Jom Jadi Geng

26 May 2011

Kraf Tekap Daripada Bunga-Bunga Kering

Hampir saban hari dia melihat kelopak-kelopak bunga satu persatu layu dan jatuh berguguran memenuhi ruang halaman rumahnya. Bunga-bunga layu dan kering itu kemudian hanya disapu begitu sahaja.

Entah kenapa, kerana memikirkan betapa sayangnya bunga-bunga kering itu terbuang begitu sahaja akhirnya mencetuskan idea kepada seorang ibu tunggal untuk mengusahakan kraf bunga tekap pada 1998.

Ketika itu, Esiah Kaimun, 59, baru sahaja kembali ke desa kelahirannya di Kampung Lang Tengah, Banting, Selangor setelah berpisah dengan suaminya.

Kesedihan tidak membuatkan Esiah hanya berpeluk tubuh atau termenung mengenang nasibnya. Masa lapangnya diisi dengan usaha baktinya kepada tanah dengan menanam pelbagai pokok bunga hiasan.

Selain itu, dia juga menanam pelbagai pokok herba, ulam-ulaman dan pokok buah-buahan.

"Saya rasa sayang pula apabila melihat bunga-bunga dan daun-daun kering yang bertaburan di halaman rumah tanpa dimanfaatkan.

''Sedangkan hendak menjaganya bukan suatu yang mudah tetapi apabila ia layu dan kering terpaksa dibuang begitu sahaja. Ketika itu terdetik di hati saya untuk mengeringkan bunga-bungaan itu," katanya.

Kata Esiah, pada mulanya, dia hanya mengeringkan bunga itu dalam buku sebagaimana yang pernah dilakukan semasa alam persekolahan dahulu.

''Kini kita sudah boleh mengunakan ketuhar gelombang mikro untuk mempercepatkan proses pengeringan bunga-bunga tersebut.

''Setelah kering, kita boleh menggunakan kreativiti sendiri dengan menyusun bunga-bunga dan daun-daun pokok sehingga terhasilnya kraf bunga tekap," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu menyatakan, hasil bunga tekapnya itu kemudian dihantar ke Jabatan Pertanian Daerah Kuala Langat.

Melihatkan kepada hasil kraf yang berpotensi tinggi untuk dimajukan, Esiah kemudian telah dihantar menjalani kursus di Kalumpang, Tanjung Malim, Perak bagi memperkukuhkan kemahirannya.

Bermula dari situlah hidup Esiah bersinar kembali seperti mekarnya bunga-bungaan di taman halaman rumahnya. Hasil rekaan bunga tekap Esiah semakin berkembang malah produknya itu pernah dipasarkan ke luar negara.

Tiada siapa yang menyangka, rupa-rupanya bunga-bunga layu dan kering di depan rumahnya kini membuahkan pulangan pendapatan yang lumayan.

''Menghasilkan bunga tekap bukan sesuatu yang mudah kerana banyak menggunakan kreativiti dan imaginasi yang tinggi. Oleh itu saya mengamalkan beberapa petua untuk menggerakkan daya imaginasi contohnya tidak memakan daging," katanya.

Terang Esiah lagi, bunga tekapnya banyak menggunakan bahan-bahan seperti bunga tiga bulan, orkid, kiatan, batang pisang, rumput, daun pandan dan daun jagung, '' katanya.

Hasil kreativitinya juga pernah mendapat pengiktirafan apabila Esiah pernah muncul johon dalam pertandingan bunga tekap di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Melaka.

Katanya, bagi menghasilkan satu rekaan bunga tekap, seseorang itu perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit malah kadang kala mengambil masa berhari-hari mengikut reka bentuk diinginkan.
Hasil produk kraf Esiah dijual daripada harga serendah RM3 sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Antaranya rekaan yang dihasilkan pada 10 Oktober tahun lalu berharga RM10,000.

''Kini saya semakin sibuk dengan jualan bunga tekap dalam ekspo-ekspo jualan selain menjadi tenaga pengajar kemahiran kraf bunga tekap kepada asnaf zakat di Pusat Zakat Selangor dan Kolej Komuniti Kuala Langat," katanya.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment