Jom Jadi Geng

Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

22 April 2011

Cinta Wanita Bidayuh

Terjemah kekayaan budaya dan alam hutan hujan Sarawak

Orangnya kecil molek dan penampilannya cukup ringkas tetapi mempunyai bakat begitu besar serta penuh berseni. Berasal dari keturunan Bidayuh, Narong Daun, 41, adalah antara seniman wanita terkenal di Kuching, Sarawak. Bakatnya cukup dikagumi.

Berpegang pada akar umbi yang kuat dan didorongi kehalusan seni serta cintanya pada alam semula jadi, membawanya kepada kepekaan seni dan semangat untuk budaya asli Sarawak, khususnya flora serta fauna.

Bagaimanapun, mencipta kelainan, Narong memilih lukisan sutera sebagai medium pilihan dan hasil seninya pelbagai, dari alam Sarawak penuh gaya hingga inspirasi konseptual bermotifkan pelbagai adat budaya yang boleh ditemui di seluruh Sarawak.

Pendekatan diketengahkan dan dijiwai adalah satu proses ‘memeritkan’ kerana celupan warna fabrik perlu dilakukan berhati-hati serta teliti bagi menghasilkan tekstil luar biasa dari pelbagai lapisan, tanpa batas mosaik warna dan pola.

Demi minat dalam seni lukisan yang sudah terpasak sejak usia 15 tahun, semua itu tidak pernah menjadi penghalang kepada Narong untuk menghasilkan hasil karya menarik dan menambat ramai penggemar seni.

“Cita-cita saya untuk menjadi pelukis tidak mudah digapai. Apabila saya mengambil keputusan untuk menjadi pelukis sepenuh masa, keluarga tidak gembira kerana tanggapan mereka bidang ini tiada masa depan.
“Tetapi, saya benar-benar berminat dalam bidang ini lalu meneruskan juga hasrat itu dengan tekad ingin membuktikan keupayaan diri,” katanya ketika ditemui di The Art Gallery, Artgeously Ramsayong di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Masih mekar ingatan Narong ketika masih di bangku sekolah dulu. Ayahnya sering kecewa apabila kertas lukisan yang dibeli untuk kegunaan belajar selalu saja cepat habis berbanding rakan lain.

Mana tidaknya, cerita Narong, ada saja idea yang terlintas di fikiran, jari jemarinya pantas melakarkan pada kertas lukisan.

“Kami bukan dari keluarga yang senang, ayah hanya bekerja sebagai petani. Apabila saya tidak berjimat cermat menggunakan kertas lukisan itu, tentu saja lebih banyak belanja yang perlu dikeluarkan,” katanya sambil tersenyum mengingatkan kisah silam.

Narong yang mendapat pendidikan sehingga Tingkatan Enam di Sunny Hill School di Kuching, berkata sebaik saja tamat persekolahan, dia terus bekerja untuk mencari wang saku supaya dapat membeli peralatan lukisan tanpa lagi membebankan bapanya.

Ketika itu gaji yang diterima tidak begitu lumayan tetapi setiap bulan sebahagian besar daripadanya dihabiskan untuk membeli keperluan lukisan. Walaupun tidak boleh bermewah dan berseronok, hatinya puas dapat membeli apa yang diinginkan dan meneruskan minat melukis.

Anak ketujuh daripada sembilan beradik ini memberitahu, oleh kerana tidak mampu, beliau sehingga kini tidak pernah berpeluang mengikuti mana-mana kelas formal atau profesional dalam bidang seni lukisan.

Narong sebaliknya sentiasa tekun mengasah bakat semula jadi yang dimiliki secara sendirian dan banyak eksperimen dilakukan.

”Jika ada yang memuji hasil lukisan saya, tentu berasa puas dan berbesar hati. Tetapi, jika ada yang mengkritik, saya tidak kisah dan menerimanya dengan positif serta menjadikan komen atau pandangan itu untuk membetulkan kelemahan.

“Lagipun, saya tidak pernah berpeluang belajar di mana-mana institusi seni. Kalau kritikan itu hanya untuk mencari kelemahan dan kekurangan semata-mata atau ada niat tidak betul, tentu saja saya tidak layan kerana saya tahu apa saya buat,” katanya menetapkan prinsip yang dipegang sejak dulu lagi.

Katanya, peluang menjadi seniman residen The Art Gallery, Artageously Ramsayong yang terkenal di Kuching, Sarawak pada 2001, bagaikan satu tuah kerana memberi peluang untuk terus mengasah bakat dan menimba ilmu.

“Sebenarnya, sebelum beralih kepada lukisan pada sutera, saya terlebih dulu membuat chanting atau lukisan batik. Pada 2004, saya mendapati lukisan pada sutera lebih memberikan kebebasan dan kepuasan berkarya terutama dalam penggunaan serta pemilihan warna. Akhirnya, saya terus kekal untuk berkarya menggunakan lukisan pada sutera,” ceritanya lagi.

Selepas 11 tahun menghambakan diri pada lukisan, hari ini Narong muncul sebagai seorang seniman yang kuat dalam genre diterokai. Cinta dan kebanggaannya dengan warisan Bidayuh, memberi kesan yang mendalam dalam setiap hasil kerjanya.

Penyajian bahan subjeknya pula sering berani dan menonjol sehingga luar biasa tetapi sesuai dan bertepatan untuk gaya seni.

Katanya, setiap karya lukisannya dapat disiapkan antara satu minggu hingga tiga minggu tetapi ada juga yang disiapkan hanya dalam masa dua hari atau tiga hari. Lukisan itu dijual pada harga RM350 hingga RM9,000, setiap satu.

Antara hasil karya yang sentiasa dekat dalam hatinya ialah Siri Rahsia Rimba yang memaparkan tumbuhan dan bunga terkenal di negeri bumi Kenyalang. Begitu juga dengan sentuhan karya Narong’s Hornbill yang memperlihatkan tiga burung dijalin bersama dengan medley warna dan harmoni.

Seni tema rekaan abstrak dalam siri Sarawakiana (Terendak, Naga dan Pesta Kenyalang) turut merakamkan penghargaan dan minat Narong pada unsur tradisional.

Hari ini, Narong terus mendapat ilham daripada kepelbagaian budaya Sarawak dan keindahan alam hutan hujan.

Narong melihat semua itu dengan mata yang tajam dan tangan stabil untuk melakarkan apa disukai sehingga tercipta karya seni yang bermutu tinggi, halus dan penuh getaran. Usahanya itu adalah penting dan memberi sumbangan terhadap seni di Sarawak dan Malaysia.
Dipetik dari : www.bharian.com.my

06 April 2011

Jangan Takut Bercinta Lagi

Bagi yang pernah bercinta, pasti biasa melalui saat suka dan duka. Maklumlah dunia orang bercinta penuh dengan pancaroba.

Kecewa akibat bercinta memang sangat perit untuk dilalui dan sukar untuk di atasi.

Cara terbaik untuk pulih daripada perasaan kecewa dan kembali ceria mungkin dengan meyakinkan diri untuk bercinta lagi dan melupakan buat selama-lamanya si dia yang mengecewakan anda.

Sebagai seorang yang matang, terimalah hakikat bahawa setiap manusia mempunyai naluri untuk berkongsi perasaan sayang.

Namun kita juga harus sedar bahawa setiap perhubungan itu tidak semestinya berakhir dengan perkahwinan dan mencapai bahagia.

Ada perhubungan yang hanya bertahan separuh jalan. Itulah yang dinamakan takdir.

Memang mengecewakan, namun ia bukan bermaksud anda perlu menutup semua peluang baru yang akan datang.

Tindakan sedemikian sebenarnya hanya merosakkan diri sendiri dan boleh menjadikan diri mengalami kemurungan.

Buka minda dan terima perhubungan baru sebagai sesuatu pengalaman berbeza dalam kehidupan anda. Berusahalah mencari kebahagiaan yang anda impikan.

Namun ada juga yang menyalahkan diri sendiri kerana mengalami kekecewaan dalam perhubungan.
Sekali gus menolak untuk bercinta lagi kerana takut dikecewakan untuk kali kedua.

Seharusnya keadaan itu tidak perlu dijadikan isu kerana bukan semua pasangan akan membuat anda kecewa. Ramai lagi insan boleh memberikan anda kebahagiaan.

Sebenarnya, ramai lagi orang lain yang ikhlas untuk terus bercinta dengan anda. Tetapi janganlah menjadi seseorang yang pentingkan diri sendiri dan menolak cinta lain.

Cubalah memberikan ruang dan peluang kepada orang baru supaya anda terus dicintai dan mencapai kebahagiaan yang ingin anda kecapi.

Dalam situasi ini, jangan sesekali mengenang kisah lama dengan si dia yang pernah mencintai anda, tetapi berikan tumpuan sepenuhnya kepada si dia yang baru hadir dalam dunia anda.

Berusaha sebaiknya untuk membuatkan diri anda terlalu istimewa kepadanya.

Hakikatnya, kecewa itu sebenarnya sesuatu yang perit dan sukar untuk diterima lebih-lebih lagi orang yang kita pernah sayangi itu kini sedang berbahagia dengan cinta barunya.

Tetapi, jangan kecewa dengan situasi sedemikian dan cubalah melupakan si dia dengan membuka peluang baru kepada orang lain untuk terus bercinta diri anda.

Perkara penting yang anda fikirkan adalah semua insan di dunia ini mampu untuk memiliki kehidupan yang bahagia.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

31 March 2011

Adakah Penawar Untuk Isteri Pemalas?

Rumah tangga dan persekitaran yang bersih bagaikan taman bunga yang segar dan menjanjikan ketenangan kepada penghuninya.

Pun begitu tanpa kerajinan segala yang diingini tidak akan berlaku. Tambahan pula bagi mereka yang bekerja dan tidak punya waktu untuk membersih dan menghias rumah agar sentiasa sedap dipandang mata.

Saiz rumah juga bukan ukuran tetapi kebersihan akan membezakan segalanya. Ramai yang impikan ketenangan di dalam rumah setelah penat berada di luar tetapi tidak semua kita yang berpeluang untuk mengecapinya.

Tugas menguruskan rumah tangga adalah amanah yang dianugerahkan kepada suri rumah atau pembantu ramah. Tetapi adakah semua isteri sanggup berbuat demikian?

Jawapannya ada pada kisah yang ingin diceritakan Zaidi (bukan nama sebenar) yang kini makan hati dengan sikap isteri yang tidak pandai mengurus rumah tangga.

Kata Zaidi, isteri orang lain juga bekerja dan penat tetapi mereka ada masa untuk mengurus rumah dan menjaganya supaya bersih sentiasa.

Sayang sekali isterinya seorang yang pemalas dan ini menjadi masalah besar kepada Zaidi sehingga dia melabelkan isterinya Aida (bukan nama sebenar) sebagai seorang yang pemalas.

"Saya telah mendirikan rumah tangga dengan Aida sejak 10 tahun lalu. Kami mempunyai tiga orang anak berusia 7, 8 dan 9 tahun.

"Rumah kami sederhana sahaja luasnya. Kami tidak mempunyai pembantu rumah kerana anak-anak dihantar ke rumah ibu mentua saya selepas mereka balik sekolah.

"Isteri pula bekerja dan balik ketika hari menjelang senja. Saya mengharapkan isteri mempunyai masa untuk mengemas rumah atau memasak setiap kali balik kerja.

"Bukan masakan yang hebat-hebat yang saya perlukan, cukup sekadar mengalas perut kami anak beranak. Sayangnya apa yang saya harapkan tidak berlaku.

"Setiap hari keadaan rumah tidak berkemas, pakaian yang dibasuh bersepah-sepah tidak berlipat. Pinggan mangkuk penuh sinki. Pendek kata kesemuanya menunggu hujung minggu untuk dibersihkan.

"Bayangkan dalam tempoh itu bagaimana keadaan rumah dan baunya yang busuk setiap kali saya balik kerja. Hendak melangkah rasanya berat kaki. Hendak minum air juga tidak tertelan.

"Hendak mengharapkan anak-anak mereka masih kecil. Isteri pula asyik mengadu penat dan mahu berehat. Makanan setiap malam dibeli dari restoran berhampiran.

"Saya mampu mengambil pembantu rumah tetapi dihalang oleh isteri dengan alasan tidak perlu sebab dia boleh lakukan.

"Sayangnya dia hanya berkata tetapi tidak disertakan dengan tindakan. Sudahnya keadaan rumah tetap begitu juga. Apabila ditegur, dia melenting dan merajuk.

"Saya sudah puas menasihatinya tetapi dia tetap macam itu, tidak ada perubahan. Sikap malasnya semakin menjadi-jadi. Rumah kami sudah seperti sebuah setor barangan terpakai.

"Masa yang berkualiti di rumah tidak dimanfaatkan untuk membereskan kerja-kerja rumah yang sepatutnya tetapi lebih banyak meluangkan masa di rumah ibunya dan anak-anak juga dibawa ke sana.

"Saya tidak menghalang mereka ke sana tetapi saya berharap dia akan tolong kemas rumah dan sempurnakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu terlebih dahulu.

"Saya amat malu dengan sikap malas isteri saya itu sehinggakan kami menjadi bahan ejekan jiran-jiran dan saudara mara yang datang. Keadaan itu menjadikan saya malu untuk menjemput saudara mara atau kawan-kawan ke rumah.

"Saya seorang yang pembersih dan suka rumah yang cantik dan bersih. Saya telah dididik menjaga kebersihan rumah sejak kecil. Ibu seorang yang rajin mengemas rumah.

"Rumah kami sentiasa bersih. Ibu seorang yang sangat mementingkan kebersihan dan saya bangga mempunyai ibu yang rajin dan pembersih.

"Namun semua itu tinggal kenangan kerana saya telah berkeluarga dan sayangnya suasana sebegitu tidak lagi dapat saya kecapi.

"Saya kesal kerana isteri tidak mengambil berat teguran saya malah sepatah saya kata sepuluh yang dia jawab sehinggakan saya ada kala hilang sabar.

"Paling saya malu kerana kami tinggal di kawasan perumahan mewah yang sepatutnya menjadi teladan kepada orang lain. Ini tidak, dibandingkan dengan rumah orang lain, rumah saya paling buruk dan tidak terurus.

"Bukan saya tidak berusaha ke arah itu tetapi jika saya seorang yang beria-ia, isteri buat tidak kisah, buat apa?

"Sekarang keadaan semakin runcing. Isteri asyik berjalan makan angin, sekejap dalam negeri sekejap luar negara. Dia lebih suka melayan kawan-kawan kerjanya daripada saya dan anak-anak.

"Tidak salah pergi berjalan tetapi mesti ada tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak. Uruskan rumah tangga dulu, susun atur perabot yang lintang pukang dalam rumah agar saya yang ada dalam rumah boleh bernafas!

"Sesekali fikir saya merasa pelik kenapa isteri saya berperangai macam itu. Rupanya dalam dunia ini ada juga perempuan yang pemalas dan tidak suka mengemas.

"Sekarang saya lebih banyak pulang ke rumah ibu daripada di rumah. Saya penat dan mahu ketenangan. Di rumah ibu, saya merasa tenang dan aman. Pernah juga ibu menegur isteri saya tetapi dia langsung tidak peduli.
"Jangan kata mengemas, memasak juga jarang dia buat. Yang dia tahu makan, tidur dan berjalan.

"Kasihan anak-anak kami yang terpaksa makan makanan di luar atau di rumah ibu. Entah di mana silapnya sehinggakan Aida jadi pemalas begitu sekali.

"Ramai yang hairan bagaimana saya masih boleh bersabar dengan perangai isteri macam itu. Jika diturutkan naluri seorang lelaki, saya layak untuk mencari pengganti dan telah lama berbuat demikian.

"Tetapi saya sayangkan anak-anak yang tidak berdosa, malang bagi mereka kerana mempunyai ibu yang malas.

"Anak sulung saya seorang perempuan dan masih di bangku sekolah rendah sering bertanya kepada ibunya, kenapa rumah kita tidak secantik rumah jiran.

"Anda tahu apa jawapan ibunya, Mama penat!.. Sepatutnya jawapan yang paling tepat adalah mama malas!.

"Saya mahu dia faham falsafah kehidupan dalam suasana persekitaran yang bersih dan sihat. Semoga Allah akan membuka pintu hati Aida untuk berubah.

"Saya juga mengharapkan saya boleh bersabar dengan kerenah Aida. Jika tidak saya pasrah kepada ketentuan Allah SWT," keluh Zaidi menamatkan ceritanya.

Saya mengucapkan syabas kepada Zaidi kerana berani meluahkan perasaannya ke ruangan ini. Saya percaya ramai lagi suami yang menghadapi masalah seperti Zaidi tetapi enggan berkongsi masalah mereka.

Saya berharap Zaidi akan terus bersabar dan membimbing isterinya untuk kembali kepada tanggungjawabnya. Anggaplah ini juga sebagai ujian dalam rumah tangga.

Masih belum terlambat untuk anda membetulkan keadaan. Berterus terang dan membimbing adalah cara terbaik menangani masalah ini.

Anda harus menerima diri Aida seadanya, ertinya segala kelemahan dan kekurangan dirinya hendaklah diterima dengan reda. Itu sudah ketentuan jodoh anda.

Pada masa yang sama, sebagai suami anda perlu bertindak lebih tegas. Cadangan saya ambil cuti panjang dan bergotong royong mengemas dan membersihkan rumah bersama anak-anak.

Menamatkan catatan, pesanan saya seorang suami akan merasa tenang andai isterinya menjadi seorang yang penurut dan boleh menyejukkan hatinya di kala dia gundah. Realitinya, kehadiran wanita di dalam hidup seorang lelaki, ibarat matahari yang tidak pernah terbenam.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

25 February 2011

Kerjaya Mahu Pun Akademik, Wanita Terbukti Lebih Menyerlah

Dalam era yang serba moden ini, wanita tidak lagi menjadi suri rumah sepunuh masa. Majoriti wanita mempunyai kerjaya dan sangat cemerlang dalam pencapaian akademik berbanding lelaki.

Perkara ini tidak dapat disangkal kerana sudah terbukti ramai wanita kini menjawat jawatan tinggi baik dalam sektor swasta mahupun kerajaan. Tidak kurang juga kecemerlangan wanita dalam perniagaan. Selain itu, semakin ramai golongan Hawa berjaya menempatkan diri di pusat pengajian tinggi dan tamat belajar dengan keputusan yang membanggakan.

Senario ini secara terangterangan menunjukkan wanita semakin menyerlah dalam segala bidang berbanding lelaki. Namun dalam kecemerlangan tersebut, wanita harus sedar fitrah mereka sebagai orang kedua dalam keluarga selepas suami. MW menemu bual Pakar Motivasi dan Kaunseling dari Klinik Hushim Motivation and Counselling Consultantsy, Tuan Haji Hushim Salleh bagi mendengar pandangan beliau mengenai perkembangan tersebut.

MW juga mendapatkan komen penceramah terkenal, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid mengenai kedudukan wanita di sisi agama. MW turut menyiarkan tip bagaimana wanita berjaya dalam kerjaya dapat menyesuaikan diri sebagai isteri dan ibu di rumah. Ikuti komen mereka.

Lelaki lemah buat keputusan terbaik

Tuan Haji Hushim Salleh tidak menolak andaian wanita kini lebih dominan daripada lelaki. Ini bertepatan dengan situasi masa kini yang wanita kebanyakannya menguasai segala bidang termasuklah pendidikan, pekerjaan, rumah tangga dan sebagainya lagi.

“Saya memang setuju dengan pendapat ini kerana banyak kes yang di lihat ini menjurus ke arah wanita lebih dominan. Ini disebabkan sesetengah lelaki atau suami tidak boleh menjadi ketua keluarga sekali gus menjadi model dalam sesebuah rumah tangga.

“Ini berlaku kepada lelaki yang lemah dan tidak boleh membuat keputusan terbaik. Malah, kalau kita lihat sejak dulu lagi, trend wanita menguasai sistem pendidikan sudah berlaku sejak dahulu lagi jika dibandingkan dengan kaum lelaki.

“Begitu juga dengan jawatan-jawatan tinggi kini sudah nampak ramai wanita yang memangkunya. Sekali gus menyebabkan wanita turut menguasai hal rumah tangga terutama dalam membuat keputusan.

