Jom Jadi Geng

30 January 2014

Sunshine Promosi Kebaya

Baju  kebaya merupakan antara pakaian tradisi yang selalunya dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Realitinya, pakaian yang diiktiraf sebagai antara warisan sejarah, turut diminati oleh kaum lain kerana keunikannya.

Itu yang diakui Sunshine Aileen Devi Eric, 25, juara Ratu Kebaya Malaysia 2014 yang mahu mengangkat dan mempromosikan kebaya peringkat lebih tinggi.

Mahu dipanggil Sunshine, dia berkata, kebaya adalah berkenaan budaya tradisi rakyat negara ini yang telah wujud sejak sekian lama.

“Baju kebaya telah wujud sekian lama dan menjadi sebahagian daripada bahan sejarah di negara ini. Ia dipakai oleh wanita sejak dari zaman P. Ramlee dan Saloma di mana wanita dengan pelbagai saiz badan dan ketinggian memakainya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Malangnya kata gadis berambut lepas bahu ini, generasi sekarang sudah mula lupa akan pakaian tradisi tersebut.

“Jadi, sebagai Ratu Kebaya Malaysia, saya boleh mewakili generasi muda khusus wanita untuk memulihara dan mengelakkan budaya kebaya daripada dilupakan.

“Wanita yang memakai kebaya akan kelihatan lebih jelita, seksi dan elegan. Kebaya adalah fesyen yang sangat klasik dan moden,” jelas Sunshine.

Berketinggian 172 sentimeter, model dan pelakon komersial ini dinobatkan sebagai juara Ratu Kebaya 2014 setelah berjaya mengetepikan 18 peserta lain.

Dia yang berasal dari Ipoh, Perak, berdarah kacukan India dan Punjabi sebelah bapanya, manakala ibunya berketurunan British dan China-Mongolia.

Pemegang sijil Media Komunikasi dan Perhubungan Awam dari TARC, Wangsa Maju, Sunshine bukan sahaja seorang pelakon yang berbakat tetapi juga seorang penyanyi.

Dalam bidang lakonan dia pernah berlakon dalam beberapa drama dan telemovie antaranya Akademi Polis, Demi Tuhanku Izinkan, Muat Tak Muat, Ukiran Hati, dan Rania Tip Tip.

Dia turut berlakon dalam filem Tamil, The Secret of Thadavapuram arahan Prakash dan Sir Maraz Ravi, serta filem Kaatu Rani arahan Sugumaran.

Menyentuh nama Sunshine pula, Ratu Cantik Kebaya itu berkata: “Wajah ibu saya sering bercahaya dan suka tersenyum ketika mengandungkan saya, maka itu rakan-rakannya memanggil 'Sunshine' dan apabila melahirkan saya dia memberi saya nama itu.”

Mengenai penyertaan pada pertandingan Ratu Kebaya Malaysia, dia berkata, ia menjadi platform dan pengalaman untuk gadis-gadis yang ingin membina diri mereka supaya lebih yakin.

Sebagai Ratu Kebaya katanya, dia merancang untuk mempromosi pakaian kebaya sambil membantu industri pelancongan.

Sunshine memberitahu, memandangkan ia berkaitan dengan tradisi dan kebudayaan negara, ia mendapat sokongan daripada Tourisme Malaysia dan pertubuhan Ratu Kebaya dan setakat ini promosi telah dilakukan di Filipina.

“Adalah sesuatu yang baik sekiranya dapat diadakan lebih banyak pertunjukan fesyen dan acara-acara berkaitan pakaian di Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Dengan cara itu kita boleh mendedahkan identiti kita menerusi pemakaian seperti baju kebaya.

“Kita mempunyai banyak pereka fesyen daripada Persatuan Pereka Fesyen Bumiputera. Rekaan mereka adalah hebat dan mampu didedahkan ke peringkat dunia,” ujarnya.

“Daripada pertandingan Ratu Kebaya itu juga, dia mempelajari banyak perkara baharu seperti catwalk dan bagaimana memakai kebaya dengan cara betul.

“Kebaya direka sehingga membuat kita berjalan dan bergaya dengan cara yang sopan dan menarik. Bukan senang untuk berjalan dengan berpakaian kebaya. Jadi kena belajar dan saya gembira kerana berpeluang melakukannya.

“Kami juga mempelajari bahasa Inggeris daripada pensyarah dan mereka mengajar kami cara bercakap di hadapan khalayak dan ilmu itu adalah terbaik untuk kami,” katanya

Ratu Kebaya Malaysia adalah pertandingan yang diasaskan oleh Jason Hee Jee Pin sejak tahun 2011. Tujuan utama pertandingan itu adalah untuk mengekalkan warisan dan budaya Malaysia dan yang paling penting dari aspek pelancongan di samping menggalakkan perhubungan harmoni dan silaturahim, menyemarakkan rasa kecintaan dan kegembiraan melalui aktiviti mengutip derma di Malaysia.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

23 January 2014

Masalah Kulit Muka Yang Tiada Kesudahan

Perniagaan secara dalam talian semakin menjadi pilihan kepada mana-mana individu yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

Bukan sahaja mudah dikendalikan tetapi dengan cara tersebut ia juga dilihat mampu mengembangkan perniagaan yang diusahakan dengan cepat.

Juga dilihat mudah untuk dikendalikan, perniagaan secara dalam talian hari ini merupakan satu medium yang mampu mempengaruh khalayak untuk membelinya.

Tanpa perlu menempuh kesesakan lalu lintas, tidak perlu bersusah payah mencari tempat letak kereta, dan tidak perlu membuang masa hanya semata-mata untuk mendapatkan satu jenis barangan sahaja

Pengguna hari ini dilihat lebih selesa untuk membeli belah dengan hanya melayari pelbagai jenis perniagaan yang ditawarkan di alam maya.

Berbicara mengenainya, Ainan Mariana Mohamed Jais, 47, antara salah seorang peniaga yang mengusahakan perniagaan secara dalam talian.

Mempertaruhkan kosmetik hasil kajiannya sendiri, Ainan menyatakan, perniagaan yang baru berusia setahun itu kini sudah mempunyai pelanggan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta Brunei.

Apa yang membanggakan, Ainan yang meluaskan rangkaian perniagaannya melalui agen turut mempunyai wakil jualan di Qatar, Dubai, dan Doha.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam dunia perniagaan, Ainan menjelaskan, sebelum menjual produk kosmetik, dia terlebih dahulu menjual produk pakaian.

Akibat tidak terkejar dengan pelbagai fesyen terkini yang dikeluarkan setiap minggu, Ainan akhirnya mengalah.

Selepas itu, Ainan mula terfikir untuk menjual produk kosmetik selepas melihat ramai usahawan wanita berjaya dalam bidang tersebut.

Penglibatan dalam menghasilkan produk kosmetik sendiri juga didorong oleh masalah kulit muka yang dialaminya.

“Apa yang saya laku ini adalah bertitik tolak daripada masalah yang saya hadapi sendiri. Saya hampir putus asa apabila segala produk kecantikan yang berada di pasaran tidak mampu menyelesaikan masalah kulit muka saya.

“Daripada situ saya mula membuat kajian bagaimana untuk menghasilkan satu produk yang boleh menyembuhkan kulit muka yang bermasalah dan pada masa yang sama mengisi kekosongan masa setelah tidak lagi berniaga pakaian.

"Akhirnya, setelah melakukan kajian selama dua tahun, saya mengeluarkan produk kosmetik di bawah jenama Enna Cosmetic," katanya.

Enna Cosmetic yang boleh didapati dalam pelbagai rangkaian produk kecantikan, mampu membantu mereka yang mempunyai masalah seperti jerawat bernanah atau berpasir, jeragat, tompok hitam, tona kulit tidak sekata, parut, kulit kasar dan kering, serta kulit berminyak atau kusam.

Sememangnya dirumus khas daripada bahan-bahan alam semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan dan herba terpilih, rangkaian produk tersebut turut menggunakan bahan-bahan seperti madu, minyak kelapa dara, vitamin A, C dan E, minyak zaitun, kunyit, temulawak, limau nipis, dan walit.

Apa yang pasti, tiada penggunaan bahan-bahan kimia dalam usaha mengelak masalah yang bakal timbul di kemudian hari.

Untuk perancangan masa depan, Ainan memberitahu, pihaknya kini dalam proses menghasilkan pencuci muka berbentuk cecair kerana sebelum ini pencuci muka yang dihasilkan adalah berbentuk sabun.

“Alhamdulillah produk yang dihasilkan untuk semua peringkat umur ini juga boleh digunakan sama ada wanita mahupun lelaki.

“Memandangkan sambutan yang diterima amat menggalakkan, kini kami dalam usaha menghasilkan produk yang lebih baik daripada sebelumnya seperti pencuci muka dalam bentuk cecair yang bakal dipasarkan dalam tempoh sebulan lagi,” ujarnya.

Jadi kepada sesiapa yang ingin mencuba produk tempatan ini atau inginkan maklumat lanjut bolehlah layari laman sosial facebook enna cosmetic atau layari www.ennacosmetics.com.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

16 January 2014

Rekaan Untuk Ibu Muda

Tidak mahu tertumpu kepada satu golongan sahaja yang boleh memakai koleksi rekaan pakaiannya, Nur Salffa Diyana Jamaludin menerusi butik Heaxa Bell menghasilkan rekaan yang boleh dipakai, baik oleh golongan muda, pertengahan atau ibu muda yang masih menyusukan bayi.

Nur Salffa atau ringkas dengan panggilan Amoi yang berniaga dalam talian sejak tiga tahun lalu ini memilih rekaan seperti maksi atau jubah yang pada pendapatnya ramai menyukai rekaan sebegini.

Namun terdapat juga pilihan lain seperti palazzo, skirt labuh dan blaus yang boleh dipadankan antara satu sama lain. Rekaan sebegini merupakan rekaan yang dipakai sepanjang masa dan di mana sahaja.

Amoi juga peka dengan masalah ibu muda yang menyusukan bayi, yang juga mahu nampak bergaya dan dalam masa sama berkesempatan menyusukan bayi mereka.

Kata Amoi, beliau mendapat banyak permintaan bagi membuat baju menyusu kerana semakin ramai ibu muda kini mahu menyusukan sendiri bayi mereka.

Bagaimanapun terlalu kurang baju menyusu di pasaran yang cantik dan fashionable sehinggakan ibu muda tidak mempunyai pilihan dan terpaksa memakai baju yang dilihat tidak menarik.

Untuk itu, beliau menghasilkan maksi yang boleh dibuka pada bahagian depan bagi memudahkan proses penyusuan tanpa perlu mengangkat baju dari bawah.

Baju menyusu ini dibuat berzip dan si ibu hanya perlu membuka zip apabila menyusukan bayi dan apabila zip ditutup, baju ini nampak seperti baju biasa.

Menurut Amoi lagi, 90 peratus daripada koleksi yang terdapat di

butik beliau adalah rekaan sendiri dan 10 peratus lagi diimport dari China dan Vietnam.

Pelanggan juga boleh menempah baju menyusu bayi mengikut rekaan mereka atau baju yang lebih eksklusif untuk ke majlis malam. Namun skirt dan maksi merupakan pilihan ramai pelanggan dan sememangnya butik Heaxa Bell dikenali kerana koleksi demikian.

Memilih fabrik lycra, syifon dan denim bagi koleksi beliau, Amoi turut memberi penambahan labuci atau songket pada bahagian lengan dan hujung tangan.

