Jom Jadi Geng

10 April 2012

Konsep Ceria di Starhill Gallery

Minggu Fesyen Starhill Gallery, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, sekali lagi muncul dengan koleksi busana musim bunga/panas 2012. Pastinya, ia berita baik buat pencinta fesyen yang meminati seleksi pakaian yang berasaskan warna terang dan bermotif ceria.

Selain menampilkan himpunan fesyen daripada jenama antarabangsa seperti John Galliano, Jean Paul, Pollini dan Roberto Cavalli, pusat beli-belah Starhill Gallery yang berdiri gah di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu turut menyediakan busana jenama tempatan.

Antaranya, label Khoon Hooi yang diasaskan oleh pereka fesyen kelahiran Parit Buntar, Perak dan Jendela KL iaitu jenama yang memartabatkan fabrik batik dalam persada fesyen Malaysia serta peringkat antarabangsa.

Menarik mengenai Minggu Fesyen Starhill Gallery tersebut adalah para tetamu yang mula memenuhi ruang legar seawal pukul 6 petang telah disajikan dengan pertunjukan fesyen yang didominasi palet warna ceria dan terang serta motif bunga, polka dot, jalur serta batik.

Bagi jenama Khoon Hooi yang mengangkat tema Blossom, koleksi gaun koktel dan pakaian santai meraih perhatian. Sentuhan feminin dan romantis dalam setiap rekaannya begitu menyerlah dengan adanya taburan bunga seni lipatan kertas Jepun (origami) dan teknik sulaman.

Menurut Khoon Hooi, koleksi Blossom diinspirasi daripada puisi puitis nukilan, Lydia M. Child. Puitis indah itu menceritakan tentang bunga-bungaan yang menjadi dambaan golongan jejaka. Namun, malangnya tidak semua lelaki itu memahami erti sebenar, sifat dan karakter bunga dengan baik.

Sementara itu, Jendela KL pula tidak pernah gagal menampilkan himpunan pakaian berasaskan batik berwarna-warni yang segar dan funky. Inisiatif dan kreativiti yang dibawa oleh Jendela KL dalam memartabatkan fabrik batik nampaknya berhasil.

Kesemua koleksi fesyen stail kasual dan moden jenama Jendela KL tampak menawan dan elegan. Secara tidak langsung, ia menunjukkan bahawa fabrik batik tidak lagi terhad untuk menghasilkan busana tradisional, malah gaya kontemporari yang diserlahkan diterima baik dan mendapat tepukan daripada para tetamu yang hadir.

Dalam pada itu, pentas fesyen turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan model profesional yang mengatur langkah dalam persalinan busana jenama M Missoni. Bersesuaian dengan musim bunga/panas 2012, jenama berkenaan sengaja memilih tema retro zaman 60-an dan 70-an, memandangkan pada era itu kebanyakan fesyen hadir dalam warna terang.

Selain merah dan ungu, fesyen M Missoni turut menggunakan nuansa biru, hijau, kuning, jingga dan merah hati. Dari segi cetakan pula, motif burung merah, corak kulit zirafah, zebra dan garis-garis halus pada kulit gajah.

Dalam pada itu, jenama Kenzo yang dikendalikan artistik berbakat, Kenzo Takada, pula lebih gemar bermain dengan paduan warna terang yang pelbagai pada sehelai pakaian. Tumpuan jenama Kenzo nampaknya tidak tertumpu pada motif bunga semata-semata, sebaliknya bereksperimen dengan fabrik cetakan jalur konsep ala etnik.

Dipetik dari : www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment