapi jika dibiarkan lebih lama, inai akan semakin merah dan semakin tahan lama.

Jelas beliau, serbuk inai yang digunakan bagi melukis pada tangan akan dicampurkan dengan gula supaya lembap. Air limau nipis dan minyak pula khusus untuk tahan lebih lama.

Bertugas sebagai setiausaha di sebuah hotel di Johor Bahru, Siti Athlia berkata, pada awalnya beliau melukis inai sekadar suka-suka.

Namun setelah empat tahun, beliau semakin menyukai hobi ini dan mula serius dengan hobinya itu.

''Selain untuk pengantin, kini orang bertunang pun mahu memakai inai,'' ujar ibu kepada dua orang anak itu.

Katanya, bayaran yang dikenakan mengikut corak lukisan. Harga pakej untuk inai termasuk depan belakang tangan serta keliling jari tangan dan kaki adalah RM150.

Corak yang lebih rumit akan dikenakan bayaran yang lebih sedikit.

Kepada yang ingin melihat corak-corak inai Siti Athlia boleh membuka Facebook Siti Athlia A. Kadir My Beautiful Henna atau hubunginya di 019-7746160.

Dipetik dari : www.utusan.com.my