Setiap satu atau dua bulan, pasti terdapat koleksi terbaru bagi pelanggan tetap mahupun yang masih baharu. Selain pelanggan datang ke kedai, ramai juga yang membeli secara dalam talian dan pelanggan termasuklah dari Brunei, Singapura, Thailand dan Filipina.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

09 January 2014

Turki Bumi Kaya Sejarah

Sekiranya anda bercadang melancong ke Turki, rancanglah untuk mengunjung seberapa banyak tempat menarik. Kerana walaupun kota Istanbul itu besar dan indah tetapi masih tidak dapat bercerita tentang keindahan alam semulajadi dan sejarah kegemilangan Turki sebenarnya.

Sejarah kegemilangan Turki tidak cukup dengan keindahan Masjid Biru, Istana Topkapi, Haegia Sofia, Masjid Sultan Suleyman, Masjid Sultan Ahmed serta dua buah bazar yang besar di dunia itu kerana lebih banyak keindahan alam semula jadi kurniaan Allah apabila anda berkunjung ke beberapa tempat seperti Pamukkale, Cappadocia, Konya, Bolu dan Bursa.

Istanbul atau Constantinople namanya satu ketika dahulu terbahagi kepada dua bahagian, satu sebelah Eropah sementara satu lagi sebelah Asia yang dahulunya dikenali sebagai Anatolia ataupun Asia Minar.

Kota ini terletak antara dua laut iaitu laut Hitam dan laut Marmara di samping selat Bosphorus.

Kira-kira 20 juta penduduk mendiami kota Istanbul, tiga peratus tinggal di bahagian sebelah Eropah atau barat sementara bakinya 97 peratus mendiami sebelah Asia.

Setiap hari bekerja lebih enam juta rakyatnya dari Asia akan menyeberangi selat Bosphorus untuk ke sebelah barat.

Kebanyakan rakyat Turki tidak mampu tinggal di bahagian barat kerana taraf hidup yang terlalu tinggi termasuk harga rumah yang terlalu mahal.

Selain dua bazar yang terkenal iaitu Spice Bazar yang dibina kurun ketujuh Masihi yang di dalamnya terdapat lebih 3,000 kedai, Grand Bazar yang dibina oleh Sultan Ahmed II pada 1481 pula terdapat lebih 4,000 kedai.

Walaupun di kedua-dua bazar ini menjual pelbagai jenis barang yang lebih kurang sama seperti makanan, pakaian lelaki dan perempuan, permaidani, rempah-ratus, halwa, perhiasan rumah, hiasan lampu hinggalah kepada pakaian kanak-kanak dan perhiasan batu permata dan emas berlian.

Namun setiap hari bazar ini sentiasa penuh dengan ribuan manusia yang datang membeli-belah. Tak kira sama ada pelancong atau rakyat tempatan.

Ketika rombongan kami tiba di Istanbul, kami terus dibawa melihat sekitar kota di sebelah barat. Bas kami berhenti di jambatan Galata yang popular dalam kalangan kaki pancing. Kami merakamkan kenangan dan pemandangan sebelum ke taman yang cukup indah di Camlica Hill.

Turki bukan sahaja luas, mempunyai sejarah yang menarik bahkan mukabuminya dilengkapi keindahan alam semula jadi yang istimewa dengan tanah yang subur. Tidak hairanlah Turki menjadi idaman untuk dijajah pada zaman empayar Greek dan Rom. Tambahan pula, Turki termasuk dalam laluan Sutera yang popular ke negara rantau Asia.

Di kota Istanbul, terdapat lebih 2,000 masjid lama tinggalan pemerintahan Ottoman. Reka bentuknya cukup menarik. Di samping itu terdapat 600 masjid baru dibina kerana bilangan penduduknya yang ramai. Terdapat juga istana dan gereja lama.

Istanbul di sebelah Eropah masih terdapat tembok tinggi mengelilinginya sepanjang lebih 25 km. Walaupun banyak yang telah runtuh tetapi saki-baki runtuhannya masih boleh dilihat hingga kini.

Bergerak ke kota Bursa dengan menaiki feri menyeberangi laut Marmara, di kiri kanannya anda akan dapat melihat banyak kota, istana lama dan bangunan besar yang memukau pemandangan.

TINGGALAN

Di Bursa juga terdapat banyak tinggalan sejarah termasuklah Masjid Besar, Masjid Hijau dan makam pemerintah Islam zaman dahulu selain Pasar Sutera. Tetapi jangan terkejut tiada sehelaipun kain sutera yang cantik dapat anda lihat di sini jika anda bayangkan seperti yang anda pernah saksikan ketika melancong ke Beijing, China.

Dari Bursa, rombongan kami ke Pamukkale. Pamukkale terkenal kerana Cotton Castle atau Istana Kapas tetapi ia bukan sebuah istana raja, sebaliknya kolam air panas yang terbentuk daripada letupan gunung berapi. Airnya didakwa boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Kerana itu ramai penduduk membina penempatan di sekelilingi kawasan ini untuk merawat pelbagai jenis penyakit yang dihidapi.

Jadi tidak hairanlah di kawasan ini terdapat banyak kubur-kubur lama, apabila penyakit yang dihidapi tidak dapat dirawat. Antaranya kubur Ammianos Marcus Aurelius, seorang pemerintah zaman dahulu.

Cotton Castle terletak di atas bukit setinggi 100 meter dengan di atasnya mengalir air panas yang membentuk teres-teres. Istimewanya air gunung berapi ini adalah campuran mineral berkarbonat, kalsium dan sebagainya yang menyebabkan teres-teresnya berwarna putih dan airnya sudah pasti panas.

Pemerintah empayar Rom dan Byzantine dulukala berusaha menawan Pamukkale dan membina kotanya di kawasan berhampiran yang dinamakan kota Roman Hierapolis.

Di kaki Cotton Castle juga terbentuk beberapa buah kolam air panas kecil dan besar.

Kawasan sekitar kota Hierapolis ini termasuk Cotton Castle diisytihar sebagai tapak warisan UNESCO.

Meneruskan perjalanan ke Cappadocia, anda pasti terpukau dengan lembah Pasabeg. Terdapat juga kota bawah tanah Kaymakli yang satu ketika dijadikan tempat berlindung daripada perompak dan lanun yang sering menyerang para pedagang.

Lembah ini juga popular sebagai laluan para pedagang Arab dan Eropah ke Timur.

Keindahan kawasan lembah yang berbukit batu dengan pelbagai bentuk ini menjadi tarikan pembikin filem Hollywood sehingga menjadikannya lokasi penggambaran filem Ghost Rider : Spirit of Vengeance.

Bagi yang sukakan aktiviti lasak, anda boleh mencuba Belon Panas. Setiap pagi berpuluh-puluh belon panas dilepaskan yang menjadi kegemaran pelancong dari Eropah khususnya Jerman untuk melihat keindahan alam semulajadi di lembah ini dari udara.

Istana Topkapi yang dibina pada 1470 oleh Sultan Ahmed II, pula popular sebagai pusat pentadbiran pemerintahan Empayar Uthmaniyah. Kini ia menjadi muzium yang menyimpan pedang didakwa milik Rasulullah, berlian terbesar didunia dan pelbagai khazanah tinggalan sejarah.

Masjid Biru atau Masjid Sultan Ahmed II yang dibina menggantikan gereja lama Haegia Sofia, Canakkale, Iznik, Izmir, Kusadasi dan Antalya, juga antara lokasi menarik yang akan terus menjadi kenangan manis penulis sepanjang melawati Turki.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

02 January 2014

Wani Bukti Kemampuan Diri

"Jujurnya saya merasa malu memohon dan menerima bantuan zakat. Terasa serba salah. Dahulu, sewaktu suami saya masih hidup, saya masih ingat dia tidak lupa menunaikan zakat perniagaannya. Ketika itu, kami masih menetap di Klang. Hinggalah pada 2011 dan suami saya meninggal dunia, akhirnya saya menjadi penerima zakat."

Norhidayuwani Kasim, 46 menjadi tamu bagi ruangan Jejak Asnaf buat kali ini. Kelembutannya berbicara, tidak mencerminkan yang dirinya lemah dalam mendepani masa. Selepas kematian suami, Wani membawa keluarganya pulang ke kampung di Sepang. Selangor. Rumah dan lori milik suaminya dia jualkan dan di kampung dia cuba membina hidup baharu.

"Kematian suami saya secara sangat tiba-tiba. Dia disahkan mendapat serangan jantung. Saya pula memang sejak awal pernikahan hanyalah seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Dengan tanggungan lima orang anak, saya fikir berada berdekatan keluarga di kampung lebih terjamin. Ternyata mereka banyak membantu saya. Namun persoalannya, sampai bila saya mesti menggantungkan harapan kepada mereka?"

Bina rumah

Dengan wang hasil jualan rumah dan lori, setelah beberapa kesulitan ditempuhi, akhirnya Wani berjaya membina kediaman sendiri di kampungnya. Namun, untuk penghasilan diri masih belum dia peroleh. Hinggalah menjelangnya bulan Ramadan pada 2011, ketua kampungnya menyarankan agar Wani mengajukan permohonan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS), khususnya bagi mendapat modal membuat biskut sempena hari raya.

"Saya pun mengajukan permohonan. Sebelum itu pun sudah pernah saya memohon zakat, tetapi tidak berjaya. Mungkin kali itu, LZS melihat kemampuan saya memang terbatas dengan anak yang semuanya memerlukan pembiayaan, maka saya dimasukkan sebagai asnaf zakat. Kemudiannya, saya masih ingat betapa saya diberikan modal berjumlah RM2,000."

Dengan modal sebesar itulah, Wani mencuba bakat terpendamnya menyediakan biskut raya. Ternyata, ia mendapat sambutan hangat. Dari situ Wani sedar, dia mampu pergi lebih jauh dengan perniagaan biskut dan roti, jika dia lebih berani mencuba.

“Saya perlukan pendapatan yang tetap, maka produk saya juga perlu mantap. Tetapi, saya sedar untuk memohon bantuan modal selanjutnya daripada LZS, pasti saya memerlukan sokongan dari aspek latihan yang diakui. Maklumlah, percaya atau tidak saya hanya belajar membuat roti, kek, biskut dan sebagainya daripada internet. Maka, saya gagahi mengikuti beberapa siri kursus yang dianjurkan oleh pelbagai pihak, agar saya mendapat sijil dan dengannya memudahkan urusan saya kelak."

Wani benar-benar mencabar dirinya. Dia tidak sungkan mempamerkan beberapa sijil hasil kursus jangka pendek yang telah dijalani sebelum ini. Di antaranya kursus bersama Jabatan Pertanian Selangor, Lembaga Koko Malaysia, LZS dan institusi lain. Selain kursus pembuatan produk, Wani turut mengikuti kursus asas keusahawanan dan kursus asas perakaunan.

"Saya memohon bantuan zakat, dan modal yang agak besar telah diluluskan oleh LZS pada bulan Jun 2013 yang lalu. Sebelum itu, saya buktikan dahulu kemampuan saya menghasilkan produk. Saya tahu, LZS pasti akan membantu jika saya serius memajukan diri sendiri. Bayangkan, sebelum itu saya hanya menggunakan sebuah ketuhar kecil bagi menghasilkan segala macam biskut dan roti, hingga rosak ketuhar itu akhirnya. Tetapi saya bersyukur, sebaik sahaja ketuhar saya rosak, LZS berikan ketuhar baharu yang jauh lebih besar dan baik," kata Wani.

Dipetik dari : www.utusan.com.my