“Pun begitu, dominan amat subjektif dan lebih luas skopnya. Oleh itu, kita tidak boleh memandang dari satu sudut sahaja. Kita perlu lihat cara pembawaan dan bagaimana wanita itu sendiri membina personaliti dirinya sendiri. “Kita tidak boleh mengatakan berlaku ‘Queen Control’ dalam rumah tangga apabila wanita membuat keputusan. Ini kerana

suami atau lelaki itu sendiri tidak boleh atau lemah dalam membuat keputusan, jadi dia menyerahkan kepada isteri untuk melakukannya.

“Apa lagi jika ini berlaku kepada wanita yang sejak awal melatih diri untuk tampil lebih yakin, tegas, kuat dan bijak dalam segala hal. Apabila bertemu jodoh dengan lelaki yang agak lemah, jadi secara tidak langsung, lelaki itu akan menyerahkan kepada si isteri untuk membuat keputusan kerana dia merasakan itu yang terbaik,”ulas Tuan Haji Hushim ketika di minta memberi pendapat mengenai isu berkenaan.

Komunikasi dua hala

Tambah Tuan Haji Hushim lagi, wanita kini banyak memen tingkan keteram pil an diri, ber karisma serta berke yakinan. Perum pamaan menyata kan, tangan yang mengayun buaian bisa menggoncang dunia. Tidak hairanlah jika dikata kan wanita kini lebih mendominasi dalam sesuatu hal.

“Wanita yang dilihat lebih dominan ini dise bab kan mereka mempunyai visi serta hala tuju dalam sesuatu perkara. Dalam rumah tangga misalnya, dia akan merancang terlebih dahulu sebelum melaksanakan atau membuat keputusan.

“Tidak terkecuali ada yang membimbing suami yang tidak dapat menjalankan tanggung jawab sebagai ketua keluarga. Ini bagus kerana dalam rumah tangga kena ada memberi dan menerima. Cuma, pendekatan yang di ambil harus bijak dan tidak menyebabkan timbul ketidakpuasan hati pada mana-mana pihak.

“Tidak dinafi kan ada sesetengah suami atau lelaki tidak boleh menerima keadaan di mana isteri atau wanita yang membuat keputusan, tetapi ada juga senang dengan keadaan tersebut. Ada yang melihat isteri lebih bijak dalam mengatur hala tuju rumah tangga, jadi suami mengikut sahaja.

“Ini bukan bermakna isteri mahu mengambil alih tanggung jawab suami sebagai ketua keluarga. Setinggi mana sekalipun pangkat mahupun jawatan isteri dalam sesebuah syarikat tidak boleh menandingi jawatan suami sebagai ketua keluarga.

“Ini kerana, suami tonggak keluarga manakala isteri adalah pembantu. Oleh itu, saya menekankan soal komunikasi dua hala antara suami isteri amat penting dalam keharmonian rumah tangga mereka.

“Dalam apa jua situasi sekali pun, dominan berbeza dengan ‘Queen Control’ kerana wanita yang dominan masih menghormati suami dan tahu batas-batasnya sebagai isteri. Dominan memang wujud dalam masyarakat serta rumah tangga, tetapi ia tidak boleh dikategorikan sebagai ‘Queen Control’.

“Malah, isteri atau wanita dominan berlaku bila mana suami atau seseorang lelaki tidak mampu untuk membuat keputusan sehingga menampakkan penguasaan lebih wanita itu. Kita juga perlu lihat pro dan kontra apabila wujudnya situasi wanita lebih dominan supaya tidak timbul masalah di kemudian hari.

“Bagi wanita sendiri, mereka kena tahu sejauh mana peranan mereka sebagai isteri, ibu dan juga ketua sekiranya memegang jawatan tinggi di dalam syarikat. Itu tidak bermakna mereka boleh mengarah suami seperti mana mereka melakukannya di pejabat, sebaliknya mereka kena hormat dan patuh pada suami.

“Dalam segala hal, kena sentiasa berbincang jadi dari situ akan membina hubungan erat selain memacu rumah tangga lebih harmoni,” ujar Tuan Haji Hushim dengan panjang lebar sebelum mengakhiri perbualan.

Dipetik dari : www.utusan.com.my