Jom Jadi Geng

30 January 2011

Penganiayaan Sosial Terhadap Wanita

Ramai wanita atas dasar 'taat kepada perintah suami' telah membenarkan situasi seperti yang dialami oleh Puan Z berlaku pada diri mereka.

Terdapat banyak kes di mana wanita telah dizalimi oleh suami secara tidak langsung atau secara tidak sedar oleh mereka sendiri. Sekali lagi faktor agama dijadikan alasan secara tidak bertanggung jawab oleh sebilangan suami.

Ada golongan suami dengan lantang menyatakan status suami bagi seorang wanita adalah lebih tinggi dan lebih mulia daripada ibu bapa wanita itu sendiri. Lantas keutamaan haruslah diberikan kepada suami tersebut.
Hadis yang sering dijadikan dalil bagi perlakuan suami ini adalah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah bahawa Rasulullah bersabda:  
"Siapakah manusia yang perlu diagungkan haknya oleh seorang wanita? Jawab Rasullullah, "Suaminya". Aku bertanya lagi, "Bagi seorang lelaki?", Jawab Nabi, "Ibunya" [Riwayat al-Hakim].
Perlu dinyatakan bahawa terdapat pandangan ulama yang menyatakan bahawa hadis ini adalah dhaif, bagaimanapun saya tidak berhasrat untuk membahaskannya.

Namun, sekiranya hadis tersebut sahih, ia tidaklah boleh ditafsirkan atau dijadikan justifikasi oleh golongan suami untuk menafikan hak isteri terhadap pergaulan dan kasih sayang yang telah wujud sekian lama antara anak dan ibu bapa atau adik beradik, hanya atas alasan 'keutamaan seorang suami' tersebut.

Ada juga beberapa kes yang menunjukkan halangan-halangan melalui arahan atau tegahan suami untuk isteri berjumpa dengan sahabat atau teman lama mereka tanpa alasan yang kukuh. Tindakan itu semata-mata untuk menunjukkan 'kekuasaan' dan 'keutamaan' seorang suami.

Islam adalah agama yang adil dan murni. Kedatangan Islam itu adalah untuk membawa mahabbah dan rahmat ke sekelian alam.

Mana mungkin Islam dijadikan alasan untuk sesetengah manusia yang tidak bertanggungjawab menafikan hubungan kasih sayang sejati antara anak dan ibu bapa, keluarga mahupun sahabat handai atas dasar iman dan taqwa?

Hakikatnya, ramai golongan lelaki mahupun wanita sendiri tidak menyedari bahawa halangan yang sedemikian rupa yang dikenakan oleh suami kepada seorang isteri boleh dikategorikan sebagai keganasan atau penindasan terhadap golongan wanita. Ia dikategorikan sebagai penindasan sosial.

Penderaan kategori sosial sebegini sering berlaku di rumah. Wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan dari mendapat sokongan luar termasuk memutuskan hubungan isteri dengan ibubapa, sanak saudara mahupun sahabat si isteri tersebut.

Golongan suami mestilah menerima hakikat bahawa isteri mempunyai hak untuk terus menghormati dan mentaati ibubapanya. Isteri juga berhak untuk bercampur-gaul dengan adik beradik dan sanak saudara selagi tidak melampaui batas syarak.

Halangan yang tidak berasas seperti yang dinyatakan di sini mestilah dielakkan oleh golongan suami. Ini untuk memastikan kita bukan daripada golongan yang mengganasi isteri secara halus seperti keganasan sosial yang dibincangkan di sini.

Adalah lebih baik bagi pasangan yang baru bernikah berbincang tentang hak dan peranan mereka terhadap ibubapa dan mertua masing-masing secara terbuka dan berasaskan mahabah Islamiah yang murni.

Hak untuk mereka melawati dan menziarahi ibubapa dan sanak saudara secara adil dan saksama.
Janganlah ada situasi mana-mana ada pasangan melebihkan keluarga mereka sambil menafikan hak keluarga pasangannya. Ini akan menimbulkan suasana yang tidak harmoni.

Isteri yang ditindas secara sosial sebegini bolehlah mendapatkan khidmat nasihat kaunseling di pusat-pusat kaunseling yang bertauliah seperti di Jabatan Pembangunan Wanita atau Jabatan Agama Islam negeri masing-masing bagi mendapatkan jalan keluar yang terbaik dalam menangani isu ini.

Golongan suami perlulah lebih terbuka untuk menyelesaikan permasalahan ini dengan bijak sambil mengetepikan ego yang tidak rasional.

Pastikan kita tidak tergolong dalam golongan suami yang menzalimi isteri secara sosial. Sayangilah dan hormatilah hak isteri dan keluarga mereka sekali!

Dipetik dari : www.utusan.com.my

28 January 2011

14 Tahun Hidup Tanpa Payu Dara

Pada 14 tahun lalu, Ranjit Kaur, menyangkakan dia akan meninggal dunia. Terkejut apabila dia didiagnosis kanser payu dara, berita itu ibarat hukuman maut buat wanita berusia 57 tahun ini. Presiden Pertubuhan Kebajikan Kanser Payu Dara Malaysia (BCWA) ini diserang kanser payu dara pada tahun 1998.

"Ketika diberitahu saya ada kanser itu, saya seperti berputus asa dan takut. Manakan tidak, setahun sebelum itu, bapa saudara saya meninggal dunia akibat kanser. Saya tidak mahu menjadi beban kepada keluarga dan masyarakat hanya kerana kanser. Lebih-lebih lagi pada masa itu, kesedaran orang ramai terhadap penyakit ini sangat rendah. Saya khuatir akan kehilangan keyakinan diri. Hakikatnya, saya memang tiada motivasi terutama terhadap seksualiti diri. Saya sentiasa terfikir, siapa yang akan menjaga saya ketika sakit dan sebagainya," ujarnya yang telah mengikuti rawatan kimoterapi sebanyak 12 sesi selama sembilan bulan, disusuli rejim radioterapi, pengambilan pil Tamoxifen selama lima tahun dan Femara untuk lima tahun selanjutnya.

Dalam keadaan Ranjit yang lemah, dia dipertemukan dengan seorang pesakit kanser. "Kenapa awak kelihatan sihat dan tidak seperti seorang yang sakit? Bagaimana awak pulih?," persoalan Ranjit ketika pertama kali dipertemukan dengan pesakit yang telah 19 tahun menghidap kanser payu dara itu.
Pesakit itu menjawab, "Kalau awak menjalani rawatan, awak juga akan kelihatan sihat seperti ini,"'

Bersemangat

Sejak itu Ranjit menjadi bersemangat untuk menentang kanser dan meneruskan hidup walaupun dia telah menjalani pembedahan membuang salah satu payu daranya.

Ranjit kemudiannya diajak menyertai BCWA sejak tahun 1998 dan dia mula mengaktifkan diri dalam persatuan itu.

Walaupun Ranjit kini hidup dengan sihat dan normal, dia reda jika sel kanser itu kembali hidup.

Sebagai pesakit kanser, sel kanser boleh datang semula dan menyerang pesakit. Namun wanita ini sudah bersedia. Dia tidak mahu bergantung pada ubat semata-mata tetapi dia mahu menikmati masa berkualiti bersama keluarga dan teman-teman sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Begitulah impian Ranjit yang mahu memberi kesedaran yang lebih tentang kanser payu dara kepada masyarakat.

"Tahap kesedaran sekarang sudah semakin pulih tetapi masih ramai yang tidak sedar pada peringkat awal. Ini menyebabkan penyakit ini sudah merebak ke seluruh badan. Bagi saya, bukan sahaja masyarakat luar bandar yang masih belum ada kesedaran tetapi mereka yang berpelajaran turut mempunyai kesedaran yang rendah. Justeru itu, kami di BCWA mahu memperluaskan kempen kesedaran kanser ini," ujar bekas pelajar bidang Sains Kurang Upaya di Kolej Universiti London yang ditaja sepenuhnya oleh badan amal, Yayasan Rotary.
Dalam pada itu, BCWA sedia memberi sokongan emosi kepada pesakit baru termasuk menghantar ahli yang terlatih ke hospital-hospital untuk memberi latihan kepada penghidap lain.

"Sebagai pesakit mereka memerlukan sokongan emosi, pendidikan dan bimbingan kepada diri sendiri selain kesedaran kepada orang ramai pengesanan peringkat awal. Antara aktiviti BCWA yang terbaru ialah mengumpul dana menerusi kempen 'Pink Purse' untuk aktiviti MURNI," katanya.

Tambah Ranjit, MURNI merupakan kenderaan berat yang telah diubahsuai, lengkap dengan jururawat bertauliah dan bekas pesakit barah payu dara yang terlatih. Kenderaan ini akan ke luar bandar untuk mengajar masyarakat luar bandar tentang gaya hidup sihat. Selain itu, mereka akan diberi panduan perubatan dan dididik untuk mendapatkan rawatan segera apabila didiagnos kanser payu dara.

Berkongsi pengalamannya bertemu pesakit kanser yang baru didiagnosis, pesakit akan banyak bertanya kepadanya tentang punca dia diagnosis kanser.

Antara soalan popular yang ditanya pesakit ialah apakah dia ada membuat salah, bagaimana gaya hidupnya dan adakah dia salah makan sehingga dia menghidap penyakit kanser.

Dengan nada lembut, Ranjit menjelaskan kepada mereka supaya tidak mempercayai khabar angin berkaitan kanser payu dara sebaliknya meminta nasihat doktor.

"Persoalan-persoalan ini sangat popular ketika saya bertemu dengan pesakit. Mereka takut menjalankan kehidupan normal seperti orang yang sihat. Padahal mereka boleh makan apa sahaja atau bersenam sama seperti orang lain," katanya.

Dalam pada itu, Ranjit menyeru wanita agar sedar kehadiran penyakit ini. Katanya, kanser ini boleh menyerang mana-mana wanita walaupun ada lelaki yang dapat tetapi peratus besar adalah wanita.
"Kita boleh boleh buat pengesanan awal dan perlu berjumpa doktor setiap tahun untuk melakukan mamogram apabila usia mencecah 40 tahun. Ingat, tanggungjawab anda dalam tangan sendiri," ujarnya mengakhiri perbualan.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

26 January 2011

Nasha Aziz Amal Ginseng dan Kunyit

Pelakon dan model, Nasha Aziz punya cara sendiri untuk menjaga kesihatan dan kecantikan diri. Sebagai figura awam, sudah semestinya mempunyai amalan tertentu yang menjadikannya dirinya begitu mempersona ketika di hadapan khalayak.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga tidak kisah untuk berkongsi pengalamannya semasa bertemu di majlis memperagakan Fesyen Cheongsam di ibu kota, baru-baru ini.

Dalam pertemuan tersebut, pelakon filem Kad Cinta menguraikan satu demi satu amalan wajib yang dilakukan setiap hari.

Heroin filem Kad Cinta ini memberitahu bahawa dia mempraktikkan lima perkara dalam memastikan dirinya selesa untuk berdepan dengan kerjaya harian.

1. Kesihatan mental
Super model nombor satu negara ini sentiasa berfikiran positif dalam memastikan dirinya sentiasa ke hadapan. Menjaga akal dari memikirkan perkara yang bukan-bukan atau yang memberi impak kepada mood sehariannya.

2. Fizikal yang menawan
Jujurnya, dia jarang membuat latihan jasmani yang lasak seperti joging atau berenang kerana masanya banyak di tempat kerja. Senaman ringannya seperti mengemas rumah dan berjalan-jalan.

Justeru, Nasha memastikan kesihatan tubuhnya dengan mendapatkan suplemen ginseng sebiji tablet yang dimakan setiap pagi. Amalan makan pertama di kala perut sedang kosong tersebut dapat membantu badannya sentiasa panas.

Selain itu, pelakon filem Hati Biru ini juga menelan sebiji tablet kunyit yang baik untuk sistem penghadaman.
Bijirin juga menjadi pilihan bagi mengelak dari kemasukan gas dalam badan kerana kerjanya kadang kala tidak tentu masa.

''Kalau nak tahu, saya makan nasi setiap hari tetapi tidak mengambil minuman bergula. Air lemon pekat tanpa gula juga antara minuman kegemaran saya. Selain itu, saya juga makan coklat tanpa susu dan telur putih,'' katanya.

3. Naluri mesti bersih
Wanita berusia 40 tahun ini sentiasa menjadi keinginan nalurinya. Tidak mahu didesak dengan sebarang anasir yang menyebabkan dirinya terlibat dengan tabiat-tabiat yang boleh merosakkan hatinya. Tidak kisah dengan apa yang dikatakan orang sekeliling mengenai dirinya termasuk gosip yang mengatakan tentang perkahwinannya dalam masa terdekat.

4. Pergaulan yang sihat
Sebenarnya, pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-14 (FFM14) ini tidak punya kawan baik yang terdiri dari golongan artis dalam industri. Dia sangat memilih untuk mencari kawan yang benar-benar boleh dipercayai. Berdasarkan pengalaman lepas, Nasha semakin selektif ketika berkawan dan tidak mahu hidup dalam kepura-puraan.

5. Kawalan emosi
Pemilik nama sebenar Noraishah Abdul Aziz ini juga sentiasa menarik nafas panjang tatkala berdepan dengan masalah. Tidak suka marah-marah dan sentiasa tersenyum andai berdepan dengan konflik.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

24 January 2011

Sentuhan Kontemporari Tod's

TOD'S membawa koleksi baru sempena musim bunga dan panas yang menggabungkan aksesori dan hiasan mewah bersama hasil kerja tangan halus dan teliti. Bersama sentuhan kontemporari, rekaan klasik Tod's, menghasilkan koleksi sofistikated yang pasti menjadi ikutan.

Memberi fokus rekaan koleksi wanita yang mementingkan kualiti dengan penggunaan kulit anak lembu, kulit buaya dan kulit ular sawa.

Koleksi lelaki pada musim ini pula lebih mementingkan kepada persaingan dan gaya dengan menggunakan kulit vintage dalam pelbagai warna daripada biru kelasi dan brown.

Untuk koleksi terbaru ini, Tod's memperkenalkan shirt bag, tote bag, D bag dan clutch bag.

Shirt bag merupakan koleksi terbaru Tod's yang menggunakan kulit lembut sesuai untuk wanita yang gemarkan melancong kerana beg ini tahan lasak.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

22 January 2011

Kesibukan Suami Jadikan Datin Imran Pandai Berdiri

Personaliti kali ini cukup sporting orangnya, sejak awal berkenalan dalam satu majlis sehinggalah penulis berkunjung ke rumahnya, beliau cukup mesra dan periang.

Sedikit sebanyak hilang rasa gerun di hati, memandangkan suaminya bukanlah calang-calang orang. Mungkin kerana jawatannya dalam bidang kepolisan menyebabkan Datuk Khalid Abu Bakar yang kini bertugas sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KNDKA) nampak tegas dan garang orangnya.

Berbeza sekali dengan personaliti isterinya yang cukup periang dan mudah mesra, biarpun pertama kali bersua muka. Tidak seperti isteri-isteri kenamaan lain yang gemar tampil anggun sentiasa, wanita ini mengakui cukup selesa andai tubuhnya tersarung jeans dan kemeja.

Jelas anak kelahiran negeri Jelapang Padi ini, sejak dahulu lagi dia memang ‘low profile’ dan seorang yang ‘simple’. Malah, empunya diri mengakui hanya dikenali sebagai isteri Datuk Khalid, apabila mereka menghadiri sesuatu majlis bersama. Begitulah sikap Datin Imran Ibrahim, 55 yang lebih suka orang mengenali suaminya dan bukan dirinya.

“Apabila suami bertukar ke Bukit Aman, perasaan gembira dan bangga sebagai isteri melihat suami naik pangkat memang ada. Cuma dalam masa yang sama, saya sedar ini akan mengurangkan lagi masa suami bersama kami anak-beranak. Lagipun, saya bukan jenis yang selalu ikut ke mana suami pergi, hanya majlis tertentu sahaja yang saya hadiri. 

isebabkan itu, saya kurang di kenali, hanya bila berjalan bersama, baru orang tahu saya ini isteri kepada Datuk Khalid. Tetapi sebagai isteri, saya sedar tugas dan tanggungjawab suami terhadap negara. Lagipun, sejak awal suami sudah terangkan kerjayanya yang sentiasa sibuk. Sebab itu saya tidak kisah.

“Lagipun, saya datang dari keluarga besar dan susah, sudah biasa hidup berdikari. Jadi, dalam apa jua hal membabitkan keluarga, segalanya terletak di bahu saya. Sebagai isteri saya sudah faham selok-belok kerja suami yang sibuk itu. Dalam satu minggu kadang-kadang, hanya 3 hari sahaja suami berada di rumah. Jadi semua hal saya lakukan tanpa bantuan dia. Memang waktu itu, perasaan tertekan dan letih saya alami tetapi mujurlah saya bekerja. Bila bersama kawan-kawan di pejabat, hilang seketika segala stress. Namun, selepas suami dinaikkan pangkat dan bertukar ke Johor, saya mengambil keputusan berhenti kerja dan memberi tumpuan penuh pada keluarga,” ujar Datin Imran yang kini dilantik sebagai Pengerusi Perkep KDNKA selain turut aktif sebagai Ketua Biro Rumah Tangga bagi Persatuan Perkep Malaysia.

Suka Melancong Sendiri

Ibu kepada Darwina, 29; Juwiza, 26; Khairul Amri, 22 dan Khairul Amir, 17 ini bukan seorang yang suka duduk berdiam kaki. Baginya umur bukan penghalang untuk melakukan sesuatu aktiviti yang diminati. Sejak awal 20-an lagi, dia sudah biasa berjoging dan melakukan senaman ringan untuk menjaga kesihatan tubuh badan. Tidak hairanlah jika melihat wajahnya tidak dimamah usia kerana kerajinannya bersenam selain mengambil makanan tambahan sebagai pelengkap.

Ketika ditanya perasaan bergelar isteri kepada pegawai polis yang sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko, Datin Imran hanya ketawa kecil. Namun, bibirnya tidak henti mengucapkan syukur kerana sepanjang hidup sebagai isteri pegawai polis, belum pernah dia mengalami situasi yang buruk.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada sebarang ancaman mahupun ugutan yang saya terima, sebaliknya sejak awal berkahwin sehinggalah anak-anak sudah besar, belum pernah saya ‘diganggu’ mana-mana pihak, sedangkan setiap pagi saya akan berjoging di sekitar kawasan perumahan. Malah, saya sudah kenal dengan penduduk di sini dan menjadi kawan mereka. Saya juga mudah berkawan dan mudah di dampingi. Selain itu saya juga suka berkebun dan melancong.

‘Kalau saya mahu melancong ke mana-mana, saya lebih suka pergi seorang diri tanpa ditemani suami mahupun anak-anak. Alhamdulillah tiada sebarang masalah dan dari situ saya menambah kenalan baru. Walaupun terpaksa berkongsi bilik dengan orang yang tidak dikenali, itu bukan satu masalah buat saya. Mungkin kerana saya sudah biasa hidup di kalangan adik-beradik yang ramai. Tetapi, untuk aktiviti kekeluargaan, kami biasanya akan melancong bersama, cuma harus merancang lebih awal. Saya dan suami biasanya lebih suka mengembara dengan membawa beg dan juga peta. Biasanya kalau begini, anak-anak jarang mahu ikut kerana mereka cepat bosan. 

“Selain dapat melihat cara hidup dan benda baru, kami juga berpeluang untuk merasai pengalaman mengembara tanpa mengikut trip yang dianjurkan mana-mana agensi pelancongan. Kalau diikutkan saya lebih banyak berjalan berbanding suami, kerana dia sentiasa sibuk dan tiada masa. Tetapi sesekali bercuti, kami akan habiskan masa sekeluarga bersama untuk keluar makan sambil disertai oleh saudara mara terdekat,” ulas Datin Imran yang mengakui tidak terbabit dalam banyak persatuan kerana bimbang tidak mampu memberi komitmen yang baik selain mahu memberi tumpuan dalam menguruskan anak-anak dan suami.

Suami Tegas Tapi Penyayang

Biarpun sentiasa sibuk dengan kerja, namun dia dan Datuk Khalid akan mencuri masa untuk pulang berehat di rumah mereka yang terletak di Mantin, Negeri Sembilan. Seboleh mungkin, dia akan pulang ke sana sama ada bersama anak atau berdua sahaja. Tambah Datin Imran lagi, setiap kali pulang ke Mantin, dia tidak akan duduk diam, sebaliknya ada sahaja kerja yang bakal dibereskan.

“Suami saya gemar pulang ke Mantin kerana mahu berehat dan menenangkan fi kiran, tetapi saya bukan jenis yang suka duduk diam. Walaupun suami tidak meminta saya membuat kerja, tetapi saya sudah terbiasa. Mungkin ajaran ibu sejak kecil untuk menguruskan rumah tangga terbawa-bawa hingga berkahwin dan mendapat anak. Selain itu, saya sendiri minat bercucuk tanam dan suami pula hanya pandai beri arahan itu ini,” seloroh Datin Imran mengenai sikap suami yang penyayang, namun amat tegas dan jarang berkompromi dalam mendidik anak-anak.

“Kalau waktu anak-anak kecil dahulu, suami saya yang suka melayan. Tetapi apabila mereka besar, cara mendidik suami sudah berbeza kerana lebih tegas. Jadi, anak-anak akan menjadikan saya sebagai tempat untuk mereka meminta sesuatu dari ayah mereka. Mungkin sikap sebagai pegawai polis terbawa-bawa sehingga ke rumah. Mungkin kerana suami tidak mahu memanjakan anak-anak dan apa jua yang mereka mahu harus dilakukan dengan titik peluh sendiri. Barulah mereka belajar menghargai sesuatu benda itu. 

Berbeza dengan saya yang lebih bersikap terbuka, namun agak teliti dan cerewet terutama bab-bab kebersihan rumah. Apabila pulang dan melihat rumah kemas dan bersih, terasa lapang dada. Sebab itu, suami dan anak-anak sudah faham perangai saya yang tidak gemar rumah bersepah. Saya juga gemar menghias rumah termasuklah menukar atur letak perabot. Sehinggakan pernah di tegur suami kerana gagal mencari barangannya yang sudah berubah dari kedudukan asal,” ulas Datin Imran sambil tertawa kecil.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

20 January 2011

9 Situasi Isteri Menyerah Penuh Rela

Sebenarnya, mengajak isteri untuk melakukan hubungan seks perlu kena dengan masanya dan masa tersebut bukanlah hanya pada malam jumaat saja. Ada banyak waktu atau suasana yang mendorong isteri mahukan seks tanpa dipinta.

Suasana inilah yang perlu diketahui oleh suami dan kalau sudah diketahui tak perlu berlama-lamaan mengusap atau membelai isteri. Sebaliknya isteri akan terus menyerah jiwa raganya untuk suami dengan penuh rela. Pasti ramai suami mahu mengetahui suasana tersebut bukan? Ini dia situasi yang boleh anda pergunakan.

1. Selepas bertengkar
Setelah berselisih faham berhari-hari ataupun berdebat sengit hingga menarik muka maka apa lagi yang paling diinginkan oleh selain dirangkul, dicium dan dibelai oleh pasangannya.

Semua perkara ini akan meredakan terus saki baki amarah yang tertinggal dalam hatinya. Lagipun setelah lama tidak bertegur sapa atau mengasingkan diri sudah pasti isteri akan merindui susuk tubuh suaminya. Jadi pergunakanlah waktu ini sepenuhnya. 

2. Bahagia dan gembira
Seperti halnya kemarahan dan kesedihan, kebahagiaan yang berlebihan juga membuat wanita merasa ingin bercinta ataupun timbul ghairah untuk bersama suaminya. Kebahagiaan itu mungkin dirasakan ketika suami mendapat pekerjaan baru, kenaikan pangkat, bakal menimang cahaya mata dan sebagainya. Apa pun bentuk kebahagiaan tersebut, wanita memiliki ghairah dan semangat positif yang berlebihan. Terasa bahagia di samping suami dan sanggup melakukan apa saja untuk membahagiakan suami pula.

3. Tertekan
Dalam satu keadaan ada wanita yang menolak hubungan intim bersama suami bila tertekan tapi ada juga wanita yang bersikap sebaliknya. Pada sesetengah wanita stres atau tekanan akan meningkatkan nafsu seksnya.

Seks bersama suami dilihat sebagai cara untuk mereda atau melupakan seketika tekanan yang dihadapi. Jadi bila si isteri sedang stres cubalah mengurutnya dengan minyak aromaterapi. Dari situ juga kadang-kadang akan terbangkit nafsunya, kalau itu terjadi anggap saja ia rezeki anda!

4. Berasa cemburu
Wanita selalu merasa terbakar jika mendengar pasangannya bermain kayu tiga dengan wanita lain. Jadi, tak usah hairan jika nafsu untuk bersama dengan pasangan di tempat tidur makin memuncak saat anda cemburu padanya. Mungkin untuk membuktikan bahawa dirinya lebih hebat di tempat tidur berbanding wanita lain. Tapi janganlah pula suami sengaja berbuat demikian hanya kerana faktor seks ini.

5. Waktu subur
Wanita akan mudah berahi ketika waktu ovulasi (pelepasan telur) tiba. Ia selalunya berlaku dua minggu dari haid terakhir. Inilah waktu paling sesuai untuk suami mengajak isteri berhubungan intim. Tapi waktu ini agak sukar ditentukan jika kedatangan haid isteri tidak teratur. Anda perlu mengenali tanda-tanda. Jika si dia tampak lebih menawan dan seperti ada sensasi atau tarikan waktu bersentuhan dengannya maka ini mungkin saatnya. 

6. Usai lihat filem romantis
Kalau ramai lelaki lebih tertarik dengan filem porno, wanita pula sebenarnya lebih terangsang bila menonton filem romantis.

Adegan-adegan romantik dalam filem tersebut membuatkan wanita terasa seperti mahu mengulangi di dalam kehidupan realitinya. Jadi para suami, apa salahnya bersusah sedikit mencari filem romantis untuk ditonton bersama isteri. Manfaatnya pasti akan diterima selepas selesai menontonnya.

7. Lama berjauhan
Cinta jarak jauh memang akan meningkatkan ghairah untuk bersama pasangan. Berpisah dengan pasangan beberapa hari atau beberapa minggu membuat anda dan pasangan saling merindui antara satu sama lain.

Jarak yang jauh menyebabkan anda dan pasangan hanya dapat dihubungi melalui telefon, SMS ataupun e-mel. Jadi ketika anda dan pasangan bertemu luapan dan ghairah cinta yang selama ini terpendam akan meledak. Waktu itu anda mungkin akan mengalami nikmat hubungan intim yang luar biasa. 

8. Lama menyendiri
Semakin lama wanita tak melakukan seks, semakin tinggi ghairah seksualnya. Jadi tak hairan selesai ''puasa seks jangka panjang'' sebagai contoh selepas berpantang melahirkan bayi, wanita akan terasa tidak sabar untuk menikmati seks kembali.

9. Suami kreatif 
Jika suami seorang yang kreatif dan pandai mempraktikkan posisi baru yang memberi kenikmatan pada isteri tak mustahil isteri akan sentiasa mengidam untuk bersama dengan anda. Jadi selepas ini cubalah teknik atau gaya baru dalam seks ataupun belajar menjadi pasangan yang kreatif.

Dipetik dari : www.mingguanwanita.com.my

18 January 2011

Bas Rapid Wanita Dapat Pujian

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) yang menyediakan perkhidmatan bas khusus untuk wanita supaya meneruskan serta memperluaskan jaringan laluan bas dan memanjangkan waktu perkhidmatannya.


“Walaupun perkhidmatan Bas Rapid Wanita hanya dalam tempoh percubaan, wanita harus mengambil peluang ini untuk menggunakan sepenuhnya kemudahan disediakan.

“KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) berharap perkhidmatan ini dapat diteruskan, diperluaskan jaringan laluan bas dan dipanjangkan waktu perkhidmatannya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, KPWKM menyambut baik usaha RapidKL memperkenalkan bas khusus untuk wanita yang membuktikan usaha murni pihak swasta melindungi dan memelihara kepentingan wanita dengan mewujudkan persekitaran selamat.


“Usaha murni RapidKL ini harus dicontohi semua pihak dalam memberi keselesaan dan menjamin keselamatan wanita sepanjang perjalanan mereka,” katanya.

Katanya, perkhidmatan itu mampu mengurangkan kes gangguan seksual dan menjamin keselamatan penumpang wanita seperti dibuktikan perkhidmatan Koc Wanita KTM Bhd.
Dipetik dari : www.hmetro.com.my

16 January 2011

35 Wanita Dapat Geran Bernilai RM175,000

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperuntukkan geran berjumlah RM175,000 di bawah Projek Teman 1Azam bagi membantu 35 wanita di negeri ini meningkatkan sosioekonomi mereka.
 
Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita negeri, Asiah Puteh berkata, di bawah geran tersebut, setiap penerima akan mendapat RM5,000 bagi membolehkan mereka terlibat dalam sektor perniagaan atau perusahaan.

Beliau berkata, bantuan geran itu juga membolehkan penerima mengembangkan lagi bidang perniagaan yang mereka ceburinya.

"Ada di kalangan penerima geran yang mengusahakan taman didikan dan asuhan kanak-kanak, perusahaan jahitan dan membuat kuih-muih. Bantuan geran itu akan membolehkan mereka memperluaskan lagi perniagaan yang diceburi.

"Ini kerana, matlamat bantuan geran tersebut adakan untuk membolehkan wanita terlibat memperoleh mendapatkan lumayan sekali gus menjadi usahawanita berjaya pada masa hadapan," katanya pada majlis menandatangani dokumen penerimaan geran tersebut di pejabatnya di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya, bagaimanapun akan memantau penglibatan wanita terlibat dalam aktiviti yang dijalankan dalam tempoh tiga bulan.

"Pemantauan tersebut bertujuan memastikan penerima geran tidak menyalahgunakan wang bantuan untuk tujuan lain," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua penerima menyimpan resit pembelian barang sebagai bukti.

Sementara itu, seorang siswazah menganggur, Nurul Effadah Shamsudin, 25, berkata, pemberian geran itu membolehkannya mengusaha dan mengembangkan sekolah jahitan yang diuruskan oleh ibunya, Niahani Mohamad.

"Dengan bantuan geran ini, dapatlah kami membeli mesih jahit dan menambah bilangan pekerja bagi membesarkan sekolah jahitan ini, " katanya.

Nurul Effadah yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Pengurusan Zon Pantai Bersepadu katanya, dia mahu menggunakan geran tersebut sebaik mungkin untuk memperluaskan perniagaan ibunya.

Ibunya, Niahani Mohamad, 46, berkata, dia memulakan perniagaan hampir 20 tahun lalu dengan menggunakan modal sendiri.

"Bantuan geran ini membolehkan saya besarkan perniagaan dengan bantuan anak saya untuk menambah pendapatan keluarga," katanya.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

14 January 2011

Dato’ Maznah Ketepikan Kepentingan Diri Untuk Tabur Bakti

Suatu masa dahulu, wajah manis ini sering muncul di media elektronik sebagai pengacara rancangan. Bait-bait perkataan yang dituturkan penuh gaya menambat hati penonton untuk melekat di hadapan kaca televisyen.

Kini, senarionya jauh berbeza. Dia tidak lagi aktif mengacara sebaliknya sibuk melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan serta tanggungjawab yang diamanahkan sebagai jurucakap beberapa buah syarikat, pertubuhan serta pihak kerajaan yang sememangnya percaya pada kredibiliti yang dimiliki oleh Dato’ Maznah Zolkifli.

Pertama kali berbicara dengan wanita berjiwa kental ini nyata, menunjukkan dirinya penuh dengan motivasi serta sentiasa berfikiran positif. Hasrat untuk mengangkat martabat wanita sekali gus membantu belia-belia negara agar lebih berjaya seiring dengan kemajuan negara membuatkan dirinya sanggup mengetepikan kepentingan sendiri.

“Sebenarnya, sikap menyumbang ini bermula sejak dari kecil lagi berkat didikan ibu dan ayah. Dahulu, bila pulang sahaja ke kampung di Johor, arwah ayah tak pernah lupa untuk singgah ke rumah anak yatim berhampiran bagi menghulur sedikit bantuan.

“Menyaksikan apa yang dilakukan oleh arwah membuatkan kami adik-beradik terikut-ikut untuk membantu kepada individu yang lebih memerlukan. Saya ingat lagi masa kami bercuti di sebuah pulau, ayah dan ibu ternampak sebuah keluarga yang hidupnya melarat. Dikurniakan anak yang ramai serta pendapatan yang tidak seberapa memang menyukarkan.

“Dengan spontan ayah memberitahu begitulah yang dilalui olehnya dan ibu sewaktu zaman pendudukan Jepun suatu masa dahulu. Kehidupan memang susah terutamanya untuk dapatkan makanan hingga terpaksa menadah beras yang ditabur dari atas lori.

“Menitik air mata mendengarnya dan dek kerana itulah kami menjadi lebih bersyukur dengan apa yang ada selain berusaha untuk membantu selagi daya kepada mereka yang kurang berkemampuan,” ujarnya di awal bicara.

Bukan Kejar Glamor

Dilantik sebagai Duta Belia Negara sejak tahun 2003 secara tidak langsung membuka peluang kepadanya untuk lebih dekat dengan mereka. Selain mengajak melakukan aktiviti-aktiviti yang lebih berfaedah, dia secara tidak langsung menerapkan semangat rajin berusaha dan sentiasa berfikiran positif dalam apa jua kerja yang dilakukan bagi mewujudkan lebih ramai insan berkredibiliti tinggi dan berdaya saing sekali gus mencapai aspirasi yang telah ditetapkan negara.

“Seperti yang kita sedia maklum, belia adalah pelapis kepada pemimpin-pemimpin yang ada sekarang. Sekiranya rosak belia maka pincanglah cita-cita negara. Lantaran itulah mereka perlu diberi lebih perhatian agar mampu memikul tanggungjawab yang bakal diamanahkan kelak. “Biarpun terpaksa mengetepikan kepentingan sendiri, saya rasa amat gembira kerana berpeluang menabur bakti kepada negara. Apa yang nyata, usaha yang saya lakukan bukanlah mengejar glamor atau nama semata-mata,” kata Dato’ Maznah serius.

Sambungnya semuanya berpunca dari niat, keyakinan dan keikhlasan yang terbit dari hati. “Allah suka menguji hamba-Nya tetapi bila kita ikhlas, Allah akan beri pulangan yang lebih baik dari apa yang kita pernah dapat. Lagipun bila lihat anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal serta keluarga yang hidupnya melarat secara tidak langsung menerbitkan perasaan insaf dalam diri. Rasa senang bila dapat buat kebajikan, mungkin hari ini hari mereka, esok lusa masih belum ada jawapannya,” balasnya yang pernah menerima anugerah Tokoh Wanita Cemerlang UKM, Ahli Mahkota Pahang. Expert Sport Personality, Melaka 1st International Bike Fest Ambassador, Anugerah Wanita Ikon dan banyak lagi.

Gemar Menjahit Dan Bergaya

Ditanya tentang pasangan hidup, Dato’ Maznah segera menjawab belum masanya lagi. Ulasnya, buat masa sekarang dia lebih selesa hidup sendiri kerana sibuk dengan kerja-kerja amal. Lagipun bukan mudah untuk mencari teman hidup yang benar-benar memahami minat serta kerja yang dilakukan.

“Mana ada wanita yang mengelak untuk berkeluarga. Mempunyai zuriat sendiri dan hidup bahagia namun disebabkan kekangan masa dan tugas yang diamanahkan maka impian-impian itu terpaksa dibiarkan seketika. InsyaAllah, mungkin suatu hari nanti.

“Lagipun cita-cita saya untuk menempatkan anakanak yatim dan ibu-ibu tunggal di bawah satu bumbung masih belum tercapai. Kalau boleh saya nak selesaikan kerja-kerja

yang masih tertunggak sebelum mempunyai keluarga sendiri kerana sebolehnya biarlah anak-anak saya nanti menyambung usaha yang saya lakukan ini,” ujarnya yang gemarkan aktiviti lasak terutamanya menunggang motosikal berkuasa tinggi, menembak serta macam-macam lagi.

Siapa sangka, dia yang kelihatan lasak dan bersikap kasar rupa-rupanya gemar menjahit dan bergaya. Ceritanya, ketika usia mencecah lapan tahun dia menyuarakan hasrat untuk memiliki baju kurung yang dijahit sendiri. Tanpa memasuki mana-mana kelas, dia akhirnya berjaya menyiapkan dua pasang baju kurung Johor hanya dengan melihat cara ibunya menjahit.

“Saya memang suka beri kejutan. Bila ibu tahu minat saya lebih kepada motosikal berkuasa tinggi dia jadi kurang selesa. Sebenarnya dia bimbang saya akan terbawa-bawa sikap lelaki tetapi sebaliknya yang berlaku.

“Saya masih wanita sejati. Masih gemar memasak, menjahit dan berpenampilan cantik. Suatu hari saya jahitkan ibu satu set sarung bantal dan alas cadar. Kemudian dihadiahkan kepadanya dan seperti yang diduga, ibu sangat terkejut lalu merangkul erat tubuh saya. Sejak itu dia mula berfikiran terbuka dan tidak menghalang minat saya untuk melakukan aktiviti-aktiviti lasak,” terangnya yang memiliki motosikal pertama jenis Kawasaki ZXR 750 yang dibeli dengan harga RM20,000. Oleh kerana takut diketahui keluarga maka dia rela menyimpan motosikal berkenaan di rumah jiran.

Kenangan di Rumah Anak Yatim

Menceritakan pengalaman ketika melakukan kerja-kerja amal membuka kenangan tatkala berkunjung ke sebuah rumah anak yatim di Melaka suatu masa dahulu. Pertama kali menjejakkan kaki ke sana keadaan persekitaran nyata kurang selesa.

Binaan rumah yang senget serta pakaian penghuninya yang sedikit comot membuatkan hatinya cukup tersentuh. Rakan-rakan konvoi yang mengikut aktiviti amal itu juga berperasaan sama lantas bantuan dihulur selagi daya.

Selain kewangan, motivasi turut diberikan kepada lebih 50 anak-anak yatim yang menetap di rumah berkenaan. Selang tiga ke empat tahun kemudian, Maznah dan rakan konvoi motosikal berkuasa tinggi berkunjung sekali lagi ke lokasi yang sama tetapi kali ini apa yang dilihat nyata berbeza.

Tiada lagi rumah yang senget serta pakaian yang comot. Mereka sudah berubah kesan dari kunjungan serta motivasi yang telah diberikan ketika pertama kali kunjungan.

“Mengharukan kerana mereka sendiri yang membaik pulih tangga serta persekitaran rumah berkenaan. Tak sangka, bantuan tak seberapa yang kami berikan benarbenar meninggalkan kesan. Terasa puas kerana dapat menabur jasa sekali gus mengubah kehidupan mereka yang dahulunya serba kekurangan.”

Dipetik dari : www.utusan.com.my

12 January 2011

Pink Angel Bantu Pesakit Payudara

Saya mahu membantu dengan berkongsi pengalaman saya dengan yang lain. Ketika pertama kali saya menyedari ada ketumbuhan pada saya, saya jahil atau mungkin tidak mahu menerima hakikat itu.

“Saya ke klinik untuk berjumpa doktor dan dirujuk ke hospital untuk menjalani mamogram. Saya dimaklumkan bahawa ketumbuhan itu tidak berbahaya,” jelas Sarah Chee di khalayak ramai, baru-baru ini di Sunway, Selangor.

Beliau berkata demikian pada pelancaran kempen dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA) dan GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) untuk meningkatkan kesedaran terhadap kanser payudara dalam kalangan rakyat Malaysia selain mengumpul dana menerusi kempen Pink Purse.

Sehingga 33 peratus daripada jumlah populasi wanita di Malaysia menjadi mangsa kanser payudara; iaitu 1 daripada 20 wanita Malaysia menghadapi kebarangkalian tinggi mengalami kanser payudara. Risiko ini adalah tinggi.

Sarah meneruskan cerita dengan berkata ketumbuhan itu buat pertama kali dikesannya pada 1997 dan beliau tidak ambil kisah sangat kerana keputusan mamogram adalah negatif.

Sarah dengan gembira meneruskan gaya hidup sihatnya.

“Saya berlari tiga kilometer sehari. Saya makan dan minum secara sihat. Saya tidak terfikir untuk bertemu doktor pakar untuk mendapatkan pendapat kedua.

“Kemudian saya mula sedar yang ketumbuhan itu semakin besar,” kata Sarah.

Beliau mengakui bahawa menghadiri kempen kesedaran kanser payudara bukan rutin beliau sehinggalah beliau memutuskan untuk memeriksa semula ketumbuhan yang terus membesar itu, 10 bulan kemudian.

“Saya bertemu dengan doktor pakar selepas menyedari ketumbuhan itu membesar.

“Daripada raut wajahnya, saya sudah tahu berita yang akan disampaikan tidak baik,” Sarah meneruskan kisahnya.

Akhirnya biopsi dilakukan, dan keseluruhan payu daranya dibuang segera.

“Kesemua ketumbuhan mesti diperiksa dengan serius dan dirawat dengan segera.

“Kanser payudara bukanlah bermakna hukuman mati,” kata Sarah kepada para hadirin.
Beliau menangis tiga hari tiga malam selepas disahkan menghidap kanser dan memberitahu audien, “Itu perkara biasa.”

Sarah kini merupakan seorang anggota Pink Angel yang sedia menemanimereka yang mengalami kanser payudara dan memerlukan bantuan.

“Adalah penting bagi mereka yang menghidap kanser payudara untuk menguruskan dengan lebih baik kehidupan dan penderitaan mereka dengan sokongan keluarga.

“Saya menghabiskan masa melayari Internet untuk mendapatkan maklumat bagi keluarga saya; pendedahan yang wajar terhadap penyakit yang saya alami ini.

“Mereka dalam keluarga juga harus bersedia hidup dengan penyakit ini kerana ia akan memberi kesan kepada kehidupan harian dan interaksi kita,” kata Sarah, yang terselamat daripada ancaman kanser payudara, apabila ditanya bagaimana keluarga menanganinya selepas beliau disahkan menghidap kanser payudara.

Oleh itu keperluan untuk mendidik setiap warga Malaysia, dari semua kumpulan umur pastinya sangat perlu. Dan kempen-kempen seperti The Pink Purse dan Be a Pink Angel pasti akan memudahkan wanita serta keluarga untuk mendapatkan maklumat yang perlu bagi membantu anggota keluarga, rakan ataupun jiran.

Presiden BCWA, Ranjit Kaur,kempen Pink Purse dan Be A Pink Angelmemberitahu bahawa, “kami di BCWA percaya sudah tiba masa untuk mendekati masyarakat luar bandar dan menggalakkan wanita di situ mendapatkan bantuan perubatan bagi apa-apa perubahan luar biasa pada payu dara dan mendapatkan rawatan tepat pada masa apabila didiagnosis dengan kanser payudara.”

Selain daripada pelbagai usaha yang diambil untuk menjayakan kempen, 10,000 layang-layang berwarna merah jambu dalam bentuk bidadari akan dijual pada hargaRM10 setiap satu sehingga Januari 2011, di kawasan orang ramai berkunjung.

“Pada 15 Januari 2011, kami akan melepaskan layang-layang bidadaridalam satu acara besar di Kuala Lumpur. Langit akan dipenuhi bidadari merah jambu yang melambangkan harapan serta sokongan bagi penghidap kanser payu dara dalam memerangi penyakit itu.

“Jadi dapatkanlah layang-layang bidadari merah jambu ini untuk menunjukkan sokongan anda terhadap kempen ini,” demikian diumumkan oleh Presiden BCWA ini. Buat masa ini lebih 7,500 layang-layang disediakan untuk umum, yang menunggu sokongan mereka untuk kempen Pink Purse yang dilancarkan sebelum ini.

Beliau menambah, bahawa merah jambu merupakan lambang universal menandakan sokongan serta pendirian bersama untuk kanser payudara, kasih sayang dan ia dipilih untuk kempen ini kerana ia juga melambangkan simbol fesyen kaum Hawa.

“Ia diwujudkan selari dengan langkah Be A Pink Angel (jadilah Pink Angel) dengan harapan masyarakat tidak akan teragak-agak untuk menderma dengan murah hati, membantu mereka yang menghidap kanser payudara,” jelasnya.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

10 January 2011

Koc Merah Jambu Untuk Wanita Sukses

Blog ini diwujudkan untuk berkongsi informasi di kalangan wanita untuk menjana minda ke arah kejayaan ataupun kesuksesan yang maksima.

Jika anda ingin berkongsi informasi tentang kejayaan anda boleh emelkan kepada kami untuk dimasukkan ke dalam Blog Koc Merah Jambu - Untuk Wanita Sukses.