Jom Jadi Geng

21 March 2011

Wanita Sihat Aset Negara

Tidak mudah menjadi wanita milenium baru. Selain menggalas tanggungjawab sebagai pekerja, wanita juga adalah isteri dan ibu yang menjadi pendidik pertama anak-anak dalam usaha melahirkan insan berguna. Justeru, melengkapkan diri dengan ilmu termasuklah penjagaan kesihatan amat penting kerana wanita yang sihat aset negara.

Untuk itu, apa kata berkunjung ke pameran Kesihatanku, Kekayaanku anjuran majalah iSIHAT terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. sempena program Tribute To Women Malaysia Trade Expo. Pameran yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Persidangan Mid Valley pada 18-20 Februari ini bertujuan menerapkan dan menimbulkan kesedaran penjagaan kesihatan di kalangan wanita.

Bertemakan penyakit-penyakit khusus kaum wanita seperti kanser servik, kanser payu dara serta promosi gaya hidup sihat, aktiviti itu turut diselang seli dengan ceramah kanser serviks dan pemakanan pintar yang disampaikan oleh Dr. Aishah Tul Radziah.

Sebagai isteri dan ibu, langkah ini penting kerana kebanyakan penyakit berpunca daripada amalan gaya hidup yang berkait dengan pengambilan makanan tidak seimbang.

Sepanjang program ini juga, anda berpeluang menjalani ujian gula dalam darah, ujian kolestrol, darah tinggi dan analisis lemak tubuh.

Sekiranya terdapat tanda-tanda awal berhubung penyakit tertentu, ia dapat dikesan lebih awal dan rawatan lanjut akan diberikan di samping mendapatkan suntikan imunisasi kanser serviks.

Selain pameran, pelbagai aktiviti lain turut diadakan. Ia termasuklah Kuiz iSIHAT, pertandingan makan epal, pertandingan push up', teka peralatan sukan dan senamrobik iSIHAT.

Pameran Kesihatanku, Kekayaanku ini mendapat kerjasama daripada Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (LPKM), Idaman Pharma dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tribute To Women Trade Expo dianjurkan oleh MSP Communications Sdn. Bhd. Diadakan buat kali kedua, ekspo ini akan disertai lebih 50 peserta pameran yang menawarkan produk dan perkhidmatan daripada pelbagai bidang termasuk fesyen, kesihatan, kecantikan, pendidikan, kewangan dan peluang perniagaan yang berkait dengan kaum wanita. Dijangka lebih 35,000 pelawat akan mengunjungi ekspo yang akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment