Jom Jadi Geng

02 April 2011

Hazwani Lebih Gemar Busana Pengantin

Saban tahun namanya menjadi sebutan di kalangan peminat fesyen, malah kian sebaris dengan pereka-pereka terkenal tanah air.

Senario itu membuatkan rekaannya sentiasa menjadi pilihan selebriti untuk digayakan terutama pada majlis-majlis membabitkan acara karpet merah (red carpet).

Memilih untuk mereka busana yang ringkas dan tidak terlalu sarat dengan perincian namun masih nampak menarik, Hazwani Osman, 29, telah memulakan kariernya sebagai pereka fesyen sebaik tamat pengajian pada tahun 2005.

Lazimnya jelas anak kelahiran Taiping, Perak ini, setiap rekaan yang dihasilkan adalah mengikut tema majlis yang akan dihadiri pelanggannya.

''Secara jujur, jika ditanya rekaan apa yang diminati sudah pasti saya akan katakan rekaan yang ringkas dan senang digayakan.

''Tetapi ia masih bergantung kepada tema keseluruhan majlis sama ada glamor, retro, kontemporari dan sebagainya.

''Yang pasti, setiap rekaan yang dihasilkan mestilah cantik dan mampu menyerlahkan penampilan si pemakai,'' ujar anak keenam daripada tujuh beradik ini.

Hari ini setelah enam tahun bergelumang dalam dunia fesyen, Hazwani berbangga dengan koleksi rekaan yang menggunakan label namanya sendiri.

Bukan itu sahaja, malah dia turut mempunyai studio serta butik sendiri yang menempatkan kesemua koleksinya.

Begitu pun, menurut Hazwani, dia belum lagi mampu mendabik dada memandangkan masih perlu dibimbing untuk menyaingi pereka-pereka tersohor yang lain.

Untuk itu, beliau mengambil pendekatan untuk terus belajar dan memantau perkembangan industri yang disertainya malah bagi Hazwani, pengetahuan adalah segala-galanya.

Dalam masa yang sama, Hazwani menganggap industri fesyen sebagai bidang yang menuntut dirinya untuk terus menimba ilmu dan tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian yang dikecapi.

Hazwani yang lebih cenderung menghasilkan pakaian lelaki juga gemar memilih warna-warna klasik seperti emas, perak, gangsa serta warna-warna tanah.

Ini kerana, menurutnya warna-warna tersebut jarang digunakan selain menampilkan warna yang terang dan mampu menarik perhatian ramai.

Bagaimanapun menurut Hazwani, rekaannya juga bergantung kepada peredaran zaman serta mengikut musim.
Selain itu, pemilik Ijazah Rekaan Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, ini juga gemar menggunakan fabrik yang beralun dan lembut seperti sifon, satin dan sutera.

Ini kerana kain-kain tersebut bukan sahaja mudah dibentuk malah ia juga nampak cantik apabila digayakan.
Sering menjadikan majalah fesyen serta bahan di Internet sebagai rujukan, Hazwani mengakui bahawa dia lebih gemar menghasilkan busana pengantin.

Alasannya ialah rekaan tersebut amat bermakna kerana ia disarungkan pada hari keraian istimewa dalam hidup seseorang.

Jelasnya lagi, untuk membuat rekaan baju pengantin tidaklah terlalu susah berbanding konsep fesyen lain.
Ini kerana setiap kali menerima pelanggan, mereka sentiasa mahukan busana itu tidak kelihatan terlalu sarat tetapi menarik.

Menyifatkan sesuatu pekerjaan yang bermula daripada bawah bakal membuka sinar kegembiraan kelak, maka hari ini Hazwani mampu tersenyum riang apabila rekaannya mampu menjulang namanya di persada fesyen tanah air.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment