Jom Jadi Geng

08 May 2011

Pengalaman Baru di Kaunter Clinique

Clinique, jenama pertama yang dibangunkan oleh pakar dermatologi dengan keluaran produk penjagaan kulit yang diuji alahan dan 100 peratus tanpa bahan pewangi kini memberi pengalaman baru kepada pengguna di pusat perkhidmatan baru mereka di Mid Valley, Kuala Lumpur.

Mengetengahkan konsep Clinique Service As You Like It, ia menawarkan perkhidmatan yang pelbagai dan cara baru untuk membeli produk kecantikan di kaunter.

Mendapat inspirasi daripada wanita-wanita hari ini serta tabiat membeli-belah mereka, kaunter tersebut menerapkan rekaan dan teknologi moden untuk meningkatkan fungsi dan memudahkan pelaksanaan konsepnya.

Menempatkan ciri baru seperti bar bedak asas (foundation bar) yang memberi ruang melihat alat solek dan penjagaan kulit dan pada masa yang sama menggalakkan pengguna untuk mencuba dan memilih produk dalam suasana santai.

Di samping itu, kaunter jualan terbaik (best sellers wall) turut dibuka di mana ia menawarkan produk-produk yang paling laris ketika itu.

Menurut Pengurus Besar Jenama Clinique, Sharyn Wong, pihaknya amat berbangga kerana dapat mempamerkan pengalaman membeli-belah yang baru dan serba moden kepada para pelanggannya.

"Dalam usaha memenuhi kehendak pelanggan, kami dapati wanita hari ini sebenarnya mencari pengalaman membeli-belah yang berbeza berdasarkan kepada mood dan seboleh-bolehnya mereka bukan sahaja mahu melihat tetapi juga mahukan perkhidmatan atas permintaan.

''Berpegang teguh daripada situlah, konsep baru ini menawarkan pengguna peluang dan pilihan untuk dilayan berdasarkan kepada syarat-syarat pengguna sendiri iaitu pada masa yang sesuai dan perkhidmatan yang digemari mereka.

''Kami mencipta kaunter berkonsep baru yang mampu berkomunikasi dengan pengguna daripada setiap sudut,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Berkeluasan 493 kaki persegi dan terletak di pusat membeli-belah paling sibuk di ibu kota, kaunter tersebut telah direka bentuk semula secara menyeluruh bagi membolehkan ia menawarkan tahap berbelanja yang pelbagai dengan perkhidmatan yang ditempah khas sekali gus meningkatkan pengalaman membeli-belah secara keseluruhan dan pengguna dapat berhubung dengan identiti jenama ini.

Tambah Sharyn, dengan menawarkan pelanggannya suasana yang menarik, pihaknya sekaligus mahu memansuhkan sekatan fizikal yang lazimnya diamalkan di kaunter-kaunter kecantikan sedia ada.
Clinique Service As You Like It bermaksud pengguna boleh turut serta dalam satu atau semua pengalaman membeli-belah berdasarkan keperluan dan mood masing-masing.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment