Jom Jadi Geng

30 May 2011

Robiah Berniaga Berbekalkan Ilmu

Ada orang pernah kata, jika nak menjadi seorang peniaga, tidak perlulah belajar tinggi-tinggi. Cukup sahajalah berbekalkan pengalaman dan ada modal.

Mungkin pepatah ini tidak lagi sesuai di zaman ini memandangkan tanpa ilmu agak sukar untuk kita bergerak dengan lebih jauh kerana persaingan di dalam dunia perniagaan sememangnya sengit.

Begitu juga dengan Pengarah Haida Health & Beauty Centre, Robiah Huri, 38, sanggup mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Spa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini selama dua tahun secara sambilan demi mengejar ilmu.

Robiah atau lebih dikenali sebagai Ruby ini berkata, walaupun ketika itu beliau sibuk kerana baru membuka Haida Health & Beauty Centre pada tahun 2006 tetapi itu semua bukan alasan.

''Sepanjang pengajian ini saya bukan saja belajar cara menguruskan perniagaan spa malah turut menimba ilmu dalam perkhidmatan yang biasa ditawarkan oleh spa seperti fisiologi, anatomi, refleksologi, rawatan selepas bersalin dan juga terapi urutan," katanya ketika ditemui di LG 25 Maju Junction Mall, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ruby berkata beliau bersemangat untuk belajar kerana mempunyai cita-cita membuka spa bagi mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.

Ini kerana pada masa itu Ruby hanya membuka perniagaan menjual barangan produk kesihatan dan kecantikan berasaskan gamat dengan menyewa sebuah lot kedai.

''Sebelum itu saya menjual produk ini hanya menyewa gerai kecil berdekatan kawasan pasar raya," katanya.
Bagaimanapun beliau mula merasakan perlu membuka kedai memandangkan jumlah pelanggan semakin meningkat. Jelas Ruby sebelum itu beliau memang mempunyai pengalaman menarik berkaitan dengan penggunaan produk ini.

''Produk ini diperkenalkan oleh salah seorang ahli keluarga selepas saya keguguran dan ia memang berkesan kerana selepas saya semakin pulih dan sihat semula," katanya.

Semenjak itu, Ruby berjinak-jinak menjual produk gamat ini walaupun pada mulanya hasratnya untuk berhenti kerja bank bagi menumpukan masa kepada anak-anak.

Minat itu yang mendorong Ruby belajar di UTM di atas tajaan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) yang memberi peluang peniaga sepertinya untuk menimba ilmu dalam bidang yang ingin diterokai.

Selepas tamat pengajian Ruby mula mengubah suai sebahagian ruang lot kedai sedia ada untuk menyediakan perkhidmatan spa.

Pada ketika itu Ruby hanya mempunyai dua buah katil dengan dibantu oleh dua pekerja sahaja.

''Kini spa ini semakin berkembang di mana saya telah menyediakan lima katil untuk memberikan rawatan lima pelanggan sekali gus oleh lima pekerja iaitu tiga mahir dalam urutan dan dua lagi untuk merawat kecantikan," kata ibu kepada lima anak ini.

Sebagai orang yang memahami rentak perniagaan dengan berbekalkan dengan ilmu yang ada, Ruby memberitahu spanya bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kecantikan tetapi lebih 'spa untuk rawatan kesihatan' yang bermula dari dalaman.

Sehubungan itu, katanya, teknik urutan yang ditawarkan oleh spa miliknya juga berusaha untuk menyembuhkan penyakit seseorang.

''Badan seseorang perlu diurut bagi membolehkan darah berjalan dengan lancar dan akan membuatkan seseorang itu lebih sihat dan segar," katanya.

Selain itu, katanya perkhidmatan lain yang disediakan termasuk rawatan menguruskan badan dengan teknik urutan dengan penggunaan produk La Ara Beauty Solution keluaran tempatan yang dihasilkan dari bunga rosell, asam keping dan juga kollagen daripada ikan.

Katanya, gabungan tiga bahan ini bukan sahaja dapat menguruskan badan sambil menjadikan kulit tegang.
Jelas Ruby untuk mendapatkan keterangan lanjut berhubung dengan rawatan yang disediakan boleh menghubunginya di talian 03-26931279 atau 017-6756679 atau melayari www.haidahealinghouse.blogspot.com.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

28 May 2011

Carlo Rino Tampil Warna Terang

Carlo Rino, satu jenama yang tidak lagi perlu diperkenalkan. Kemunculan koleksi terbarunya di pasaran bukan sahaja sentiasa dinanti-nantikan, malah ia tidak pernah mengecewakan.

Terkenal dengan himpunan kasut dan beg tangan, apa yang ditawarkan sentiasa mengikut konsep dan trend fesyen serta memenuhi cita rasa wanita moden hari ini.

Terbaru, koleksi untuk musim bunga/panas 2011 pasti memikat peminat fesyen tanah air.

Keberanian Carlo Rino menampilkan warna-warna terang di samping warna biasa, ia bukan sahaja dilihat satu penampilan istimewa buat peminat-peminat warna tersebut, malah ia juga dilihat mampu menyerlahkan penampilan di pemakai.

Sentiasa tampil dengan konsep segar, anggun dan bergaya, koleksi Carlo Rino ini sememangnya sesuai bagi mereka yang inginkan kelainan daripada segi penampilan.

Kepada peminat- peminat warna terang, jangan lepaskan peluang memiliki koleksi beg tangan yang menampilkan warna seperti kuning, biru laut, merah jambu dan juga merah.

Yang pasti, koleksi it u sesuai digayakan ke mana-mana sahaja kerana rekaannya yang ringkas dan sesuai untuk semua acara.

Untuk koleksi kasut pula, keselesaan kaki anda dijamin kerana koleksi yang ditampilkan bukan sahaja menarik tetapi rekaannya juga menggunakan tapak yang tebal dan lembut.

Tidak ketinggalan, Carlo Rino turut tampil dengan koleksi beg tangan yang diperbuat daripada kulit.

Selain itu, terdapat juga beg tangan yang feminin bagi mereka yang menggemarinya kerana ia bukan sahaja menarik untuk dibawa ke majlis-majlis formal, tetapi juga sesuai untuk ke mana-mana juga.

Untuk itu, jangan lepaskan peluang untuk memiliki koleksi terbaru Carlo Rino dengan mengunjungi kedai yang berdekatan.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

26 May 2011

Kraf Tekap Daripada Bunga-Bunga Kering

Hampir saban hari dia melihat kelopak-kelopak bunga satu persatu layu dan jatuh berguguran memenuhi ruang halaman rumahnya. Bunga-bunga layu dan kering itu kemudian hanya disapu begitu sahaja.

Entah kenapa, kerana memikirkan betapa sayangnya bunga-bunga kering itu terbuang begitu sahaja akhirnya mencetuskan idea kepada seorang ibu tunggal untuk mengusahakan kraf bunga tekap pada 1998.

Ketika itu, Esiah Kaimun, 59, baru sahaja kembali ke desa kelahirannya di Kampung Lang Tengah, Banting, Selangor setelah berpisah dengan suaminya.

Kesedihan tidak membuatkan Esiah hanya berpeluk tubuh atau termenung mengenang nasibnya. Masa lapangnya diisi dengan usaha baktinya kepada tanah dengan menanam pelbagai pokok bunga hiasan.

Selain itu, dia juga menanam pelbagai pokok herba, ulam-ulaman dan pokok buah-buahan.

"Saya rasa sayang pula apabila melihat bunga-bunga dan daun-daun kering yang bertaburan di halaman rumah tanpa dimanfaatkan.

''Sedangkan hendak menjaganya bukan suatu yang mudah tetapi apabila ia layu dan kering terpaksa dibuang begitu sahaja. Ketika itu terdetik di hati saya untuk mengeringkan bunga-bungaan itu," katanya.

Kata Esiah, pada mulanya, dia hanya mengeringkan bunga itu dalam buku sebagaimana yang pernah dilakukan semasa alam persekolahan dahulu.

''Kini kita sudah boleh mengunakan ketuhar gelombang mikro untuk mempercepatkan proses pengeringan bunga-bunga tersebut.

''Setelah kering, kita boleh menggunakan kreativiti sendiri dengan menyusun bunga-bunga dan daun-daun pokok sehingga terhasilnya kraf bunga tekap," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu menyatakan, hasil bunga tekapnya itu kemudian dihantar ke Jabatan Pertanian Daerah Kuala Langat.

Melihatkan kepada hasil kraf yang berpotensi tinggi untuk dimajukan, Esiah kemudian telah dihantar menjalani kursus di Kalumpang, Tanjung Malim, Perak bagi memperkukuhkan kemahirannya.

Bermula dari situlah hidup Esiah bersinar kembali seperti mekarnya bunga-bungaan di taman halaman rumahnya. Hasil rekaan bunga tekap Esiah semakin berkembang malah produknya itu pernah dipasarkan ke luar negara.

Tiada siapa yang menyangka, rupa-rupanya bunga-bunga layu dan kering di depan rumahnya kini membuahkan pulangan pendapatan yang lumayan.

''Menghasilkan bunga tekap bukan sesuatu yang mudah kerana banyak menggunakan kreativiti dan imaginasi yang tinggi. Oleh itu saya mengamalkan beberapa petua untuk menggerakkan daya imaginasi contohnya tidak memakan daging," katanya.

Terang Esiah lagi, bunga tekapnya banyak menggunakan bahan-bahan seperti bunga tiga bulan, orkid, kiatan, batang pisang, rumput, daun pandan dan daun jagung, '' katanya.

Hasil kreativitinya juga pernah mendapat pengiktirafan apabila Esiah pernah muncul johon dalam pertandingan bunga tekap di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Melaka.

Katanya, bagi menghasilkan satu rekaan bunga tekap, seseorang itu perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit malah kadang kala mengambil masa berhari-hari mengikut reka bentuk diinginkan.
Hasil produk kraf Esiah dijual daripada harga serendah RM3 sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Antaranya rekaan yang dihasilkan pada 10 Oktober tahun lalu berharga RM10,000.

''Kini saya semakin sibuk dengan jualan bunga tekap dalam ekspo-ekspo jualan selain menjadi tenaga pengajar kemahiran kraf bunga tekap kepada asnaf zakat di Pusat Zakat Selangor dan Kolej Komuniti Kuala Langat," katanya.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

24 May 2011

Nur Ayuni Reka Kasut Melalui Internet

Namanya mungkin tidak setanding Jimmy Choo mahupun Zhang Toi, namun Nur Ayuni Azri, 21, berkongsi minat yang sama dengan dua pereka tersohor ini - iaitu mencipta kasut-kasut yang cantik.

Bidang rekaan kasut di negara ini sememangnya semakin diminati malah kian ramai anak muda yang mencuba nasib lebih-lebih lagi dengan adanya kursus-kursus rekaan kasut untuk mendalami lagi ilmu tersebut.

Bagi Nur Ayuni dorongan minat membuatkan dia berjinak-jinak dengan dunia rekaan kasut biarpun secara sambilan.

Ini kerana, anak kelahiran Kuala Lumpur ini masih menuntut di salah sebuah kolej swasta di ibu negara dalam jurusan kejuruteraan perisian.

Walaupun bidang yang dipelajari amat berbeza dengan kerjaya sambilannya hari ini, ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada Nur Ayuni malah beliau aktif menghasilkan rekaan kasut yang unik dan cantik sejak beberapa tahun lalu.

Ketika ditemui di rumahnya di Taman SPPK, Kuala Lumpur, Nur Ayuni bercerita bahawa dia menceburi bidang rekaan kasut tanpa sebarang pengetahuan khusus dalam bidang tersebut.

Bagaimanapun oleh kerana minat yang terlalu tinggi dan mendalam, ilmu mereka cipta kasut sanggup dipelajarinya melalui Internet.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang rekaan kasut, Nur Ayuni memberitahu bahawa dia merupakan seorang yang suka membeli belah melalui Internet.

Sebelum itu pun, Ayuni pernah menjual kasut dari China tetapi tidak lama kerana ada masalah dari segi saiz dan kadang kala ada kasut yang diperbuat daripada kulit babi.

Selepas berhenti sebentar dan akhirnya dia mula terfikir untuk berniaga semula tetapi kali ini lebih serius.
''Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman apatah lagi pengetahuan dalam bidang perniagaan, tetapi kerana minat yang mendalam, saya pelajari juga melalui Internet.

''Bagaimanapun, sebelum melibatkan diri secara serius dalam bidang rekaan kasut, saya terlebih dahulu membuat kajian dan penyelidikan apakah rekaan dan fabrik yang digemari pengguna.

''Alhamdulillah, segala penat lelah selama ini berbaloi dan apabila rekaan saya berada di pasaran (online), sambutannya amat menggalakkan dan ia di luar dugaan,'' ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Berbicara lebih lanjut mengenai pemilihan fabrik, Nur Ayuni gemar membeli fabrik dari Indonesia kerana, selain murah, coraknya pelbagai dan cantik serta lain daripada yang lain.

Sementara itu, setiap kasut yang dihasilkan rekaannya adalah ilham daripada hasil bacaan majalah dalam negara ataupun luar negara dan tidak ketinggalan Internet.

Menamakan rekaannya YMS Koleksi, setiap satu rekaan yang dihasilkan adalah eksklusif dan hanya terdapat 50 pasang untuk setiap rekaan.

Boleh didapati pada harga terendah RM140 dan termahal RM200, YMS koleksi hanya boleh dibeli secara online dan bagi mereka yang ingin melihat koleksi-koleksi Ayuni bolehlah layari www.youmeandshoes. blogspot.com atau melalui laman sosial Facebook you, me and shoes.

Dijahit oleh tukang jahit tempatan, Nur Ayuni turut menerima tempahan mengikut rekaan dan cita rasa pelanggan.

''Untuk setiap rekaan, saya memerlukan sebulan bagi menyiapkannya dan saya turut menerima tempahan mengikut rekaan dan cita rasa pelanggan.

"Bagaimanapun, pelanggan juga boleh memilih rekaan yang telah sedia ada,'' katanya mengakhiri perbualan.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

22 May 2011

Pesona Mutiara Laut Selatan

Mutiara sememangnya cukup serasi dengan wanita kerana nilai keindahannya yang tinggi. Daripada rantai, cincin, gelang dan subang membawa kepada aksesori lain seperti kerongsang dan butang baju, kilauan mutiara bagaikan tidak pudar dek zaman.

Memahami minat wanita terhadap mutiara tidak mungkin surut, DeGem, jenama unggul dalam industri perhiasan dan rias diri, sekali lagi menampilkan koleksi mutiara terbaru bertema hitam dan putih.

Pesona mutiara Laut Selatan menawan dan elegan dengan kolaborasi rekaan-rekaan moden.

Pengarah Eksekutifnya, Stephen Choong berkata, Degem yang beroperasi sejak dua dekat lalu cuba untuk mengubah persepsi masyarakat tentang mutiara.

“Koleksi pada tahun ini pasti menggamit nostalgia dengan penggunaan tema yang menampakkan rekaan lebih kreatif dan menarik,”katanya.

Katanya, turut ditampilkan koleksi Earth yang bagai mahu memberi nafas baru dalam penghasilan barangan kemas.

Koleksi ini sebagai penghormatan terhadap sambutan Hari Bumi Sedunia dengan penggunaan elemen-elemen semulajadi.

Antaranya, loket berbentuk bumi, cincin bermotif pokok dan sebagainya.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

20 May 2011

Sulam Manik Penyeri Baju

Menjahit sulam manik kerja remeh tetapi hasilnya cukup membanggakan sehingga baju lama pun boleh nampak baru.

Kilauan manik yang dijahit dengan penuh perincian pada leher atau hujung lengan mampu membuatkan baju yang dipakai nampak mewah dan eksklusif.

Itu juga yang membuatkan ramai wanita sanggup berhabis ratusan ringgit untuk menempah sulaman manik pada baju kurung mahupun kebaya mereka.

Apatah lagi pada hari ini sulaman manik bagai melalui era peralihan dengan pelbagai corak, teknik dan rekaan baru yang lebih kreatif.

Kalau dulu sekadar menggunakan butiran manik-manik kecil, kini digabungkan pula dengan batu-batu permata dan terbaru muncul sulaman manik 3D.

Seorang tenaga pengajar sulaman manik, Nora Abd Rahman, mengakui sulaman manik mempunyai keunikan yang tersendiri.

Ia bukan sekadar memberikan kelainan kepada sepasang baju, tetapi corak dan kombinasi warna di samping susunan labuci menyebabkan sesuatu rekaan nampak luar biasa.

"Penggunaan corak bermotif bunga-bungaan seperti mawar, kemboja dan kekwa berserta corak buah-buahan merupakan inspirasi yang digunakan untuk membentuk corak sulaman pada baju," katanya.

Menurut anak kelahiran Johor ini, masa untuk menyiapkan sulaman manik pada sepasang baju bergantung kepada corak yang disulam pada fabrik.

"Selalunya saya mengambil masa selama tiga hari ataupun lebih untuk menyiapkan sesuatu sulaman.

"Selain itu kadar kepantasan menjahit sulaman manik juga bergantung kepada jenis fabrik yang digunakan.

"Apa yang pasti baju yang disulam akan nampak menarik dan bersinar-sinar biarpun jenis kain yang digunakan biasa-biasa sahaja," katanya.

Sementara itu, sulaman 3D yang menggunakan manik sebagai bahan utamanya merupakan teknik sulaman terbaru yang semakin digilai ramai pada masa ini.

Tambahnya lagi, teknik sulaman manik beriring, sisik ikan yang menggunakan labuci sebagai bahan utamanya dan mutiara berantai merupakan teknik asas yang perlu dipelajari sebelum memahirkan diri dengan rekaan -rekaan sulaman yang lebih kreatif.

Beliau juga turut membuka kelas belajar sulaman manik setiap hujung minggu.

Sebarang maklumat lanjut ataupun berminat untuk mempelajari teknik sulaman manik bolehlah menghubungi 012-3654519.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

18 May 2011

Rahsia Kecantikan Semula Jadi

Angelica Lee Sin-je, aktres kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Hong Kong mula dikenali menerusi filem The Eye (2002) sehingga menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada majlis Golden Horse.

Wanita berusia 35 itu beranggapan kecantikan terpancar daripada fizikal dan psikologi yang sihat.
"Apabila saya sihat, gembira dan mempunyai keyakinan, saya akan merasai diri ini cantik," ujarnya yang mengamalkan disiplin kecantikan untuk kekal muda.

Menggunakan rangkaian produk SK - II sebagai penjagaan asas kulit, minum segelas air kosong setiap pagi selepas bangun daripada tidur dan duduk sambil merehatkan fikiran selama beberapa minit, sudah cukup membuat Sin-je gembira dan tenang bagi memulakan hari baru.

Pada awalnya, Sin-je merasakan tidak perlu bergantung kepada produk kecantikan sehinggalah dia merasakan perubahan pada kulitnya.

Dia kerap ke serata tempat dan menyedari kulitnya menjadi kering apabila berada di negara sejuk seperti China.

Kebetulan dia ditawarkan menjadi duta SK II dan pada masa sama dia melihat Qiqi dalam komersial televisyen SK II.

"Ketika itu saya mahu memiliki kulit bersih kristal seperti kulit Qiqi. Sejak itu, saya pun mendapatkan nasihat pakar kulit dan mula menggunakan SK II sejak empat tahun lalu.

''SK-II Facial Treatment Essence (FTE) sangat berkesan pada wajah saya. Saya dapat lihat kulit wajah saya berubah dari hari ke sehari.

''Ia kelihatan berseri dan tidak kering. Pori-pori kulit saya mengecil dan tidak hairanlah jika orang ramai menggelarkan FTE air ajaib di dunia," ujarnya yang turut menerima teguran rakan-rakan dan keluarga yang menyedari perubahan kulitnya.

Sin-Je memang dikenali di kalangan ahli keluarganya seorang yang menjaga kecantikan kulit sejak usia muda dan tidak menunggu sehingga kulitnya bermasalah.

" Apabila saya tidak berkerja, saya tidak menggunakan sebarang solekan supaya kulit saya boleh bernafas. Tetapi saya masih membersih dan menggunakan penyegar serta FTE.

''Saya juga percaya emosi memainkan peranan penting. Jangan tertekan kerana ia dapat dilihat pada kulit anda. Cuba menjadi gembira dan apabila anda gembira, anda akan tidur nyenyak dan membantu mencerahkan wajah anda," tambahnya.

Sebagai pelakon, Sin-je tidak lari daripada kesibukan jadual penggambaran namun kepenatan bekerja seharian tidak pernah menghalang dia melakukan rutin penjagaan kecantikan secara teratur.

Setiap hari, dia akan menggunakan pembersih, penyegar dan pelembap wajah. Berbeza dengan China, cuaca di Malaysia lebih panas dan krim pelindung matahari amat penting untuk kulit. Mujurlah, dia amat serasi dengan produk SK II khususnya topeng wajah dan FTE yang banyak membantu kulit wajahnya.

Untuk kelihatan menawan, pergerakan fizikal amat penting. Justeru itu, dia banyak melakukan senaman seperti berlari, berenang dan kick boxing, yoga dan qi-gong.

Sebagai tambahan, Sin-ju turut mengamalkan diet seimbang dan mengutamakan makanan yang kaya dengan bahan anti oksida.

Bagi wanita kelahiran Kedah itu, kecantikan datang dari hati dan dalaman akal kekal lama sementara kebaikan dan kebijaksanaan memberi kita keyakinan semula jadi.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

16 May 2011

Jatuh Cinta Pada Malaysia

Cantik, yakin, berbakat dan berani antara kriteria wanita berdarah kacukan Perancis dan China ini.
Hampir dua tahun menetap di sini, Natacha Muenier, 25 jatuh cinta pada Malaysia.

Bekerja dalam bidang pelancongan akhirnya membawa dirinya ke Malaysia dan menceburi dunia model tempatan.

Natacha beranggapan rakyat negara ini sangat baik di samping persekitaran yang selesa.

"Saya tiba di Malaysia ketika terlibat dengan satu tugasan saya dalam bidang pelancongan. Di sini saya jatuh hati dengan orangnya," ujar pemenang Pencarian Model Estee Lauder kategori A 2010.

Selepas bergelar juara, kehidupan Natacha berubah menjadi daripada model sambilan kepada seorang wanita yang sibuk dengan undangan penggambaran dan peragaan.

Mengambil keputusan untuk berjauhan dengan keluarganya di Paris, Natacha kini kian ligat di persada peragaan Malaysia.

Bersukan 

Gemar melakukan aktiviti sukan, Natacha sudah lima tahun mengembara ke negara-negara Asia termasuk Hong Kong dan Thailand.

Bermula dari situ, dia mula berjinak-jinak sebagai model sambilan sehinggalah dia menyertai Pencarian Model Estee Lauder di Kuala Lumpur tahun lalu.

Selain mengamalkan penjagaan kulit, Natacha perlu cukup tidur dan minum banyak air untuk kekal cantik dan segar.

Bersyukur kerana dianugerahkan kulit yang cantik sejak lahir, Natacha tidak mahu mensia-siakan anugerah tersebut.

Buat masa ini, Natacha akan menetap di Malaysia dan dia sendiri tidak mahu rindukan makanan kegemarannya seperti roti canai, char keow teow dan laksa jika berjauhan dari negara ini.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

14 May 2011

Serasi Dengan Bunga

Bermula daripada minat melihat gubahan hantaran di majlis perkahwinan kaum keluarga, Hafidzah Ghazali , 37 timbul idea dan minatnya terhadap gubahan bunga, pelamin dan hantaran.

Sejak itu kehidupannya sentiasa dikeliling bunga - bunga.

Bagi Hafidzah, sentuhan seni gubahan bunganya telah mencetus inspirasi baru dalam kehidupan. Malah, aroma bunga - bunga segar mampu membangkitkan lagi mood dan cita rasa sebenar pemiliknya.

Sejak bergelar ibu tunggal sembilan tahun lalu, kesungguhan Hafidzah terhadap kemahiran itu mula membuka banyak peluang. Dia sama sekali tidak menyangka minatnya dalam bidang gubahan akhirnya menjadi sumber rezeki utamanya.

Mungkin ramai berpendapat ia mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Fesyen semasa

Tanpa minat dan kebolehan, gubahan itu tidak kelihatan menarik sama lebih-lebih lagi ia perlu seiring dengan perkembangan fesyen semasa.

Sambil mengatur bicara, tangan Hafidzah ligat memotong, menggulung dan mencantumkan bahan-bahan. Tidak sampai 20 minit gubahan tersebut siap.

Bila ada bakat, setiap sentuhan itu akan menjadi satu gubahan yang indah walaupun usahanya bersahaja.
"Selain minat dan bakat semula jadi, kita perlu ada pengalaman dan ilmu menerusi kelas gubahan yang dihadiri. Saya sendiri pernah diminta untuk menyiapkan gubahan meja utama dan hiasan kereta pengantin dalam masa tiga jam. Saya melakukan tugasan tersebut dengan sempurna kerana minat dan kemahiran yang ada," jelasnya yang ditemui di kediamannya yang terletak di Alam Damai, Cheras Kuala Lumpur.

Selepas melihat potensi gubahan untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan tambahan, Hafidzah menjadi lebih serius dalam mengambil tempahan.

"Saya mula menerima tempahan daripada rakan-rakan di pejabat dan keluarga. Lama-kelamaan mereka memperkenalkan saya kepada rakan-rakan mereka pula. Sekarang saya banyak menerima tempahan menerusi laman sosial, facebook," kata ibu tunggal kepada tiga anak ini.

Bagi mengembangkan perniagaannya, Hafidzah membuka kelas gubahan kepada orang ramai yang berminat khususnya golongan wanita yang ingin mencari pendapatan sendiri. Hadfizah boleh dihubungi menerusi talian 016-6211934.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

12 May 2011

Batas-Batas Gurauan

Agama Islam menggalakkan umatnya mengeratkan silaturahim sesama manusia agar kehidupan ini penuh dengan kasih sayang, perpaduan dan harmoni.

Kita juga digalakkan untuk menyenangkan hati sesama saudara kita. Salah satu cara untuk menyenangkan hati itu ialah dengan bergurau senda.

Adapun gurau senda itu suatu yang diharuskan dalam Islam kerana naluri dan fitrah manusia memerlukan hiburan untuk memperoleh ketenangan dan kesejahteraan. Bahkan boleh membebaskan diri daripada keresahan dan ketegangan.

Nabi Muhammad menjalankan kehidupan bersama para sahabat dan ahli kerabat baginda seperti manusia biasa. Baginda berkongsi kesedihan, kesusahan dan musibah dan baginda juga pernah bergurau senda.
Antara senda gurauan Rasulullah ialah sebagaimana yang diceritakan oleh Al-Hasan: "Seorang perempuan tua telah datang kepada Nabi Muhammad, lalu berkata 'wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah SWT supaya aku dapat masuk syurga."

Maka Rasulullah bersabda: "Wahai ibu polan! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga."
Lalu menangislah si perempuan tua itu. Dengan segera Rasulullah bersabda: "Khabarkan kepada perempuan itu bahawa sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua."

Lalu dibacakan firman Allah yang tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa serta Kami jadikan mereka sentiasa dara, yang tetap menjadi jodohnya serta yang sebaya umurnya.

Dalam senda gurauan Rasulullah yang lain lagi ialah sebagaimana dalam sebuah hadis yang maksudnya: "Daripada Anas bin Malik, bahawa seorang lelaki meminta kenderaan Rasulullah lalu baginda bersabda: Sesungguhnya aku akan membawamu di atas anak unta betina. Lalu orang itu berkata: Apa yang dapat saya buat di atas anak unta betina? Baginda menjawab: Bukankah yang melahirkan Al-Ibbal (unta jantan tua) itu hanya unta betina iaitu ibunya dan unta jantan tua itu ialah anaknya". (riwayat Al-Imam At-Termidzi)
Daripada kisah-kisah tersebut dapat kita lihat bagaimana Rasulullah bergurau tetapi dalam perkara yang benar, bukan perkara yang dusta.

Bahkan ia adalah disunatkan untuk menyenangkan hati orang lain. Walau bagaimanapun Islam melarang kita daripada bergurau terhadap perkara yang sia-sia kerana gurauan itu membuat orang ketawa berlebihan dan boleh menyebabkan keras hati serta melalaikan daripada mengingati Allah.

Nabi Muhammad berpesan dalam sebuah hadis maksudnya: "Daripada Abi Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati". (riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Berkata Imam Al-Nawawi: "Gurauan yang ditegah itu ialah gurauan yang melampaui batas dan sering dilakukan sehingga melalaikan daripada mengingati Allah."

Sesungguhnya jika gurauan kita itu bermaksud untuk menyenangkan hati orang lain terutama mereka yang dalam kesusahan, maka Allah SWT akan memberi ganjaran kepada mereka.

Bagaimanapun, jika gurauan itu boleh membawa kemudaratan, kesusahan atau mengakibatkan perkara buruk kepada orang lain, kita akan mendapat dosa.

Oleh yang demikian, berwaspadalah dengan senda gurauan yang melampaui batas atau berlebihan. Janganlah dalam gurauan itu ada unsur-unsur menghina, mencerca, mengolok-olokkan dan menyakiti orang lain kerana ia boleh mencetuskan permusuhan dan kemarahan sehingga menyebabkan terputus silaturrahim.

Jangan juga dijadikan senda gurauan itu suatu kebiasaan atau amalan kerana kesan yang tidak baik daripada gurauan itu mungkin akan terjadi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak daripada lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula sesuatu puak daripada daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah panggilan buruk sesudah dia beriman dan ingatlah sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-Hujurat: 11)

Dipetik dari : www.utusan.com.my

10 May 2011

Terjebak Akibat Pengaruh Rakan

Pepatah ada mengatakan sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya. Untuk itu, apa jua yang hendak dilakukan perlulah difikirkan kebaikan serta keburukannya terlebih dahulu agar ia tidak mendatangkan kekesalan yang berpanjangan.

Bagaimanapun, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan segalanya.

Bagi Mimi, apa yang telah berlaku dalam kehidupannya hari ini bukanlah kehendaknya. Namun apakan daya, dia juga merupakan insan biasa.

Hari ini, selain berendam air mata menyesali apa yang berlaku Mimi hanya mampu berserah kepada Tuhan selain bertaubat memohon keampunan daripada-Nya.

Mendapat didikan agama yang sempurna daripada kedua ibu bapanya, masih belum cukup untuk menjamin Mimi menjadi seorang anak yang baik.

Menurut Mimi, walaupun diberi pendidikan yang secukupnya, dia 'kalah' dengan godaan kawan-kawan apatah lagi ketika itu dia tinggal berjauhan dengan keluarga.

Daripada seorang anak gadis yang bertudung, akhirnya Mimi menjadi remaja liar.

Bukan setakat tudungnya 'hilang', bahkan dia mula pandai mengunjungi kelab-kelab malam.

Tetapi Tuhan masih menyayanginya dan dia kembali ke pangkal jalan dan menjadi anak yang solehah.
Menyingkap kisah lalu dan bercerita bagaimana dirinya yang kini hamil, menurut Mimi, setelah tamat pengajian, dia telah diterima bekerja di ibu kota.

Dari situ kawan-kawan lamanya (kawan perempuan) mula mencarinya. Akibat pujukan dan ingin merasai kehidupan yang bebas, akhirnya Mimi diperangkap sendiri oleh kawan baik tersebut.

''Akibat tersalah pilih kawan, beginilah akhirnya. Saya menyesal dengan apa yang telah terjadi tetapi apakan daya, tidak guna menyesali apa yang telah terjadi.

''Saya sesungguhnya tidak menyangka, kawan baik sendiri sanggup berbuat begitu dan saya tahu segala-galanya telah dirancang.

''Bermula dengan ajakan keluar kemudian ikut balik ke rumah dan akhirnya saya 'terkulai' di tangan lelaki yang tidak saya kenali,'' ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.

Pada peringkat awal Mimi berjaya menyembunyikannya daripada keluarga.

Tetapi apabila usia kandungan itu mencecah empat bulan ia sudah tidak mampu disembunyi dan keluarga mula mengetahui.

Bagaimanapun Mimi bersyukur kerana keluarga masih menyokong dan tidak menyisihkannya.

Namun, dia tetap berhadapan dengan dilema sama ada ingin terus membela anak yang dikandung atau berikan kepada orang selepas dilahirkan.

Menurut Mimi, sebagai seorang ibu, dia tidak sampai hati tetapi menyerahkan segala-galanya kepada ibu bapanya.

"Kalau ikutkan hati, saya ingin menjaga anak ini tetapi apabila memikirkan masa depannya, hati saya berbelah bahagi.

"Buat masa ini saya belum membuat keputusan tetapi setelah anak ini lahir, barulah keputusan sama ada ingin terus menjaga atau menyerahkan kepada keluarga angkat akan diputuskan.

"Cukuplah saya menyusahkan keluarga dan menghancurkan hati mereka,'' jelasnya.

Apabila ditanya mengapa tidak menggugurkan sahaja kandungan tersebut, jelas Mimi, walaupun dia tidak mengetahui siapa bapa kepada anaknya, dia masih lagi mempunyai hati dan perasaan kerana bayi yang dikandungnya itu tetap darah dagingnya sendiri.

Ketika ditanya mengapa dia tidak membuat laporan polis sahaja sekiranya betul dia dirogol, ujarnya sudah pasti tiada siapa yang akan mempercayai kata-katanya kerana sebelum ini dia memang seorang remaja liar.
Mengenai perancangan masa depannya selepas melahirkan anak, ujar Mimi, perkara pertama yang akan dilakukan ialah mencari pekerjaan untuk membantu keluarga.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bertaubat dan telah berjanji dengan dirinya tidak akan menyusahkan keluarga.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

08 May 2011

Pengalaman Baru di Kaunter Clinique

Clinique, jenama pertama yang dibangunkan oleh pakar dermatologi dengan keluaran produk penjagaan kulit yang diuji alahan dan 100 peratus tanpa bahan pewangi kini memberi pengalaman baru kepada pengguna di pusat perkhidmatan baru mereka di Mid Valley, Kuala Lumpur.

Mengetengahkan konsep Clinique Service As You Like It, ia menawarkan perkhidmatan yang pelbagai dan cara baru untuk membeli produk kecantikan di kaunter.

Mendapat inspirasi daripada wanita-wanita hari ini serta tabiat membeli-belah mereka, kaunter tersebut menerapkan rekaan dan teknologi moden untuk meningkatkan fungsi dan memudahkan pelaksanaan konsepnya.

Menempatkan ciri baru seperti bar bedak asas (foundation bar) yang memberi ruang melihat alat solek dan penjagaan kulit dan pada masa yang sama menggalakkan pengguna untuk mencuba dan memilih produk dalam suasana santai.

Di samping itu, kaunter jualan terbaik (best sellers wall) turut dibuka di mana ia menawarkan produk-produk yang paling laris ketika itu.

Menurut Pengurus Besar Jenama Clinique, Sharyn Wong, pihaknya amat berbangga kerana dapat mempamerkan pengalaman membeli-belah yang baru dan serba moden kepada para pelanggannya.

"Dalam usaha memenuhi kehendak pelanggan, kami dapati wanita hari ini sebenarnya mencari pengalaman membeli-belah yang berbeza berdasarkan kepada mood dan seboleh-bolehnya mereka bukan sahaja mahu melihat tetapi juga mahukan perkhidmatan atas permintaan.

''Berpegang teguh daripada situlah, konsep baru ini menawarkan pengguna peluang dan pilihan untuk dilayan berdasarkan kepada syarat-syarat pengguna sendiri iaitu pada masa yang sesuai dan perkhidmatan yang digemari mereka.

''Kami mencipta kaunter berkonsep baru yang mampu berkomunikasi dengan pengguna daripada setiap sudut,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Berkeluasan 493 kaki persegi dan terletak di pusat membeli-belah paling sibuk di ibu kota, kaunter tersebut telah direka bentuk semula secara menyeluruh bagi membolehkan ia menawarkan tahap berbelanja yang pelbagai dengan perkhidmatan yang ditempah khas sekali gus meningkatkan pengalaman membeli-belah secara keseluruhan dan pengguna dapat berhubung dengan identiti jenama ini.

Tambah Sharyn, dengan menawarkan pelanggannya suasana yang menarik, pihaknya sekaligus mahu memansuhkan sekatan fizikal yang lazimnya diamalkan di kaunter-kaunter kecantikan sedia ada.
Clinique Service As You Like It bermaksud pengguna boleh turut serta dalam satu atau semua pengalaman membeli-belah berdasarkan keperluan dan mood masing-masing.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

06 May 2011

Jam Mewah Kelas Tersendiri

Peranan jam tangan tidak lagi terhad kepada alat penunjuk waktu. Ia kini menjadi lambang kemewahan, personaliti dan status si pemakai. Jam tangan mewah juga menjadi idaman semua golongan sama ada lelaki atau wanita sebagai pelengkap diri. Bagi sesetengah orang, memiliki jam tangan mewah bukan hanya kerana ia dilihat sebagai aksesori mahal malah kerana tarikan kualiti dan juga untuk kepuasan diri.

Itulah yang dapat dilihat pada setiap koleksi Roger Dubuis yang merupakan pengeluar jam tangan berjenama mewah dalam kelasnya tersendiri.

Biarpun harganya mencecah ratusan ribu, jumlah mereka yang meminati jenama itu kian meningkat saban tahun.

Kebanyakan pembeli Roger Dubuis tertarik dengan setiap langkah di sebalik pembuatannya, model yang ditawarkan, kepuasan diri dan seni kehalusan buatan barangan tersebut.

Mereka menganggap memiliki jam tangan tanda satu kepuasan atau status diri yang tinggi.

Mungkin tidak semua golongan mampu memilikinya namun teknologi serta rekaan seni pembuatan jam tangan ini menerajui elemen aksesori mewah dan moden.

Walau ke mana pun destinasi yang dituju, tangan yang memakai Roger Dubuis pasti nampak gah di samping menyerlahkan keyakinan di pemakai.

Rekaan

Jika dilihat pada rekaan Roger Dubuis, kebanyakannya didominasi trend hitam dan putih. Warna-warna itu dilihat penuh misteri, provokatif, dan seksi. Jam tangan hitam dikelilingi berlian menjadikan malam anda tidak berlalu seperti biasa. Antara lain, jam tangan wanita Roger Dubuis memaparkan batu berlian pelbagai potongan kecil di sekeliling senggat masa berenamel perak yang bergemerlapan. Perincian gaya lasak dan memaparkan pergerakan jam tangan mekanikal menarik perhatian untuk lelaki. Memenuhi keperluan golongan muda dan pengguna yang sentiasa mengikuti perkembangan fesyen dunia, Roger Dubuis menampilkan warna yang lebih menarik seperti ungu dan putih untuk wanita bergaya dan berjiwa remaja. Buat lelaki penuh misteri di luar sana, jam tangan berintegrasi, menggunakan keluli tahan karat yang melindungi permukaan jam menanti anda.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

04 May 2011

Koleksi terbaru Anya Hindmarch

Mula terkenal dengan rekaan beg kanvas ‘I Am Not A Plastic Bag’, pelakon British, Anya Hindmarch sebenarnya telah bermula dengan promosi Be a Bag yang membolehkan pelanggan mencetak gambar sendiri pada beg mereka.

“Bukankah itu satu perkara yang menarik, beg anda terpapar wajah anda!” jelasnya yang giat mempromosikan beg rekaan sendiri itu pada tahun 2001. Dengan bermotifkan kebajikan, Hindmarch mengorak langkah menceburi industri kasut dengan seorang rakan kongsi di Venice. Jangan pandang dia sebelah mata kerana rekaan Hindmarch yang diberi nama Her First Class Amenity kit, dipilih khusus oleh British Airways, sekali gus menaikan reputasi dan menaikkan nama Hindmarch sebagai pereka tersohor di peringkat antarabangsa.

Beg kanvas ‘I Am Not A Plastic Bag’ juga punya ceritanya sendiri. Ia sebenarnya bermula dengan kerjasama satu badan kebajikan aktivis United Kingdom yang diberi nama We Are What We Do, yang mana persatuan ini cuba memberi inspirasi kepada orang ramai menggunakan tindakan seharian mereka untuk mengubah dunia menjadi lebih baik. Kumpulan aktivis ini telah bertemu dengan Hindmarch dan memulakan kerjasama mereka dengan mencari satu solusi beg yang mesra alam sekitar, praktikal dan berupaya membawa mesej yang hendak disampaikan kepada orang ramai. Sudah pasti motif utamanya ialah untuk meminimumkan penggunaan beg plastik yang ternyata tidak mesra alam.

Fenomena ‘I Am Not A Plastic Bag’ pastinya meledak apabila golongan selebriti termasuk Keira Knightley, Alicia Silverstone dan Lily Allen menggayakannya.

Apabila beg tersebut mula dipasarkan di kedai runcit Sainsbury‘s di Britain, ia amat laris, di pasaran eBay juga ia dijual dengan harga ratusan dolar. Orang ramai sanggup berbaris sebelum kedai di buka semata-mata untuk mendapatkannya.

Hindmarch juga mencipta fenomenanya sendiri di Malaysia. Terbaru beliau melancarkan koleksi cool, seksi dan wanita glamor yang tahu apa yang mereka mahukan dan berani menyuarakannya.

Inspirasi untuk koleksi SS11 ini sudah tentunya gabungan pelbagai mood wanita yang sentiasa berubah mengikut keadaan. Penggunaan warna-warna alam yang ceria ditambah seri kilauan logam serta perincian menarik. Antara yang terdapat dalam koleksi ini ialah dari kumpulan The Maxi Zip, Enamel Stud Family, The Lacing Family, Evening dan Basket. Dan istimewa untuk peminat Hindmarch, dalam koleksi ini juga menawarkan kasut wanita yang comel sesuai untuk dipakai pada waktu malam atau siang.

Koleksi terbaru ini telah dilancarkan di butik Anya Hindmarch, Parkson, Pavilion oleh pengarah urusan Anya Hindmarch Malaysia, Soo Shea Pin.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

02 May 2011

Setiausaha Tingkatkan Kualiti

Setiausaha bukan sahaja menjadi orang kanan bos, malah sebenarnya perlu sentiasa bersedia mental dan fizikal untuk menggalas tanggungjawab lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin kompetitif.

Pengalaman menghadiri seminar setiausaha mampu membantu golongan itu berinteraksi, berkomunikasi dan menunaikan peranan mereka dengan lebih berkesan dan proaktif.

Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat, seminar setiausaha penting untuk memberi penerangan, pengetahuan dan justifikasi bagaimana seseorang setiausaha berperanan.

Bagi meraikan golongan setiausaha, Majalah WANITA menerusi pendekatan lazimnya yang lebih kepada majlis ilmu berjaya menarik penyertaan hampir 200 setiausaha sekitar Lembah Klang untuk sama-sama meningkatkan keyakinan diri, latihan dan kemahiran ke arah menjadi setiausaha yang lebih berkualiti, berintegriti dan berakauntabiliti.

Bertemakan Cabaran & Profesionalisme Setiausaha, seminar satu hari itu sememangnya memberikan banyak input bermanfaat.

Ia memberi penekanan dari aspek kepimpinan, keterampilan diri, pengisian kerohanian, kesihatan dan integriti kerja supaya para setiausaha dapat memberikan perkhidmatan terbaik mengikut cabaran semasa.

Ini bertepatan dengan objektif utama penganjurannya iaitu menanam integriti dan budaya kerja yang lebih berhemah di kalangan setiausaha. Seterusnya, melahirkan kelompok setiausaha yang dikagumi kerana komitmen kerja yang bagus ditambah dengan penampilan dan ketertiban yang disenangi ramai.

Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Maznah turut melancarkan wajah baru majalah WANITA edisi ke-500. Hadir sama ialah Pengurus Besar Operasi Utusan Karya Sdn. Bhd., Zurzaliza Bajuri dan Pengarang Kanan Unit Majalah Keluarga, selaku Pengarang WANITA, Normala Hamzah.

Para penceramah yang terlibat dalam seminar pada kali ini ialah Ahmad Husni Abdul Rahman dari Pusat Pungutan Zakat (PPZ), penceramah bebas, Datuk Dr. Fadzilah Mohd. Ali dengan topik Budaya Kerja, Integriti & Ketertiban dan ceramah tentang imej dan penampilan yang disampaikan perunding imej, Datin Norma Norell.

Sesi seminar diteruskan dengan topik Etika dan Protokol oleh pemilik butik W2W, Yasmin Siddik dan disusuli ceramah kesihatan oleh Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar dari Pusat Perubatan PrimaNora.

Dalam pada itu, para peserta bengkel turut diajar tentang teknik solekan dan dandanan yang dikendalikan pihak produk kecantikan Alazo.

Bagi menceriakan lagi seminar tersebut, turut diselitkan ialah acara pertunjukan fesyen pereka terkenal, Faizal Hamid serta persembahan istimewa penyanyi kecil molek, Amy Mastura dengan pilihan lagu popularnya yang berjaya menggamatkan seisi dewan.

Sesuai dengan tajuknya, seminar itu dilihat berjaya membawa pendekatan terkini dalam memartabatkan kerjaya setiausaha seterusnya membawa kepada kejayaan diri dan seluruh organisasi yang diwakili setiap setiausaha.

Acara eksklusif tahunan itu mendapat kerjasama Kementerian Sumber Manusia dan tajaan rakan-rakan strategik iaitu PPZ, Empire Classic Furniture, Alazo, Jamu Mak Dara, Adabi, Habib Jewels dan Hotel Legend sebagai penaja lokasi.

Dipetik dari : www.utusan.com.my