Jom Jadi Geng

30 April 2011

Linda Jasmin Mangsa Cemburu

Linda tepis gosip dirinya muflis, rumah tangga dilanda konflik

Insan mana yang tidak terkesan apabila cerita tidak benar menimpa diri? Apatah lagi jika cerita itu bersifat negatif. Tanyalah kepada sesiapa pun, pasti mereka juga seboleh-bolehnya enggan berdepan situasi tidak menyenangkan seperti ini.

Pereka tari terkenal, Linda Jasmine tidak terkecuali daripada terkena tempias gosip liar apabila bergelar selebriti. Wanita yang sinonim dengan program Akademi Fantasia ini turut berdepan dengan cerita yang mengganggu emosi, apabila namanya juga tergolong dalam kelompok yang dikenali.

Baru-baru ini, tersebar cerita kononnya wanita anggun ini berdepan masalah kewangan sehingga dikatakan jatuh bankrap. Akibatnya, dia terpaksa menutup studionya di Ampang, malah rumah tangga yang dibina bersama pelakon Que Haidar juga bergolak dek masalah dihadapi.

Tentunya bukan gosip yang kecil, yang boleh dilupakan begitu saja. Linda sendiri mengaku agak tertekan dengan khabar angin yang bertiup itu. Begitupun, dia nyata tidak mudah patah semangat dengan cerita liar begitu, sebaliknya semua itu tidak menghalang wanita ini untuk terus bergerak aktif dalam bidang yang cukup sebati dengan dirinya.

Lebih daripada itu, dia melihat semua khabar angin itu tidak lebih daripada secubit cabaran hidup yang perlu ditempuh. Bahkan, gosip yang dikaitkan dengan dirinya itu dianggap sebagai propaganda pihak tertentu yang kurang senang dengan kehidupannya kini serta cemburu dengan perniagaan yang diuruskan.
Pokok pangkalnya, segala tohmahan itu tidak berasas sama sekali.
"Gosip mengatakan studio saya ditutup kerana muflis itu hanyalah tindakan jahat pihak tertentu yang tidak senang dengan kami," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi Linda, apa saja gosip yang dikaitkan dengan dirinya hanyalah usaha pihak tertentu untuk meraih perhatian media, malah dakwaan yang dilemparkan pihak terbabit bermotifkan cemburu. Mereka ingin melihat perniagaannya jatuh.

Linda turut bersyukur apabila sikap saling memahami antaranya dan suami, mengeratkan lagi hubungan mereka tatkala gosip terbabit dikatakan turut menjejaskan mahligai bahagia dua selebriti ini. Kehadiran dua cahaya mata, Qalif Khan, 10, dan Tengku Ratu Haidar, setahun setengah, menidakkan lagi dakwaan hubungan mereka keruh dek gosip itu.

“Alhamdulillah, hubungan kami baik dan bertambah mesra. Walaupun berdepan gosip seperti ini, ia sedikit pun tidak menjejaskan rumah tangga kami, malah dengan adanya anak-anak di sisi menguatkan lagi perhubungan kami.

“Gosip mengenai studio saya bankrap sudah lama tersebar. Padahal sampai sekarang saya masih menguruskan studio itu. Perniagaan kami semakin baik, walaupun memang ada pasang surut. Itu kan adat dalam berniaga,” katanya.

Kegetiran berdepan cerita liar begitu enggan dijadikan alasan olehnya untuk mengabaikan perkara lebih penting dalam hidup, iaitu keluarga dan kerjanya.

Katanya, fokus kepada suami, anak-anak dan pengurusan perniagaan Linda Jasmine Performing Arts Studio miliknya itu tidak pernah dipinggirkan ke tepi.

Apapun cabaran yang datang, Linda tidak pernah mengalah atau berputus asa, baginya setiap masalah yang berlaku adalah norma kehidupan yang perlu ditempuhi setiap insan. Dia juga tidak pernah menjadikan masalah sebagai bebanan dalam rumah tangga.

Mengambil sikap berbincang dan berkongsi pandangan dengan suami bukan saja dapat menyelesaikan masalah, malah dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

Meskipun Linda sendiri kurang terbabit dalam program TV, namun dia sebenarnya masih aktif dalam bidang tarian, termasuk mengajar di kelas kendaliannya di studio, di samping masih terikat dengan Astro.

Tidak lagi terbabit dengan program Akademi Fantasia bukan bermaksud dia tidak diperlukan lagi, bahkan pandangan dan pendapat Linda masih diterima dalam membentuk barisan pelapis muda tanah air.

Cari pelajar sekolah pandai menari

TERBARU, Linda terus diberi kepercayaan sebagai juri pertandingan My School Rocks bergandingan dengan juri baru, Stacy, yang menggantikan Sazzy Falak pada kali ini. Uji bakat tarian membabitkan pelajar sekolah akan bermula pada Jun ini.

“Sudah empat tahun saya dilantik sebagai juri program ini dan kali ini saya akan bergandingan dengan Stacy yang mempunyai bakat tariannya tersendiri.

“Tahun ini berbeza daripada sebelumnya kerana peserta boleh memilih daripada 100 lagu yang disediakan. Mereka juga dibahagikan kepada dua kategori iaitu sekolah menengah dan rendah. Jadi ramai yang akan mencuba nasib tahun ini,” katanya.

Selain itu, 120 sekolah pertama yang mengesahkan penyertaan untuk sesi uji bakat yang akan bermula 25 Jun hingga 23 Julai depan berpeluang mempunyai bengkel tarian peribadi di sekolah untuk membantu memperbaiki koreografi mereka.

Bagi Linda, cabarannya kali ini tentunya semakin sukar kerana pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, apatah lagi ia membabitkan penyertaan peserta yang ramai.

Stacy pula menganggap tugas diberikan itu satu cabaran baru bagi dirinya.
Meskipun masih mentah dalam mengadili bakat tarian memandangkan dirinya sendiri kurang berpengalaman, dia bagaimanapun cukup teruja untuk menunaikan tanggungjawab terbabit.

“Sebelum ini saya tak fikir nak jadi juri kerana masih baru, tetapi apabila dapat tawaran daripada Cikgu Linda, saya terima kerana sedikit sebanyak kita dapat membantu peserta dalam tarian mereka.

“Ini peluang keemasan mereka dalam mengembangkan bakat tarian kerana suatu ketika dulu, pertandingan seperti ini belum wujud,” katanya.

Bagi pelajar sekolah menengah dan rendah yang ingin mengikuti uji bakat terbabit boleh melayari laman web www.disneychannel-asia.com atau menghubungi 03-2785 2177 untuk maklumat lanjut.


Dipetik dari : www.bharian.com.my

28 April 2011

Suami Isteri Mesti Pertahan Kedamaian Hati

Sengketa, krisis rumah tangga perlu segera dirungkai agar tidak melarat kepada perceraian

Hari ini, kegetiran rumah tangga bukan saja berlaku kepada pasangan baru berkahwin, tetapi juga yang hampir melewati setengah abad. Puncanya kerana tiada persefahaman, akibat masalah remeh atau tiada masalah langsung tetapi itu yang berlaku bila jodoh tidak berpanjangan.

Ada mengadu suami jatuh cinta lagi dan tidak mampu membahagi kasih, lalu isteri terpaksa memberi laluan kepada cinta baru suami. Anak pula tiada pilihan melainkan reda dengan kehilangan ayah yang mereka dambakan kasih sayangnya sehingga dewasa.

Penulis sering menerima e-mel daripada isteri mengadu mengenai masalah rumah tangga. Ironinya, hampir semua kesulitan dialami boleh diselesaikan tetapi titik penyelesaian bukan di pundak salah seorang pasangan tetapi kedua-dua suami isteri.

Malangnya, ramai mengambil mudah dan melepaskan kepada salah satu pihak saja berusaha menyelesaikan kemelut dihadapi. Akibatnya, banyak syurga cinta dibina bertahun lama runtuh begitu saja.

Permulaan membina unit asas institusi kekeluargaan adalah perkahwinan. Antara objektif perkahwinan ialah menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, memenuhi fitrah kehidupan manusia mengingini kasih sayang dan ketenangan terhasil dari sebuah ikatan yang suci.

Selain memanjangkan generasi sedia ada dengan pertambahan zuriat dan keturunan sebagai penyambung tugas khalifah Allah di muka bumi di samping mengelak pelbagai masalah sosial yang semakin meruncing.
Asas sebuah perkahwinan ialah rasa cinta, kasih sayang, melaksanakan tanggungjawab, saling mempercayai, hormat menghormati, belas kasihan dan bertolak ansur.

Penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita daripada institusi perkahwinan tidak timbul dalam Islam kerana isteri mempunyai hak mendapat kebahagiaan. Jika hak itu dinafikan suami, maka isteri berhak menuntut perceraian.

Antara konflik dalam rumah tangga adalah tekanan ekonomi, masalah komunikasi, memberi ruang kepada kehadiran orang ketiga, penyakit atau kematian, kesunyian dan tidak menyandarkan hubungan suci itu kepada tiang agama.

Konflik sebegini tidak seharusnya diakhiri dengan perceraian. Talak perkara paling dibenci Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah perceraian.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Langkah mengembalikan hubungan tegang seperti sedia kala adalah dengan memulakan kehidupan baru. Pasangan harus mengetahui penyebab kepada krisis berlanjutan. Jalan penyelesaian mesti dibincangkan bersama dan jangan melengahkan masa untuk memulakan sistem pembinaan semula perkahwinan yang bahagia.

Islam menganjurkan setiap individu Muslim hidup bahagia dan jika masalah mengganggu keharmonian, elok diselesaikan seberapa upaya. Pelbagai cara boleh digunakan seperti mendapatkan nasihat orang yang lebih dihormati.

Pasangan juga perlu berbincang dari hati ke hati dengan meluahkan apa terbuku bagi mengelak salah faham berlarutan. Tetapi ini boleh berlaku jika masih wujud perasaan hormat antara suami isteri, jika sebaliknya, tiada perdamaian ‘hati’ yang boleh diusahakan lagi.

Tiada perhatian daripada ibu bapa yang bermasalah mengakibatkan anak mencari kebahagiaan lain, jurang komunikasi menidakkan ajaran dan bimbingan dalam keluarga, akhirnya wujud anak menagih perhatian di jalanan.

Asalnya dulu mereka melepak untuk menghabiskan masa terluang dan sangat menyeronokkan, tetapi hari ini mereka menjadi samseng jalanan untuk membina ‘jati diri’ menghadapi kemungkinan di kemudian hari.

Akhirnya rumah tangga yang bermasalah menjadi semakin punah kerana ibu bapa tidak tegar menghadapi kerenah anak.

Akhir-akhir ini juga banyak kon flik perkahwinan yang membawa kepada krisis besar sehingga pasangan bertindak tinggal berasingan. Ia berlaku mungkin disebabkan pasangan tidak langsung cuba menyelesaikan masalah.

Pasangan juga mungkin boleh meredakan kemarahan dengan berjauhan antara satu sama lain dalam tempoh tertentu tetapi tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan masalah lain timbul seperti nusyuz, pengabaian nafkah zahir dan batin.

Islam membenarkan pengasingan sementara jika ia adalah jalan terbaik untuk meredakan keadaan dan melindungi mana-mana pihak daripada kemudaratan lebih besar.

Apabila seseorang lelaki bersumpah untuk menjauhkan diri daripada isterinya, al-Quran menjelaskan bahawa mereka perlu diberi tempoh untuk bertenang dan dapat berfikir semula secara waras.

Firman Allah yang bermaksud: “Kepada orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 226)

Penulis : Nik Salida Suhaila Nik Saleh
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia
Dipetik dari : www.bharian..com.my

26 April 2011

Senaman Rutin Mel B

Kekal kesihatan, bentuk tubuh menawan

Jika anda menyedari kepentingan senaman, pergerakan yang mengeluarkan peluh itu jika dilakukan selama 30 minit saja setiap hari, sudah memadai bagi menjaga kesihatan badan. Tapi kenyataannya, ramai tidak dapat melakukannya disertai dengan pelbagai alasan.

Ada yang mengatakan masa menjadi penghalang dan ada pula yang memberi alasan tiada akses ke gimnasium walaupun untuk melakukan senaman anda tidak semestinya perlu hadir ke gimnasium. Bijak memahami kehendak badan mungkin menjadi pemangkin terbaik kepada anda untuk mendapatkan badan sihat, cergas, bertenaga untuk menempuh kegiatan sepanjang hari selain menyelesaikan urusan harian.

Bagi bekas anggota kumpulan terkenal Spice Girls, Melanie Brown atau lebih dikenali sebagai Mel B, beliau turut mengalami situasi sama apabila bercakap mengenai kesungguhan untuk turun berlatih ke gimnasium mahu pun melakukan senaman.

“Saya juga kadang kala berasa tidak ada semangat untuk mengunjungi gimnasium untuk bersenam. Tetapi, sesuatu harus dilakukan dan tidak akan membiarkan rasa tidak berfaedah itu menguasai diri.

“Jadi, saya memikirkan cara terbaik menambahkan semangat dan mendorong diri untuk melakukan senaman ialah mengajak rakan yang sama-sama berminat melakukannya. Apabila ada rakan sealiran, anda tidak akan berasa bosan,” katanya ketika ditemui sempena Minggu Kecergasan Antarabangsa (IFW) di ibu kota, baru-baru ini.

Mel B yang juga ibu kepada tiga anak itu mengakui kesibukan sebagai suri rumah dan tugas, banyak mempengaruhi rutin harian menyebabkan beliau tidak begitu mengambil berat mengenai kesihatan badan.
Begitupun, apabila menjadi ikon kepada organisasi yang mementingkan dan berasaskan kesihatan, beliau secara tidak langsung sedar mengenai kepentingan senaman yang ternyata baik untuk kesejahteraan badan.

“Kadang kala tugas harian sebagai ibu, temu janji dengan pengurus dan perbincangan untuk rakaman album menyebabkan saya mempunyai masa yang sangat terhad untuk bersenam di gimnasium.

“Begitupun, saya akan tetap mencari masa atau memperuntukkan masa walaupun sedikit untuk menghadirkan diri ke gimnasium kerana saya tahu saya mendapat kebaikan daripada senaman yang dilakukan,” katanya.

Tidak mudah menjadi individu seperti Mel B kerana selain sibuk dengan rutin keibubapaan, beliau juga adalah individu yang gemar menjamah makanan, lebih-lebih lagi apabila suaminya sendiri gemar memasak dan kerap menyediakan hidangan enak.

“Lazimnya apabila beliau memasak di rumah, saya akan menjamah sedikit makanan yang disediakan dan mengekalkan bersenam untuk mengekalkan bentuk tubuh diidamkan.

“Sokongan moral daripada pasangan juga sangat penting selain pengaruh rakan sekeliling yang sangat membantu, ia membuat saya berasa lebih teruja,” katanya.

Jadi, apabila pusat kecergasan Fitness First mempelawa beliau menjadi duta untuk organisasi berkenaan, Mel B merasakan itu adalah peluang terbaik baginya untuk menguruskan kesihatan badan dengan cara yang betul.

Beliau tidak berfikir lama untuk menerima tawaran itu dan selepas melakukan senaman di pusat kecergasan berkenaan, beliau tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya berasa gembira dengan apa yang dilakukan, begitu juga hasilnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fitness First Asia, Simon Flint, berkata senaman adalah satu gaya hidup yang wajar dijadikan rutin harian oleh semua individu.

“Senaman menyihatkan badan, itu tidak dapat disangkalkan. Semua orang mengetahui kebaikan daripada senaman. Jadi anda boleh kunjungi mana-mana pusat kecergasan Fitness First berdekatan untuk menjadi ahli.

“Mel B, pemilihannya amat sesuai untuk menggambarkan fungsi Fitness First sebagai sebuah pusat kecergasan yang boleh dikunjungi oleh semua peringkat usia. Dia aktif, dikenali ramai, ibu, usahawan dan juga artis,” katanya.

Dipetik dari : www.bharian.com.my

24 April 2011

Amal Gaya Hidup Sihat

Bukan sekadar untuk menjaga kecantikan tetapi memastikan kesihatan kekal sihat. Bagi tiga personaliti ntv7, Fazilah Hani Harun, Azlinda Mohd Salim dan Syarifah Salwa Syed Abdul Rahman, falsafah itu menjadi pegangan mereka.

Ketiga-tiganya turut sependapat, kehidupan aktif amat penting tambahan dengan tekanan dan kesibukan tugasan harian sama ada di tempat kerja mahu pun di rumah. Justeru, kata mereka setiap individu perlu ada ruang masa untuk beriadah atau melakukan aktiviti yang memerlukan pergerakan fizikal. Ini penting kerana bagi mereka kehidupan berkualiti datangnya daripada cara hidup yang sihat.

Bagaimanapun, bagi ibu tiga anak, Syarifah Salwa Syed Abdul Rahman, 31, atau lebih senang dikenali Wawa Al Attas, rutin kehidupannya semakin sibuk, tambah pula sejak dianugerahkan tiga cahaya mata berusia dari lapan bulan hingga tujuh tahun.

Bertambah sibuk apabila waktu kerja panjang dan tiada pembantu rumah untuk membantunya menguruskan kerja di rumah.

Wawa jujur mengakui, tugasan sebagai penyampai berita dan wartawan penyiaran eksekutif bagi bilik berita dan hal ehwal semasa, di samping memikul tanggungjawab isteri dengan ibu kepada tiga anak masih kecil menyebabkannya tidak mempunyai banyak masa.

Dengan alasan itu, dia tidak mengamalkan joging atau pergi ke mana-mana gimnasium mahupun pusat kecergasan bagi melakukan senaman. Kerja rumah dilihat sebagai satu lagi kaedah untuk bersenam.

Kata Wawa, tahap kecergasan ketika remaja dan selepas berkahwin juga berbeza. Selepas berkahwin dan dikurniakan anak, kerja bertambah dan waktu tidur sentiasa tidak mencukupi.
Justeru, bagi mengekalkan stamina, pengambilan makanan turut diberi perhatian, yang juga penting untuk mengekalkan berat badan.

“Ketika bersekolah dulu, saya memang aktif bersukan terutama acara di padang seperti balapan, lompat jauh dan sebagainya. Apabila masuk universiti, pembabitan saya dalam sukan dikurangkan. Kemudian, apabila berkahwin dan sejak ahli keluarga bertambah, ‘senaman’ saya kebanyakannya dengan membuat kerja di rumah termasuklah menjaga pokok di halaman rumah.

“Semua kerja itu sudah cukup memenatkan dan jarang membuatkan saya dapat berehat sepenuhnya di rumah apabila tidak bekerja.” katanya tersenyum.

Namun, jika ada kelapangan dan ingin bersantai bersama keluarga, Wawa dan suami, Eddie Amat, akan membawa ketiga-tiga anak mereka, Muhammad Danish Daniel, 7, Nur Danisha Damiya, 4, dan Muhammad Dani Daniel, lapan bulan, ke pusat boling.

Katanya, melayan kerenah tiga buah hati seharian walaupun hanya bermain boling sudah cukup memenatkan. Namun, yang pasti, aktiviti seumpama itu bukan saja menyihatkan tubuh badan, malah mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Kerana itu juga, Wawa tidak keberatan membawa suami dan ketiga-tiga anak menyertai Larian Amal, Feel Good Run, anjuran ntv7 yang akan diadakan pada 3 Julai depan, di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya.

Acara kebajikan itu diadakan bersempena meraikan ulang tahun ntv7 yang ke-13 dan ia seiring dengan tema stesen televisyen berkenaan iaitu Saluran Ceria Anda. Acara julung kali diadakan itu bukan larian semata-mata, malah akan dimeriahkan dengan karnival mini dan acara pentas oleh selebriti.

Kata Wawa, sekalipun si kecil perlu ‘diangkut’ dengan kereta sorong, ia tidak menjadi halangan buatnya sekeluarga untuk menyertai aktiviti itu.

“Anak-anak mesti seronok hari itu dan saya harap, orang ramai juga dapat datang beramai-ramai untuk memeriahkan acara dan bersuka ria pada hari itu.
Kita bukan hendak berlumba tetapi suka-suka, jadi apalah salahnya bawa anak bersama. Ini juga satu cara saya meluangkan masa bersama anak-anak,” katanya.

Sama seperti rakannya Wawa, Linda, 35, juga berharap tidak bekerja pada hari itu dan dapat bersama-sama menyertai larian amal itu. Baginya, itulah masa dan peluang untuk menjalinkan hubungan lebih erat dengan rakan setugas serta berkenalan dengan lebih ramai orang, sesuatu yang jarang dapat dilakukan ketika sibuk bekerja.

Linda turut membayangkan, acara larian amal itu pasti meriah dan menyeronokkan, berjalan dan berlari beramai-ramai merangkumi pelbagai usia dan bangsa.

“Bagi menyertai larian amal itu, saya tidaklah buat latihan khusus, memadai dengan mengekalkan tahap kesihatan dan kecergasan diri. Kalau nak buat latihan khusus pun memang tiada masa. Balik kerja selalu lewat, sampai rumah sudah penat dan hendak layan anak pula,” katanya ketawa mengingatkan rutin harian yang sentiasa sibuk.

Bagaimanapun, bagi mengekalkan stamina dan menjaga berat badan, Linda cuba mencuri-curi masa melakukan lompatan skipping sebanyak 200 kali, sekurang-kurangnya selang sehari.

Katanya, aktiviti itu diamalkan selepas mendapat anak empat tahun lalu dan apabila mendapati selera makannya semakin bertambah. Selain itu, pada setiap hujung minggu, Linda dan suami, Mohd Faisal Ismail, akan membawa anak lelaki mereka, Ilham Maya melakukan aktiviti berenang selama sejam.

“Walaupun kerja tidak menentu, masa berehat juga perlu ada. Kerana itu, kami sekeluarga pergi berenang. Itu satu cara untuk merehatkan fikiran. Usia semakin meningkat, kita perlu bersenam supaya terus sihat.

“Dulu, masa umur 20-an, makan banyak pun tidak apa, sekarang, semuanya perlu berhati-hati,” katanya yang belum memutuskan sama ada menyertai larian itu sendiri atau bersama keluarga.

Sementara itu, Fazilah, 31, yang baru berkahwin setahun dan belum mempunyai cahaya mata memberitahu, akan menyertai larian amal itu bersama suaminya, juga seorang artis iaitu Azizan Nain.

Fazilah berkata, suami dan beberapa rakan artis lain sudah pun memberi persetujuan untuk menyertai acara berkenaan, sekali gus memeriahkan lagi suasana pada hari itu.

“Aktiviti bersukan dan beramal disatukan, ia pasti sesuatu yang menyeronokkan. Paling penting, kita dapat berhimpun bersama-sama dan berkenalan antara satu sama lain. Tidak kiralah siapa dan apa bidang yang diceburi, bersenam bersama-sama pasti menyeronokkan,” katanya.

Fazilah yang rajin pergi ke gimnasium bersama suami, berkata aktiviti itu sudah menjadi sebahagian daripada rutin mingguan sejak empat bulan lalu. Dengan sokongan dan ditemani suami, Fazilah akan menghabiskan masa di gimnasium sekurang-kurangnya satu jam untuk dua kali seminggu.

“Saya jarang dapat bersenam cara lain sebab habis kerja dan sampai ke rumah pun sudah malam. Untuk memudahkan keadaan dan memastikan saya dapat bersenam, saya menyertai kelab di gimnasium berdekatan tempat kerja. Habis kerja, terus saja ke sana,” katanya.

Fazilah yang juga suka aktiviti berenang berkata, setiap individu perlu prihatin terhadap kesihatan dan bersenam.

“Apabila bersenam, kita bukan hendak kurus dan nampak cantik saja tetapi inginkan keseimbangan hidup dan meningkatkan kesejahteraan diri. Selain itu, bersenam dapat menguatkan tulang. Ketika muda inilah, kita perlu jaga semua itu,” katanya mengakhiri perbualan.

INFO
* Larian amal ini terbahagi kepada empat kategori iaitu Feel Good Run - larian sejauh tujuh kilometer untuk usia 13 tahun dan ke atas; Celebrity Run - tiga kilometer untuk umur 13 tahun dan ke atas; Fun Costume Run - tiga kilometer untuk umur tiga tahun dan ke atas; dan Kids Run - 700 meter untuk umur 12 tahun dan ke bawah.


* Yuran penyertaan ialah RM25 seorang untuk setiap kategori dan RM10 untuk kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah.


* Hasil kutipan akan disalurkan kepada empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Kebangsaan Autism Malaysia (NASOM), Persatuan Kanser Kebangsaan (NCS), Yayasan Jantung Malaysia (YJM) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF).


* Pendaftaran dibuka dari 19 Mac sehingga 3 Jun. Pendaftaran boleh dilakukan di laman web www.ntv7.com.my/feelgoodrun dan di dua lokasi iaitu Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan (FTAAA) di Jalan Hang Jebat dan Twenty First Century Sports Sdn Bhd di Subang Jaya.


* Untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian 03-56373821 atau layari laman web ntv7.

Dipetik dari : www.bharian.com.my

22 April 2011

Cinta Wanita Bidayuh

Terjemah kekayaan budaya dan alam hutan hujan Sarawak

Orangnya kecil molek dan penampilannya cukup ringkas tetapi mempunyai bakat begitu besar serta penuh berseni. Berasal dari keturunan Bidayuh, Narong Daun, 41, adalah antara seniman wanita terkenal di Kuching, Sarawak. Bakatnya cukup dikagumi.

Berpegang pada akar umbi yang kuat dan didorongi kehalusan seni serta cintanya pada alam semula jadi, membawanya kepada kepekaan seni dan semangat untuk budaya asli Sarawak, khususnya flora serta fauna.

Bagaimanapun, mencipta kelainan, Narong memilih lukisan sutera sebagai medium pilihan dan hasil seninya pelbagai, dari alam Sarawak penuh gaya hingga inspirasi konseptual bermotifkan pelbagai adat budaya yang boleh ditemui di seluruh Sarawak.

Pendekatan diketengahkan dan dijiwai adalah satu proses ‘memeritkan’ kerana celupan warna fabrik perlu dilakukan berhati-hati serta teliti bagi menghasilkan tekstil luar biasa dari pelbagai lapisan, tanpa batas mosaik warna dan pola.

Demi minat dalam seni lukisan yang sudah terpasak sejak usia 15 tahun, semua itu tidak pernah menjadi penghalang kepada Narong untuk menghasilkan hasil karya menarik dan menambat ramai penggemar seni.

“Cita-cita saya untuk menjadi pelukis tidak mudah digapai. Apabila saya mengambil keputusan untuk menjadi pelukis sepenuh masa, keluarga tidak gembira kerana tanggapan mereka bidang ini tiada masa depan.
“Tetapi, saya benar-benar berminat dalam bidang ini lalu meneruskan juga hasrat itu dengan tekad ingin membuktikan keupayaan diri,” katanya ketika ditemui di The Art Gallery, Artgeously Ramsayong di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Masih mekar ingatan Narong ketika masih di bangku sekolah dulu. Ayahnya sering kecewa apabila kertas lukisan yang dibeli untuk kegunaan belajar selalu saja cepat habis berbanding rakan lain.

Mana tidaknya, cerita Narong, ada saja idea yang terlintas di fikiran, jari jemarinya pantas melakarkan pada kertas lukisan.

“Kami bukan dari keluarga yang senang, ayah hanya bekerja sebagai petani. Apabila saya tidak berjimat cermat menggunakan kertas lukisan itu, tentu saja lebih banyak belanja yang perlu dikeluarkan,” katanya sambil tersenyum mengingatkan kisah silam.

Narong yang mendapat pendidikan sehingga Tingkatan Enam di Sunny Hill School di Kuching, berkata sebaik saja tamat persekolahan, dia terus bekerja untuk mencari wang saku supaya dapat membeli peralatan lukisan tanpa lagi membebankan bapanya.

Ketika itu gaji yang diterima tidak begitu lumayan tetapi setiap bulan sebahagian besar daripadanya dihabiskan untuk membeli keperluan lukisan. Walaupun tidak boleh bermewah dan berseronok, hatinya puas dapat membeli apa yang diinginkan dan meneruskan minat melukis.

Anak ketujuh daripada sembilan beradik ini memberitahu, oleh kerana tidak mampu, beliau sehingga kini tidak pernah berpeluang mengikuti mana-mana kelas formal atau profesional dalam bidang seni lukisan.

Narong sebaliknya sentiasa tekun mengasah bakat semula jadi yang dimiliki secara sendirian dan banyak eksperimen dilakukan.

”Jika ada yang memuji hasil lukisan saya, tentu berasa puas dan berbesar hati. Tetapi, jika ada yang mengkritik, saya tidak kisah dan menerimanya dengan positif serta menjadikan komen atau pandangan itu untuk membetulkan kelemahan.

“Lagipun, saya tidak pernah berpeluang belajar di mana-mana institusi seni. Kalau kritikan itu hanya untuk mencari kelemahan dan kekurangan semata-mata atau ada niat tidak betul, tentu saja saya tidak layan kerana saya tahu apa saya buat,” katanya menetapkan prinsip yang dipegang sejak dulu lagi.

Katanya, peluang menjadi seniman residen The Art Gallery, Artageously Ramsayong yang terkenal di Kuching, Sarawak pada 2001, bagaikan satu tuah kerana memberi peluang untuk terus mengasah bakat dan menimba ilmu.

“Sebenarnya, sebelum beralih kepada lukisan pada sutera, saya terlebih dulu membuat chanting atau lukisan batik. Pada 2004, saya mendapati lukisan pada sutera lebih memberikan kebebasan dan kepuasan berkarya terutama dalam penggunaan serta pemilihan warna. Akhirnya, saya terus kekal untuk berkarya menggunakan lukisan pada sutera,” ceritanya lagi.

Selepas 11 tahun menghambakan diri pada lukisan, hari ini Narong muncul sebagai seorang seniman yang kuat dalam genre diterokai. Cinta dan kebanggaannya dengan warisan Bidayuh, memberi kesan yang mendalam dalam setiap hasil kerjanya.

Penyajian bahan subjeknya pula sering berani dan menonjol sehingga luar biasa tetapi sesuai dan bertepatan untuk gaya seni.

Katanya, setiap karya lukisannya dapat disiapkan antara satu minggu hingga tiga minggu tetapi ada juga yang disiapkan hanya dalam masa dua hari atau tiga hari. Lukisan itu dijual pada harga RM350 hingga RM9,000, setiap satu.

Antara hasil karya yang sentiasa dekat dalam hatinya ialah Siri Rahsia Rimba yang memaparkan tumbuhan dan bunga terkenal di negeri bumi Kenyalang. Begitu juga dengan sentuhan karya Narong’s Hornbill yang memperlihatkan tiga burung dijalin bersama dengan medley warna dan harmoni.

Seni tema rekaan abstrak dalam siri Sarawakiana (Terendak, Naga dan Pesta Kenyalang) turut merakamkan penghargaan dan minat Narong pada unsur tradisional.

Hari ini, Narong terus mendapat ilham daripada kepelbagaian budaya Sarawak dan keindahan alam hutan hujan.

Narong melihat semua itu dengan mata yang tajam dan tangan stabil untuk melakarkan apa disukai sehingga tercipta karya seni yang bermutu tinggi, halus dan penuh getaran. Usahanya itu adalah penting dan memberi sumbangan terhadap seni di Sarawak dan Malaysia.
Dipetik dari : www.bharian.com.my

20 April 2011

Nuansa Busana Muslimah

Busana muslimah yang menampilkan personaliti anggun dan sopan tidak boleh disangkal telah menyemarakkan lagi dunia fesyen.

Tiada lagi kerudung atau jubah longgar atau baju kurung biasa membaluti tubuh wanita yang mahu kelihatan bergaya tetapi pada masa yang sama menutup aurat.

Para pereka kini semakin peka dengan kehendak semasa dan mahir bermain fabrik supaya busana yang direka sesuai digayakan tidak kira di mana saja.

Tidak terhad sedar rekaan pakaian, kerudung turut menerima sentuhan yang sama, untuk menyempurnakan penampilan wanita Muslim agar kelihatan manis dan sopan dipandang.

Memahami permintaan terhadap fesyen menutup aurat yang semakin tinggi, pertunjukan busana Muslimah diadakan sempena Bengkel Sayangi Diri, Sayangi Keluarga (SDSK) anjuran majalah Wanita di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Koleksi pereka fesyen bebas dan tenaga pengajar dari Jabatan Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak, Rozlanassir dan Khalik Mustafa, itu menampilkan kelainan.

Peragawati kelihatan sopan dan ayu tatkala menggayakan 12 rekaan busana kurung moden, songket Riau Pahang dan gaun malam.

Seperti rekaan moden, busana ini tidak berseri tanpa perincian manik dan renda Perancis.

Koleksi-koleksi tersebut amat sesuai untuk ke majlis makan malam dan majlis resepsi.

Dalam pada itu, Ipoh menjadi lokasi pertama siri jelajah bengkel SDSK untuk tahun ini.

Kesudian isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli menyertai bengkel kali ini menjadi satu penghargaan untuk majalah Wanita. Bengkel yang berlangsung meriah di perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar Perak ini mendapat kerjasama dari Badan Amal Dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU). Lebih membanggakan apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir turut hadir seketika pada sesi petang.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

18 April 2011

Nur Amalina Pakej Gadis Idaman

Gadis ini tidak pernah melepaskan apa saja peluang untuk mencuba dan mengambil cabaran baru. Berasal dari Selangor, Nur Amalina Azain, merupakan gadis ayu yang penuh keyakinan.

Siapa sangka pada usia 18 tahun, dia yang mendapat 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberi kepercayaan oleh keluarganya untuk menguruskan sebuah spa.

Memenangi pencarian Carefree® Girl baru-baru ini, Nur Amalina diberi peluang menjadi pelakon.

"Saya berasa gembira memenangi pencarian Carefree® Girl. Memang impian saya untuk menjadi personaliti televisyen dan pelakon. Pertandingan ini memberi peluang untuk saya realisasikannya.

''Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan siri drama televisyen baru ini bersama-sama Scha, Marsha, dan Awal.

''Terima kasih Carefree memberikan peluang kepada saya," ujarnya yang bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke luar negara dalam bidang perakaunan.

Walaupun baru pertama kali menghadiri sesi fotografi, gadis manis ini jelas matang dalam tutur bicaranya.

Hadir dengan gaya bersahaja, Nur Amalina mempunyai pakej gadis impian iaitu bijak, cantik dan rendah diri.
Bahkan dia tidak mahu leka dengan impian sebagai pelakon, sebaliknya Nur Amalina mahu mengorak kejayaan dalam bidang pelajaran dan menjadi seorang akauntan.

Gadis periang ini juga suka sukan yang lasak seperti rock climbing dan bermain piano untuk meluahkan perasaannya.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

16 April 2011

Anda Calon Yang Dicari?

Joan Smalls, Liu Wen, Hilary Rhoda, Coralyn Murphy, Paulina Porizkova, Elizabeth Hurley dan Constance Jablonski. Apakah persamaan yang dimiliki oleh semua jelitawan dunia ini?

Selain memiliki kejelitaan, mereka merupakan duta Estee Lauder yang dicari melalui sebuah pertandingan.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Pertandingan Pencarian Model Estee Lauder 2011 akan kembali. Pertandingan ini memberi peluang kepada wanita tampil di atas pentas dan menonjolkan kejelitaan serta personaliti.

Berbeza dengan pertandingan tahun lalu, tahun ini ia akan mencari duta gadis (It Girl) khusus untuk koleksi Pure Color.

Sebagai elemen penting dalam seni solekan, warna-warna boleh membawa perbezaan dari segi perasaan dan ketrampilan anda. Atas dasar inilah pertandingan ini mahu mencari dua wanita yang melambangkan ciri Pure Colur ialatu periang, glamor dan moden.

Pencarian ini akan berlangsung menerusi siri jelajah bermula pada 25 April ini di pusat-pusat membeli-belah di bandar-bandar utama seluruh negara.

Sementara itu, bagi mereka yang berminat menyertai pertandingan boleh mendaftar pada sesi makeover Estée Lauder dengan pakej pembelian RM300 di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan. Pada sesi itu, penata gaya profesional dari Estée Lauder akan merubah penampilan anda di samping khidmat nasihat memilih busana yang sesuai untuk gaya seorang model menerusi sesi fotografi potret.

Bagi mendapatkan keterangan lanjut mengenai tempat dan tarikh pendaftaran boleh melayari laman web www.esteelaudermodelsearch.com.my.

Bibir merah

Dalam pada itu, Pure Color melancarkan koleksi 35 warna-warna lipstik dengan dua formula dirumus khas
"Semua pasti jatuh cinta dengan lipstik ini - ia bukan sekadar nampak cantik, ia menonjolkan kemekaran bibir anda," ujar Pengarah Mekap Kreatif Estée Lauder, Tom Pecheux.

Estée Lauder dan Tom Pecheux memperkenalkan lipstik Pure Color baru, yang menggabungkan fesyen dan teknologi dengan dua formula baru lagi mewah bagi menyerlahkan penampilan bibir moden. Warnai bibir anda dengan dua formula baru Lipstick Pure Color Long Lasting dan Lipstick Pure Color Crystal untuk menghasilkan penampilan serba baru lagi berani dengan mengembalikan semula keghairahan minat terhadap lipstik. Formula berprestasi tinggi ini didatangkan dalam palet pelbagai warna yang menjanjikan penampilan bibir menarik sesuai untuk pelbagai acara daripada warna lembut hingga merah menyala.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

14 April 2011

RM5,000 Menanti Ratu Kebaya

Mingguan Malaysia melalui sisipan Pancaindera membuka peluang kepada semua wanita untuk merebut hadiah bernilai RM5,000 melalui pertandingan Ratu Kebaya yang diadakan sempena program Bengkel Cantik Sihat Pancaindera 2011 di seluruh negara.

Acara yang dianjur bersama produk jamu terkenal, Jamu Mak Dara ini dibuka kepada semua wanita berusia 18 tahun ke atas.

“Kita memberi peluang kepada semua wanita yang suka kepada motivasi ke arah hidup sihat dan bahagia menyertai program ini.

“Sebagai penganjur acara, sudah tentunya kami amat terharu dan berbangga kerana semenjak diadakan lebih empat tahun lalu, Bengkel Cantik Sihat Pancaindera terus mendapat sambutan yang memberangsangkan,” kata Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Bengkel Cantik Sihat Pancaindera telah dimulakan semenjak tahun 2007 dan ia telah disertai oleh lebih 10,000 wanita di seluruh negara semenjak diadakan.

Acara akan diisi dengan sesi motivasi kecantikan yang akan dikelolakan oleh pengasas Jamu Mak Dara, ibu Halimah Shuib sendiri.

Dalam sesi ini, peserta juga berpeluang menggali petua kebahagiaan rumah tangga bersama ibu Halimah termasuk langkah-langkah senaman yang betul khusus buat golongan wanita yang prihatin dengan penjagaan bentuk tubuh.

Tidak cuma Jamu Mak Dara, peserta juga akan didedahkan dengan tips kecantikan dan teknik solekan daripada produk kosmetik terkenal Forest’s Secret.

Antara pengisian di dalam slot bersama Forest’s Secret ialah teknik solekan ke pejabat dan majlis makan malam yang dikendali Ketua Pegawai Eksekutif jenama berkenaan, Intan Hyriatee Mohd Zawai.

Bagi memberi kelainan kepada acara, penganjur juga mempelawa peserta untuk menyertai pertandingan Ratu Kebaya yang turut diadakan bersempena bengkel tersebut.

Pertandingan yang julung-julung kali diadakan ini terbuka kepada seluruh wanita yang berminat tanpa mengira saiz badan.

Bukan hanya dibuka kepada wanita yang berbadan langsing, wanita yang bersaiz L atau XL dipelawa tanpa sebarang prejudis.

“Pemenang utama menerima wang tunai RM5,000, diberi peluang muncul dalam iklan Jamu Mak Dara, selain insentif melancong secara percuma dan layanan spa kelas pertama di salon kecantikan kami,” kata Pengarah Urusan Jamu Mak Dara, Syed Gaddaffi Syed Ali.

Bakal diadakan di Hotel Hard Rock, Pulau Pinang pada 30 April 2011, juara peringkat saringan kedua ini berpeluang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM500 serta hamper bernilai RM100 termasuk cenderahati eksklusif Mingguan Malaysia.

Naib johan pula akan menerima hadiah wang tunai RM300 manakala tempat ketiga berjumlah RM150 dan hamper.

Juara dari setiap negeri secara automatik layak ke peringkat akhir di Kuala Lumpur pada 3 Disember depan.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai bengkel dengan yuran penyertaan RM80 ini boleh menghubungi talian 019-2247191 (Kelly) dan 017-3448624 (Athirah) untuk pertanyaan lanjut.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

12 April 2011

Rekaan unik untuk semua suasana

Cantik lagi dia pakai tudung..." bisik seorang wanita kepada sahabatnya ketika memerhati gelagat seorang wanita tidak bertudung yang sedang mencuba-cuba tudung di Butik Hajra.

Potongan yang unik, menarik dan tersendiri pada kelasnya, mewujudkan rasa selesa dan yakin pada pemakainya.

Sebagai gedung tudung terbesar di kawasan Masjid India, Kuala Lumpur, butik tersebut telah berjaya menarik pelanggan bukan sahaja daripada golongan bertudung malah mereka yang baru mula terasa ingin bertudung.

Pengurusnya, Azman Abu Bakar berkata, koleksi tudung yang terdapat di Hajra dijual dengan harga yang berpatutan setanding dengan kualiti potongan dan fabrik yang digunakan.

"Kami sentiasa peka dengan perubahan fesyen, malah kami mempunyai pelbagai jenis tudung.

"Kualiti menjadi keutamaan apabila kami mempunyai tukang jahit sendiri yang terdiri dari rakyat tempatan, justeru mereka lebih memahami jahitan bagaimanakah yang memberi keselesaan dan sesuai dengan wajah pemakai.

"Untuk fabrik di Hajra pula kebanyakannya diimport, antara jenis yang sesuai untuk dibuat tudung adalah dari jenis lycra, sifon, kapas, sutera Thai, baldu, denim kapas dan setiap satunya ada rangkaian masing-masing dari harga paling rendah hinggalah yang paling berkualiti.

"Kreativiti kami juga tidak terhad dengan mencuba pelbagai elemen tambahan seperti aksesori pada tudung yang diimport khas dari Korea, Indonesia dan Jepun," jelas Azman yang juga bertindak sebagai pereka fesyen tudung di Hajra.

Menurut Azman, seminggu sekali pihaknya akan tampil dengan rekaan terbaru, malah mereka juga boleh dikatakan sebagai pencetus trend bertudung untuk wanita di tanah air.

Sejak beroperasi tiga tahun lalu, Hajra semakin memahami kehendak wanita, jadi mereka menghasilkan tudung yang bukan sahaja boleh dipakai dalam majlis formal malah apa juga bentuk majlis

Selain itu, yang membezakan Hajra dengan premis tudung lain ialah suasana yang selesa, tempat mencuba tudung yang luas dan tenang di samping layanan dari jurujual yang mesra dan ikhlas.

Kepada pembeli tetap, Hajra juga menawarkan kad keahlian dengan setiap pembelian RM250 ke atas. Kad tersebut juga melayakkan pelanggan membuat pembelian seterusnya dengan diskaun sebanyak 20 peratus bagi pembelian melebihi RM50 ke atas.

"Kepada pemborong, anda dialu-alukan ke Hajra untuk mendapatkan tudung berkualiti pada harga yang lebih murah dari gedung lain," ujarnya mengakhiri bicara.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

10 April 2011

Sebati Dengan Dunia Kecantikan Kamaliah

Inilah yang dikatakan nasib, rezeki dan kejayaan seorang individu yang tidak pernah mengenal erti putus asa. Pertama kali bersua muka dengan jutawan kosmetik ini memang begitu sederhana orangnya.
Bertubuh kecil tanpa secalit solekan, orangnya cukup ceria dan mesra melayan kumpulan media yang diterbangkan khas dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

Datuk Kamaliah Abdul Halim, 51, yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai Kak Kay, memilih untuk tidak begitu popular sebagaimana rakan-rakan seangkatannya seperti pengasas Nouvelles Visage, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya.

Namun Kamaliah sebenarnya mengecapi kejayaan yang tidak kurang hebat seperti rakan-rakannya itu dengan jenama RZAC Cosmetic sebagai taruhan.

Bercerita lanjut mengenai pembabitannya dalam dunia kecantikan, Kamaliah mengakui pada awalnya memilih perniagaan batik walaupun beliau tahu minat sebenarnya ialah dalam dunia kecantikan.

"Ketika itu, Kak Kay mendapat tender untuk membekalkan baju batik untuk sebuah Maktab Perguruan di Pulau Pinang. Tetapi, oleh kerana kerenah birokrasi dan pembayaran yang mengecewakan perniagaan tersebut ditutup.

"Lagi pun Kak Kay tidak pandai menjahit dan hanya mengharapkan kerja tangan pekerja 100 peratus," ceritanya pada sesi beramah mesra bersama media di kediamannya di Bertam, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Gagal dengan perniagaan batik, pada tahun 1998 Kamaliah berjinak-jinak menjual produk kecantikan dari luar negara dan ketika itu dia berjaya mengumpul ramai pelanggan.

Atas permintaan pelanggan juga, Kamaliah akhirnya menyewa sebuah kedai untuk dijadikan salon menjual produk tersebut dan di situ beliau belajar tentang selok-belok dunia kecantikan.

"Walaupun sambutan yang diterima menggalakkan, rezeki masih tidak menyebelahi Kak Kay. Selama dua tahun Kak Kay menjual produk tersebut dan akhirnya perniagaan jatuh merudum kerana produk tersebut tidak mendapat kelulusan dari pihak Kementerian Kesihatan.

"Ketika itu Kak Kay mula terfikir untuk membuat produk jenama sendiri. Kak Kay selalu ingatkan diri sendiri, kalau orang lain boleh buat, kenapa tidak aku? Jadi dari situ, semangat untuk membuat produk kecantikan jenama sendiri semakin menebal," cerita anak kelahiran Perak ini lagi.

Menyingkap bakat dan minat dalam dunia perniagaan Kamaliah percaya ia telah berputik lama sebelum beliau terbabit dalam dunia kecantikan.

Segalanya bermula ketika mengikut suami melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK) sekali gus mengubat hati akibat gagal untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya di sebuah jabatan kerajaan.
"Disebabkan kecewa gara-gara pihak atasan tidak mahu memanjangkan tempoh perkhidmatan, saya meletak jawatan 24 jam walaupun telah berkhidmat selama tiga tahun dengan jabatan tersebut sebagai kerani.
"Masa mula sampai di UK memang seronok. Malah dalam hati berdetik 'sampai juga aku ke negara orang putih walaupun tak pandai berbahasa Inggeris'.

"Tapi waktu itu, kehidupan kami tidaklah sesenang sekarang. Kami anak- beranak hanya mengharapkan biasiswa suami untuk belanja harian," katanya mengimbau kenangan silam.

Sebagai wanita yang semula jadinya tidak pandai duduk diam, beliau mula mencari idea bagaimana untuk menambah pendapatan keluarga.

Menggunakan kemahiran memasak yang dimiliki, beliau menjual nasi lemak kepada pelajar-pelajar Malaysia di sana.

"Dengan hasil jualan nasi lemak itu jugalah Kak Kay dan keluarga dapat menjelajah ke enam negara di Eropah.

"Dan dari situlah titik permulaan Kak Kay dalam dunia perniagaan," ujar wanita cantik ini.

Bercerita semula mengenai RZA Cosmetic, menurut Kamalia produk pertama iaitu set empat penjagaan wajah memasuki pasaran pada tahun 2001.

Atas pertolongan rakan-rakan, mereka membantu memasarkan produk tersebut sama ada sebagai pengedar mahupun pengguna.

Beliau juga bertuah kerana mendapat sokongan daripada suami Ir Rahim Zainal Abidin yang turut menjadi thing tank dalam perniagaannya selama ini.

"Syukur pasaran RZAC Cosmetic amat membanggakan sehingga Kak Kay berjaya membina sebuah 'Istana RZAC D Casa' dan membiayai pelajaran anak-anak hingga ke luar negara hasil perniagaan tersebut.

"Inilah juga impian Kak Kay yang akhirnya menjadi kenyataan. Hasil daripada keringat, kesabaran dan keikhlasan akhirnya Kak Kay berjaya walaupun tanpa bantuan segulung ijazah," katanya.

Sebagai pengusaha produk kecantikan yang kini mencecah hampir 200 jenis produk, erti kepuasan pada diri Kamaliah adalah apabila pelanggan dapat apa yang mereka inginkan - menjadi cantik.

Beliau juga mahu membuktikan bahawa janji-janji terhadap pelanggan menjadi kenyataan dan bukannya omongan kosong.

"Syukur kepada Allah melalui perniagaan ini Kak Kay juga dapat membantu dan memberi peluang perniagaan kepada wanita lain terutama ibu-ibu tunggal sebagai pengedar RZAC Cosmetic.

"Mereka mampu meraih pendapatan lumayan dan ada juga daripada mereka yang membuat jenama produk sendiri dan g berjaya.

"Alhamdulillah, Kak Kay juga banyak mengajar wanita-wanita terutamanya golongan bumiputra tentang selok-belok perniagaan berkaitan kecantikan dan spa.

"Bagi Kak Kay, kita tidak harus lokek dengan ilmu dan perlu dikongsi untuk kebaikan bersama," katanya.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

08 April 2011

Beg Kertas Kegilaan

Dua beg kertas jenama Royal Copenhagen dan Philippe Charrol diasingkan daripada ratusan yang lain bagi memudahkan sesi fotografi. Bertemankan tiga daripada lima anaknya, menjadikan sesi temuramah malam Jumaat itu begitu riuh rendah sekali.

Tidak sangka wanita bertubuh kecil itu menyimpan khazanah melebihi usia 30 tahun. Beberapa rangkaian jenama syarikat terkenal yang sudah tiada, berada dalam simpanan. Antaranya gedung membeli-belah Mun Long, Hankyu Jaya dan beberapa bank yang telah digabungkan.

Pegawai eksekutif bahagian kualiti perkhidmatan itu juga cukup prihatin mengenai penjagaan asetnya itu. Semuanya dalam keadaan rapi seperti kali pertama dimiliki.

Bahkan disiplin ketat dikenakan andai ada di kalangan anaknya menghampiri kawasan 'larangan' Hilaliyah Mohd. Hanif. Tempat penyimpanan di sebuah tempat di rumahnya.

Mereka hanya dibenarkan melihat dari jauh saja koleksi emaknya. Tidak dibenarkan memegang mahu pun meminjam koleksi ibunya termasuk dibawa ke sekolah.

''Setiap satu beg kertas saya gunakan sehingga lunyai. Biarpun bertahun-tahun lamanya. Sampai pemegang beg itu terkoyak dan tak boleh digunakan lagi,'' katanya bersungguh-sungguh.

Wanita yang mesra disapa Hila itu juga memberitahu bahawa setiap satu koleksi perlu ada set baharu. Barulah dia senang hati nak memakai beg yang baru. Alasannya, dia begitu sayang dan tak mahu tergesa-gesa sebelum membuka 'lembaran' baru.

Itu tidak termasuk dengaran rajuk dan rayu Hila sewaktu mengirimkan pesanan beg kertas andai ada di kalangan rakan atau saudara terdekat keluar negara.

Malahan anak kelahiran Singapura ini menolak andai ditawarkan pakaian sebagai cenderamata. Keutamaan buat beg kertas kerana ia mempunyai nilai tertinggi di sudut hatinya.

Menyelak kembali keistimewaan beg kertas di mata Hila menyebabkan dia menyungging senyuman. Jujurnya, dia memberitahu bahawa dirinya cukup bangga tatkala menyandang satu-satu jenama beg kertas berkenaan.
Perasaan tersebut juga semakin sebati sejak Hila menerima beg kertas pertama daripada makciknya di Singapura. Di kala usianya mencecah 10 tahun, Hila berasa cukup bahagia membawa beg kertas berkenaan ke sekolah.

Lantaran itu, Hila menjadikan momen tersebut sebagai titik awal memutik rasa minatnya terhadap barangan tersebut. Wanita yang pernah dibesarkan di Johor dan Perak ini berazam untuk terus menambah koleksi peribadinya sampai bila-bila.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

06 April 2011

Jangan Takut Bercinta Lagi

Bagi yang pernah bercinta, pasti biasa melalui saat suka dan duka. Maklumlah dunia orang bercinta penuh dengan pancaroba.

Kecewa akibat bercinta memang sangat perit untuk dilalui dan sukar untuk di atasi.

Cara terbaik untuk pulih daripada perasaan kecewa dan kembali ceria mungkin dengan meyakinkan diri untuk bercinta lagi dan melupakan buat selama-lamanya si dia yang mengecewakan anda.

Sebagai seorang yang matang, terimalah hakikat bahawa setiap manusia mempunyai naluri untuk berkongsi perasaan sayang.

Namun kita juga harus sedar bahawa setiap perhubungan itu tidak semestinya berakhir dengan perkahwinan dan mencapai bahagia.

Ada perhubungan yang hanya bertahan separuh jalan. Itulah yang dinamakan takdir.

Memang mengecewakan, namun ia bukan bermaksud anda perlu menutup semua peluang baru yang akan datang.

Tindakan sedemikian sebenarnya hanya merosakkan diri sendiri dan boleh menjadikan diri mengalami kemurungan.

Buka minda dan terima perhubungan baru sebagai sesuatu pengalaman berbeza dalam kehidupan anda. Berusahalah mencari kebahagiaan yang anda impikan.

Namun ada juga yang menyalahkan diri sendiri kerana mengalami kekecewaan dalam perhubungan.
Sekali gus menolak untuk bercinta lagi kerana takut dikecewakan untuk kali kedua.

Seharusnya keadaan itu tidak perlu dijadikan isu kerana bukan semua pasangan akan membuat anda kecewa. Ramai lagi insan boleh memberikan anda kebahagiaan.

Sebenarnya, ramai lagi orang lain yang ikhlas untuk terus bercinta dengan anda. Tetapi janganlah menjadi seseorang yang pentingkan diri sendiri dan menolak cinta lain.

Cubalah memberikan ruang dan peluang kepada orang baru supaya anda terus dicintai dan mencapai kebahagiaan yang ingin anda kecapi.

Dalam situasi ini, jangan sesekali mengenang kisah lama dengan si dia yang pernah mencintai anda, tetapi berikan tumpuan sepenuhnya kepada si dia yang baru hadir dalam dunia anda.

Berusaha sebaiknya untuk membuatkan diri anda terlalu istimewa kepadanya.

Hakikatnya, kecewa itu sebenarnya sesuatu yang perit dan sukar untuk diterima lebih-lebih lagi orang yang kita pernah sayangi itu kini sedang berbahagia dengan cinta barunya.

Tetapi, jangan kecewa dengan situasi sedemikian dan cubalah melupakan si dia dengan membuka peluang baru kepada orang lain untuk terus bercinta diri anda.

Perkara penting yang anda fikirkan adalah semua insan di dunia ini mampu untuk memiliki kehidupan yang bahagia.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

04 April 2011

Meraikan Setiausaha di PWTC

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bakal mengadakan persembahan khas sempena minggu setiausaha pada 20 dan 21 April ini. Ia menyasarkan penyertaan 1,600 setiausaha dan ketua-ketua mereka.

Menurut Pengarah Komunikasi Pemasaran PWTC, Fadzilah Said, bertemankan penyanyi terkenal, Ramli Sarip, tetamu bakal digegarkan dengan pelbagai acara menarik.

''Majlis yang bermula pada pukul 12 tengah hari sehingga 3 petang itu mengundang pengacara dan pelawak terkenal, Dee.

"Di samping itu turut diadakan pertunjukan fesyen bersama pereka terkenal yang juga seorang pensyarah seni, Shabri Saad.

''Kita mensasarkan 800 tetamu akan datang pada hari pertama dan bilangan yang sama untuk hari kedua. Kami menjanjikan sesuatu kelainan pada hari setiausaha kali ini," jelasnya.

Menurut Fadzilah, makanan yang dihidangkan pada hari itu berdasarkan ialah cita rasa barat yang menghidangkan hanya yang terbaik buat tetamu.

Sementara itu menurut Dee, konsep yang akan dia ketengahkan pada majlis kali ini ialah Retro. Iaitu gaya 70-an untuk mengimbas kembali kenangan indah zaman dahulu.

''Saya juga akan memastikan penyertaan bos dan setiausaha di atas pentas yang mana penyertaan yang terhebat akan diberikan hadiah,' ujarnya.

Dalam pada itu Shabri menyifatkan pertunjukkan fesyen kali ini membabitkan koleksi ala-Malaysia yang terbaik.

''Terdapat 24 jenis pakaian yang akan diperagakan bakal memenuhi cita rasa hebat pencinta fesyen.
''Antara koleksi gabungan yang bakal disaksikan ialah fesyen seperti batik, songket, ready-to-ware dan sebagainya yang dipersembahkan oleh lapan peragawati," katanya.

Kepada yang berminat untuk turut serta dalam acara ini boleh menghubungi talian 03-2614 6701 dan 03-2614 6702 (Siti Raba'ah) untuk pertanyaan lanjut.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

02 April 2011

Hazwani Lebih Gemar Busana Pengantin

Saban tahun namanya menjadi sebutan di kalangan peminat fesyen, malah kian sebaris dengan pereka-pereka terkenal tanah air.

Senario itu membuatkan rekaannya sentiasa menjadi pilihan selebriti untuk digayakan terutama pada majlis-majlis membabitkan acara karpet merah (red carpet).

Memilih untuk mereka busana yang ringkas dan tidak terlalu sarat dengan perincian namun masih nampak menarik, Hazwani Osman, 29, telah memulakan kariernya sebagai pereka fesyen sebaik tamat pengajian pada tahun 2005.

Lazimnya jelas anak kelahiran Taiping, Perak ini, setiap rekaan yang dihasilkan adalah mengikut tema majlis yang akan dihadiri pelanggannya.

''Secara jujur, jika ditanya rekaan apa yang diminati sudah pasti saya akan katakan rekaan yang ringkas dan senang digayakan.

''Tetapi ia masih bergantung kepada tema keseluruhan majlis sama ada glamor, retro, kontemporari dan sebagainya.

''Yang pasti, setiap rekaan yang dihasilkan mestilah cantik dan mampu menyerlahkan penampilan si pemakai,'' ujar anak keenam daripada tujuh beradik ini.

Hari ini setelah enam tahun bergelumang dalam dunia fesyen, Hazwani berbangga dengan koleksi rekaan yang menggunakan label namanya sendiri.

Bukan itu sahaja, malah dia turut mempunyai studio serta butik sendiri yang menempatkan kesemua koleksinya.

Begitu pun, menurut Hazwani, dia belum lagi mampu mendabik dada memandangkan masih perlu dibimbing untuk menyaingi pereka-pereka tersohor yang lain.

Untuk itu, beliau mengambil pendekatan untuk terus belajar dan memantau perkembangan industri yang disertainya malah bagi Hazwani, pengetahuan adalah segala-galanya.

Dalam masa yang sama, Hazwani menganggap industri fesyen sebagai bidang yang menuntut dirinya untuk terus menimba ilmu dan tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian yang dikecapi.

Hazwani yang lebih cenderung menghasilkan pakaian lelaki juga gemar memilih warna-warna klasik seperti emas, perak, gangsa serta warna-warna tanah.

Ini kerana, menurutnya warna-warna tersebut jarang digunakan selain menampilkan warna yang terang dan mampu menarik perhatian ramai.

Bagaimanapun menurut Hazwani, rekaannya juga bergantung kepada peredaran zaman serta mengikut musim.
Selain itu, pemilik Ijazah Rekaan Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, ini juga gemar menggunakan fabrik yang beralun dan lembut seperti sifon, satin dan sutera.

Ini kerana kain-kain tersebut bukan sahaja mudah dibentuk malah ia juga nampak cantik apabila digayakan.
Sering menjadikan majalah fesyen serta bahan di Internet sebagai rujukan, Hazwani mengakui bahawa dia lebih gemar menghasilkan busana pengantin.

Alasannya ialah rekaan tersebut amat bermakna kerana ia disarungkan pada hari keraian istimewa dalam hidup seseorang.

Jelasnya lagi, untuk membuat rekaan baju pengantin tidaklah terlalu susah berbanding konsep fesyen lain.
Ini kerana setiap kali menerima pelanggan, mereka sentiasa mahukan busana itu tidak kelihatan terlalu sarat tetapi menarik.

Menyifatkan sesuatu pekerjaan yang bermula daripada bawah bakal membuka sinar kegembiraan kelak, maka hari ini Hazwani mampu tersenyum riang apabila rekaannya mampu menjulang namanya di persada fesyen tanah air.

Dipetik dari : www.utusan.com.my