Jom Jadi Geng

10 July 2011

Derita Azlina Tanggung Sendiri

Berwajah pucat tidak berdaya, adalah gambaran yang biasa buat Azlina Ong Abdullah setelah dia dikesan menghidap kanser usus sejak dua tahun lalu.

Suatu masa dahulu, wanita ini sesungguhnya sangat gigih dan rajin membantu persatuan dalam persekitaran kawasan kejiranan di tempat tinggalnya dalam aktiviti memasak. Terutama setiap kali adanya majlis kahwin mahupun kenduri-kendara lain.

Namun itu dahulu, kini wanita itu sudah tidak lagi berdaya membantu, apatah lagi hendak memasak.

''Sejak saya disahkan menghidap kanser usus ini, saya langsung tidak boleh berdiri dekat dengan api. Rasa bahang panasnya amat perit.

''Saya telah menjalani pembedahan membuang usus yang rosak. Tetapi kini saya disahkan doktor kanser itu kini 'datang' kembali," jelasnya ketika ditemui di rumahnya di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Kata Azlina, kini dia terpaksa dirujuk semula ke pakar usus di Hospital Selayang. Sebelum ini dia menerima rawatan di Hospital Serdang, Selangor sehingga dibedah untuk membuang usus yang berkanser.

Kini ususnya yang rosak telah diganti dengan tiub plastik.

Menceritakan mengenai saat-saat kesengsaraan yang dihadapinya setelah pembedahan usus yang dilakukan selama sembilan jam itu ialah dia tidak boleh membuang air besar secara duduk.

''Kini sekiranya hendak membuang air besar perlu dilakukan berdiri. Kalau terasa hendak buang air perlu segera bergegas ke tandas, tidak boleh ditangguh lagi.

''Lagi satu, sebelum disambung usus itu dengan tiub plastik, saya juga perlu memakai beg plastik yang disalur di luar pinggang saya untuk memudahkan saya mengeluarkan najis selama enam bulan. Setiap kali penuh, kena pula ganti yang baru. Satu beg berharga dalam lingkungan RM30," jelasnya yang berasal dari Pulau Pinang.

Azlina yang mempunyai lima anak berkata, kos ulang-alik ke hospital memang amat memeritkan. Sudahlah terpaksa menanggung kesakitan setiap kali ke hospital, rawatan kemoterapi, kos perjalanan dan ubat-ubatan tentulah memerlukan kewangan yang banyak.

''Suami saya, Amiruddin Mohd. Yunan, 54, hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan gaji harian sebanyak RM1,500 sebulan. Anak-anak saya hanya seorang sahaja yang sudah bekerja, yang lainnya masih lagi bersekolah dan yang kecil berusia 12 tahun," jelasnya.

Kata Azlina sejak dia dikesan pada tahun 2009 menghidap kanser usus tahap 2 iaitu kanser yang selalunya menyerang lelaki sahaja, kehidupannya mula berubah.

Jelasnya dalam tempoh sebulan sebelum melakukan pemeriksaan doktor najisnya berdarah dan berwarna hitam, selepas itu dia terus melakukan pembedahan.

Jelasnya, dia juga ada melakukan ikhtiar dengan membeli ubat-ubatan luar sebanyak RM300 sebulan.
Setakat ini katanya dia hanya mendapatkan bantuan daripada unit kebajikan hospital-hospital berkenaan untuk melunaskan bayaran setiap kali rawatan atau pembedahan dilakukan.

Ada juga yang dia terpaksa meminjam wang daripada ahli keluarga untuk membiayai rawatan.

Jika ada pihak di luar sana yang prihatin dengan nasib yang menimpa wanita ini boleh menghubungi Azlina di talian 019-6439987.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment