Jom Jadi Geng

02 January 2014

Wani Bukti Kemampuan Diri

"Jujurnya saya merasa malu memohon dan menerima bantuan zakat. Terasa serba salah. Dahulu, sewaktu suami saya masih hidup, saya masih ingat dia tidak lupa menunaikan zakat perniagaannya. Ketika itu, kami masih menetap di Klang. Hinggalah pada 2011 dan suami saya meninggal dunia, akhirnya saya menjadi penerima zakat."

Norhidayuwani Kasim, 46 menjadi tamu bagi ruangan Jejak Asnaf buat kali ini. Kelembutannya berbicara, tidak mencerminkan yang dirinya lemah dalam mendepani masa. Selepas kematian suami, Wani membawa keluarganya pulang ke kampung di Sepang. Selangor. Rumah dan lori milik suaminya dia jualkan dan di kampung dia cuba membina hidup baharu.

"Kematian suami saya secara sangat tiba-tiba. Dia disahkan mendapat serangan jantung. Saya pula memang sejak awal pernikahan hanyalah seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Dengan tanggungan lima orang anak, saya fikir berada berdekatan keluarga di kampung lebih terjamin. Ternyata mereka banyak membantu saya. Namun persoalannya, sampai bila saya mesti menggantungkan harapan kepada mereka?"

Bina rumah

Dengan wang hasil jualan rumah dan lori, setelah beberapa kesulitan ditempuhi, akhirnya Wani berjaya membina kediaman sendiri di kampungnya. Namun, untuk penghasilan diri masih belum dia peroleh. Hinggalah menjelangnya bulan Ramadan pada 2011, ketua kampungnya menyarankan agar Wani mengajukan permohonan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS), khususnya bagi mendapat modal membuat biskut sempena hari raya.

"Saya pun mengajukan permohonan. Sebelum itu pun sudah pernah saya memohon zakat, tetapi tidak berjaya. Mungkin kali itu, LZS melihat kemampuan saya memang terbatas dengan anak yang semuanya memerlukan pembiayaan, maka saya dimasukkan sebagai asnaf zakat. Kemudiannya, saya masih ingat betapa saya diberikan modal berjumlah RM2,000."

Dengan modal sebesar itulah, Wani mencuba bakat terpendamnya menyediakan biskut raya. Ternyata, ia mendapat sambutan hangat. Dari situ Wani sedar, dia mampu pergi lebih jauh dengan perniagaan biskut dan roti, jika dia lebih berani mencuba.

“Saya perlukan pendapatan yang tetap, maka produk saya juga perlu mantap. Tetapi, saya sedar untuk memohon bantuan modal selanjutnya daripada LZS, pasti saya memerlukan sokongan dari aspek latihan yang diakui. Maklumlah, percaya atau tidak saya hanya belajar membuat roti, kek, biskut dan sebagainya daripada internet. Maka, saya gagahi mengikuti beberapa siri kursus yang dianjurkan oleh pelbagai pihak, agar saya mendapat sijil dan dengannya memudahkan urusan saya kelak."

Wani benar-benar mencabar dirinya. Dia tidak sungkan mempamerkan beberapa sijil hasil kursus jangka pendek yang telah dijalani sebelum ini. Di antaranya kursus bersama Jabatan Pertanian Selangor, Lembaga Koko Malaysia, LZS dan institusi lain. Selain kursus pembuatan produk, Wani turut mengikuti kursus asas keusahawanan dan kursus asas perakaunan.

"Saya memohon bantuan zakat, dan modal yang agak besar telah diluluskan oleh LZS pada bulan Jun 2013 yang lalu. Sebelum itu, saya buktikan dahulu kemampuan saya menghasilkan produk. Saya tahu, LZS pasti akan membantu jika saya serius memajukan diri sendiri. Bayangkan, sebelum itu saya hanya menggunakan sebuah ketuhar kecil bagi menghasilkan segala macam biskut dan roti, hingga rosak ketuhar itu akhirnya. Tetapi saya bersyukur, sebaik sahaja ketuhar saya rosak, LZS berikan ketuhar baharu yang jauh lebih besar dan baik," kata Wani.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment