Jom Jadi Geng

14 January 2011

Dato’ Maznah Ketepikan Kepentingan Diri Untuk Tabur Bakti

Suatu masa dahulu, wajah manis ini sering muncul di media elektronik sebagai pengacara rancangan. Bait-bait perkataan yang dituturkan penuh gaya menambat hati penonton untuk melekat di hadapan kaca televisyen.

Kini, senarionya jauh berbeza. Dia tidak lagi aktif mengacara sebaliknya sibuk melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan serta tanggungjawab yang diamanahkan sebagai jurucakap beberapa buah syarikat, pertubuhan serta pihak kerajaan yang sememangnya percaya pada kredibiliti yang dimiliki oleh Dato’ Maznah Zolkifli.

Pertama kali berbicara dengan wanita berjiwa kental ini nyata, menunjukkan dirinya penuh dengan motivasi serta sentiasa berfikiran positif. Hasrat untuk mengangkat martabat wanita sekali gus membantu belia-belia negara agar lebih berjaya seiring dengan kemajuan negara membuatkan dirinya sanggup mengetepikan kepentingan sendiri.

“Sebenarnya, sikap menyumbang ini bermula sejak dari kecil lagi berkat didikan ibu dan ayah. Dahulu, bila pulang sahaja ke kampung di Johor, arwah ayah tak pernah lupa untuk singgah ke rumah anak yatim berhampiran bagi menghulur sedikit bantuan.

“Menyaksikan apa yang dilakukan oleh arwah membuatkan kami adik-beradik terikut-ikut untuk membantu kepada individu yang lebih memerlukan. Saya ingat lagi masa kami bercuti di sebuah pulau, ayah dan ibu ternampak sebuah keluarga yang hidupnya melarat. Dikurniakan anak yang ramai serta pendapatan yang tidak seberapa memang menyukarkan.

“Dengan spontan ayah memberitahu begitulah yang dilalui olehnya dan ibu sewaktu zaman pendudukan Jepun suatu masa dahulu. Kehidupan memang susah terutamanya untuk dapatkan makanan hingga terpaksa menadah beras yang ditabur dari atas lori.

“Menitik air mata mendengarnya dan dek kerana itulah kami menjadi lebih bersyukur dengan apa yang ada selain berusaha untuk membantu selagi daya kepada mereka yang kurang berkemampuan,” ujarnya di awal bicara.

Bukan Kejar Glamor

Dilantik sebagai Duta Belia Negara sejak tahun 2003 secara tidak langsung membuka peluang kepadanya untuk lebih dekat dengan mereka. Selain mengajak melakukan aktiviti-aktiviti yang lebih berfaedah, dia secara tidak langsung menerapkan semangat rajin berusaha dan sentiasa berfikiran positif dalam apa jua kerja yang dilakukan bagi mewujudkan lebih ramai insan berkredibiliti tinggi dan berdaya saing sekali gus mencapai aspirasi yang telah ditetapkan negara.

“Seperti yang kita sedia maklum, belia adalah pelapis kepada pemimpin-pemimpin yang ada sekarang. Sekiranya rosak belia maka pincanglah cita-cita negara. Lantaran itulah mereka perlu diberi lebih perhatian agar mampu memikul tanggungjawab yang bakal diamanahkan kelak. “Biarpun terpaksa mengetepikan kepentingan sendiri, saya rasa amat gembira kerana berpeluang menabur bakti kepada negara. Apa yang nyata, usaha yang saya lakukan bukanlah mengejar glamor atau nama semata-mata,” kata Dato’ Maznah serius.

Sambungnya semuanya berpunca dari niat, keyakinan dan keikhlasan yang terbit dari hati. “Allah suka menguji hamba-Nya tetapi bila kita ikhlas, Allah akan beri pulangan yang lebih baik dari apa yang kita pernah dapat. Lagipun bila lihat anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal serta keluarga yang hidupnya melarat secara tidak langsung menerbitkan perasaan insaf dalam diri. Rasa senang bila dapat buat kebajikan, mungkin hari ini hari mereka, esok lusa masih belum ada jawapannya,” balasnya yang pernah menerima anugerah Tokoh Wanita Cemerlang UKM, Ahli Mahkota Pahang. Expert Sport Personality, Melaka 1st International Bike Fest Ambassador, Anugerah Wanita Ikon dan banyak lagi.

Gemar Menjahit Dan Bergaya

Ditanya tentang pasangan hidup, Dato’ Maznah segera menjawab belum masanya lagi. Ulasnya, buat masa sekarang dia lebih selesa hidup sendiri kerana sibuk dengan kerja-kerja amal. Lagipun bukan mudah untuk mencari teman hidup yang benar-benar memahami minat serta kerja yang dilakukan.

“Mana ada wanita yang mengelak untuk berkeluarga. Mempunyai zuriat sendiri dan hidup bahagia namun disebabkan kekangan masa dan tugas yang diamanahkan maka impian-impian itu terpaksa dibiarkan seketika. InsyaAllah, mungkin suatu hari nanti.

“Lagipun cita-cita saya untuk menempatkan anakanak yatim dan ibu-ibu tunggal di bawah satu bumbung masih belum tercapai. Kalau boleh saya nak selesaikan kerja-kerja

yang masih tertunggak sebelum mempunyai keluarga sendiri kerana sebolehnya biarlah anak-anak saya nanti menyambung usaha yang saya lakukan ini,” ujarnya yang gemarkan aktiviti lasak terutamanya menunggang motosikal berkuasa tinggi, menembak serta macam-macam lagi.

Siapa sangka, dia yang kelihatan lasak dan bersikap kasar rupa-rupanya gemar menjahit dan bergaya. Ceritanya, ketika usia mencecah lapan tahun dia menyuarakan hasrat untuk memiliki baju kurung yang dijahit sendiri. Tanpa memasuki mana-mana kelas, dia akhirnya berjaya menyiapkan dua pasang baju kurung Johor hanya dengan melihat cara ibunya menjahit.

“Saya memang suka beri kejutan. Bila ibu tahu minat saya lebih kepada motosikal berkuasa tinggi dia jadi kurang selesa. Sebenarnya dia bimbang saya akan terbawa-bawa sikap lelaki tetapi sebaliknya yang berlaku.

“Saya masih wanita sejati. Masih gemar memasak, menjahit dan berpenampilan cantik. Suatu hari saya jahitkan ibu satu set sarung bantal dan alas cadar. Kemudian dihadiahkan kepadanya dan seperti yang diduga, ibu sangat terkejut lalu merangkul erat tubuh saya. Sejak itu dia mula berfikiran terbuka dan tidak menghalang minat saya untuk melakukan aktiviti-aktiviti lasak,” terangnya yang memiliki motosikal pertama jenis Kawasaki ZXR 750 yang dibeli dengan harga RM20,000. Oleh kerana takut diketahui keluarga maka dia rela menyimpan motosikal berkenaan di rumah jiran.

Kenangan di Rumah Anak Yatim

Menceritakan pengalaman ketika melakukan kerja-kerja amal membuka kenangan tatkala berkunjung ke sebuah rumah anak yatim di Melaka suatu masa dahulu. Pertama kali menjejakkan kaki ke sana keadaan persekitaran nyata kurang selesa.

Binaan rumah yang senget serta pakaian penghuninya yang sedikit comot membuatkan hatinya cukup tersentuh. Rakan-rakan konvoi yang mengikut aktiviti amal itu juga berperasaan sama lantas bantuan dihulur selagi daya.

Selain kewangan, motivasi turut diberikan kepada lebih 50 anak-anak yatim yang menetap di rumah berkenaan. Selang tiga ke empat tahun kemudian, Maznah dan rakan konvoi motosikal berkuasa tinggi berkunjung sekali lagi ke lokasi yang sama tetapi kali ini apa yang dilihat nyata berbeza.

Tiada lagi rumah yang senget serta pakaian yang comot. Mereka sudah berubah kesan dari kunjungan serta motivasi yang telah diberikan ketika pertama kali kunjungan.

“Mengharukan kerana mereka sendiri yang membaik pulih tangga serta persekitaran rumah berkenaan. Tak sangka, bantuan tak seberapa yang kami berikan benarbenar meninggalkan kesan. Terasa puas kerana dapat menabur jasa sekali gus mengubah kehidupan mereka yang dahulunya serba kekurangan.”

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment