Jom Jadi Geng

30 March 2012

Zarraz Penuhi Impian Wanita

Memiliki kulit yang halus, cantik dan sihat menjadi impian setiap wanita. Mungkin ada yang menganggap ia sesuatu yang mustahil memandangkan industri kosmetik dan penjagaan kulit di luar sana rata-ratanya umpama hanya indah khabar daripada rupa.

Kes begini terjadi apabila berlaku lambakan produk kecantikan dalam pasaran.

Pengguna pula lazimnya mudah terpengaruh untuk membeli sesuatu produk tanpa melihat apa yang terkandung di dalam produk itu.

Namun, produk keluaran syarikat Sixtyninez Integrated (M) Sdn. Bhd. ada kelainan tersendiri.

Dipercayai mampu membantu pengguna mendapatkan kulit wajah idaman, Zarraz Paramedical ada rahsia yang mahu dikongsikan dengan pengguna.

Menurut pengasasnya, Fatimatul Zaharah Abdul Mazlan atau Ima Zara, 25, rangkaian produk antipenuaan Zarraz selain mementingkan faktor halal, ia juga diyakini ramai kerana hanya menggunakan bahan semulajadi.

"Tidak seperti produk-produk lain di luar sana, kami cuma menggunakan bahan semulajadi yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan herba.

"Sebenarnya ramai yang tidak tahu, kebanyakan produk penjagaan kecantikan di luar sana meskipun ada yang mendakwa tidak mengandungi bahan kimia, sebenarnya tetap mengandungi bahan itu.

"Selama enam tahun membuat kajian mengenai bidang kecantikan, saya dapati ada produk di luar sana yang mengandungi bahan kimia.

"Ini adalah sesuatu yang tidak sihat memandangkan pengguna biasanya tidak meneliti kandungan sebelum membeli produk.

"Ia tentu membahayakan pengguna yang kemudiannya berkemungkinan terdedah kepada kanser kulit.

"Sebab itu kami menggunakan slogan Kecantikan adalah Tanggungjawab kerana kami mahu semua pengguna tahu bagaimana untuk mencari produk yang sesuai dan tidak bahaya kepada kulit, "katanya.

Kata Ima Zara, produk Zarraz dihasilkan dengan 100 peratus bahan semulajadi terpilih seperti pudina dan rosemary dan ia boleh digunakan sama ada oleh lelaki atau wanita menerusi dua rangkaian iaitu Advanced Bio Renewal dan Firming Cleanser, Essence Sebum Gel, Essence Night Cream dan Sun Protection (SPF 50).

Untuk memudahkan pengguna, Zarraz juga menyediakan perkhidmatan spa dengan pelbagai rawatan kecantikan wajah dan badan yang terletak di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor.

Spa ini turut berfungsi sebagai pusat jualan produk Zarraz sementara cawangan-cawangan lain dibuka menjelang akhir tahun ini.

Sebarang maklumat atau pertanyaan sila layari laman web www.zarraz.com.my.


Dipetik dari : www.utusan.com.my

20 March 2012

Beli-Belah Dalam Talian Trend Terkini

Membeli-belah dalam talian merupakan kaedah paling mudah buat golongan shoppaholic mendapatkan barangan yang diidamkan tanpa perlu terburu-buru ke pasar raya.

Malah, mereka yang menggunakan kaedah ini juga tidak perlu mengeluarkan kos tambahan seperti bayaran petrol, tol, letak kereta dan tidak perlu beratur bagi mendapatkan barangan yang diingini.

Hanya semudah menekan butang tetikus, barangan tersebut akan dihantar kepada si pembeli dengan hanya dikenakan caj penghantaran yang minimum atau percuma.

Selain mudah berurusan secara dalam talian, kaedah membeli-belah itu juga membolehkan si pengguna Internet manfaatkan masa lawatan ke dalam enjin carian seperti Yahoo! ataupun Google tanpa perlu melawat stor ataupun butik-butik barangan yang dikehendaki.

Bagaimanapun, ramai pengguna yang bimbang mengenai maklumat peribadi mereka dicuri penggodam laman web kerana realitinya kes kecurian dalam talian masih menghantui pengguna.

Baru-baru ini, Mega berkunjung ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor bagi mendengar forum bertajuk Online Shopping: Trend Atau keperluan?

Program tersebut dianjurkan oleh kumpulan Psonia Giest yang merupakan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Pelanggan.

Ia bagi mengupas isu-isu semasa berkaitan keperluan perkhidmatan pelanggan melalui pemilihan tajuk tersebut.

Seperti yang diketahui ramai, membeli-belah dalam talian secara tidak langsung memudahkan pembeli dan penjual berurusan bila-bila masa, di mana sahaja dan lebih cepat.

Sejak kemunculan World Wide Web (WWW), para peniaga boleh menjual produk-produk mereka kepada orang ramai yang melayari laman sesawang secara mudah.

Dari buku, pakaian, peralatan rumah, permainan, perkakas dapur, perisian komputer dan lain-lain merupakan antara ribuan barangan yang dijual secara dalam talian.

Melihatkan kepentingan urusniaga secara online, ia menjadi kaedah terkini yang digunakan di seluruh dunia.

Tanpa perlu ke luar negara, pengguna mampu membeli apa jua barangan dari mana-mana pelosok dunia.

Ahli panel jemputan dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Zulkifli Mohammed berkata, sistem niaga secara dalam talian sebenarnya telah lama wujud.

"Sejak zaman dulu lagi pembeli dan penjual telah membangunkan sistem niaga seperti ini sebelum adanya Internet. Contohnya zaman dulu, kita menggunakan sistem mail order dan ia banyak diiklankan dalam surat khabar.

"Sistem niaga tersebut sama sahaja dengan sistem niaga dalam talian kerana pengguna yang menggunakan kaedah ini juga akan menghubungi peniaga atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan dalam talian melalui telefon.

"Seterusnya selepas kedua belah pihak bersetuju maka barangan itupun akan diposkan. Bagaimanapun, kaedah niaga ini telah berevolusi dan kini hasilnya kita menggunakan sistem yang lebih mudah secara online," katanya.

Zulkifli berkata, kaedah niaga secara dalam talian semakin berkembang dari masa ke semasa tetapi para pengguna masih lagi terdedah kepada isu-isu penipuan.

"Barangan yang dijual dalam talian melibatkan kaedah pembayaran transaksi perbankan yang berbeza.

"Selaku pengguna berhemah, para pengguna perlu sedar mengenai maklumat barangan yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum membelinya bagi mengelakkan penipuan seperti syarikat tidak wujud atau mendapat barangan lain dari yang dipesan.

"Syarat penjual dan pembeli juga perlu diteliti selain pastikan isi kontrak penghantaran sesuatu barangan terlebih dahulu bagi mengelak mendapat barangan lain seperti kes pengguna mendapat lesung batu dan berus cat tetapi sebenarnya mereka memesan barangan lain," katanya.

Beliau berkata, sistem jual beli dalam talian memudahkan pengguna yang sibuk kerana di mana-mana sahaja mereka boleh membeli-belah tanpa had dan sempadan.

"Urus niaga online ada risiko kerana banyak kes penipuan dilaporkan seperti barangan yang dipesan tidak sampai.

"Ini kerana ada organisasi scam company yang berpangkalan di negara-negara yang tidak ada undang-undang siber seperti Romania.

"Mereka mempunyai dana dan kepakaran yang besar untuk manipulasi penipuan dan banyak telah disenarai hitamkan," kata Zulkifli.

Menurutnya, para pengguna perlu lebih bijak melayari laman web sesawang kerana ada setengah daripada laman tersebut dibina secara khusus untuk tujuan memperdayakan pengguna.

"Kalau kita layari laman web, kita perlu lebih berhati-hati dan laman web ini mesti bermula dari http barulah ia laman web yang sebenar.

"Kalau dapat masej dari laman web yang bermula dari https perlu berhati-hati kerana mereka akan mencerobohi password pengguna, mengambil duit dalam akaun dan pindahkan duit tersebut melalui akaun paypal.

"Selain daripada itu, barangan yang dijual lebih murah daripada harga pasaran juga memainkan peranan yang penting.

"Sebagai pengguna kita perlu pastikan barangan yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum memesannya kerana ada setengah pemilik laman web menjual barangan yang tidak tulen," kata Zulkifli.


Dipetik dari : www.utusan.com.my

10 March 2012

Bantu Ibu Baiki Parut

Hari Ibu adalah hari untuk menunjukkan penghargaan kepada semua ibu atas segala pengorbanan, cinta dan kasih sayang mereka terhadap setiap ahli keluarga.

Untuk menambah keseronokan di hari penuh bermakna itu, Bio-Oil, minyak penjagaan kulit khas yang membantu memperbaiki penampilan parut, kesan regangan dan tona kulit tidak sekata, menyambutnya dengan sebuah majlis yang bermakna.

Pengurus Bahagian Nuvanta Sdn. Bhd., Pengedar Bio-Oil di Malaysia, Low Hooi Wan berkata, sebagai jenama yang memainkan peranan penting dalam membantu wanita di seluruh dunia mengekalkan kulit yang cantik dan sihat, Bio-Oil menyambut keindahan Hari Ibu ini sebagai penghargaan untuk para ibu yang memainkan peranan penting dalam kehidupan anak-anak mereka.

"Walaupun bukan mudah untuk menjadi seorang ibu, Bio-Oil telah memberikan peluang kepada ibu-ibu untuk mendapatkan kulit yang cantik tanpa cela yang menyerlahkan betapa indahnya sifat keibuan mereka dari dalam," ujarnya semasa majlis sambutan itu, baru-baru ini.

Sementara itu, dua selebriti jemputan yang juga merupakan pengguna setia Bio-Oil iaitu pelakondan ahli perniagaan, Dynas Mokhtar serta Dr. Jezamine Lim Iskander, isteri kepada pelawak terkenal, Harith Iskander kelihatan menawan di dalam busana berwarna jingga yang dipilih berdasarkan tema warna jenama ini.

Menurut Dynas, yang kini hamil lapan bulan anak keduanya, beliau mula menggunakan Bio-Oil apabila mengalami regangan pada perut ketika mengandung.

"Saya syorkan pada semua supaya menggunakan produk ini sebelum mengandung lagi kerana sebelum ini saya gunakannya apabila mula mengalami regangan," jelasnya.

Dr. Jezamine pula menggunakan Bio-Oil dua kali sehari, pagi dan malam, sepanjang kehamilan, terutamanya di bahagian perut, payu dara dan pinggul.

"Ini kerana untuk memastikan saya tidak mempunyai kesan regangan selepas bersalin dan mengelakkan tona kulit tidak sekata dan pigmentasi yang boleh terbentuk ketika kehamilan," katanya.

Bio-Oil adalah minyak penjagaan kulit khas yang membantu memperbaiki penampilan parut, kesan regangan dan tona kulit tidak sekata. Ia juga berkesan untuk merawat penuaan kulit dan dehidrasi.

Dipetik dari : www.utusan.com.my