Jom Jadi Geng

30 October 2011

Kegilaan Aksesori Batu Hiasan

Ketika menggayakan aksesori , perkara pertama yang difikirkan adalah keinginan untuk tampil ringkas, moden dan anggun dalam apa jua suasana.
 
Dalam pada itu, jangan terlalu leka membeli aksesori yang mencecah ribuan ringgit tanpa memikirkan konsep solekan yang sesuai untuk ke majlis, pejabat atau bersantai.

Pada era ini, wanita bukan sahaja ingin tampil ayu tetapi juga mereka mahu kelihatan cergas dan elegan.
Satu hal yang nyata, kegilaan kepada aksesori daripada batu-batu hiasan semakin dapat dilihat pada masa kini. Semakin ramai wanita yang amat menyukai aksesori ini berbanding barangan kemas. Batu-batu permata separuh berharga yang bermacam-macam warna, kristal dan mutiara merupakan di antara aksesori pilihan wanita.

Selain daripada harganya yang tidak semahal emas, aksesori sebegini terasa selamat dipakai selain mudah dipadankan dengan warna pakaian.

Himpunan aksesori merah, hijau, biru, hitam, kuning dan sebagainya tidak memerlukan anda membuang banyak masa untuk mencari perhiasan sepadan.

Lama memakainya dan terasa jemu dengan rekaan yang ada, jangan disimpan sahaja kerana anda boleh menempah rekaan lain yang lebih sofistikated dan mengikut peredaran zaman.

Apa kata intai aksesori unik, menarik dan nampak elegan daripada Kyla Ruiz.

Menjual aksesori menerusi jaringan Internet, pengasas Kyla Ruiz mengimport koleksi aksesori dari Austria dan Amerika Syarikat.

Koleksi-koleksi ini sesuai untuk gaya formal, klasik, sofistikated dan kasual.

"Dalam bahasa Sepanyol, Kyla bermaksud cantik dan Ruiz merupakan nama kerabat raja Sepanyol. Seindah namanya, jenama ini membawa ada trend aksesori batu hiasan yang berkualiti. Dalam pada itu, Kyla Ruiz turut menawarkan aksesori mewah yang disaluti emas 18 karat dan perincian batu Swarovski selain menggunakan saduran perak berkualiti," katanya yang boleh dihubungi di laman web www.kylaruiz.com atau www.facebook.com/kylaruiz.kr.


Dipetik dari : www.utusan.com.my

20 October 2011

Carol Juara Wajah Lembut

Misi Johnson's Body Care untuk mencari wanita yang memiliki kulit menawan dan personaliti menarik, baru-baru ini berakhir apabila Carol Ong diumumkan sebagai pemenang Beautiful Soft Look 2011.

Dengan rupa yang lembut dan personaliti mesra, anak gadis lepasan ijazah berumur 22 tahun itu, adalah antara sepuluh finalis jelita yang didandan dan digayakan oleh pereka pakaian PU3, mekap artis ,Taisu dan para pendandan rambut dari A Cut Above Academy, seiring dengan tema pencarian ini dan dipadankan dengan kulit lembut menawan mereka.

"Saya tidak menjangka untuk menang kerana semua finalis begitu menawan dan saya juga mengaku terasa sedikit gementar sewaktu menjawab soalan di atas pentas.

"Bagaimanapun, saya masih tersenyum dan buat yang terbaik dalam sesi tersebut," kata Carol, juga merupakan pengguna setia Johnson's Body Care Lotion.

Dengan kemenangan itu Carol membawa pulang wang tunai RM5,000, gaun rekaan khas oleh PU3 dan peluang penampilan dalam majalah-majalah fesyen dan kecantikan Malaysia yang terkenal.

Pemenang kedua adalah Lim Ai Ping, 25, dan pemenang ketiga, Wyne Teo, 23, masing-masing menerima wang tunai RM3,000 dan RM1,000.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Johnson & Johnson Malaysia, Soo Woon Yee berkata, Pencarian Johnson's Body Care bermula pada Mei lalu dengan pengumuman dan penghantaran penyertaan yang dibuat secara online.

Katanya, seramai 10 orang disenarai pendek daripada 30 peserta yang menerima paling banyak undian bagi penyertaan mereka di laman Facebook Johnson's Body Care dan selepas melalui sesi temu duga yang dijalankan oleh panel pengadil.

"Salah satu elemen menarik dalam pencarian ini adalah proses transformasi atau makeover. Kami berasa gembira dapat bekerjasama dengan beberapa profesional dari industri kecantikan dan fesyen untuk mendapatkan penampilan cantik berseri bagi semua finalis," tambah Woon Yee.

Acara akhir itu bermula dengan persembahan fesyen sebagai penghormatan kepada Johnson's Body Care, menampilkan koleksi 'lembut' yang terdiri daripada 13 rekaan PU3 yang diperagakan oleh 10 peserta terbabit dan tiga selebriti jelita - iaitu pelakon Irma Hamie, Ratu Malaysia/Dunia 2009/2010, Thanuja Ananthan dan Ratu Cantik Antarabangsa Cina Astro 2010, Jane Tan.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

10 October 2011

Umur Sekadar Angka - Zaleha

Tua tidak semestinya sakit, yang menentukan kesihatan diri kita adalah diri kita sendiri,'' ujar matan Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Zaleha Ismail.
 
Baginya, umur adalah sekadar angka sedangkan amalan kesihatan seseorang penggerak utama yang menjadikan diri seseorang sentiasa sihat dan cergas.

Bersua muka dengan Zaleha, langsung tidak menyangka bahawa usianya melangkaui 75, tetapi kelihatan masih sihat dan anggun.

Malah pada usia tersebut, beliau dianugerahkan tubuh yang sihat tanpa sebarang penyakit kronik yang lazim dihidapi oleh individu seusia beliau.

Beliau juga jarang diserang demam mahupun sakit-sakit lain, sebaliknya masih mampu membuat tugasan lain yang kadang kala tidak mampu dilakukan oleh mereka yang jauh lebih muda.

"Alhamdulillah, setakat ini memang tidak ada penyakit yang kronik yang lain walaupun ada menghidap kencing manis tetapi terkawal,'' ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Taman Perwira, Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Katanya lagi, soal pemakanan juga penting dalam menentukan kesihatan diri.

Tegas beliau lagi, dalam usianya sekarang penjagaan makan amat dititikberatkan bagi mengelak daripada terkena penyakit-penyakit yang berbahaya.

Malah beliau turut menjadikan buku sebagai 'teman karibnya' yang boleh memberi panduan untuk mengelak terkena penyakit-penyakit lain.

"Memang setiap hari buku adalah perkara wajib yang saya sentuh, jika tidak saya akan gusar malah ia seperti ada yang tidak kena dalam kehidupan saya,'' ujarnya memperihalkan tentang 'sahabat karibnya' itu.

Jelasnya, dengan membaca buku, ia bukan sekadar memberikan pengetahuan tetapi turut memberi panduan terutama dalam kesihatan diri.

Tegas beliau lagi, untuk mengekalkan kesihatan seseorang perlulah bergerak aktif dan juga mengamalkan kehidupan yang sihat dan berfikiran positif.

Presiden Yayasan Suara Wanita ini mengakui, ramai di kalangan warga emas mengambil pendekatan yang mudah dan tidak mengamalkan kesihatan yang tidak terurus.

Keadaan ini menyebabkan mereka mudah terjebak dengan penyakit-penyakit yang berbahaya dan sekali gus boleh menjejaskan kesihatan sendiri.

Beliau sendiri mengakui, menghidap kencing manis tetapi hasil amalan gaya hidup yang sihat termasuk bersenam setiap hari berjaya mengawal penyakit tersebut.

"Walaupun jadual harian saya padat, tetapi saya tidak pernah tinggalkan senaman memandangkan ia adalah salah satu cara untuk mengelak penyakit.

"Bukan sekadar membuatkan badan saya rasa ringan, lebih penting menghilangkan rasa malas untuk bergerak ke sana-sini ,'' ujarnya yang turut memegang lima jawatan penting dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Zaleha menambah, dengan bersenam seseorang itu akan berpeluh dan ini akan menurunkan tahap gula dalam darah.

"Ini menunjukkan senaman ringkas sangat penting walaupun hanya 30 minit," katanya yang tidak mengambil makanan manis dalam menu hariannya.

Beliau yang ketika ini turut menyandang jawatan Pengerusi Majlis Kebangsaan Kanak-kanak Malaysia, menasihatkan orang ramai supaya menjadikan amalan pemeriksaan kesihatan secara berkala sebagai satu rutin bagi memastikan kesihatan tubuh badan sentiasa baik.

"Pemeriksaan ini penting supaya kita tahu tentang keadaan badan kita dan dapat mengawal tahap kesihatan kita lebih awal.

"Sama ada sakit atau tidak, kita kena periksa badan kita, tengok ada penyakit atau tidak, dan sekiranya ada penyakit tindakan seterusnya perlu diambil," katanya.

Ditanya mengenai jadual harian, beliau memberitahu, jadual tetap padat walaupun hampir 20 tahun bersara sebagai kakitangan awam.

"Biasanya seawal 5.30 pagi saya sudah bangun dari tidur dan mengamalkan senaman ringkas sebelum solat subuh.

"Selepas bersenam ringkas saya akan akan memeriksa diari temu janji saya sepanjang hari tersebut dan aktiviti-aktiviti lain.

"Dengan rutin harian yang sibuk membuatkan saya lebih aktif dan tidak ada masa untuk saya termenung memikirkan perkara yang bukan-bukan ,'' ujarnya tenang.

Baginya, setiap warga emas harus mengisi waktu mereka dengan sebaiknya supaya tidak berasa bosan sehingga membawa kepada kemurungan.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

MASiF Pentas Tiga Genre Seni

Muzik, seni dan fesyen sememangnya saling melengkapi. Apatah lagi apabila ia melangkah seiring di atas pentas yang sama sebagaimana yang cuba dihasilkan oleh penganjur Festival Muzik, Seni dan Gaya Antarabangsa (MASiF ) 2011 .

Festival yang masuk tahun kedua penganjurannya itu mengenepikan segala kritikan dan salah tafsir berkaitan dengan aktiviti seni golongan remaja.

Sebaliknya ia terus berusaha mengukuhkan kedudukan sebagai platform untuk golongan muda mengetengahkan bakat-bakat yang dimiliki.

Malah MASiF 2011 dilihat mampu membuka pintu terutama dalam menghimpunkan bukan penggiat muzik tetapi juga pereka fesyen dan pelukis dalam satu 'gelanggang'.

Festival unik tersebut yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad lalu di pusat beli-belah Suria KLCC , adalah berteraskan tiga genre seni iaitu muzik, lukisan dan fesyen.

Semarak festival pastinya di pentas peragaan fesyen dengan gandingan pereka-pereka baru dan lama.
Sepanjang tiga hari itu MASiF 2011 telah menghimpunkan lebih 24 pereka fesyen lama dan baru termasuk Datuk Radzwan Radziwill, Sharifah Kirana, Calvin Thoo, Iszal Ismail, Wan Pa, Von Jolly, Nazreen Idris Ezuwan Ismail, Joanne Chan dan Merlee Shariff serta ramai lagi.

Tidak ketinggalan kehadiran jenama-jenama fesyen terkenal seperti Cosry, Hajaba, Ang Eng, Ghetto by G Aleander dan sekolah fesyen terkenal, IFTC.

Pentas peragaan dihangatkan lagi dengan koleksi pereka jemputan dari luar negara iaitu Veejay Floresca dari Filipina dan Ivan Gunawan dari Indonesia.

Gandingan lama dan baru itu menjadikan MASiF 2011 sebagai medan untuk golongan muda membuktikan bakat mereka selain menimba pengalaman pereka yang jauh berpengalaman.

Istimewanya, pada peragaan tersebut, fesyen yang diperagakan meliputi semua acara daripada pakaian majlis rasmi, keraian sehinggalah pakaian harian serta santai yang mampu dan mesti dimiliki.

Dalam pada itu pereka tersohor Radzwan, tampil dengan koleksi moden dengan potongan dres labuh yang boleh digayakan di mana-mana sahaja.

Menggunakan warna-warna mewah seperti merah , oren dan kuning menjadikan si pemakai lebih bergaya serta kelihatan anggun.

Apatah lagi, fesyen adalah bahasa universal yang mampu menterjemahkan pelbagai perasaan dan apresiasi daripada ragam budaya dan bangsa dunia.

Malah lebih menarik, peragaan kali ini menampilkan idea kreatif dan semakin moden tanpa meninggalkan unsur sopan dalam rekaan.

Selain itu, penataan rekaan Sharifah Kirana yang gemar mengguna songket dalam setiap perincian, mampu memberikan 'kredit' kepada negara sendiri serta sekali gus menaikkan nama negara apabila menggunakan songket ke peringkat antarabangsa.

Malah melalui penggunaan fabrik songket juga dilihat sentiasa diberi perhatian sehinggakan memberi inspirasi kepada beliau untuk mencipta rekaan yang sopan dan anggun, namun kelihatan bergaya.

Rekaan Sharifah Kirana adalah untuk keperluan wanita moden yang hanya memerlukan usaha minimum untuk mendapat gaya yang maksimum.

Penggunaan warna-warna lembut pula menggambarkan jiwa yang bebas dan keseronokan yang sepatutnya dinikmati wanita dalam menjalani kehidupan.

Apa pun bagi golongan muda, MASiF merupakan gelanggang terbaik untuk meraih pendedahan dan manfaat bagi mengembangkan bakat sama ada dalam fesyen, muzik dan seni halus.

Lebih bertuah lagi, penganjuran festival ini bersamaan dengan sambutan Hari Malaysia yang di sambut pada 16 September setiap tahun.

Dipetik dari : www.utusan.com.my