Jom Jadi Geng

31 January 2013

Gubahan Bunga Penyeri Ruang

Bunga antara elemen yang penting bagi menyerikan sebuah ruang. Tidak kiralah sama ada ruang pejabat, rumah dan sebagainya, bunga yang digubah cantik mampu memberikan reaksi yang menggembirakan bagi mereka yang memandang.

Walaupun ramai menyukai gubahan bunga hidup kerana kecantikan bunganya yang asli, tidak kurang juga yang memilih gubahan bunga tiruan kerana lebih mudah dijaga dan tahan lama.

Gubahan bunga tiruan tidak memerlukan penggantian air, bunga tahan lama dan tidak layu serta warnanya tetap segar walau telah lama digunakan.

Kebiasaannya bagi gubahan bunga tiruan, bunga ros antara jenis bunga yang menjadi pilihan ramai kerana bentuk yang cantik serta warna-warna yang menarik seperti merah tua, merah terang, merah jambu, kuning dan putih.

Gubahan bunga ros yang menggunakan satu warna atau dicampurkan dengan dua atau tiga warna serta daun-daun hijau menyegarkan mata melihat.

Pemilik Floral Paradise, Yani Bachtiar berkata, daripada segi gubahan pula, terdapat beberapa jenis bentuk gubahan seperti Inggeris, Victoria dan Inggeris klasik.

“Kesemua gubahan ini menggunakan bunga ros cuma perbezaannya adalah daripada penggunaan bekas bunga.

“Bekas bunga untuk gubahan Inggeris klasik lebih nampak antik dan gaya Itali, manakala gubahan Inggeris dan Victoria menggunakan bekas seperti balang kaca atau bekas daripada ayan (timah) yang dihias cantik.

“Kebanyakan pelanggan saya memang menyukai bunga ros dan semasa menempah, saya akan bertanya di mana mereka hendak meletakkan gubahan tersebut sama ada di meja makan, meja kopi, atas pintu, berhadapan pintu masuk dan sebagainya.

“Saya juga akan bertanyakan warna langsir, sofa atau permaidani mereka. Bagi rumah yang besar, biasanya saya akan pergi sendiri ke rumah pelanggan supaya saya mendapat idea mengenai gubahan yang sesuai,’’ kata Yani yang pernah mendapat tempahan membuat gubahan bunga untuk Istana Kedah.

Tambah beliau, bagi rumah yang besar seperti banglo, perlu diletakkan sebuah gubahan bunga besar di atas meja bulat terletak berhadapan dengan pintu masuk.

Bagi ruang dalaman pula, jelasnya, mesti ada sekurang-kurangnya empat gubahan bunga seperti untuk ruang makan, meja konsol, meja bulat dan sudut.

Selain itu, Yani turut menyediakan gubahan bunga yang telah siap di kedai bagi memudahkan pelanggan yang mahu membeli untuk terus dibawa pulang atau dihadiahkan sempena hari jadi dan sebagainya.

Yani yang pernah menerbitkan buku gubahan bunga berjudul English Arrangement pada 2006 turut mengajar pembaca bagaimana cara menggubah bunga langkah demi langkah.

Gubahan bunga FLORAL PARADISE, LOT 1.91, TINGKAT BAWAH, PUSAT BELI-BELAH AMPANG PARK, JALAN AMPANG, KUALA LUMPUR

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment