Jom Jadi Geng

Showing posts with label Minggu Setiausaha. Show all posts
Showing posts with label Minggu Setiausaha. Show all posts

02 May 2011

Setiausaha Tingkatkan Kualiti

Setiausaha bukan sahaja menjadi orang kanan bos, malah sebenarnya perlu sentiasa bersedia mental dan fizikal untuk menggalas tanggungjawab lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin kompetitif.

Pengalaman menghadiri seminar setiausaha mampu membantu golongan itu berinteraksi, berkomunikasi dan menunaikan peranan mereka dengan lebih berkesan dan proaktif.

Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat, seminar setiausaha penting untuk memberi penerangan, pengetahuan dan justifikasi bagaimana seseorang setiausaha berperanan.

Bagi meraikan golongan setiausaha, Majalah WANITA menerusi pendekatan lazimnya yang lebih kepada majlis ilmu berjaya menarik penyertaan hampir 200 setiausaha sekitar Lembah Klang untuk sama-sama meningkatkan keyakinan diri, latihan dan kemahiran ke arah menjadi setiausaha yang lebih berkualiti, berintegriti dan berakauntabiliti.

Bertemakan Cabaran & Profesionalisme Setiausaha, seminar satu hari itu sememangnya memberikan banyak input bermanfaat.

Ia memberi penekanan dari aspek kepimpinan, keterampilan diri, pengisian kerohanian, kesihatan dan integriti kerja supaya para setiausaha dapat memberikan perkhidmatan terbaik mengikut cabaran semasa.

Ini bertepatan dengan objektif utama penganjurannya iaitu menanam integriti dan budaya kerja yang lebih berhemah di kalangan setiausaha. Seterusnya, melahirkan kelompok setiausaha yang dikagumi kerana komitmen kerja yang bagus ditambah dengan penampilan dan ketertiban yang disenangi ramai.

Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Maznah turut melancarkan wajah baru majalah WANITA edisi ke-500. Hadir sama ialah Pengurus Besar Operasi Utusan Karya Sdn. Bhd., Zurzaliza Bajuri dan Pengarang Kanan Unit Majalah Keluarga, selaku Pengarang WANITA, Normala Hamzah.

Para penceramah yang terlibat dalam seminar pada kali ini ialah Ahmad Husni Abdul Rahman dari Pusat Pungutan Zakat (PPZ), penceramah bebas, Datuk Dr. Fadzilah Mohd. Ali dengan topik Budaya Kerja, Integriti & Ketertiban dan ceramah tentang imej dan penampilan yang disampaikan perunding imej, Datin Norma Norell.

Sesi seminar diteruskan dengan topik Etika dan Protokol oleh pemilik butik W2W, Yasmin Siddik dan disusuli ceramah kesihatan oleh Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar dari Pusat Perubatan PrimaNora.

Dalam pada itu, para peserta bengkel turut diajar tentang teknik solekan dan dandanan yang dikendalikan pihak produk kecantikan Alazo.

Bagi menceriakan lagi seminar tersebut, turut diselitkan ialah acara pertunjukan fesyen pereka terkenal, Faizal Hamid serta persembahan istimewa penyanyi kecil molek, Amy Mastura dengan pilihan lagu popularnya yang berjaya menggamatkan seisi dewan.

Sesuai dengan tajuknya, seminar itu dilihat berjaya membawa pendekatan terkini dalam memartabatkan kerjaya setiausaha seterusnya membawa kepada kejayaan diri dan seluruh organisasi yang diwakili setiap setiausaha.

Acara eksklusif tahunan itu mendapat kerjasama Kementerian Sumber Manusia dan tajaan rakan-rakan strategik iaitu PPZ, Empire Classic Furniture, Alazo, Jamu Mak Dara, Adabi, Habib Jewels dan Hotel Legend sebagai penaja lokasi.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

04 April 2011

Meraikan Setiausaha di PWTC

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bakal mengadakan persembahan khas sempena minggu setiausaha pada 20 dan 21 April ini. Ia menyasarkan penyertaan 1,600 setiausaha dan ketua-ketua mereka.

Menurut Pengarah Komunikasi Pemasaran PWTC, Fadzilah Said, bertemankan penyanyi terkenal, Ramli Sarip, tetamu bakal digegarkan dengan pelbagai acara menarik.

''Majlis yang bermula pada pukul 12 tengah hari sehingga 3 petang itu mengundang pengacara dan pelawak terkenal, Dee.

"Di samping itu turut diadakan pertunjukan fesyen bersama pereka terkenal yang juga seorang pensyarah seni, Shabri Saad.

''Kita mensasarkan 800 tetamu akan datang pada hari pertama dan bilangan yang sama untuk hari kedua. Kami menjanjikan sesuatu kelainan pada hari setiausaha kali ini," jelasnya.

Menurut Fadzilah, makanan yang dihidangkan pada hari itu berdasarkan ialah cita rasa barat yang menghidangkan hanya yang terbaik buat tetamu.

Sementara itu menurut Dee, konsep yang akan dia ketengahkan pada majlis kali ini ialah Retro. Iaitu gaya 70-an untuk mengimbas kembali kenangan indah zaman dahulu.

''Saya juga akan memastikan penyertaan bos dan setiausaha di atas pentas yang mana penyertaan yang terhebat akan diberikan hadiah,' ujarnya.

Dalam pada itu Shabri menyifatkan pertunjukkan fesyen kali ini membabitkan koleksi ala-Malaysia yang terbaik.

''Terdapat 24 jenis pakaian yang akan diperagakan bakal memenuhi cita rasa hebat pencinta fesyen.
''Antara koleksi gabungan yang bakal disaksikan ialah fesyen seperti batik, songket, ready-to-ware dan sebagainya yang dipersembahkan oleh lapan peragawati," katanya.

Kepada yang berminat untuk turut serta dalam acara ini boleh menghubungi talian 03-2614 6701 dan 03-2614 6702 (Siti Raba'ah) untuk pertanyaan lanjut.

Dipetik dari : www.utusan.com.my