Jom Jadi Geng

22 April 2011

Cinta Wanita Bidayuh

Terjemah kekayaan budaya dan alam hutan hujan Sarawak

Orangnya kecil molek dan penampilannya cukup ringkas tetapi mempunyai bakat begitu besar serta penuh berseni. Berasal dari keturunan Bidayuh, Narong Daun, 41, adalah antara seniman wanita terkenal di Kuching, Sarawak. Bakatnya cukup dikagumi.

Berpegang pada akar umbi yang kuat dan didorongi kehalusan seni serta cintanya pada alam semula jadi, membawanya kepada kepekaan seni dan semangat untuk budaya asli Sarawak, khususnya flora serta fauna.

Bagaimanapun, mencipta kelainan, Narong memilih lukisan sutera sebagai medium pilihan dan hasil seninya pelbagai, dari alam Sarawak penuh gaya hingga inspirasi konseptual bermotifkan pelbagai adat budaya yang boleh ditemui di seluruh Sarawak.

Pendekatan diketengahkan dan dijiwai adalah satu proses ‘memeritkan’ kerana celupan warna fabrik perlu dilakukan berhati-hati serta teliti bagi menghasilkan tekstil luar biasa dari pelbagai lapisan, tanpa batas mosaik warna dan pola.

Demi minat dalam seni lukisan yang sudah terpasak sejak usia 15 tahun, semua itu tidak pernah menjadi penghalang kepada Narong untuk menghasilkan hasil karya menarik dan menambat ramai penggemar seni.

“Cita-cita saya untuk menjadi pelukis tidak mudah digapai. Apabila saya mengambil keputusan untuk menjadi pelukis sepenuh masa, keluarga tidak gembira kerana tanggapan mereka bidang ini tiada masa depan.
“Tetapi, saya benar-benar berminat dalam bidang ini lalu meneruskan juga hasrat itu dengan tekad ingin membuktikan keupayaan diri,” katanya ketika ditemui di The Art Gallery, Artgeously Ramsayong di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Masih mekar ingatan Narong ketika masih di bangku sekolah dulu. Ayahnya sering kecewa apabila kertas lukisan yang dibeli untuk kegunaan belajar selalu saja cepat habis berbanding rakan lain.

Mana tidaknya, cerita Narong, ada saja idea yang terlintas di fikiran, jari jemarinya pantas melakarkan pada kertas lukisan.

“Kami bukan dari keluarga yang senang, ayah hanya bekerja sebagai petani. Apabila saya tidak berjimat cermat menggunakan kertas lukisan itu, tentu saja lebih banyak belanja yang perlu dikeluarkan,” katanya sambil tersenyum mengingatkan kisah silam.

Narong yang mendapat pendidikan sehingga Tingkatan Enam di Sunny Hill School di Kuching, berkata sebaik saja tamat persekolahan, dia terus bekerja untuk mencari wang saku supaya dapat membeli peralatan lukisan tanpa lagi membebankan bapanya.

Ketika itu gaji yang diterima tidak begitu lumayan tetapi setiap bulan sebahagian besar daripadanya dihabiskan untuk membeli keperluan lukisan. Walaupun tidak boleh bermewah dan berseronok, hatinya puas dapat membeli apa yang diinginkan dan meneruskan minat melukis.

Anak ketujuh daripada sembilan beradik ini memberitahu, oleh kerana tidak mampu, beliau sehingga kini tidak pernah berpeluang mengikuti mana-mana kelas formal atau profesional dalam bidang seni lukisan.

Narong sebaliknya sentiasa tekun mengasah bakat semula jadi yang dimiliki secara sendirian dan banyak eksperimen dilakukan.

”Jika ada yang memuji hasil lukisan saya, tentu berasa puas dan berbesar hati. Tetapi, jika ada yang mengkritik, saya tidak kisah dan menerimanya dengan positif serta menjadikan komen atau pandangan itu untuk membetulkan kelemahan.

“Lagipun, saya tidak pernah berpeluang belajar di mana-mana institusi seni. Kalau kritikan itu hanya untuk mencari kelemahan dan kekurangan semata-mata atau ada niat tidak betul, tentu saja saya tidak layan kerana saya tahu apa saya buat,” katanya menetapkan prinsip yang dipegang sejak dulu lagi.

Katanya, peluang menjadi seniman residen The Art Gallery, Artageously Ramsayong yang terkenal di Kuching, Sarawak pada 2001, bagaikan satu tuah kerana memberi peluang untuk terus mengasah bakat dan menimba ilmu.

“Sebenarnya, sebelum beralih kepada lukisan pada sutera, saya terlebih dulu membuat chanting atau lukisan batik. Pada 2004, saya mendapati lukisan pada sutera lebih memberikan kebebasan dan kepuasan berkarya terutama dalam penggunaan serta pemilihan warna. Akhirnya, saya terus kekal untuk berkarya menggunakan lukisan pada sutera,” ceritanya lagi.

Selepas 11 tahun menghambakan diri pada lukisan, hari ini Narong muncul sebagai seorang seniman yang kuat dalam genre diterokai. Cinta dan kebanggaannya dengan warisan Bidayuh, memberi kesan yang mendalam dalam setiap hasil kerjanya.

Penyajian bahan subjeknya pula sering berani dan menonjol sehingga luar biasa tetapi sesuai dan bertepatan untuk gaya seni.

Katanya, setiap karya lukisannya dapat disiapkan antara satu minggu hingga tiga minggu tetapi ada juga yang disiapkan hanya dalam masa dua hari atau tiga hari. Lukisan itu dijual pada harga RM350 hingga RM9,000, setiap satu.

Antara hasil karya yang sentiasa dekat dalam hatinya ialah Siri Rahsia Rimba yang memaparkan tumbuhan dan bunga terkenal di negeri bumi Kenyalang. Begitu juga dengan sentuhan karya Narong’s Hornbill yang memperlihatkan tiga burung dijalin bersama dengan medley warna dan harmoni.

Seni tema rekaan abstrak dalam siri Sarawakiana (Terendak, Naga dan Pesta Kenyalang) turut merakamkan penghargaan dan minat Narong pada unsur tradisional.

Hari ini, Narong terus mendapat ilham daripada kepelbagaian budaya Sarawak dan keindahan alam hutan hujan.

Narong melihat semua itu dengan mata yang tajam dan tangan stabil untuk melakarkan apa disukai sehingga tercipta karya seni yang bermutu tinggi, halus dan penuh getaran. Usahanya itu adalah penting dan memberi sumbangan terhadap seni di Sarawak dan Malaysia.
Dipetik dari : www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment