Jom Jadi Geng

13 March 2011

Busana Kontemporari dan Sofistikated

Bertemakan Black Swan, Faizal Hamid buat julung kalinya menghasilkan koleksi musim panas dan bunga bagi tahun ini. Rekaan tersebut secara eksklusif akan dipasarkan ke New York, Amerika Syarikat berinspirasikan filem Black Swan lakonan Natalie Portman.

Filem tersebut mendapat sambutan di kalangan peminat dan pengkritik filem antarabangsa. Mungkin tarikan watak Natalie cukup berkesan, penuh mainan emosi serta keanggunan yang amat memukau.

Justeru itu, Faizal tidak teragak-agak berkarya untuk menghasilkan koleksi daripada perspektifnya sendiri terhadap minat dan pemahaman dalam bidang seni.

Atas permintaan rakan-rakan yang menetap di New York, dia yang sekian lama mencurah bakti sebagai perunding imej, kolumnis dan pensyarah di Jabatan Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor mengorak langkah sebagai pereka fesyen.

Koleksi itu paling dekat di hatinya kerana ia merupakan luahan rasanya sebagai seorang pencinta fesyen selama hampir dua dekad.

Black Swan menampilkan rekaan gaun koktel dan malam daripada fabrik sutera sifon, shantung, organza, tafeta dan tulle. Koleksi tersebut menggabungkan kombinasi elemen garisan, tekstur, draping, ilusi dan busana anggun.

Tidak takut bermain warna hitam, Faizal seakan-akan mengimbau penglibatannya sebagai pereka fesyen 15 tahun lalu.

Secara keseluruhannya, sentuhan Faizal merupakan interpretasi segar rekaan kontemporari yang anggun, sofistikated yang digilap halus.

Faizal terkenal sebagai perunding imej untuk majlis fesyen, golongan ternama dan syarikat korporat di dalam dan luar negara.

Berpengalaman bekerja di Paris dan New York di bawah penyeliaan pereka antarabangsa, Faizal berkelulusan Ijazah dalam bidang Seni Persekitaran (Environmental Arts) khusus dalam bidang fesyen di Universiti Syracuse, New York, Amerika.

Peluang berada di negara tersebut tidak dipersia-siakan kerana dia meluaskan pengalaman bekerja di Paris dan New York di bawah penyeliaan pereka antarabangsa.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai koleksi menawan ini, boleh emelkan soalan ke faizalhamid1971@yahoo.com atau layari faizalhamid.blogspot.com.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment