Jom Jadi Geng

30 June 2012

Bukan Sekadar Cantik dan Seksi

Menyandang gelaran Ratu Super GT tidak mudah. Sebelum pemilihan dibuat, puluhan para peserta yang merebut gelaran perlu melalui saingan yang mencabar minda. Kecantikan paras rupa bukanlah ukuran asas, namun keseimbangan personaliti dan kecerdikan lebih diutamakan.

Sewatu kali pertama ia dianjurkan di Malaysia pada tahun lalu, Lushan Ng, 22, telah melenyapkan impian puluhan peserta lain yang mendambakan gelaran tersebut. Semenjak detik kemenangan itu, Lushan telah mempelajari 1,001 pengalaman yang sukar diungkap menerusi lisan.

“Saya dilatih berkomunikasi dengan orang awam, menghapuskan rasa malu dan membina keyakinan diri. Tugas saya banyak merangkumi hal membabitkan perlumbaan Super GT yang akan diadakan di negara ini.

“Segala maklumat berkaitan tiket, aktiviti dan pasukan yang menyertai perlumbaan perlu saya kuasai. Dalam erti kata lain, Ratu GT ini juga berfungsi sebagai jurucakap acara,” tutur Lushan memulakan bicara.

Ke mana sahaja pihak pengurusan membawa Lushan, beliau perlu bersedia menyampaikan informasi perlumbaan. Semua maklumat perlu berada dalam fikirannya dan sedia diungkapkan kepada mereka yang bertanya. Kesilapan kecil mampu mencacatkan keseluruhan imejnya selaku ‘orang tengah’ yang menghubungkan penganjur dengan masyarakat.

Pada hari perlumbaan, kerja Lushan menjadi sangat berat. Mungkin pandangan yang dilontarkan orang awam kepada mereka agak sinikal. Namun, ia tidak menghentikan senyuman wanita dari Terengganu itu untuk terus menjalankan tugas.

“Mengukir senyuman sepanjang masa merupakan salah satu skop kerja saya. Tidak dinafikan, ia meletihkan malah waktu awal dahulu ia menjadi perkara yang sukar untuk dikekalkan. Lama-kelamaan, saya dapat membiasakan diri.

“Pengunjung yang hadir pada acara dua hari itu juga berpeluang bergambar bersama Ratu GT dan kereta lumba. Percaya atau tidak, tugasan ini sedikit meresahkan.

“Mengekalkan rupa yang cantik dalam gambar amat penting. Jadi, saya perlu pastikan wajah dan tubuh badan berada pada posisi dan sudut yang betul ketika bergambar. Jika tidak, hasilnya mungkin mendukacitakan,” ucap Lushan yang amat mementingkan kesempurnaan dalam bekerja.

Kebanyakan acara perlumbaan kereta dan motosikal tidak sah tanpa kehadiran gadis litar. Sekumpulan perempuan berpakaian seksi yang memegang payung dan berjalan di kawasan litar menjadi pemandangan ‘mengasyikkan’ buat pengunjung.

Bukan gadis litar

Walau bagaimanapun, masyarakat perlu peka dalam membezakan antara gadis litar dengan Ratu GT kerana kedua-dua kelompok itu menggalas peranan yang berlainan.

Ratu GT Jepun, Toshimi Takahashi, 24, menjelaskan bahawa gadis litar perlu mengiringi pemandu sebelum dan sesudah perlumbaan. Ke mana sahaja kelibat mereka dilihat membawa payung atau botol air.

“Kalau di Jepun, Ratu GT dipanggil ratu lumba GT (race queen) dan tugas kami banyak dihabiskan di trek. Kami perlu bergaul dengan semua pihak termasuk penganjur, pelumba dan penonton.

“Paling penting bagi seorang Ratu GT ialah mempelajari fakta berkenaan kereta dan pasukan yang mereka wakili. Contohnya, tahun lalu saya menjadi jurucakap untuk pasukan GT JLOC Lamborghini, jadi segala perkara yang melibatkan mereka wajib saya pelajari.

“Bukan itu sahaja, informasi asas pasukan lain juga wajar diketahui. Bayangkan kalau ada orang bertanya dan saya tidak ada jawapannnya, sudah tentu ia mencalarkan kredibiliti saya sebagai jurucakap perlumbaan,” ujar Toshimi yang cukup terkenal dalam arena perlumbaan Super GT di Jepun.

Semenjak tiga tahun lalu, waktu Toshimi banyak dihabiskan di litar lumba Super GT. Kesemua tujuh pusingan di Jepun memerlukan beliau berinteraksi dengan semua pihak yang terlibat. Beliau perlu mengingati nama-nama penting dan mengenali hampir setiap pelumba pasukan.

“Melayan kerenah penonton memerlukan kesabaran yang tinggi. Jika tercetus suasana tegang atau kurang menyenangkan, saya perlu bijak menangani situasi tersebut.

“Ia juga melatih saya merendah diri dan sentiasa menghormati individu sekeliling,” jelasnya yang berasal dari Tokyo.

Walaupun berada di Malaysia untuk pusingan perlumbaan yang seterusnya di Litar Sepang, Toshimi tidak berdepan kesukaran berkomunikasi. Biarpun tidak fasih berbahasa Inggeris, penguasaan bahasa Mandarin yang dimiliki beliau memudahkan urusan kerjanya.

Selama setahun, Toshimi mempelajari bahasa Mandarin di China. Selepas mengetahui terpilih mewakili Jepun sebagai Ratu GT ke Malaysia, beliau meningkatkan lagi kemahirannya.

Aksi pentas

Pada hari perlumbaan juga, Ratu GT perlu membuat persembahan di atas pentas. Menariknya, tahun ini bakal menyaksikan kombinasi ratu GT Jepun dan Malaysia berkongsi pentas bagi mempersembahkan nyanyian dan tarian mereka.

Lagu berbahasa Jepun menjadi pilihan Lushan dan Toshimi dengan diiringi gerak tari yang menarik. Beraksi di pentas mungkin dianggap biasa bagi sesetengah orang namun bagi mereka, ia satu tugasan yang menguji fizikal dan mental.

“Mempelajari langkah tarian tidak senang memandangkan saya bukanlah seorang penari. Tambahan pula lagu yang dinyayikan dalam bahasa Jepun sekali gus menambahkan gugup saya. Namun, saya sentiasa berharap agar setiap tugasan yang perlu dibuat berjalan lancar,” kata Lushan jujur.


Dipetik dari : www.kosmo.com.my

20 June 2012

Zulaikha Intai Peluang Berniaga

Temujanji bersama personaliti Citra Wanita kali ini sebenarnya sudah lama diaturkan. Wanita ini sanggup hadir dari Johor Bahru semata-mata kerana minatnya pada ruangan ini. Mungkin latar ceritanya hanya biasa-biasa sahaja, tetapi kesungguhannya datang ke Kuala Lumpur membuatkan penulis tertarik untuk mendekatinya.

Empunya diri Zulaikha Ahmad, 33 pernah berkhidmat di awan biru sebagai seorang pramugari selama beberapa tahun.

"Kerjaya ini memerlukan kesabaran dan pengorbanan masa yang sangat besar. Saya wajib memastikan semua penumpang berada dalam keadaan selesa, keadaan kabin yang bersih serta peralatan keselamatan berada pada tempat yang betul pada satu masa.

"Saya banyak belajar tentang kepentingan dan menghargai masa. Kadangkala hadir perasaan rindu untuk terbang," ujar pemegang Diploma Hospitaliti dan Pelancongan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurutnya, dia baru melibatkan diri sebagai model separuh masa.

Bagaimanapun, Zulaikha kini sedang mengintai peluang dan masa yang sesuai untuk memulakan perniagaan sendiri.

"Setiap kali saya membaca ruangan ini, saya mendapat inspirasi bahawa wanita perlu ada cita-cita. Ramai personaliti Citra Wanita memasang impian untuk berjaya suatu hari nanti. Daripada situlah saya mendapat ilham untuk menjalankan perniagaan spa kecantikan dan kesihatan kelak," katanya yang meminati fesyen kasual dan sopan.

Bercerita tentang aktiviti pada masa lapang, Zulaikha gemarkan aktiviti luar seperti rock climbing, jungle tracking dan berbasikal.

"Saya juga aktiviti dalam sukan bola jaring dan baru berjinak-jinak dengan sukan golf. Aktiviti seperti ini baik untuk kesihatan tubuh badan," katanya.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

10 June 2012

Variasi Hijab Twist

Wanita hari ini terutamanya kelompok muda tidak lagi mahu menggayakan tudung tradisional. Peredaran zaman telah menukar konsep tudung asas kepada fesyen berhijab. Rata-rata perempuan tertarik dengan pelbagai ikatan tudung yang diperkenalkan dan mengikuti riak pembaharuan itu agar tidak ketinggalan.

Twist di bawah jenama Wendy-Joyce merupakan ilham dua wanita yang cukup mencintai dunia fesyen. Dengan bantuan Feexa Nicoll selaku pereka stail hijab Twist, produk ciptaan Joyce Chua dan Wendy Liew itu mudah menangkap minat wanita Muslimah.

Antara gaya hijab yang boleh dibentuk ialah rock chic. Ia sesuai untuk acara kasual dan ikatannya juga kemas, tidak berserabut. Bagi yang inginkan gaya ibarat puteri kisah dongeng, Rapunzel twist dengan rantai melilit hijab menjadi pilihan sempurna.

Untuk ke acara formal seperti makan malam, JLO twist yang diperkemaskan seakan-akan rambut diikat sanggul merupakan gaya yang mampu mencuri tumpuan. Goldilock twist juga tidak kurang hebatnya dalam membentuk penampilan santai.

Terdapat banyak lagi gaya yang boleh dibentuk dengan hijab Twist. Merah, ungu, biru dan jingga merupakan pilihan warna yang ada untuk disuai padan bersama aksesori tambahan. Tampil tanpa sebarang motif dan corak, hijab Twist sememangnya bebas dipadankan dengan pilihan pemakainya.

Fabrik berkait yang digunakan juga mudah diregang membuatkan ia senang dibentuk dan tidak berkedut. Menariknya, hijab twist itu juga boleh dijadikan top twist bagi membentuk kardigan atau blaus singkat. Ia juga sesuai untuk semua bentuk badan walaupun disediakan dalam satu saiz sahaja.

Memandangkan ia masih baharu di pasaran, harga pengenalan yang diletakkan ialah RM99.90 dan tidak lama lagi ia bakal dijual pada harga pasaran iaitu RM129.90. Buat masa ini, hijab dan top twist dijual secara dalam talian menerusi laman web www.wendy-joyce.com.

Untuk tutorial dan pelbagai rekaan tudung pula, kunjungi laman sosial Facebook Feexa, Hijab ‘n’ the City.

Dipetik dari : www.kosmo.com.my