Jom Jadi Geng

27 March 2011

Perkim Bantu Ibu Tunggal

Perjalanan hidup ini sememangnya penuh dengan ujian dan rintangan. Ada kalanya kita di atas dan ada kalanya di bawa. Dengan berkat kesabaran menempuh segala ranjau itu, nescaya Allah akan membantu dalam segala perkara.

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan pada 16 Februari lalu mengadakan program ziarah ke atas tiga ibu tunggal di sekitar ibu negara.

Ziarah itu diketuai oleh Pegawai Dakwah dan Kebajikan, Amran Abdullah. Turut serta, Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad.

Lokasi pertama adalah Triseela Dass Abdullah di Rumah Angkatan Persatuan Pengguna Islam Malaysia, di Keramat, Kuala Lumpur.

Triseella adalah bekas pelajar yang aktif di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA). Bagaimanapun beliau tidak dapat menamatkan pengajiannya kerana beberapa masalah yang menimpa dirinya.

Beliau yang dahulunya menetap di Sarawak dikurniakan dua cahaya mata iaitu Indyrakurnia Muiz Abdullah, 8, dan Wiraputra Muiz Abdullah, 5.

Triseella dan anak-anak memeluk Islam pada 19 Oktober 2007 di Sarawak.

Beliau kembali ke ibu negara untuk mencari pekerjaan bagi menyara kedua anaknya yang masih bersekolah.

Dalam kunjungan itu Amran dan Suariza menyampaikan hamper makanan dan bantuan persekolahan sebanyak RM200 kepada Triseella.

Destinasi kedua dalam ziarah itu ialah di pangsapuri di Taman Melati, Kuala Lumpur untuk melawat ibu tunggal berketurunan Cina, Nurul Huda Phuan Abdullah.

Nurul Huda menyara keluarganya dengan hasil perniagaan menjual pisang goreng dan kuih muih berhampiran rumahnya.

Pihak Perkim kemudiannya menyampaikan sumbangan hamper dan wang tunai RM100 kepada beliau.
Ziarah terakhir pada hari itu adalah di rumah warga emas, Rogayah Abdul Rahman di Program Pembangunan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Taman Melati, Kuala Lumpur.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Mek menghidap penyakit angin ahmar akibat terjatuh.

Amran dan Suariza menyampaikan hamper makanan dan wang tunai RM50 kepada beliau.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment